Selasa, 23 April 2024
Perantau perit balik kampung di Kelantan
TIAP kali musim perayaan, tak kiralah perayaan apa sekalipun, yang paling azab ialah perantau dari Kelantan yang mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur mahupun negeri-negeri maju.
Bersusun-susun kereta sesak di lebuh raya dan jalan negeri. Tak kiralah Lebuhraya Timur Barat, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Plus mahupun Lebuhraya Pantai Timur.
Hanya ini saja rangkaian lebuh raya yang ada, yang menghubungkan Kuala Lumpur, negeri-negeri utara ke Kelantan.
Kenapa Pak Dee sebut Kelantan, tak sebut Terengganu dan Pahang atau negeri-negeri lain? Sebab, setakat ini hanya Kelantan saja belum ada lebuh raya. Negeri lain semua dah ada lebuh raya.
Jadi, mereka balik beraya tidaklah sesak sampai 10, 12 jam sebagaimana dialami perantau dari Kelantan. Jalan negeri yang ada, tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang balik ke Kelantan.
Itu tak apa lagi, sebagai perantau, Pak Dee sudah kalih dengan kedaifan itu. Ada lebuh raya pun setakat pintu masuk Gua Musang dari Padang Tengku, Lipis. Negeri lain, lebuh raya depan rumah. Tak hadam sangat dengan kesesakan.
Rasa Pak Dee, rungutan atau keluhan berkenaan rangkaian lebuh raya atau jalan pulang ke Kelantan ni bukan sekali ini dicoretkan. Malah, setiap tahun sejak Pak Dee bergelar perantau selama hampir 17 tahun.
Namun, macam itu juga keadaannya. Bahkan, dijawabnya oleh pemimpin kerajaan negeri, perantau balik pun sekali setahun. Sedih Pak Dee dengar jawapan sebegitu. Seolah mahu lepas tangan dari laksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Apapun, Pak Dee bersyukur dan berterima kasih juga kepada kerajaan Persekutuan kerana sekurang-kurangnya ada juga lingkaran tengah atau dipanggil CSR bermula dari Padang Tengku, Kuala Lipis hingga ke Merapoh.
Dapatlah jimatkan masa sekitar satu jam dari lima atau enam jam masa diambil untuk ulang alik sehala. Kalau tak ada CSR, maka merayaplah memanjat jalan Bukit Tujuh yang bengkang bengkok lagi merbahaya tu.
Pak Dee ingat, kerajaan terutama di bahagian Kelantan bermula dari pintu masuk Gua Musang kena tekan kontraktor supaya percepatkan menyiapkan fasa akhir CSR tu. Yang dalam Pahang dah 90 peratus siap dan digunakan, kecuali CSR dari Raub ke Padang Tengku masih dalam progress penyiapan.
Kalau siap fasa Raub – Padang Tengku, Insya-Allah jarak masa balik perantau dari Kuala Lumpur ke Kelantan sekurang-kurang tiga ke empat jam. Dan, kesesakan trafik pun dapat diatasi sepenuhnya.
Sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Pak Dee hanya kecewa sedikit tengok perkembangan kerja pembinaan CSR di Gua Musang. Masih lagi dengan kerja sodok tanah dan pemasangan besi tiang.
Kalau maca mini keadaannya, Pak Dee rasa dua tiga tahun lagi belum siap. Sedangkan, proses di Pahang sudah hampir siap. Makanya, makan jem lagilah anak-anak perantau.
Pemimpin kerajaan dan pemimpin parti politik mungkin tidak pernah merasa suasana kesesakan sebab mereka ulang alik dengan kapal terbang. Sudah dan payah nak cari pemimpin zaman dulu, nak rasai sendiri nadi rakyat, mereka sanggup memandu sendiri kereta redah suasana.
Pemimpin sekarang, kerjanya duduk di kerusi empuk, bilik berhawa dingin. Naik kereta besar, pakai pemandu. Jadi, mereka tak merasai sampai perit jerih rakyat yang menggunakan jalan negeri Machang-Kuala Krai-Gua Musang dan Tanah Merah-Jeli-Dabong-Gua Musang.
Dua jalan utama bagi rakyat Kelantan ini selain struktur permukaannya tidak rata, berlubang. Ia juga agak sempit. Dengan garisan putih yang sudah pudar dan bergelap sepanjang jalan pada waktu malam.
Kalau ada lampu jalan pun, dekat-dekat nak masuk bandar atau pekan. Yang lain-lain kena pandai-pandai sendirilah memandu untuk sampai ke destinasi.
Pak Dee tahu, rungutan yang entah kali ke berapa ini tidak akan didengar oleh pemimpin. Tapi, tak apalah. Sekurang-kurangnya tanggungjawab Pak Dee untuk memaklumkan permasalahan ini kepada kerajaan negeri sudah terlaksanakan.
Di akhirat esok, mudah dan sedang Pak Dee jawab di hadapan Allah SWT. Tinggal lagi pemimpin yang cakap lain, buat lain akan menjawab di hadapan Allah akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dan apa yang mereka lakukan untuk kesenangan dan kemudahan rakyatnya.
Mereka kata memperjuangkan Islam, mereka tahulah apa yang mereka lakukan sepanjang diamanahkan sebagai pemimpin.
Pak Dee masukkan sikit data mengenai projek CSR ini;
Projek keseluruhan CSR sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos keseluruhan bernilai kira-kira RM8.7 bilion. Ia melibatkan enam fasa dengan empat daripadanya sejauh lebih 200 kilometer terletak dalam Pahang, manakala selebihnya terletak di Kelantan.
Fasa Pertama: Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit sejauh 47 kilometer
Fasa Kedua: Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang sejauh 59 kilometer
Fasa Ketiga: Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang 92.5 kilometer
Fasa Keempat: Kampung Relong ke Raub 50 kilometer
Fasa Kelima: Raub ke Bentong 54 kilometer, dan
Fasa Keenam: Bentong ke Simpang Pelangai 47.5 kilometer. – NasionalDaily 13hb April 2024
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan