Jumaat, 21 Julai 2023
Proses perbaharui pasport online, Imigresen sila ambil perhatian!
By Manzaidi Mohd Amin - 16 June 2023
UNTUK makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Ini adalah jawapan Jabatan Imigresen kepada pemohon yang memperbaharui pasport secara atas talian. Jawapan ini dimaklumkan melalui emel pemohon yang diminta ketika pemohon isi borang EPxELxxxxx.
Apa yang Bawah Kolong (BK) nak ceritakan di sini ialah pengalaman BK untuk pertama kalinya memperbaharui pasport secara atas talian atau online. Kaedah ini baharu saja diperkenallkan Imigresen iaitu lebih kurang bermula 11 Mei lalu.
Dengan kaedah ini, tak perlulah pemohon bersusah payah ke pejabat Imigresen untuk perbaharui pasport. Cukup duduk di rumah, buka laptop atau komputer, isi borang permohonan.
Cuma ada beberapa perkara, yang BK anggap sebagai kelemahan pihak Imigresen dalam proses perbaharui pasport secara online ini, yang perlu diambil kira, perlu perbaiki atau ditambahbaikkan.
Ya, maklumlah, bila satu-satu sistem baharu diperkenalkan, sudah tentu tak dapat lari dari ada beberapa ‘benda’ yang BK anggap sebagai menyusahkan pemohon dan boleh juga dikatakan, ‘tak berbaloi’.
Dalam hal ini, BK nak pihak Imigresen ambil perhatian mengenai kelemahan yang terdapat dalam kaedah online. Pertamanya, berhubung jawapan Imigresen kepada pemohon melalui emel.
Tak sampai 24 jam pemohon isi borang EPxELxxxxx, keesokan pagi pemohon buka emel, terima jawapan: UNTUK makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Bila pemohon baca jawapan ini, apa reaksi mereka? Tentunya kelam kabut dan sedikit panik. Pemohon tertanya-tanya, bila masa pemohon diarahkan kena turunkan tandatangan masa isi borang EPxELxxxxx?
Setahu pemohon, selepas isi borang itu dan buat pembayaran secara online, jawapan yang diterima adalah PERMOHONAN ANDA BERJAYA dan diminta menyemak emel selepas 24 jam atau selepas tiga hari bekerja untuk kutip pasport di lokasi yang diminta oleh pemohon.
Tidak ada pula arahan kena tandatangan. Ini yang menimbulkan kelam kabut dan sedikit panik di kalangan pemohon, terutama BK.
Dan dalam jawapan itu juga, pemohon diminta membuat temujanji sebelum hadir ke pejabat bagi pungutan pasport melalui Sistem Temujanji Online – http://sto.imi.gov.my/STO/booking.php) sebelum hadir ke Pejabat Pungutan:
Mengikut arahan dinyatakan, BK pun klik link: http://sto.imi.gov.my/STO/booking.php). Jawapannya: Hmmm… can’t reach this page.
Selain link untuk sistem temujanji online tidak berfungsi, nombor telefon yang tertera di jawapan Imigresen juga tidak aktif.
Selain itu, ada lagi arahan diberikan iaitu: Sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-88926000/88926037.
Selepas gagal merujuk link temujanji secara online, BK hubungi pula nombor yang dipaparkan. Dua tiga kali BK buat panggilan pada dua-dua nombor telefon berkenaan, satu pun tidak berjawab.
BK minta pula orang rumah hubungi dua nombor itu, juga tidak berjawab. Habis tu macam mana? Apa harus pemohon lakukan dalam keadaan semua sistem yang diberikan oleh Imigresen tidak berfungsi? Dan dalam keadaan pemohon terikat dengan jawapan TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Nak tak nak terpaksalah BK bersiap-siap pergi ke pejabat Imigresen untuk bertanyakan masalah yang dihadapi ini.
Sampai di pejabat Imigresen, rujuk ke Kaunter Pertanyaan beritahu masalah yang dihadapi. BK diberi nombor giliran dan tunggu giliran untuk ke kaunter seterusnya.
Tak sampai 15 minit menunggu, nombor giliran BK dipanggil dan BK rujuk ke Kaunter No. 3. BK beritahu tahu masalah cap jari tidak sah.
Pegawai Imigresen kemudian minta BK letakkan ibu jari kanan pada alat tandatangan elektronik. Kemudian ibu jari kiri. Selesai cap jari, BK diminta tunggu dua setengah jam untuk ambil pasport.
Rupanya, notis “Untuk makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH ini adalah jawapan standard Imigresen untuk menyatakan pemohon perlu ke pejabat untuk ambil pasport.
Pada BK, jawapan yang diberikan dalam emel pemohon ini tidak sinonim dengan kefahaman setiap pemohon. Kerana, apabila pemohon membaca jawapan ini, ia tidak lebih memberi kefahaman ada kesilapan yang telah dilakukan pemohon ketika mengisi borang secara online.
Imigresen sepatutnya memberi notis, “Untuk makluman, anda perlu ke pejabat Imigresen (lokasi ditetapkan) untuk turunkan tandatangan atau cap jari untuk mengambil pasport”, bukan kata TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH.
Sepanjang hampir tiga jam berada di pejabat Imigresen, ada empat lima pemohon datang rujuk ke Kaunter Pertanyaan untuk menyatakan masalah yang sama.
Tidak terfikirkah pihak yang mereka-cipta ayat notis itu akan menimbulkan masalah kepada pemohon? Tidak semua pemohon faham dengan maksud jawapan itu. Malah, kakitangan Imigresen sendiri pun, kalau tidak dilatih dari awal, mereka juga tidak tahu dengan maksud jawapan atau notis berkenaan.
Oleh itu, BK harap Imigresen kaji semulalah jawapan itu. Fikirlah jawapan yang lebih logik, jawapan yang kalau pemohon terima atau baca, automatik pemohon faham, Oh, mereka kena pergi ke pejabat Imigresen untuk cap jari dan ambil pasport.
Bukan dengan notis, TANGGUH/SIASATAN kerana CAP JARI TIDAK SAH. Ini menggambarkan seolah pemohon telah melakukan kesilapan atau kesalahan dalam mengisi borang.
Bagi BK, selepas dapat pasport baharu pada pukul 2.30 petang, selang sejam kemudian BK terima emel menyatakan: “Untuk makluman, permohonan pasport melalui myONLINE PASPORT di aplikasi web dengan no borang EPxELxxxxx telah LULUS”.
Maka, “Pemohon boleh hadir ke Pejabat Pungutan: untuk pungutan pasport”.
Sepatutnya, Imigresen study dulu sebelum laksanakan sistem online. Study daripada segi jawapan kepada pemohon yang perbaharui pasport secara online. Arahan lain dalam borang itu semuanya dah okey, dah mantap, tetapi jawapan kepada pemohon yang perlu dikaji semula.
Apa pun, BK ucapkan syabas dan tahniah kepada Imigresen kerana perkenalkan sistem online. Ia sedikit sebanyak menjimatkan masa pemohon.
Daripada menunggu lima enam jam kalau walk-in kepada menunggu lebih kurang dua tiga jam di pejabat Imigresen, kira berjayalah tu. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan