Selasa, 23 April 2024
Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran
APA yang berlaku dalam kes seorang suami nak tembak bunuh isterinya di KLIA1 awal pagi kelmarin, boleh menjadi pengajaran kepada kita di luar sana.
Walau amarah sekali pun, kita perlu bertindak matang, bukan membabi buta sebagaimana dilakukan Hafizul Hawari yang nekad nak bunuh isterinya, Farah Cie.
Mereka berdua sebelum ini dikatakan pasangan Bahagia. Sama-sama membina dan menjalankan sebuah syarikat umrah. Melihat gambar-gambar dalam Facebook Farah Cie, tidak ada sebab si suami mahu bertindak ganas sedemikian.
Apapun, hanya Allah dan mereka berdua yang tahu konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Dan, dikatakan sepanjang perkahwinan mereka, dua kali si isteri membuat laporan polis atas sikap jenayah suami terhadapnya.
Seperti yang Pak Dee nyatakan, walau marah mana sekali pun, jangan sampai menggunakan senjata api sebagai jalan penyelesaian. Bagi yang berakal, itu bukan jalan terbaik untuk menamatkan kemarahan atau sengketa dalam rumah tangga.
Sebagai suami, cerai talak ada pada mereka. Itulah sebenarnya jalan terbaik jika mahu kes keruntuhan rumah tangga atau dendam kesumat antara satu sama lain selesai.
Pergi ke pejabat tok kadi, atau sekurang-kurangnya lafaz cerai pada isteri. Habis cerita. Masing-masing boleh teruskan hidup baru dengan lebih aman dan bahagia. Kemudian, buat tuntutan harta sepencarian, maka tamatlah persengketaan.
Ini tidak. Kau rancang perkara lebih buruk lagi terhadap isteri. Langsung tak fikirkan nyawa orang yang pernah kita tiduri, layari kehidupan berumah tangga sebelum ini.
Dengar cerita, Hafizul mendapat pendidikan agama di sebuah pondok pengajian agama di Kelantan. Al-Hafiz pula tu, tetapi hati dan jiwa masih dikuasai hasutan iblis. Ambil tindakan sendiri, yang akhirnya bukan sahaja menamatkan kebahagian hidup, malah menyusahkan orang lain.
Hidup dalam buruan amat menyeksakan. Apatah lagi kalau sudah ditangkap polis. Direman selama tujuh hari, dihadapkan ke mahkamah dan didakwa bawah akta senjata api serta cubaan membunuh.
Tidakkah akta ini meletakkan kamu dalam kesusahan, kesakitan dan keseksaan? Menjalani hukuman penjara berpuluh tahun adalah satu hal yang sia-sia. Umur yang sepatutnya digunakan untuk perkara bermanfaat, dihabiskan begitu saja dengan meringkuk dalam penjara.
Sepatutnya boleh tidur lena, menjalani kehidupan bebas, kini masa depan kamu sudah tertutup selama-lamanya. Jika kamu keluar penjara sekalipun, kamu tidak lagi bahagia. Kebahagiaan hidup kamu sudah diragut oleh perbuatan kamu sendiri.
Ini yang dikatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian memang dah tak berguna lagi. Nak pusing balik waktu memang dah tak boleh. Sekarang kamu kena hadap masa depan yang gelap.
Sebab itu, Allah beri akal, otak dan fikiran kepada manusia. Supaya menggunakan akal untuk berfikir. Berfikir masak-masak sebelum berbuat sesuatu supaya tidak menyesal kemudian hari.
Kita hidup dalam undang-undang. Baik undang-undang al-Quran, undang-undang al-Hadis mahupun undang-undang dunia. Kita jangan fikir berbuat jahat akan terlepas. Tidak, peratusan untuk terlepas dari perbuatan jahat kita teramat kecil. Selebihnya, kita akan ditangkap, didakwa dan dipenjarakan. Itulah yang berlaku.
Walaupun kamu terlepas dan berjaya mendarat di bumi Makkah sekalipun, kelegaan itu bersifat sementara, bukan selama-lamanya. Lebih lagi, kamu dalam senarai buruan atas kesalahan jenayah.
Sebab itu, Pak Dee selalu mengingatkan diri sendiri. Beristiqomah, menyerahkan diri kepada Allah, berdoa meminta agar Allah pelihara dan lindungi diri Pak Dee dari tersalah melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri.
Pak Dee selalu beringat dan berhati-hati, baik dalam tingkah laku, perbuatan, percakapan mahupun penulisan. Pak Dee lakukan dengan waras agar tidak tersasul atau terbabas sehingga menjadi perhatian pihak berkuasa. Pak Dee takut dan memang Pak Dee seorang yang penakut dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Pak Dee nak, bila mengantuk dapat pejam mata tidur dengan lena. Pak Dee tak mahu fikiran terganggu hingga mengacau tidur atau waktu rehat Pak Dee.
Pak Dee juga tak mahu kehidupan Pak Dee diburu oleh pihak berkuasa hingga hilang kebebasan mengecapi dan menikmati kehidupan harian. Maka, Pak Dee mengajak rakan-rakan di luar sana, jauhkan diri dari perbuatan jenayah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Harapan Pak Dee, kes Hafizul ini menjadi pengajaran dan menyedarkan kita semua daripada hidup senang lenang, tiba-tiba gelap dalam sekelip mata. Fikirlah masa depan kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan ahli keluarga kita.
Tidak salah untuk berbuat kebaikan dan tidak mengahkan kita kalau melakukan kejahatan. Ingat tu. – NasionalDaily 17hb April 2024
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan