Selasa, 23 April 2024
Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran
APA yang berlaku dalam kes seorang suami nak tembak bunuh isterinya di KLIA1 awal pagi kelmarin, boleh menjadi pengajaran kepada kita di luar sana.
Walau amarah sekali pun, kita perlu bertindak matang, bukan membabi buta sebagaimana dilakukan Hafizul Hawari yang nekad nak bunuh isterinya, Farah Cie.
Mereka berdua sebelum ini dikatakan pasangan Bahagia. Sama-sama membina dan menjalankan sebuah syarikat umrah. Melihat gambar-gambar dalam Facebook Farah Cie, tidak ada sebab si suami mahu bertindak ganas sedemikian.
Apapun, hanya Allah dan mereka berdua yang tahu konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Dan, dikatakan sepanjang perkahwinan mereka, dua kali si isteri membuat laporan polis atas sikap jenayah suami terhadapnya.
Seperti yang Pak Dee nyatakan, walau marah mana sekali pun, jangan sampai menggunakan senjata api sebagai jalan penyelesaian. Bagi yang berakal, itu bukan jalan terbaik untuk menamatkan kemarahan atau sengketa dalam rumah tangga.
Sebagai suami, cerai talak ada pada mereka. Itulah sebenarnya jalan terbaik jika mahu kes keruntuhan rumah tangga atau dendam kesumat antara satu sama lain selesai.
Pergi ke pejabat tok kadi, atau sekurang-kurangnya lafaz cerai pada isteri. Habis cerita. Masing-masing boleh teruskan hidup baru dengan lebih aman dan bahagia. Kemudian, buat tuntutan harta sepencarian, maka tamatlah persengketaan.
Ini tidak. Kau rancang perkara lebih buruk lagi terhadap isteri. Langsung tak fikirkan nyawa orang yang pernah kita tiduri, layari kehidupan berumah tangga sebelum ini.
Dengar cerita, Hafizul mendapat pendidikan agama di sebuah pondok pengajian agama di Kelantan. Al-Hafiz pula tu, tetapi hati dan jiwa masih dikuasai hasutan iblis. Ambil tindakan sendiri, yang akhirnya bukan sahaja menamatkan kebahagian hidup, malah menyusahkan orang lain.
Hidup dalam buruan amat menyeksakan. Apatah lagi kalau sudah ditangkap polis. Direman selama tujuh hari, dihadapkan ke mahkamah dan didakwa bawah akta senjata api serta cubaan membunuh.
Tidakkah akta ini meletakkan kamu dalam kesusahan, kesakitan dan keseksaan? Menjalani hukuman penjara berpuluh tahun adalah satu hal yang sia-sia. Umur yang sepatutnya digunakan untuk perkara bermanfaat, dihabiskan begitu saja dengan meringkuk dalam penjara.
Sepatutnya boleh tidur lena, menjalani kehidupan bebas, kini masa depan kamu sudah tertutup selama-lamanya. Jika kamu keluar penjara sekalipun, kamu tidak lagi bahagia. Kebahagiaan hidup kamu sudah diragut oleh perbuatan kamu sendiri.
Ini yang dikatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian memang dah tak berguna lagi. Nak pusing balik waktu memang dah tak boleh. Sekarang kamu kena hadap masa depan yang gelap.
Sebab itu, Allah beri akal, otak dan fikiran kepada manusia. Supaya menggunakan akal untuk berfikir. Berfikir masak-masak sebelum berbuat sesuatu supaya tidak menyesal kemudian hari.
Kita hidup dalam undang-undang. Baik undang-undang al-Quran, undang-undang al-Hadis mahupun undang-undang dunia. Kita jangan fikir berbuat jahat akan terlepas. Tidak, peratusan untuk terlepas dari perbuatan jahat kita teramat kecil. Selebihnya, kita akan ditangkap, didakwa dan dipenjarakan. Itulah yang berlaku.
Walaupun kamu terlepas dan berjaya mendarat di bumi Makkah sekalipun, kelegaan itu bersifat sementara, bukan selama-lamanya. Lebih lagi, kamu dalam senarai buruan atas kesalahan jenayah.
Sebab itu, Pak Dee selalu mengingatkan diri sendiri. Beristiqomah, menyerahkan diri kepada Allah, berdoa meminta agar Allah pelihara dan lindungi diri Pak Dee dari tersalah melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri.
Pak Dee selalu beringat dan berhati-hati, baik dalam tingkah laku, perbuatan, percakapan mahupun penulisan. Pak Dee lakukan dengan waras agar tidak tersasul atau terbabas sehingga menjadi perhatian pihak berkuasa. Pak Dee takut dan memang Pak Dee seorang yang penakut dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Pak Dee nak, bila mengantuk dapat pejam mata tidur dengan lena. Pak Dee tak mahu fikiran terganggu hingga mengacau tidur atau waktu rehat Pak Dee.
Pak Dee juga tak mahu kehidupan Pak Dee diburu oleh pihak berkuasa hingga hilang kebebasan mengecapi dan menikmati kehidupan harian. Maka, Pak Dee mengajak rakan-rakan di luar sana, jauhkan diri dari perbuatan jenayah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Harapan Pak Dee, kes Hafizul ini menjadi pengajaran dan menyedarkan kita semua daripada hidup senang lenang, tiba-tiba gelap dalam sekelip mata. Fikirlah masa depan kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan ahli keluarga kita.
Tidak salah untuk berbuat kebaikan dan tidak mengahkan kita kalau melakukan kejahatan. Ingat tu. – NasionalDaily 17hb April 2024
Perantau perit balik kampung di Kelantan
TIAP kali musim perayaan, tak kiralah perayaan apa sekalipun, yang paling azab ialah perantau dari Kelantan yang mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur mahupun negeri-negeri maju.
Bersusun-susun kereta sesak di lebuh raya dan jalan negeri. Tak kiralah Lebuhraya Timur Barat, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Plus mahupun Lebuhraya Pantai Timur.
Hanya ini saja rangkaian lebuh raya yang ada, yang menghubungkan Kuala Lumpur, negeri-negeri utara ke Kelantan.
Kenapa Pak Dee sebut Kelantan, tak sebut Terengganu dan Pahang atau negeri-negeri lain? Sebab, setakat ini hanya Kelantan saja belum ada lebuh raya. Negeri lain semua dah ada lebuh raya.
Jadi, mereka balik beraya tidaklah sesak sampai 10, 12 jam sebagaimana dialami perantau dari Kelantan. Jalan negeri yang ada, tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang balik ke Kelantan.
Itu tak apa lagi, sebagai perantau, Pak Dee sudah kalih dengan kedaifan itu. Ada lebuh raya pun setakat pintu masuk Gua Musang dari Padang Tengku, Lipis. Negeri lain, lebuh raya depan rumah. Tak hadam sangat dengan kesesakan.
Rasa Pak Dee, rungutan atau keluhan berkenaan rangkaian lebuh raya atau jalan pulang ke Kelantan ni bukan sekali ini dicoretkan. Malah, setiap tahun sejak Pak Dee bergelar perantau selama hampir 17 tahun.
Namun, macam itu juga keadaannya. Bahkan, dijawabnya oleh pemimpin kerajaan negeri, perantau balik pun sekali setahun. Sedih Pak Dee dengar jawapan sebegitu. Seolah mahu lepas tangan dari laksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Apapun, Pak Dee bersyukur dan berterima kasih juga kepada kerajaan Persekutuan kerana sekurang-kurangnya ada juga lingkaran tengah atau dipanggil CSR bermula dari Padang Tengku, Kuala Lipis hingga ke Merapoh.
Dapatlah jimatkan masa sekitar satu jam dari lima atau enam jam masa diambil untuk ulang alik sehala. Kalau tak ada CSR, maka merayaplah memanjat jalan Bukit Tujuh yang bengkang bengkok lagi merbahaya tu.
Pak Dee ingat, kerajaan terutama di bahagian Kelantan bermula dari pintu masuk Gua Musang kena tekan kontraktor supaya percepatkan menyiapkan fasa akhir CSR tu. Yang dalam Pahang dah 90 peratus siap dan digunakan, kecuali CSR dari Raub ke Padang Tengku masih dalam progress penyiapan.
Kalau siap fasa Raub – Padang Tengku, Insya-Allah jarak masa balik perantau dari Kuala Lumpur ke Kelantan sekurang-kurang tiga ke empat jam. Dan, kesesakan trafik pun dapat diatasi sepenuhnya.
Sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Pak Dee hanya kecewa sedikit tengok perkembangan kerja pembinaan CSR di Gua Musang. Masih lagi dengan kerja sodok tanah dan pemasangan besi tiang.
Kalau maca mini keadaannya, Pak Dee rasa dua tiga tahun lagi belum siap. Sedangkan, proses di Pahang sudah hampir siap. Makanya, makan jem lagilah anak-anak perantau.
Pemimpin kerajaan dan pemimpin parti politik mungkin tidak pernah merasa suasana kesesakan sebab mereka ulang alik dengan kapal terbang. Sudah dan payah nak cari pemimpin zaman dulu, nak rasai sendiri nadi rakyat, mereka sanggup memandu sendiri kereta redah suasana.
Pemimpin sekarang, kerjanya duduk di kerusi empuk, bilik berhawa dingin. Naik kereta besar, pakai pemandu. Jadi, mereka tak merasai sampai perit jerih rakyat yang menggunakan jalan negeri Machang-Kuala Krai-Gua Musang dan Tanah Merah-Jeli-Dabong-Gua Musang.
Dua jalan utama bagi rakyat Kelantan ini selain struktur permukaannya tidak rata, berlubang. Ia juga agak sempit. Dengan garisan putih yang sudah pudar dan bergelap sepanjang jalan pada waktu malam.
Kalau ada lampu jalan pun, dekat-dekat nak masuk bandar atau pekan. Yang lain-lain kena pandai-pandai sendirilah memandu untuk sampai ke destinasi.
Pak Dee tahu, rungutan yang entah kali ke berapa ini tidak akan didengar oleh pemimpin. Tapi, tak apalah. Sekurang-kurangnya tanggungjawab Pak Dee untuk memaklumkan permasalahan ini kepada kerajaan negeri sudah terlaksanakan.
Di akhirat esok, mudah dan sedang Pak Dee jawab di hadapan Allah SWT. Tinggal lagi pemimpin yang cakap lain, buat lain akan menjawab di hadapan Allah akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dan apa yang mereka lakukan untuk kesenangan dan kemudahan rakyatnya.
Mereka kata memperjuangkan Islam, mereka tahulah apa yang mereka lakukan sepanjang diamanahkan sebagai pemimpin.
Pak Dee masukkan sikit data mengenai projek CSR ini;
Projek keseluruhan CSR sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos keseluruhan bernilai kira-kira RM8.7 bilion. Ia melibatkan enam fasa dengan empat daripadanya sejauh lebih 200 kilometer terletak dalam Pahang, manakala selebihnya terletak di Kelantan.
Fasa Pertama: Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit sejauh 47 kilometer
Fasa Kedua: Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang sejauh 59 kilometer
Fasa Ketiga: Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang 92.5 kilometer
Fasa Keempat: Kampung Relong ke Raub 50 kilometer
Fasa Kelima: Raub ke Bentong 54 kilometer, dan
Fasa Keenam: Bentong ke Simpang Pelangai 47.5 kilometer. – NasionalDaily 13hb April 2024
Manusia hina agama dan bangsa patut diajar
DALAM sehari dua ni galak pula pihak-pihak tertentu mempermainkan agama dan bangsa sendiri. Ada kes orang bukan agama dianutinya menghina agama lain. Ada kes bangsa sendiri hina adat, budaya dan agama sendiri.
Semuanya dilakukan semata-mata kerana nak melariskan perniagaan. Seolah tidak ada cara lain yang lebih sopan dan beradab untuk tarik minat orang ramai tahu dan beli produk mereka.
Nama Allah juga digunakan mereka secara halus dan budaya bangsa juga dijadikan bahan lawak sebagai strategi pemasaran.
Pak Dee geleng kepala lihat perangai dan sikap manusia sedemikian. Mereka langsung tidak terfikir kesan daripada perbuatan itu. Mereka seperti seronok menggunakan sentimen kebencian, kemarahan orang ramai sebagai pelaris.
Tak apa orang marah pun, janji produk aku laris atau laku. Barangkali itu yang mereka fikirkan. Ini yang membuatkan Pak Dee berasa hairan dengan manusia seperti ini.
Soal menyalahgunakan kalimah Allah, bukan sekali berlaku. Dan, bukan seorang dua dikenakan tindakan undang-undang, tapi masih ada yang melakukannya lagi. Seolah hukuman dikenakan kepada orang lain, tidak mendatangkan kesan kepada mereka.
Begitu juga soal menghina bangsa sendiri. Bukan sekali dua kumpulan tidak ada otak ini lakukan, hampir setiap tahun terutama menjelang Hari Raya mereka cetuskan dengan idea gila.
Bila netizen marah. Bila pihak berkuasa bersuara, mereka menunjukkan rasa ‘kesal’, lalu minta maaf. Siap dengan lakonan muka sedih, menangis kononnya insaf dan menyesal. Tetapi, masa akan datang buat lagi. Bila orang tegur, minta maaf lagi.
Mujurlah rakyat Malaysia dan penguatkuasa di negara ini jenis baik hati. Pesalah minta maaf saja, terus diam. Tidak ada tindakan boikot atau penahanan dibuat. Ini yang mendorong sesetengah pihak untuk ‘insaf’ sekejap, kemudian ulang lagi dan lagi.
Kali ini Pak Dee dan cadangkan kepada para netizen dan pihak berkuasa. Kalau berlaku lagi hal-hal berkaitan menghina agama dan bangsa, tanpa berlengah, pakat buat laporan polis. Heret mereka ini ke muka pengadilan. Dakwa di mahkamah dan jatuhkan hukum, baik denda ratusan ribu ringgit mahupun penjara. Biar mereka merasa habis duit dan duduk dalam penjara, dan biar kes mereka jadi pengajaran kepada yang lain.
Kalau setakat tegur dan tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil, lain kali mereka buat lagi dengan cara lain yang lebih menjelikkan. Sebab itu, perbuatan menyentuh 3R ini tidak pernah berkesudahan. Kerana, pertama hukumannya terlalu ringan atau tidak ada hukuman langsung. Kedua, menerima maaf dan dimaafkan. Dan, ketiga, tidak ada tindakan lebih tegas, malah mereka dibiarkan begitu saja.
Contoh, ada satu video yang tengah galak viral sekarang. Ia berkaitan lagu Hari Raya yang menyaksikan sekumpulan pondan tergedik-gedik dalam bilik air menari-nari macam ular kena palu. Hal sedemikian sewajarnya ada laporan polis. Bukan dibiarkan mereka terus menghina kesucian Ramadan dan Syawal.
Bukan pertama kali kumpulan lelaki tergedik ini muncul, tahun sebelumnya pun pernah muncul. Tetapi kerana tidak ada tindakan diambil, mereka muncul lagi dengan gaya mengalahkan orang kurang siuman.
Bila ditegur, mereka minta maaf. Janji tak buat lagi. Netizen pun maafkan dan tutup isu itu. Tahun depan mereka buat lagi. Netizen tegur lagi dan mereka minta maaf lagi. Begitulah seterusnya, selagi mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang dan merengkok sebulan dua atau setahun dua dalam penjara.
Jangan main-main bila dipenjarakan. Nak gedik-gedik, nahaslah kamu. Dalam tu bukan orang-orang baik macam orang kat luar. Kamu gedik saja, terimalah akibatnya. Menyesal tak sudah.
Jadi, sebelum kamu diheret ke penjara. Baik kamu insaf betul-betul mulai hari ini. Janji tak akan ulang lagi untuk selama-lamanya dan berubah jadi manusia baik.
Pak Dee bukan nak ugut. Pak Dee nak nasihat. Sebelum nasi menjadi bubur, tanaklah beras tu elok-elok. Jangan leka dengan mainan dunia. Nak meniaga pun, meniagalah cara elok. Biar hasil dapatan itu berkat.
Rezeki yang berkat walaupun dapatannya RM800 sebulan, boleh sara hidup keluarga sampai sebulan. Hidup dengan senang dan tenang. Tapi, kalau rezeki tidak berkat, dapat untung bersih RM1 juta seminggu pun, hidup tak sentiasa tenang. Kena ingat tu.
Kepada netizen, mulai hari ini jangan layan kalau muncul video-video menghina agama dan bangsa sendiri. Benda boleh boikot, kita pakat boikot. Benda boleh buat laporan polis, kita pakat lapor polis ramai-ramai. Biar mereka sedar perbuatan mereka tidak baik untuk agama, bangsa dan negara. Biar mereka papa kedana atas perbuatan yang mereka sengaja cari penyakit.
Pak Dee bukan nak menghasut, tetapi ini sajalah cara nak beri pengajaran yang sebenar-benar pengajaran kepada mereka yang tidak pernah serik ini. Sekian. – NasionalDaily 3hb April 2024
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...