Jumaat, 21 Julai 2023
Pemimpin tidak amanah, bersedialah jawab di akhirat kelak
By Manzaidi Mohd Amin - 17 July 2023
WALAUPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula selepas sesi penamaan calon 29 Julai ini, boleh dikatakan pimpinan dan jentera semua parti politik sudah mula turun padang.
Sikap tidak patuh kepada peraturan dan undang-undang ini makin menjadi-jadi di kalangan ahli dan pimpinan politik.
Mereka tunjuk sikap tidak baik kepada rakyat, walaupun dalam ceramah, mereka tekankan kejujuran, kepatuhan, kesetiaan dan keikhlasan. Tetapi, mereka sendiri langgar.
Sebab itu, ramai kata politik ini umpama ketam mengajar anak berjalan lurus. Penuh nasihat dan kata-kata hikmah, tetapi mereka sendiri tidak pernah amalkan.
Dalam seminggu dua ini, macam-macam isu dihidangkan kepada rakyat. Tuduh menuduh satu sama lain, keluar kenyataan tak ikut fakta, cakap tak serupa bikin dan cakap lain, buat lain.
Ada parti politik sudah mula jelajah ke negeri-negeri. Ada yang sudah masuk ke kampung-kampung dan ada yang berlagak seolah mereka calon.
Yang tak pernah jumpa rakyat selepas menang PRU14 lima tahun lalu, mula ketuk pintu rumah penduduk. Yang hilangkan diri sejak sekian lama, mula muncul tunjukkan kononnya peduli rakyat.
Ini semua semata-mata nak menangkan hati rakyat. Nak dapatkan sokongan dan undi rakyat dalam pilihan raya negeri yang berlangsung 12 Ogos ini.
Mereka turun padang dengan muka tidak bersalah. Mereka tukar imej dalam sekelip mata. Mereka tahu, rakyat tidak kisah pun, yang penting, mereka dapat pengaruhi rakyat dan hasut rakyat. Selepas itu pulang ke rumah.
Dalam bab kempen, satu yang Bawah Kolong (BK) perhatikan sering berlaku, iaitu cakap bohong. Mereka anggap cakap bohong adalah senjata terbaik untuk pengaruhi minda rakyat.
Mereka tidak peduli, cakap bohong dan fitnah itu satu dosa besar. Yang penting rakyat percaya dan mereka dapat sokongan.
Ini yang berlaku akhir-akhir ini. Politik cacamarba atau bercampur aduk ini mula berlaku selepas Barisan Nasional (BN) mula hilang sokongan sejak PRU12 dan tersungkur dalam PRU14.
Sejak itu, politik negara tidak lagi stabil seperti sebelumnya. Mereka seronok menjatuhkan kerajaan dan bertukar kepimpinan, tanpa sedikit pun fikirkan kesan yang berlaku kepada negara dan rakyat khususnya.
Apa kisah dengan rakyat hilang pekerjaan. Apa kisah dengan rakyat tak cukup makan. Apa kisah dengan kos sara hidup tinggi yang semakin hari semakin mencengkam kehidupan rakyat.
Yang penting, mereka dapat bentuk kerajaan, dapat jawatan dan dapat gaji beratus ribu setiap bulan. Soal rakyat tak cukup makan, belakang kira. Soal ekonomi jatuh, belakang kira dan soal politik tidak stabil juga belakang kira.
BK ambil contoh Kelantan. Selama 33 tahun parti yang mendakwa memperjuangkan Islam memerintah, masalah bekalan air bersih masih gagal diatasi hingga kini. Anak-anak muda merantau cari rezeki. Jalan tidak diselenggara, bina lebuh raya ambil masa berpuluh tahun, tak siap-siap sampai sekarang.
Namun, pemimpinnya tetap bangga konon mereka telah mentadbir dengan baik dan ikut landasan Islam.
Kalau rakyat mengadu pasal air, mereka jawab, Sungai Kelantan penuh dengan air, tak kehabisan. Kalau rakyat mengadu cukai tinggi, mereka kata, negeri lain pun cukai tinggi juga.
Negeri lain, cukainya tinggi, tetapi hasil dinikmati oleh rakyat sama rata. Di Kelantan, rakyat hidup dalam kempunan. Nak nikmati hasil cukai, mereka kena merantau negeri orang.
Pemimpinnya tidak pernah fikir bagaimana nak majukan negeri. Tak pernah juga fikirkan nak tarik pelabur supaya dapat sediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
BK cakap ini sebab BK juga anak Kelantan. Anak jati daerah Pasir Mas, yang makin hari makin mundur. BK nak sara keluarga, BK kena merantau. Maka, jadilah BK antara jutaan anak Kelantan bergelar perantau.
Setiap tahun berdepan kesesakan jalan raya balik kampung. Berpuluh jam masa habis di jalan raya. Ada pemimpin peduli? Tidak. Ada pemimpin cuba lakukan sesuatu supaya perantau mereka pulang dengan selesa? Tidak.
Yang mereka lakukan hari-hari ialah bercakap soal agama. Namun, dalam hafalan firman Allah, mungkin mereka terlepas pandang akan Surah Ar-Rad ayat 11:
“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”.
Mereka tidak amalkan ayat ini, yang menekankan kepada usaha daripada pemimpin untuk mengubah nasib rakyatnya.
Sebagai rakyat, sudah tentu tidak ada kuasa untuk membangunkan negeri, melainkan mengharapkan kepada pemimpin yang mereka pilih melalui pilihan raya untuk membawa segala bentuk kemajuan itu.
BK pun kadang-kadang terfikir, tidakkah mereka ini yang mulutnya hafaz al-Quran dan Hadis tahu akan dosa yang bakal ditanggung kalau tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik?
Adalah lebih baik, daripada menerakakan pihak lawan kerana kononnya tidak ikut perintah Allah, lebih baik fikirkan diri sendiri dahulu. Mereka diberi amanah selama 33 tahun sebagai pemimpin, tetapi masih gagal memikul amanah dengan baiknya.
BK tidaklah tahu sangat pasal agama. Tetapi, mengikut logik akal, itulah yang akan berlaku kepada seorang pemimpin yang tidak melaksanakan amanah secara jujur.
Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
Memetik kata-kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno berkata, amanah dan tanggungjawab perlu dipikul sebaik mungkin, malah menuntut pengorbanan cukup besar demi menjamin kesejahteraan dan kesentosaan masyarakat serta komuniti dipimpin.
Lebih utama, katanya, bagaimana amanah dan tanggungjawab itu digalas akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak.
Jadi, tak takutkah mereka kepada Allah dengan mengabaikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin?
Jangan rasa seronok dapat jadi wakil rakyat, gaji besar dan kereta besar sahaja. Perut jutaan rakyat di bawah mereka perlu diambil kira, sebab itu mereka dipilih menjadi wakil rakyat. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan