Ahad, 13 Jun 2010
Generasi Saadong Ketujuh?
01
KOTA BHARU, 8 Jun - Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang muncul dengan pengakuan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong, malam ini memakai gelaran Sri Ratu Saadong Ketujuh.
Di sebuah resort di sini upacara berkenaan dirancang penuh istiadat pada hari jadinya hari ini.
Ia menjadi simbolik kepada apa yang dianggapnya sebagai penemuan pencarian salasilah keturunan pemerintah Kelantan silam dan berakhirnya sumpahan tujuh keturunan ratu itu.
Ia disaksikan oleh pewaris-pewaris kesultanan di pelbagai wilayah Indonesia yang hadir khusus sebagai saksi dan pernyataan memperakui Anis merupakan pewaris Puteri Saadong yang menghilangkan diri ke negara itu.
Puteri Saadong yang namanya masih menjadi sebutan rakyat Kelantan dengan mitos mengenai kesaktiannya dikatakan dikenali sebagai Puteri Hijau dan berkahwin dengan Sultan Gowa dalam pengisahan tradisi kesultanan di Indonesia.
Raja Putri Anis telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia dengan keris warisan.
Terdahulu, acara bermula dengan keberangkatan masuk seramai 20 raja-raja serta sultan nusantara dari Indonesia dan Kepulauan Papua di samping tetamu kehormat.
Ia diikuti dengan Bangkit Semangat yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari daripada badan kebudayaan tempatan kira-kira pukul 9.45 malam.
Sebaik sahaja persembahan tersebut selesai, kedua ibu bapa Raja Putri Anis, Raja Sazali Raja Hasan dan ibunya, Raja Fauziah Syed Yaacob bersama tiga anaknya diiringi masuk ke dewan besar.
Beberapa minit kemudian, Raja Putri Anis diiringi masuk oleh beberapa 'dayang' dan bersemayam di singgahsana serba kuning.
Ia disusuli dengan acara pemakaian simbol darjat oleh pemegang amanah dari waris keenam Puteri Saadong yang juga ibunya di samping pemakaian mahkota oleh wakil raja nusantara, Dr. Ikke Dewi Sartika.
Majlis yang berlangsung selama dua jam itu dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk ahli keluarga Raja Putri Tengku Anis dan ahli sejarah dari dalam serta luar negara.
Sebelum ini, kisah Puteri Saadong dalam jalur sejarah pemerintahan Kelantan silam yang bersalut mitos dan legenda lenyap begitu sahaja selepas kematian suaminya Raja Abdullah.
Kemunculan Raja Putri Anis, anak kepada bekas pegawai Jabatan Perhutanan di negeri ini dan banyak menghabiskan masa di Indonesia menggemparkan, menimbulkan tanda tanya umum melalui pengakuannya dalam Utusan Malaysia pada 4 Jun lalu.
Sebelum ini, beliau menyatakan kesediaannya berdepan dengan tanggapan negatif terhadapnya sebagai memegang amanah untuk kembali sebagai warisnya di negeri ini, menamatkan sumpahan tujuh keturunan Puteri Saadong setelah 420 tahun meninggalkan Kelantan.
Di sebalik kisah Puteri Saadong yang dikatakan ghaib sedangkan kubur suaminya, Raja Abdullah wujud, Raja Putri Anis mahu apa yang dianggap mitos sebagai satu rentetan sejarah yang benar.
Beliau berharap, ia dapat menarik para pengkaji sejarah meneliti daripada pelbagai sumber agar dapat bersama membongkar sejarah baru Puteri Saadong.
Putri Anis yang menjalankan perniagaan keluarga berkata, beliau akan melibatkan diri dalam gerak kerja kebajikan di rantau ini melalui yayasan yang sedang dirancang.
02.
Putri Anis kini Sri Ratu Saadong ke-7
KOTA BHARU – Gelaran Sri Ratu Saadong Ketujuh kini secara rasmi disandang Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang sebelum ini muncul dengan pengakuan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong, wanita yang menjadi legenda dalam sejarah Kelantan.
Sebuah resort di Kota Bharu menjadi saksi upacara pemasyhuran gelaran itu pada hari jadinya kelmarin.
Ia adalah simbolik kepada penemuan pencarian salasilah keturunan pemerintah Kelantan silam itu dan berakhirnya sumpahan tujuh keturunan puteri tersebut.
Puteri Saadong yang memerintah Kelantan pada 1667 bersumpah tidak akan menjejakkan kaki ke negeri itu sampai tujuh keturunannya sebelum menghilangkan diri sejurus membunuh suaminya, Raja Abdullah yang berkahwin lagi.
Baginda dikatakan membawa diri ke Indonesia.
Putri Anis telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas’ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia. Beliau dihadiahkan keris warisan.
Upacara itu disaksikan oleh pewaris-pewaris kesultanan dari pelbagai wilayah Indonesia yang hadir untuk memperakui Putri Anis sebagai pewaris Puteri Saadong yang dikatakan menghilangkan diri ke negara itu.
Upacara bersejarah itu dimulakan dengan keberangkatan masuk 20 raja serta sultan nusantara dari Indonesia dan Kepulauan Papua selain tetamu-tetamu kehormat.
Ibu bapa Putri Anis iaitu Raja Sazali Raja Hasan dan ibunya, Raja Fauziah Syed Yaacob bersama tiga lagi anaknya diiringi masuk ke dewan besar sebelum Putri Anis diiring masuk oleh beberapa ‘dayang’ dan bersemayam di singgahsana berwarna kuning.
Ia disusuli dengan acara pemakaian simbol darjat oleh pemegang amanah waris keenam Puteri Saadong yang juga ibu kepada Putri Anis, di samping pemakaian mahkota oleh Pangeran Norman.
03.
'Dia gemar berkhayal'
KOTA BHARU - Seorang wanita yang mendakwa dirinya pewaris keturunan Puteri Saadong, dikatakan tidak mempunyai sebarang pertalian atau hubungan dengan keturunan raja.
Perkara itu didedahkan seorang ahli keluarganya yang tampil kepada media sambil mendakwa dia mengenali Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang membuat pengakuan dalam sebuah akhbar mengenai dirinya adalah keturunan ketujuh Puteri Saadong.
Menurut ahli keluarga yang enggan dikenali itu, semua dakwaan disiarkan dalam akhbar sebelum ini amat meragukan dan menimbulkan tanda tanya apabila dia sendiri mengenali Raja Putri Anis atau dikenali dengan nama samaran sebagai 'Along'.
Katanya, dia tertanya-tanya dari mana datangnya gelaran 'Raja' yang digunakan kerana sepanjang pengetahuannya tidak ada mana-mana ahli keluarganya menggunakan gelaran itu.
“Bagi saya, perkara ini agak melucukan kerana saya dan ahli keluarga lain sedar dengan perangai peliknya sebelum ini yang mengandaikan dirinya seperti 'Puteri' dan suka berimaginasi.
"Nenek dan datuk di sebelah ibunya masih ada di kampung itu. Sebaik terbaca kisah ini, saya bertanya kepada datuknya sama ada pernah mempunyai pertalian diraja dengan sultan atau raja Indonesia dan dia hanya tergelak," katanya.
Menurutnya, dia bersama ahli keluarga yang lain sememangnya menyedari sikap Along yang terlalu obses dengan perkara berunsur mistik termasuk kisah Puteri Saadong.
Katanya, ramai juga ahli keluarga yang tidak tahan dengan sikap itu dan sering menasihatkannya supaya jangan terpengaruh dengan perkara mitos, tetapi ia tidak diendahkan.
"Akibatnya, dia membuang keluarganya dan kami terputus hubungan. Apa yang saya tahu, nama ibu bapa sebenarnya tidak ada gelaran 'Raja' termasuk dirinya.
"Keluarganya sering berpindah-randah, kami tidak tahu lagi mengenai perkembangan mereka," katanya.
Kemunculan wanita berkenaan mengakui dirinya sebagai pewaris Puteri Saadong menimbulkan tanda tanya apabila puteri berkenaan dikatakan tidak mempunyai zuriat dan kisahnya terhenti sejak 'kehilangannya'.
Bagaimanapun, Raja Putri Anis berkata, Puteri Saadong sebenarnya membawa diri ke Aceh dan menggunakan gelaran Puteri Hijau yang berkahwin dengan Sultan Gowa.
Terdahulu, sebuah majlis pemasyuran Raja Putri Anis dilakukan di PCB Resort, di Kota Bharu, sebagai simbolik berakhirnya sumpahan 420 tahun Puteri Saadong.
Majlis itu juga membawanya kepada gelaran Sri Ratu Saadong Ke-7.
Raja Putri Anis dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas’ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia dengan keris warisan.
Malam sebelumnya, pelancaran buku ‘Sri Ratu Saadong VII’ diadakan di tempat sama dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
04
Pengakuan Putri Anis sedia dikaji
PASIR MAS - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersedia untuk mengkaji kebenaran pengakuan Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali bahawa beliau adalah pewaris keturunan Puteri Saadong dengan syarat wanita itu perlu mengemukakan bukti-bukti berkaitan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, syarat lain ialah melibatkan aspek penerimaan masyarakat kerana jika masyarakat tidak dapat menerima pengakuan wanita itu, pengiktirafan tidak boleh diberikan.
"Kalau masyarakat telah menerima perkara ini, kita bersedia untuk membuat kajian kebenarannya dan perlulah mengemukakan bukti-bukti berkaitan," katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Pesta Dikir Barat di sini malam semalam.
Baru-baru ini, Raja Tengku Putri Anis, 24, muncul dengan pengakuan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong yang terkenal dalam mitos sejarah Kesultanan Kelantan dan Selasa lalu beliau telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong ketujuh.
Pemasyhuran Raja Tengku Putri Anis dilakukan oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
1 ulasan:
kira ok lah sbb dia berani gk tampilkn diri..klu khayal xkn blh ke pringkat global smpai alim ulama pun merestui...rasanya dia bkn nk apapun dia just tampilkan diri dia utk nyatakan dia pewaris dan ada tanggungjawab yg nk kna selesai so kita tnggu jela dok???klu bkn gak mkn 2tahu dok tngu2 xdok gapo barulah ngarut ..
Catat Ulasan