Jumaat, 21 Julai 2023
Pemimpin tidak amanah, bersedialah jawab di akhirat kelak
By Manzaidi Mohd Amin - 17 July 2023
WALAUPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula selepas sesi penamaan calon 29 Julai ini, boleh dikatakan pimpinan dan jentera semua parti politik sudah mula turun padang.
Sikap tidak patuh kepada peraturan dan undang-undang ini makin menjadi-jadi di kalangan ahli dan pimpinan politik.
Mereka tunjuk sikap tidak baik kepada rakyat, walaupun dalam ceramah, mereka tekankan kejujuran, kepatuhan, kesetiaan dan keikhlasan. Tetapi, mereka sendiri langgar.
Sebab itu, ramai kata politik ini umpama ketam mengajar anak berjalan lurus. Penuh nasihat dan kata-kata hikmah, tetapi mereka sendiri tidak pernah amalkan.
Dalam seminggu dua ini, macam-macam isu dihidangkan kepada rakyat. Tuduh menuduh satu sama lain, keluar kenyataan tak ikut fakta, cakap tak serupa bikin dan cakap lain, buat lain.
Ada parti politik sudah mula jelajah ke negeri-negeri. Ada yang sudah masuk ke kampung-kampung dan ada yang berlagak seolah mereka calon.
Yang tak pernah jumpa rakyat selepas menang PRU14 lima tahun lalu, mula ketuk pintu rumah penduduk. Yang hilangkan diri sejak sekian lama, mula muncul tunjukkan kononnya peduli rakyat.
Ini semua semata-mata nak menangkan hati rakyat. Nak dapatkan sokongan dan undi rakyat dalam pilihan raya negeri yang berlangsung 12 Ogos ini.
Mereka turun padang dengan muka tidak bersalah. Mereka tukar imej dalam sekelip mata. Mereka tahu, rakyat tidak kisah pun, yang penting, mereka dapat pengaruhi rakyat dan hasut rakyat. Selepas itu pulang ke rumah.
Dalam bab kempen, satu yang Bawah Kolong (BK) perhatikan sering berlaku, iaitu cakap bohong. Mereka anggap cakap bohong adalah senjata terbaik untuk pengaruhi minda rakyat.
Mereka tidak peduli, cakap bohong dan fitnah itu satu dosa besar. Yang penting rakyat percaya dan mereka dapat sokongan.
Ini yang berlaku akhir-akhir ini. Politik cacamarba atau bercampur aduk ini mula berlaku selepas Barisan Nasional (BN) mula hilang sokongan sejak PRU12 dan tersungkur dalam PRU14.
Sejak itu, politik negara tidak lagi stabil seperti sebelumnya. Mereka seronok menjatuhkan kerajaan dan bertukar kepimpinan, tanpa sedikit pun fikirkan kesan yang berlaku kepada negara dan rakyat khususnya.
Apa kisah dengan rakyat hilang pekerjaan. Apa kisah dengan rakyat tak cukup makan. Apa kisah dengan kos sara hidup tinggi yang semakin hari semakin mencengkam kehidupan rakyat.
Yang penting, mereka dapat bentuk kerajaan, dapat jawatan dan dapat gaji beratus ribu setiap bulan. Soal rakyat tak cukup makan, belakang kira. Soal ekonomi jatuh, belakang kira dan soal politik tidak stabil juga belakang kira.
BK ambil contoh Kelantan. Selama 33 tahun parti yang mendakwa memperjuangkan Islam memerintah, masalah bekalan air bersih masih gagal diatasi hingga kini. Anak-anak muda merantau cari rezeki. Jalan tidak diselenggara, bina lebuh raya ambil masa berpuluh tahun, tak siap-siap sampai sekarang.
Namun, pemimpinnya tetap bangga konon mereka telah mentadbir dengan baik dan ikut landasan Islam.
Kalau rakyat mengadu pasal air, mereka jawab, Sungai Kelantan penuh dengan air, tak kehabisan. Kalau rakyat mengadu cukai tinggi, mereka kata, negeri lain pun cukai tinggi juga.
Negeri lain, cukainya tinggi, tetapi hasil dinikmati oleh rakyat sama rata. Di Kelantan, rakyat hidup dalam kempunan. Nak nikmati hasil cukai, mereka kena merantau negeri orang.
Pemimpinnya tidak pernah fikir bagaimana nak majukan negeri. Tak pernah juga fikirkan nak tarik pelabur supaya dapat sediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
BK cakap ini sebab BK juga anak Kelantan. Anak jati daerah Pasir Mas, yang makin hari makin mundur. BK nak sara keluarga, BK kena merantau. Maka, jadilah BK antara jutaan anak Kelantan bergelar perantau.
Setiap tahun berdepan kesesakan jalan raya balik kampung. Berpuluh jam masa habis di jalan raya. Ada pemimpin peduli? Tidak. Ada pemimpin cuba lakukan sesuatu supaya perantau mereka pulang dengan selesa? Tidak.
Yang mereka lakukan hari-hari ialah bercakap soal agama. Namun, dalam hafalan firman Allah, mungkin mereka terlepas pandang akan Surah Ar-Rad ayat 11:
“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”.
Mereka tidak amalkan ayat ini, yang menekankan kepada usaha daripada pemimpin untuk mengubah nasib rakyatnya.
Sebagai rakyat, sudah tentu tidak ada kuasa untuk membangunkan negeri, melainkan mengharapkan kepada pemimpin yang mereka pilih melalui pilihan raya untuk membawa segala bentuk kemajuan itu.
BK pun kadang-kadang terfikir, tidakkah mereka ini yang mulutnya hafaz al-Quran dan Hadis tahu akan dosa yang bakal ditanggung kalau tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik?
Adalah lebih baik, daripada menerakakan pihak lawan kerana kononnya tidak ikut perintah Allah, lebih baik fikirkan diri sendiri dahulu. Mereka diberi amanah selama 33 tahun sebagai pemimpin, tetapi masih gagal memikul amanah dengan baiknya.
BK tidaklah tahu sangat pasal agama. Tetapi, mengikut logik akal, itulah yang akan berlaku kepada seorang pemimpin yang tidak melaksanakan amanah secara jujur.
Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
Memetik kata-kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno berkata, amanah dan tanggungjawab perlu dipikul sebaik mungkin, malah menuntut pengorbanan cukup besar demi menjamin kesejahteraan dan kesentosaan masyarakat serta komuniti dipimpin.
Lebih utama, katanya, bagaimana amanah dan tanggungjawab itu digalas akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak.
Jadi, tak takutkah mereka kepada Allah dengan mengabaikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin?
Jangan rasa seronok dapat jadi wakil rakyat, gaji besar dan kereta besar sahaja. Perut jutaan rakyat di bawah mereka perlu diambil kira, sebab itu mereka dipilih menjadi wakil rakyat. – MalaysiaGazette
PRN 15: PN atau PH-BN kuasai enam negeri?
By Manzaidi Mohd Amin - 8 July 2023
BERBAKI 35 hari lagi, rakyat di enam negeri akan menentukan kerajaan melalui kertas undi pada 12 Ogos ini.
Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan. Mereka tidak bersama lima negeri yang lain yang mengumumkan pembubaran serentak dengan Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2022.
Alasannya, mereka tidak mahu mengikut kehendak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditadbir oleh Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu.
Mereka anggap tarikh pembubaran itu masih pramatang dan tidak sesuai untuk masing-masing ikut serta. Oleh itu, mereka menunggu sehingga tempoh matang iaitu Jun dan Julai ini, baru mereka rasa sesuai untuk bubar.
Apabila semua enam negeri ini selesai bubar DUN masing-masing, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun bermesyuarat pada Isnin 5 Julai. Dalam mesyuarat itu, SPR menetapkan tiga tarikh penting.
Tarikh itu ialah 29 Julai hari penamaan calon, 8 Ogos hari undi awal dan 12 Ogos hari mengundi. Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 9,773,571 pemilih akan diberi kertas undi untuk memilih calon masing-masing. Daripada jumlah itu, 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 anggota tentera dan pasangan, 47,728 anggota polis dan pasangan serta 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.
Daripada enam negeri ini, sebanyak 245 kerusi DUN akan diisi iaitu 36 kerusi Kedah, 45 kerusi Kelantan, 32 kerusi Terengganu, 40 kerusi Pulau Pinang, 56 kerusi Selangor dan 36 kerusi Negeri Sembilan.
Pilihan raya ini dipanggil Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN), kerana berlaku dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih tujuh bulan lalu selesai.
Tiga daripada enam negeri ini diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala tiga lagi ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum bergabung dengan BN pada PRU15 melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan (KP).
Maknanya, dalam PRN bulan depan ini, dua gergasi akan bertembung. Gergasi PN akan bertarung dengan gergasi PH atau lebih tepat PH-BN.
Gergasi PN terdiri daripada Pas, Bersatu dan Gerakan, manakala PH-BN melibatkan PKR, Amanah, DAP dan BN.
Ada yang tanya Bawah Kolong (BK), agak-agak dapat kepada PN semuakah enam negeri pada PRN ini? Atau PH berjaya merampas kembali Kelantan, Kedah dan Terengganu dari Pas?
BK sebenarnya sukar nak beri jawapan yang tepat, tetapi kalau sekadar ramalan Nujum Pak Belalang, pada BK 50-50, iaitu PN boleh menang lima negeri atau PH-BN juga boleh menang lima negeri.
Bagaimana lima negeri, sedangkan ada enam negeri? Satu negeri lagi iaitu Pulau Pinang, tentunya sukar digugat oleh PN kerana ia negeri dikuasai DAP. Pas, Bersatu dan Gerakan terlalu sukar nak gugat negeri ini.
Tidakkah dulu Pulau Pinang pernah ditadbir oleh Gerakan? Mustahil parti itu tak boleh beri kemenangan kepada PN? Ya, dulu memang negeri itu pernah diperintah oleh Gerakan, tetapi masyarakat Cina Pulau Pinang sudah tolak Gerakan secara total.
Lebih-lebih lagi Gerakan sekarang menyertai PN, makin masyarakat Cina tidak menerimanya.
Adakah ramalan Nujum Pak Belalang BK ini memberi kesimpulan PH-BN kekal menguasai enam negeri? Tidak juga. Yang pastinya PH-BN berdepan kesukaran untuk menembusi kubu kuat Pas di Kelantan.
Tetapi, BN ada rekod dapat menawan semula Terengganu pada PRU11 dan kekal memerintah Kedah sebelum PRU14.
Bersandarkan rekod itu, BK yakin PH-BN boleh menang di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
Kalau PN menang di lima negeri pun, negeri yang berjaya ditakluki mereka ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
Apakah PN mampu ambil alih Selangor? Ya, segalanya berkemungkinan. Walaupun Pas hanya menang satu kerusi di Selangor pada PRU14, tetapi dengan bantuan dan sokongan beberapa bekas pemimpin UMNO dan sikap agresif Azmin Ali, ia tidak mustahil.
Tetapi, BK letak nisbah 60-40 iaitu 60 peratus peluang PN untuk kalah tu memang ada. Azmin tidak kuat sebagaimana disangka dan dijangka sebab dia tewas kepada anak muridnya, Amirudin Shari dalam mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 November tahun lalu.
Namun, semuanya terletak pada tangan pengundi di Selangor. Sekiranya mereka berpuas hati dengan prestasi kerja Amirudin sepanjang lima tahun ini, mereka akan kekalkan PH-BN.
Jika tidak puas hati, mereka boleh tukar pada 12 Ogos ini. Pokoknya, siapa sahaja yang memerintah, sama saja. Semua parti sudah diberi peluang mentadbir dan masing-masing sudah teruji keberkesanannya.
Ada yang gagal, tapi masih angkat diri dakwa berjaya, ada yang berjaya, tapi dinafikan oleh pengundi kerana termakan dengan fitnah.
Sekarang pengundi lebih arif untuk memastikan sama ada negeri mereka kekal dengan pentadbiran kerajaan perpaduan atau mendapat mandat kerajaan baharu yang memerlukan nombor. – MalaysiaGazette
Apabila PMX bergurau minta nombor telefon
By Manzaidi Mohd Amin - 27 June 2023
BILA Bawah Kolong (BK) secara bergurau menyindir kesungguhan ‘musuh-musuh’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak PMX ini mohon maaf kerana ‘minta’ nombor telefon seorang budak perempuan, ramai yang marah.
Dalam sindiran itu, BK nyatakan ada seorang pemimpin, suatu ketika dulu pernah juga minta (bukan bergurau ya) nombor telefon budak perempuan tapi tak dijadikan isu pun.
Dalam marah-marah itu, mereka tanya kepada BK, siapakah gerangan orang yang dimaksudkan itu? BK kata, orang itu miliki sebutan nama yang sama dengan PMX, cuma ejaannya sedikit berbeza.
Orang itu, kata BK, di zaman dewasa dan kegemilangannya, bukan setakat minta nombor telefon budak perempuan malah teman wanita kawan dia, isteri orang pun dia nak tackle apatah lagi janda. Memang mainan dialah perempuan-perempuan ni.
Apa pun, itu cerita zaman dulu, zaman nakal-nakal dia. Tiap orang yang berada di alam dewasa semuanya akan laluan ujian itu. Cuma, mujurnya pemimpin ini tidak bawa perangai nakal tu apabila dah masuk alam warga emas.
Okey, berbalik kepada tindakan PMX minta nombor telefon budak perempuan yang juga pelajar pada program dihadirinya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini.
Pada BK, itu hanya sekadar gurauan seorang bapa dengan anak dan gurauan seorang tua kepada seorang anak muda. Cara gurauan itu pun bukan hadir dengan nafsu terhadap budak belasan tahun.
PMX pun sedar diri dia siapa nak mengorat budak-budak hingusan dan dia bergurau pun di depan khalayak, depan barisan pengurusan USIM, depan pimpinan parti dan NGO serta depan ribuan pelajar lain.
Bukan dia minta nombor telefon tu secara berbisik atau secara pertemuan sulit pun. Dia hanya berjenaka untuk ceriakan suasana ketika tu. Itu pun nak dijadikan isu?
Tapi tak mustahil benda kecil jadi besar sebab dalam kes ini, yang lantang menegur PMX ialah musuh politiknya.
Biasalah, musuh politik. Benda sebesar busut boleh direka jadi sebesar gunung Kilimanjaro. Mereka hari-hari intai, perhati dan mahu dengar yang buruk-buruk sahaja pasal PMX.
Macam harimau nak terkam mangsa, duduk menyorok di balik semak atau pokok, bila keadaan mengizinkan terus terkam.
Begitulah sifat musuh. Yang buruk itulah yang dicari dan ditunggu-tunggu sebab boleh dicanang jadi besar dan hangat di pasaran. Ini memang kerja musuh yang profesional.
Lebih lagi dalam kekeringan modal untuk kempen pilihan raya negeri, gurauan seperti ini yang dinanti-nantikan.
Adanya modal ini, boleh dibawa naik ke pentas untuk berbohong di khalayak, di depan orang-orang yang dahagakan fitnah.
Sungguh pun begitu, BK nak juga nasihatkan kepada PMX, bila sudah pegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan negara amnya, kelakuan nakal-nakal tu kenalah hentikan.
Kena berhati-hatilah dalam mengeluarkan tutur kata atau ucapan, lebih lagi gurauan.
Kalau masa pembangkang dulu bolehlah nak buat joke atau jenaka, sebab tak ada siapa kisah. Kalau ada tersalah kata pun, ia habis di situ sahaja, tidak dipanjang-panjangkan.
Sekarang dia sudah jadi PM. Setiap tingkah lakunya boleh dijadikan isu oleh musuh politiknya.
Dan satu lagi, setiap PM ada sekumpulan penasihat atau pegawai lantikan yang diberi gaji lumayan, takkan tak seorang dari puluhan mereka tak boleh beri nasihat.
Imej dan maruah seorang PM kena jaga sepanjang masa, baik di dalam mahu pun di luar supaya dihormati kawan dan lawan.
Benarlah kata seorang sahabat BK, “Lagi tinggi jawatan memang kelakuan kena lebih berhati-hati. Kalau tidak, apa perlunya dilantik pegawai-pegawai yang ramai dan bergaji lebat kalau bukan untuk memastikan boss mereka sentiasa dalam keadaan terkawal dan tidak melakukan joke bodoh”.
BK kata ini sebab BK dulu pun pernah jadi pegawai kepada seorang timbalan menteri. Bos BK seorang wanita yang dikenali imej ustazah.
Bila bos BK lantik seorang penasihat imej, tiba-tiba imejnya dari seorang ustazaz bertukar kepada imej seorang wanita sosial.
Ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati BK. Lalu BK masuk jumpa bos BK senyap-senyap dan lontarkan beberapa nasihat.
Walaupun pahit dan pedih, walaupun kena marah seketika akhirnya bos BK dengar sebab nasihat itu demi untuk imej dan maruahnya.
Alhamdulillah, dia kembali kepada imej asalnya yang azali. Cuma sempatlah dia merasai perubahan itu untuk seketika.
Tak apalah BK maafkan, sebab setiap manusia walau alim dan warak mana sekali pun,tak terlepas dari godaan syaitan.
Tengok saja pak-pak lebai dalam sebuah parti yang mendakwa membangun bersama Islam, imej mereka ialah berjubah dan berserban.
Sebagai manusia, mereka ada kelemahan juga. Dalam berpakaian sunnah, mereka nak juga merasakan bersosial dengan memakai kemeja, kot, berseluar dan bertali leher.
Tapi tak ada isu pun nak dibangkitkan oleh mereka yang lantang menegur gurauan PMX. Sebab, yang menegur pun bukan seorang yang maksum. Mereka juga tidak terlepas dari kejahilan dunia. – MalaysiaGazette
Proses perbaharui pasport online, Imigresen sila ambil perhatian!
By Manzaidi Mohd Amin - 16 June 2023
UNTUK makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Ini adalah jawapan Jabatan Imigresen kepada pemohon yang memperbaharui pasport secara atas talian. Jawapan ini dimaklumkan melalui emel pemohon yang diminta ketika pemohon isi borang EPxELxxxxx.
Apa yang Bawah Kolong (BK) nak ceritakan di sini ialah pengalaman BK untuk pertama kalinya memperbaharui pasport secara atas talian atau online. Kaedah ini baharu saja diperkenallkan Imigresen iaitu lebih kurang bermula 11 Mei lalu.
Dengan kaedah ini, tak perlulah pemohon bersusah payah ke pejabat Imigresen untuk perbaharui pasport. Cukup duduk di rumah, buka laptop atau komputer, isi borang permohonan.
Cuma ada beberapa perkara, yang BK anggap sebagai kelemahan pihak Imigresen dalam proses perbaharui pasport secara online ini, yang perlu diambil kira, perlu perbaiki atau ditambahbaikkan.
Ya, maklumlah, bila satu-satu sistem baharu diperkenalkan, sudah tentu tak dapat lari dari ada beberapa ‘benda’ yang BK anggap sebagai menyusahkan pemohon dan boleh juga dikatakan, ‘tak berbaloi’.
Dalam hal ini, BK nak pihak Imigresen ambil perhatian mengenai kelemahan yang terdapat dalam kaedah online. Pertamanya, berhubung jawapan Imigresen kepada pemohon melalui emel.
Tak sampai 24 jam pemohon isi borang EPxELxxxxx, keesokan pagi pemohon buka emel, terima jawapan: UNTUK makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Bila pemohon baca jawapan ini, apa reaksi mereka? Tentunya kelam kabut dan sedikit panik. Pemohon tertanya-tanya, bila masa pemohon diarahkan kena turunkan tandatangan masa isi borang EPxELxxxxx?
Setahu pemohon, selepas isi borang itu dan buat pembayaran secara online, jawapan yang diterima adalah PERMOHONAN ANDA BERJAYA dan diminta menyemak emel selepas 24 jam atau selepas tiga hari bekerja untuk kutip pasport di lokasi yang diminta oleh pemohon.
Tidak ada pula arahan kena tandatangan. Ini yang menimbulkan kelam kabut dan sedikit panik di kalangan pemohon, terutama BK.
Dan dalam jawapan itu juga, pemohon diminta membuat temujanji sebelum hadir ke pejabat bagi pungutan pasport melalui Sistem Temujanji Online – http://sto.imi.gov.my/STO/booking.php) sebelum hadir ke Pejabat Pungutan:
Mengikut arahan dinyatakan, BK pun klik link: http://sto.imi.gov.my/STO/booking.php). Jawapannya: Hmmm… can’t reach this page.
Selain link untuk sistem temujanji online tidak berfungsi, nombor telefon yang tertera di jawapan Imigresen juga tidak aktif.
Selain itu, ada lagi arahan diberikan iaitu: Sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-88926000/88926037.
Selepas gagal merujuk link temujanji secara online, BK hubungi pula nombor yang dipaparkan. Dua tiga kali BK buat panggilan pada dua-dua nombor telefon berkenaan, satu pun tidak berjawab.
BK minta pula orang rumah hubungi dua nombor itu, juga tidak berjawab. Habis tu macam mana? Apa harus pemohon lakukan dalam keadaan semua sistem yang diberikan oleh Imigresen tidak berfungsi? Dan dalam keadaan pemohon terikat dengan jawapan TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Nak tak nak terpaksalah BK bersiap-siap pergi ke pejabat Imigresen untuk bertanyakan masalah yang dihadapi ini.
Sampai di pejabat Imigresen, rujuk ke Kaunter Pertanyaan beritahu masalah yang dihadapi. BK diberi nombor giliran dan tunggu giliran untuk ke kaunter seterusnya.
Tak sampai 15 minit menunggu, nombor giliran BK dipanggil dan BK rujuk ke Kaunter No. 3. BK beritahu tahu masalah cap jari tidak sah.
Pegawai Imigresen kemudian minta BK letakkan ibu jari kanan pada alat tandatangan elektronik. Kemudian ibu jari kiri. Selesai cap jari, BK diminta tunggu dua setengah jam untuk ambil pasport.
Rupanya, notis “Untuk makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH ini adalah jawapan standard Imigresen untuk menyatakan pemohon perlu ke pejabat untuk ambil pasport.
Pada BK, jawapan yang diberikan dalam emel pemohon ini tidak sinonim dengan kefahaman setiap pemohon. Kerana, apabila pemohon membaca jawapan ini, ia tidak lebih memberi kefahaman ada kesilapan yang telah dilakukan pemohon ketika mengisi borang secara online.
Imigresen sepatutnya memberi notis, “Untuk makluman, anda perlu ke pejabat Imigresen (lokasi ditetapkan) untuk turunkan tandatangan atau cap jari untuk mengambil pasport”, bukan kata TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Sepanjang hampir tiga jam berada di pejabat Imigresen, ada empat lima pemohon datang rujuk ke Kaunter Pertanyaan untuk menyatakan masalah yang sama.
Tidak terfikirkah pihak yang mereka-cipta ayat notis itu akan menimbulkan masalah kepada pemohon? Tidak semua pemohon faham dengan maksud jawapan itu. Malah, kakitangan Imigresen sendiri pun, kalau tidak dilatih dari awal, mereka juga tidak tahu dengan maksud jawapan atau notis berkenaan.
Oleh itu, BK harap Imigresen kaji semulalah jawapan itu. Fikirlah jawapan yang lebih logik, jawapan yang kalau pemohon terima atau baca, automatik pemohon faham, Oh, mereka kena pergi ke pejabat Imigresen untuk cap jari dan ambil pasport.
Bukan dengan notis, TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Ini menggambarkan seolah pemohon telah melakukan kesilapan atau kesalahan dalam mengisi borang.
Bagi BK, selepas dapat pasport baharu pada pukul 2.30 petang, selang sejam kemudian BK terima emel menyatakan: “Untuk makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah LULUS”.
Maka, “Pemohon boleh hadir ke Pejabat Pungutan: untuk pungutan pasport”.
Sepatutnya, Imigresen study dulu sebelum laksanakan sistem online. Study daripada segi jawapan kepada pemohon yang perbaharui pasport secara online. Arahan lain dalam borang itu semuanya dah okey, dah mantap, tetapi jawapan kepada pemohon yang perlu dikaji semula.
Apa pun, BK ucapkan syabas dan tahniah kepada Imigresen kerana perkenalkan sistem online. Ia sedikit sebanyak menjimatkan masa pemohon.
Daripada menunggu lima enam jam kalau walk-in kepada menunggu lebih kurang dua tiga jam di pejabat Imigresen, kira berjayalah tu. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...