Sabtu, 30 Mac 2024
Ayah Sin arkitek padi dan beras
SEJAK mutakhir ni heboh pasal padi dan beras. Heboh di Parlimen mahupun heboh di luar Parlimen. Ada yang kata padi tak bermutu, ada yang mendakwa beras tidak ada di pasaran.
Setakat ni Alhamdulillah, Pak Dee tak berdepan lagi dengan ketiadaan beras di pasaran. Pak Dee pergi ke kedai runcit, pergi ke pasar raya borong pun beras bertimbun-timbun di rak.
Yang mendakwa kata beras tak ada tu Pak Dee tahu macam mana boleh berlaku. Mungkin di kedai runcit sekitar kampung mereka lah kot tak ada bekalan. Pada Pak Dee, semuanya mencukupi.
Apa yang menarik perhatian Pak Dee mengenai padi dan beras ni, suka Pak Dee nak imbau di zaman awal 90-an, di mana Pak Dee bekerja di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kota Bharu, Kelantan.
Ketika Pak Dee mula masuk kerja, pengerusinya adalah Tan Sri Hussein Ahmad atau lebih mesra dan dikenali dengan panggilan Ayah Sin. Pak Dee bertugas sebagai Ketua Wartawan Radio KADA waktu itu.
Sebagai wartawan, tugasan harian Pak Dee ialah ikut Ayah Sin hadir ke program-program di setiap kampung. Pak Dee lihat dan merasai sendiri suasana cara Ayah Sin bekerja.
Hampir setiap bulan ketika Ayah Sin mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah KADA, agenda utama yang Ayah Sin tekan ialah, “jangan sekali-kali keluasan sawah dalam kawasan KADA berkurangan.
Ayah Sin juga tekankan kepada pegawai-pegawai kanan KADA, agar pastikan jumlah pengeluaran padi di enam kawasan seliaan agensi itu sentiasa mengatasi daripada jumlah sebelumnya.
Maknanya, Ayah Sin tekankan kepada dua aspek, keluasan sawah dan jumlah pengeluaran padi. Banyak reformasi telah Ayah Sin lakukan seperti melarang sawah ditukar kepada status pembangunan.
Maksudnya, Ayah Sin tak mahu setiap inci sawah ditukar hak milik status. Iaitu tak boleh dibina rumah atau sebarang pembangunan di atas sawah. Malah, mana-mana sawah yang terbiar, Ayah Sin minta pegawai KADA ambil dan tanam dengan padi.
Ayah Sin juga galakkan anak-anak petani ikut jejak langkah keluarga mereka. Turun ke bendang, usaha tanaman padi. Hasilnya, boleh tamping perbelanjaan diri dan keluarga.
Sebab itu, di zaman Ayah Sin, anak-anak muda tak segan silu turun berselut di bendang. Mereka tak takut pada panas. Mereka tak takut pada hujan. Jadinya, hasil pengeluaran padi bertambah setiap musim.
Kalau ada satu-satu kawasan hanya boleh usaha dua musim setahun, Ayah Sin tingkatkan kepada lima musim dua tahun. Ayah Sin tekankan jadual air. Pastikan sepanjang tali air KADA sentiasa ada air mencukupi untuk mengairi sawah.
Petani dan anak-anak mereka makin seronok. Tak cukup dengan itu, petani dan keluarga boleh tambah pendapatan dengan menternak itik dalam bendang bila habis musim menuai dan menternak ikan di sepanjang tali air.
Ayah Sin juga wujudkan Satu Kampung Satu Pengeluaran. Perkenalkan zon buah-buahan dan projek KADA Stop. Yang dapat hasil daripada semua program yang diperkenalkan ialah petani dan anak-anak mereka.
Ayah Sin juga perkenalkan projek Ladang Merdeka. Juga perkenalkan Ladang Benih. Sebab itu, setiap kali tiba musim tanaman, bekalan benih sentiasa mencukupi dan pengeluaran padi dan beras memenuhi keperluan negara.
Tak pernah dengar negara kekurangan padi. Tak pernah dengar negara kekurangan beras tempatan. Sebab proses pengeluarannya sentiasa beroperasi tanpa henti di enam kawasan KADA.
KADA mempunyai enam kawasan seliaannya yang mencakupi 70 peratus keluasan tanah Kelantan. Kawasan itu ialah Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Bachok dan Pasir Puteh. Ketika ini tidak ada satu ekar sawah pun dibina rumah. Semuanya keluasannya menghijau dan menguning dengan pokok padi.
Namun, selepas Ayah Sin tidak lagi menjadi Pengerusi KADA dan ditukar kepada orang lain, jumlah keluasan sawah dan pengeluaran padi makin merosot. Rumah-rumah, kilang-kilang dan pelbagai pembangunan dibina di sawah-sawah.
Jumlah keluasan yang dijaga dan dititik berat oleh Ayah Sin makin mengecil. Bila keluasan sawah mengecil, ia juga memberi kesan kepada jumlah pengeluaran padi.
Dari situ, negara mula berdepan dengan krisis makanan iaitu beras. Dan, mulalah rakyat Kelantan beralih selera kepada beras Siam.
Kini, setiap kali Pak Dee balik Kelantan, Pak Dee sedih, tanah-tanah sawah yang dulu menyumbang kepada pengeluaran padi dan beras mula bertukar kepada kediaman.
Ramai mengalihkan untuk membina rumah di sawah sebab harga tanahnya murah berbanding harga tanah di daratan. Maka, dengan itu, industri padi di Kelantan mula malap.
Tali air KADA juga tidak lagi ceria seperti sebelumnya. Rumah-rumah pam milik KADA di Kemubu, di Mekasar dan di Lemah mula sepi. Tidak lagi kedengaran ngauman enjinnya mengepam air dari Sungai Kelantan.
Sawah-sawah yang tidak terlibat dengan pembinaan rumah dan pembangunan mula terbiar. Anak-anak muda mula berhijrah ke ibu kota mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.
Bukan itu saja, kilang-kilang mesin beras yang dulu meriah, kini sudah hilang dari tapak, satu demi satu roboh. – NasionalDaily 07hb Mac 2024
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan