Rabu, 8 Julai 2009

7 Minit

Jangan riak, jangan ego mengatakan aku saja Islam

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan beliau sudah hantar surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Dan sekarang beliau sedang menunggu jawapan daripada Perdana Menteri sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan pelawaannya ajak berdebat.

Sehingga coretan ini ditulis, Datuk Seri Najib belum lagi memberi sebarang kata putus secara bertulis kepada Datuk Nik Abdul Aziz berhubung ajakan itu. Keputusan secara lisan sebelum ini, Presiden UMNO itu kata beliau tidak mahu.

Dan Mursyidul Am Pas itu pun sudah tahu keputusannya. Cuma dia (Datuk Nik Abdul Aziz) mahu jawapan secara bertulis. Dan mungkin Datuk Seri Najib akan menjawabnya dalam sedikit masa lagi.

Sama-samalah kita tunggu apa perkembangan seterusnya, sama ada jadi atau tidak debat yang disyorkan pemimpin kanan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu. Yang penting, hasrat orang Melayu/Islam untuk melihat pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Pas sebelum ini tidak kesampaian.

Dalam konteks pembentukan kerajaan perpaduan. Umum tahu, Pas yang memulakan cadangan itu dan Pas juga yang menolaknya. Cuma umum terkejut apabila Pas menyalahkan UMNO atas 'kegagalan' cadangan berkenaan. Umpama, lembu punya susu, susu itu masam kerana lembu, tiba-tiba sapi yang dipersalahkan. Pelik.

Itulah politik. Atau dengan kata lain, perangai pembangkang. Bukan sekadar membangkang, tapi turut terbangkang. Pukul kepala sendiri, apabila terasa sakit, mula salahkan orang lain, kononnya mereka sakit kerana si anu memukulnya. Lagi pelik.

Ketika ditanya wartawan, kenapa Tok Guru beriya-iya sangat hendak berdebat dengan UMNO, dan kenapa Tok Guru tidak terima cadangan Tuan Guru hendak bentuk kerajaan perpaduan? Tok Guru bagi dua jawaban. Satu, kenapa UMNO tolak Islam dan ambil kebangsaan? Dan kedua, kalau UMNO mengaku dia Islam, kenapa nak lawan Pas?

Jawapan ini tidak pelik, tetapi agak lucu. Lucu kerana Tok Guru yang terkenal dengan ketokohannya sebagai orang politik, bertindak seperti tidak tahu politik. Seperti tidak tahu sejarah politik.

Sepatutnya Tok Guru tidak kata begitu. Sebab tentunya Tok Guru tahu kenapa UMNO ditubuhkan, kenapa Pas dilahirkan, kemudian kenapa parti-parti lain tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Penubuhan sesebuah parti asalnya bukan untuk berlawan antara satu sama lain. Kewujudannya adalah untuk membela rakyat pelbagai kaum di negara ini. Kemudian parti lawan dilahirkan dengan matlamat asalnya memainkan peranan menegur atau memperbetulkan landasan parti yang menjadi kerajaan. Itu asalnya.

Tetapi kerana sikap kepentingan diri dan ego menguasai diri, yang pada masa sama memasang angan-angan untuk membentuk kerajaan dengan tujuan hendak menjatuhkan pemimpin kerajaan, maka berlakulah pertandingan iaitu yang dikatakan 'kalau UMNO mengaku dia Islam, kenapa nak lawan Pas' itu.

UMNO lawan Pas bukan bermula sama ada dari Pilihan Raya Umum kesembilan, ke-10, ke-11ke-12 atau ke-13. UMNO lawan Pas berlaku sejak PRU pertama lagi tahun 1950-an lagi.

Jadi, tidak timbul soal UMNO melawan atau menentang Islam. Kedua-duanya berkiblatkan Kaabah di Makkah. Kedua-duanya berpegang kepada prinsip 165 iaitu Yang Maha Esa, Rukun Iman dan Rukun Islam. Apa yang dianuti oleh Pas, juga dianuti oleh UMNO.

Kalau Pas mengamalkan prinsip jujur, tanggungjawab, amanah, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil dan prihatin, UMNO juga mengamalkan prinsip itu, cuma pelaksanaan mereka mungkin dilihat berbeza.

Tetapi tidak juga jauh bezanya. Masing-masing masih menggunakan sekolah rendah dan menengah bantuan penuh kerajaan untuk pendidikan anak-anak.

Masing-masing masih menggunakan sistem perbankan yang diperkenalkan UMNO, masih mengutamakan orang bukan Islam untuk memajukan sesebuah negeri.

Kalau bawah kepemimpinan UMNO ada judi dan kedai menjual arak, di bawah pentadbiran Pas di Kelantan, Kedah pun ada juga kegiatan itu. Tidak dapat tidak, ia disebabkan keadaan semasa.

Kalau Pas tidak dapat menghapuskan lesen menjual arak di kedai bukan Islam, UMNO pun demikian juga. Jadi, Pas tidak boleh menuduh UMNO mengamalkan kebangsaan, partinya mengamalkan dasar Islam.

Sebab Pas sendiri dilihat tidak dapat berbuat apa-apa sebagaimana UMNO tersempit dengan masalah itu.

Kesimpulannya, Pas Islam, UMNO juga Islam. UMNO kebangsaan, Pas juga kebangsaan. Dua-duanya sama. Dalam Pas ada bukan Islam, dalam UMNO juga ada bukan Islam.

Sebagai anak jati Kelantan, penulis tahu apa yang ada dan telah dilaksanakan di negeri penulis. Keadaannya hampir sama dengan negeri-negeri ditadbir UMNO atau dengan kata lain Barisan Nasional (BN).

Cuma UMNO prihatin dengan nasib bekas pejuang negara dan keseluruhan rakyat Malaysia apabila masih tidak membenarkan Chin Peng pulang ke tanah air. Ini berbeza dengan Pas yang bersetuju jika bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM) pulang.
Siaran 7hb Julai 2009

5 ulasan:

Kawe berkata...

Sebahagian besar pemimpin UMNO korup dan segelintir kecil sahaja yang benar-benar bersih. Pemimpin dan parti yang macam inikah yang kita nak sokong. Buat projek kos yang berjuta-juta tapi dah makan berapa juta oleh syarikat sendiri dan anak beranak pemimpin umno. Macam inikah Islam yang dikatakan tu. Hasil duit haram tu jadi darah daging anak beranak.

ptg berkata...

Saya sependapat dengan Kawe.... Kalau UMNO tu Islam kenapa majoriti pemimpin UMNO korup. Kalau kita sokong pemimpin yang korup tu namaya subahah

bRIANt berkata...

saye tak sependapat dgn dua orang kat atas..sbb dalam pas pun ada korup..cume pandai makan pandai simpan je..pun ada kaki perempaun.. tak percaya? cuba tanyekan... serupa sahaja..nama pun politik.. banyak politiknya... sebenarnya yang berdua kat atas tu tau..saje buat2 tak tau...

kona leper berkata...

Umno adalah melayu yang keturunannya adalah Islam tetapi tidak mahu memartabatkan Islam dalam sistem kehidupan dan pemerintahan negara. secara perbandingan ramai orang yang cuba menonjolkan diri dalam menolak hukum2 agama dan alasan bodoh dan tak ada otak serta cuba menegakkan pandangan mereka tetapi pada masa sama dia sendiri lalai dalam urusan dasar islam seperti solat lima waktu

Mr Priceless berkata...

Saya kira setiap orang mempunyai pandangan masing2. Bagi, saya sikap TAMAK dikalangan orang Melayu membuat mereka alpa dan kurop. Hal ini berlaku pada semua bangsa dan semua agama. Sikap-sikap ini membuat golongan miskin ditindas, dianiaya.

Bagi saya kira perlu bersikap terbuka dan melihat isu ini dari banyak prespektif, bukannya kita lihat atas dasar PAS atau UMNO..

Wassalam..

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran