Selasa, 16 Julai 2024

Kenapa parti suka umum calon di saat akhir?

SEBENARNYA banyak soalan nak ditanya kepada pemimpin parti politik, tetapi hari ni Pak Dee hanya nak tanya satu soalan sahaja. Walaupun Pak Dee tahu jawapannya nanti tak logik, tak masuk akal, tapi Pak Dee nak lontarkan juga soalan ni supaya semua rakyat tahu. Soalannya, kenapa parti politik tak mahu atau nampak macam takut nak umumkan nama calon untuk bertanding pada satu-satu pilihan raya, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri ataupun pilihan raya kecil, lebih awal? Kenapa, bila esok hari penamaan calon, malam ini baru parti umumkan calonnya yang akan bertanding? Tidakkah, kalau umum lebih awal, memudahkan calon berkenaan masuk kampung-kampung jumpa pengundi? Tidakkah, masa berkempen dua minggu yang diperuntukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cukup untuk calon turun berkempen, memperkenalkan diri dan menjanjikan itu ini kepada pengundi? Kenapa, semua parti nampak macam selaras dalam bab dan hal mengumumkan calon lebih awal? Takut ada sabotaj dari dalam parti sendiri? Mustahil. Kalau bab sabotaj, umum pada malam penamaan calon boleh boleh sabotaj. Dalam hal sabotaj ni sama macam kerja meroboh. Tak perlu ambil masa lama untuk menjatuhkan seseorang calon atau meruntuhkan sesebuah rumah atau bangunan. Dalam tempoh seminggu berkempen pun calon itu boleh dijatuhkan, kalau betul takut disabotaj. Pada Pak Dee, kalau parti umum awal nama calon, yang nak sabotaj pun boleh diperbetulkan semula sebab calon dan jentera parti ada masa cukup untuk tangkis dakyah kotor si pensabotaj dan perbetulkan semula persepsi pengundi terhadap parti dan calon. Inilah antara persoalan yang bermain dalam minda Pak Dee setiap kali berlaku pilihan raya umum atau pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil. Ingat kan, bila umum saat-saat akhir, calonnya seorang yang gah dan hebat, tapi rupanya, orang biasa saja. Jadi, kalau calonnya orang biasa, yang sudah dikenali umum, kenapa perlu diumumkan pada hari terakhir penamaan calon? Kan menyusahkan pengundi dan parti itu sendiri. Kenapa Pak Dee kata menyusahkan parti? Sebab kalau dekat dengan tempoh pilihan raya, akan ada pemimpin yang syok sendiri turun ke kampung-kampung jumpa penduduk. Adakan kenduri, adakan perjumpaan, anjur sukaneka dan sebagainya. Mereka turun padang seolah merekalah calon, dan memaklumkan kepada penduduk, parti akan pilihan mereka sebagai calon nanti. Tetapi, bila tiba masa, parti umum orang lain sebagai calon di kawasan itu, dah tentu akan merosakkan nama baik parti. Sebabnya, pemimpin yang dari awal lagi turun padang berkempen untuk dirinya, akan memesong pemikiran penduduk supaya tidak memberi undi kepada calon lain, selain beliau. Tidakkah ini merosakkan parti? Dan ini selalu berlaku, hatta di depan mata Pak Dee. Ia bukan kes terpencil, ia adalah perkara biasa yang berlaku di hampir semua kawasan Parlimen mahupun DUN. Yang merasakan dirinya layak jadi calon, akan turun berkempen untuk dirinya. Hinggakan penduduk sudah mula rasa kasih dan sayang kepada pemimpin itu. Tapi, bila orang lain dicalonkan, secara automatik penduduk merasa kecewa dan merosakkan undi. Pada Pak Dee, benda maca mini (umum calon lebih awal) perkara mudah saja. Mudah untuk dapatkan sokongan pengundi, mudah untuk calon memujuk pengundi atas pagar dan sebagainya. Namun, pemikiran Pak Dee jauh berbeza dengan pemikiran pemimpin politik. Mereka sengaja mahu pikul benda yang susah daripada melaksanakan benda yang mudah lagi senang. Jadi, memang betullah ramai orang berkata, politik itu berbelit-belit. Politik itu mudah bagi yang berpandangan positif dan sudah bagi yang bersifat negatif. Mereka suka kepada benda yang tergesa-gesa dan bertindak di akhir tarikh penutup. – NasionalDaily Siaran 13 Julai 2024 Telegram: https://t.me/nasionaldaily TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1 Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Dah tentu 6 MP boleh tarik nafas lega

LEGA.. itulah yang boleh dinyatakan mengenai perasaan enam Ahli Parlimen bekas Parti Bersatu, apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan tidak akan mengisytiharkan kerusi mereka dikosongkan. Yang tak lega dan tak puas hati tentulah pimpinan dari Parti Bersatu. Mereka mengharapkan enam kerusi Parlimen itu dikosongkan dan diadakan pilihan raya kecil untuk dirampas semula. Tapi, malangnya harapan mereka tak menjadi kenyataan. Biasalah, pembangkang tidak boleh menaruh harapan pihak kerajaan akan memberi keputusan yang memuaskan hati, walaupun mereka mendakwa berlaku pelanggaran akta dan perlembagaan parti. Keputusan atas sesuatu akta ini sama seperti lain padang, lain belalang. Tafsiran pihak kerajaan tentunya tidak akan sama dengan tafsiran pembangkang, walaupun mereka merujuk kepada akta yang sama. Tafsiran sesuatu akta boleh berubah bila-bila masa walaupun dianggap tidak logik. Pembangkang kata, mengikut perlembagaan mereka, enam kerusi berkenaan perlu dikosongkan, tetapi kepada pihak kerajaan yang menentukan, mengatakan tidak perlu dikosongkan. Adakah salah satu daripada dua pihak ini cuba mempermainkan akta mengikut tafsiran tersendiri? Tepuk dada tanya selera. Keputusan yang mengecewakan pembangkang bukan perkara baharu dan bukan baharu berlaku. Ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dahulu pun, mereka buat perkara yang sama kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang. Begitu juga ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, pun buat benda yang sama kepada pihak pembangkang. Sekarang, sesiapa sahaja menjadi pembangkang, harus terima kenyataan dan hakikat itu. Mereka tidak akan merasa ketidakpuasan hati dengan tindak tanduk kerajaan. Dalam hal ini, perlembagaan parti dan akta tidak salah. Perlembagaan mendapat kelulusan daripada ahli parti, manakala akta pula mendapat suara majoriti ahli Dewan Rakyat. Tetapi, kerana mainan politik, perlembagaan dan akta boleh diputarbelitkan mengikut selera masing-masing. Kita tengok kes di DUN Kelantan. Bawah perlembagaan parti yang sama dan bawah akta yang sama, Speakernya Datuk Mohd Amar Abdullah buat keputusan ada keraguan munasabah untuk mengosongkan kerusi DUN Nenggiri. Tetapi, bawah perlembagaan parti yang sama dan akta yang sama juga, DUN Selangor masih memeram jawapannya terhadap ADUN Selat Klang. Kenapa? Sebab DUN Kelantan dan Speakernya bergabung bersama Parti Bersatu bawah PN, sudah tentu keputusan yang dibuat akan memihak kepada rakan gabungannya. Begitu juga DUN Selangor. Pemerintahannya bawah PH dan ADUN Selat Klang walaupun dari Parti Bersatu dan musuhnya, tetapi kerana mengisytiharkan sokongan kepadanya, tentulah keputusannya nanti bakal mempertahankan ADUN yang pro mereka. Jadi, apa guna pindaan perlembagaan dan akta? Kedua-duanya hanya hiasan sahaja. Sedangkan, keputusan mutlak terletak kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan. Sesiapa pun tidak boleh pertikaikan kerana itulah politik. Sistem politik berbeza dengan badan kehakiman. Di mahkamah, setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta. Hakim menjatuhkan hukuman secara adil. Kalau salah hakim kata salah, kalau tak salah hakim kata tak salah. Lain dengan politik. Yang salah pun boleh dipertahankan kata tidak salah. Sementelah yang tidak bersalah dikatakan bersalah. Itulah bezanya politik dengan badan kehakiman. Politik buat keputusan ikut kepala otak, hakim buat keputusan ikut fakta dan bukti. Oleh itu, tak ada maknanya kalau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa terkejut, kecewa dan dukacita dengan jawapan Speaker Dewan Rakyat. Beliau kena tengok Speaker itu orang belah mana. Kalau musuh kita, jangan harap keputusannya positif. Muhyiddin tidak boleh salahkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUNnya, kerana beliau sendiri pun dahulu pernah lompat parti. Beliau dari UMNO lompat menubuhkan Parti Bersatu. Tidak ada pun UMNO ketika itu nak pinda perlembagaan atau desak beliau letak jawatan atau kosongkan kerusi Parlimen Pagoh. Beliau dibiarkan UMNO berada di luar parti. UMNO tidak hairan pun beliau lompat parti kerana ketika itu belum ada lagi Akta Lompat Parti. Sekarang, beliau menerima hukuman daripada apa yang pernah dilakukannya dahulu terhadap UMNO. Mungkin Speaker Dewan Rakyat ambil kira tindakan Muhyiddin dahulu dan ini yang dikatakan asbab kepada hukum karma. Kalau Muhyiddin panas punggung dengan keputusan Speaker, inilah yang dirasai UMNO suatu ketika dahulu atas perbuatannya lompat parti. Untuk tempoh sekarang ini, enam Ahli Parlimen bekas Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim boleh terus berulang alik ke Parlimen dan masih dapat menikmati elaun kehadiran. Cuma Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri tidak boleh hadir ke sidang DUN Kelantan sebab status wakil rakyatnya sudah dibatalkan dan SPR pun sudah menetapkan tarikh pilihan raya kecil Ogos ini. Pak Dee nak nasihatkan kepada pemegang kuasa dan mereka yang diberi amanah memegang kuasa, jagalah elok-elok Akta Lompat Parti, jangan kerana perbuatan kita nanti, rakyat akan tukar kepada Akta Lompat Parit. – NasionalDaily siaran 10 Julai 2024 Telegram: https://t.me/nasionaldaily TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1 Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Perlukah setiap kali kalah, nak post mortem?

PERASAN tak, setiap kali sesebuah parti kalah dalam pertandingan, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, mereka akan adakan post mortem? Setiap kali kalah juga mereka beri jawapan, akan bedah siasat. Cari punca kenapa calon mereka kalah atau kenapa parti mereka tidak diterima oleh pengundi yang juga rakyat. Sebenarnya, Pak Dee dah bosan dengan alasan mahu post mortem atau bedah siasat nak cari punca kekalahan. Pada Pak Dee, kalau calon atau parti itu kalah, mudah saja jawapannya, tak perlu nak post mortem atau bedah siasat lagi. Mereka kalah ada banyak sebab. Pertama, janji bohong. Kedua, cakap tak serupa bikin. Ketiga, muncul hanya hari kempen, selepas pilihan raya menghilangkan diri. Keempat, isu nasional seperti penyasaran diesel (sebenarnya penarikan balik subsidi). Kelima, kos sara hidup yang semakin hari makin tinggi, makin mahal kesan daripada kenaikan harga diesel dan petrol. Tetapi pihak kerajaan tetap mengatakan harga terkawal. Ini satu pembohongan yang tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat. Jadi, faktor-faktor semua ini antara sebab rakyat hilang selera untuk menyokong calon-calon yang mewakili kerajaan, seperti yang berlaku pada PRK DUN Sungai Bakap Sabtu lalu. Kekalahan calon kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan kerana DUN Sungai Bakap kubu kuat pembangkang. Ia juga bukan disebabkan rakyat atau pengundi sukakan calon pembangkang, tetapi kerana kemeluatan (meluat) yang berbuku dalam hati rakyat atau pengundi. Bila mereka sudah meluat dengan faktor-faktor yang Pak Dee nyatakan di atas tadi, mereka yang sebelum ini menyokong PH pun akan beralih selera memberi sokongan kepada pembangkang. Ini dipanggil protes. Mereka protes sebab meluat, benci dan marah kepada kerajaan. Kerajaan pula diwakili PKR, DAP, Amanah dan UMNO. Empat parti yang tiap pemimpinnya tidak pernah bercakap benar. Tidak pernah menepati janji dan tidak pernah mengotakan kata. Antaranya, rakyat masih ingat kata-kata Perdana Menteri ketika menjadi pembangkang dulu… hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun. Apabila Allah makbulkan doanya untuk jadi Perdana Menteri, bukan minyak diturunkan, tapi dinaikkan. Kan bohong namanya. Rakyat pegang ini semua. Begitu juga ketika jadi pembangkang, janji nak hapuskan PTPTN sebab kononnya duit kerajaan banyak dan boleh bagi pendidikan percuma. Tup tup, bila jadi kerajaan, PTPTN tetap kena bayar. Kan bohong namanya tu. Rakyat pegang kata-kata ini. Bila dah hampir dua tahun jadi kerajaan, dan satu janji ketika jadi pembangkang dulu tidak ditunaikan, rakyat pun terjemahkah kemarahan dan kemeluatan mereka dalam pilihan raya kecil. Akhirnya, calon dari kerajaan kalah dan keluarlah kenyataan pemimpin-pemimpin dari parti gabungan ini, nak post mortem. Post mortem apa kebendanya lagi. Dah jelas, terang lagi bersuluh kekalahan itu kerana rakyat kecewa dengan janji yang tidak dikota. Kehidupan rakyat terutama golongan B40 dan M40 makin hari makin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Kerajaan pula kata, mereka ada RAHMAH. Rakyat boleh beli barang keperluan RAHMAH. Harga murah dan mampu beli. Tapi, kalau nak beli barangan RAHMAH kena pergi ke satu tempat yang dianjurkan. Ini menyusahkan rakyat namanya. Kena keluarkan duit isi minyak motosikal, minyak kereta, kena bayar tambang pengangkutan awam lagi nak sampai ke tempat RAHMAH. Rakyat mengharapkan harga RAHMAH ini berada di depan rumah, di sebelah rumah atau berhampiran rumah. Bukan ditempatkan di lokasi yang jauh dari mereka. Jadi, semua ini kerajaan kena kaji semula. Susun semula sistem pentadbiran. Jaga harga, kawal harga betul-betul, bukan sekadar sedap cakap saja, sedangkan rakyat tidak dapat menikmati cakap-cakap itu. Yang rakyat hadapi ialah lain dari yang dicakap. Mulut menteri kata harga turun, rakyat ke kedai harganya makin tinggi. Jadi, yang mana satu betul? Yang menteri cakap atau yang rakyat berhabiskan duit? Menteri kena berjiwa rakyat, bukan sekadar cakap mendengar denyut nadi rakyat saja. Kalau ketua-ketua parti faham maksud yang Pak Dee dedahkan ini, masalah kalah dalam pilihan raya tak akan berlaku. Mana-mana menteri yang cakap besar, sombong, bongkak, ego dan walau kalah pun masih nak menyalahkan rakyat, bukan diri sendiri, patut dipecat saja, dibuang ke laut. Menteri atau pemimpin seperti ini tidak diperlukan. Ia Bagai melukut tepi gantang. Ada tak bertambah, tak ada tak berkurangan. Tapi, kalau dikekalkan ia macam anai-anai, merosakkan struktur bangunan rumah. – NasionalDaily Telegram: https://t.me/nasionaldaily TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1 Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Sampai masa muka lama pemimpin dalam persatuan sukan disalin tukar baharu

MEMANG terkejut baca laporan media semalam, MFL iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan entiti perlawanan dalam bola sepak Malaysia telah mengenakan hukuman ke atas pasukan Selangor FC (SFC). Hukuman itu pada Pak Dee bukan saja tak masuk akal, malah boleh dikatakan sebagai nak ‘membunuh’ terus pasukan atau Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari beraksi. MFL ialah Liga Bolasepak Malaysia. Tugasnya selain mengurus, ia juga mengatur dan mengendalikan perlawanan. MFL bukan badan penghukum atau membuat duit atas angin dengan kutipan denda dari pasukan yang melakukan kesalahan. Oleh itu, apabila MFL mengenakan denda atau hukuman ke atas pasukan SFC, Pak Dee terkejut dan marah membara. Takkan begitu zalim MFL bertindak ke atas SFC? Selain dikenakan denda RM100,000, MFL turut mengenakan beberapa syarat lagi kepada FAS sebagai balasan kerana tidak turun padang berlawan pasukan JDT. Ketidakhadiran SFC ada sebabnya dan sudah dimaklumkan lebih awal sebaik pemainnya Faisal Halim ditimpa insiden simbahan asid oleh individu tak dikenali. Sebanyak 40 peratus badan Halim terbakar akibat asid itu dan dirawat di sebuah hospital. Tidak kesiankah MFL akan keadaan yang menimpa Faisal? Mana hilang sifat kemanusiaan? Itu puncanya FAS tidak menurunkan pasukannya. Tak apalah tak ada mata pun, asalkan semangat persatuan dan pasukan bersama Faisal yang bertarung nyawa di hospital. Hanya manusia jenis mata duitan yang tak akan ada rasa empati atau belas kasihan dalam dirinya terhadap pemain yang ditimpa musibah. Sebagai tanda solidariti terhadap Faisal, maka SFC tak akan turun bermain. Jika Pak Dee di tempat MFL dan terima berita seperti ini, apa Pak Dee buat? Dah tentulah Pak Dee panggil semua AJK, adakan mesyuarat tergempar, cari jalan terbaik untuk beri peluang kepada SFC menjalani pemulihan semangat. Takkan dalam ramai-ramai AJK MFL tak ada seorang yang kreatif dan boleh memberikan pandangan di luar kotak ketika MFL berdepan dengan situasi luar biasa seperti itu. Pak Dee tak akan guna kuasa veto, iaitu hanya keputusan dari Pak Dee saja boleh diputuskan, suara pihak lain tak boleh diambil, atau tak boleh didengar langsung. Itu kalau berlaku keadaan seperti sekarang, tapi kalau tak berlaku apa-apa insiden, dah lama Pak Dee letak jawatan beri laluan kepada pelapis muda untuk terajui MFL atau persatuan-persatuan apa sekalipun. Sama kata pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli. Nak hukum boleh, tapi jatuhkanlah hukuman yang berbentuk pengajaran, bukan hukuman berat berunsur dendam atau nak ‘bunuh’ karier pasukan bola sepak. Beliau juga sependapat dengan Pak Dee, empat hukuman dikenakan kepada pasukan The Red Giants itu satu hukuman yang agak berat dan zalim. Dahlah pasukan itu ditimpa malang pemainkan diserang dengan asid, MFL lipatgandakan lagi kesakitan yang menimpa SFC. SFC tarik diri bukan suka-suka, tetapi alasan mereka sangat kuat dan relevan. Malah, Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut merestui tindakan itu dan ia dibuat berdasarkan pertimbangan teliti. Jadi, memang patutlah semalam, Tuanku baginda murka dalam kenyataan titah berhubung keputusan atau hukuman MFL ke atas SFC dan FAS. Dalam kenyataan titah, baginda antara lain murka dan kecewa dengan keputusan MFL yang mengenakan denda terhadap pasukan SFC serta baginda menganggap hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak tidak bertanggungjawab. Baginda juga menyatakan hukuman denda RM100,000 bayaran pampasan, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton sebagai tidak masuk akal dan berlebihan, apatah lagi kemenangan telah diberikan kepada pasukan lawan. Sultan Sharafuddin menekankan pentingnya sukan bola sepak sebagai platform perpaduan dan menegur MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak serius menangani keganasan dan kezaliman dalam sukan serta mengingatkan mereka agar membuat keputusan dengan berhati-hati demi menjaga imej dan semangat kesukanan bola sepak tempatan. Pak Dee harap akan ada perubahan dalam arena pengurusan bola sepak Malaysia. Bukan lagi kekal dengan muka-muka lama yang sepatutnya sudah pencen dan bawa anak cucu main bola di taman. Selagi muka-muka lama yang menyemak ini ada dalam persatuan-persatuan bola sepak, selagi itu sukan bola sepak negara nampak mundur dan malap, semalap baju sukan pasukan kita ke olimpik. Pudar, gelap yang melambangkan kemuraman. – NasionalDaily siaran 27 Jun 2024 Telegram: https://t.me/nasionaldaily TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1 Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252