Ahad, 3 Mac 2024
Sakit jiwa dengan sistem rawatan bercelaru
PAGI ni Pak Dee ke Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam sebab ada temujanji rawatan susulan penyakit empat serangkai yang Pak Dee hidap.
Temu janji jam 9 pagi. Pak Dee sampai jam 8.30 pagi. Sebaik sampai Pak Dee ke kaunter ambil nombor. Kaunter ni ditempatkan di luar pintu masuk ke bangunan klinik atau lebih mudah cakap, di kaki lima bangunan klinik.
Selesai ambil nombor, Pak Dee kena tunggu di kerusi luar bangunan klinik. Tunggu nombor giliran dipanggil untuk ke kaunter pendaftaran. Lebih setengah jam menunggu, nombor giliran Pak Dee tertera di papan letronik.
Papan nombor giliran letronik pun dah nampak uzur. Ada nombor terang mudah nampak, ada nombor blur sukar nak tengok.
Pak Dee berjalan masuk ke bangunan klinik. Ambil masa lebih 30 saat juga nak sampai ke kaunter pendaftaran dan dua tiga kali juga ulang sebut nombor giliran Pak Dee sementara sampai ke kaunter tu. Jaraknya taklah jauh. Ada la dalam 70 ke 100 meter. Yang sihat macam Pak Dee boleh sampai dalam 30 saat, tapi yang berkerusi roda, mahu seminit lebih nak sampai. Di sini, banyak masa lompong. Terbuang.
Dalam dua tiga minit selesai pendaftaran, Pak Dee diarah pula ke kaunter check tekanan darah dan gula. Di sini, Pak Dee tunggu hampir 20 minit untuk nama dipanggil. Selepas tiba giliran, Pak Dee diperiksa tekanan darah, diminta timbang berat badan dan dicalit sikit darah di jari untuk tengok paras gula. Selesai. Pak Dee diarah pula ke kaunter ambil darah bersekali dengan ambil air kencing.
Dalam 15 minit menunggu nama dipanggil untuk proses ambil darah dan air kencing, tiba-tiba nombor Pak Dee di bilik doktor sudah tertera. Tika ni Pak Dee serba salah, nak tunggu nama dipanggil untuk ambil darah dulu atau nak terus masuk jumpa doktor.
Sebabnya, nombor giliran Pak Dee di bilik doktor dah disebut tiga kali. Kalau melepas yang ni, Pak Dee kena tunggu lagi. Maka, Pak Dee putuskan masuk bilik doktor dulu. Masuk tanpa bawa buku rawatan dan kertas nombor giliran.
Doktor minta buku rawatan, Pak Dee kata buku dah letak di kaunter ambil darah dan air kencing. Ok, tak apa kata doktor. Dia ambil sekeping kertas catat nama-nama ubat dan tarikh temu janji akan datang (31hb Julai 2024, jam 9 pagi).
Lama juga dalam bilik doktor. Ada dekat 10 minit. Selesai jumpa doktor, Pak Dee diminta oleh doktor untuk terus ke kaunter ambil darah dan air kencing yang Pak Dee dah terlepas masa berada dalam bilik doktor.
Dekat 10 minit tunggu, Pak Dee nampak petugas letak semula buku rawatan Pak Dee dalam bakul depan pintu masuk ke bilik ambil darah.
Pak Dee ambil buku tu dan masuk ke bilik ambil darah tanya, boleh tak ambil darah saya? Petugas tegur, tadi dah dua tiga kali panggil nama, tak datang dan kena tunggu giliran semula. Pak Dee jawab, masa nama saya dipanggil saya dalam bilik doktor.
Dia tak layan. Lalu Pak Dee kata, sistem di klinik ni sungguh celaru dan mengelirukan. Lebih menyusahkan pesakit daripada melegakan pesakit. Petugas tu diam sambil selesaikan urusan ambil darah pesakit di depannya.
Pak Dee sekali lagi merungut. Pak Dee kata, sepatutnya prosedur rawatan mesti ikut sistem, bukan dalam satu masa nama pesakit dipanggil masuk di dua tempat berasingan. Pak Dee terus keluar dari bilik ambil darah dan air kencing.
Memandangkan jam dah lebih 11 pagi dan hampir dua setengah jam menunggu proses rawatan, Pak Dee ambil keputusan pergi saja ke kaunter ubat. Lupakan proses ambil darah dan air kencing dan selepas itu ada satu lagi proses yang Pak Dee kena lalui, iaitu periksa mata dan main ketuk-ketuk kaki (nak uji urat saraf Pak Dee masih berfungsi dengan elok lagi atau dah separuh lapuk).
Proses periksa mata ini pun sekurang-kurangnya ambil masa setengah jam menunggu. Jadi, Pak Dee tak nak tunggu lama, Pak Dee terus ke kaunter ubat, serahkan diskripsi yang doktor bagi dan tunggu.
Dalam 20 ke 25 minit menunggu, nombor giliran Pak Dee dipanggil untuk ambil ubat. Selesai saja dapat ubat untuk bekalan dua bulan dan dimasukkan dalam beg plastik atau jabir rokrak, Pak Dee terus bergerak balik, tanpa lalui proses ambil darah, air kencing, periksa mata dan sesi main ketuk-ketuk kaki. Biarlah.
Sebagai pesakit, tempat untuk rehat ialah di rumah, bukan di klinik. Paling lama seseorang pesakit boleh menunggu sekitar satu ke satu setengah jam. Kalau lebih dua jam belum selesai lagi, makin sakit pesakit, bukan makin sihat.
Lagi pun, pesakit ke klinik hanya nakkan ubat saja. Proses ambil darah, ambil air kencing, periksa mata dan ketuk-ketuk kaki tak perlu semua tu. Kalau nak juga Pak Dee lalui semua proses tu tunggu temu janji akan datang 31 Julai 2024 ini. - NasionalDaily
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan