Selasa, 29 Jun 2010
Kisah @ Tragedi Natrah
Nadra Maarof atau nama Belandanya, Bertha Hertogh (1937-2009). Beliau adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan berlaku Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan itu terjadi kerana berbaur sentimen agama dan warna kulit. Bapa beliau, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh. Ibunya, Adeline Hunter. Kakaknya, Wiesje dan Corrie, manakala adiknya, Benny dan Karel. Natrah meninggal dunia pada 9 Julai 2009 ketika berusia 72 tahun di Huijbergen, Belanda.
Kronologi:-
24 Mac 1937: Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh.
Disember 1942: Ketika Bertha Hertogh berusia lima tahun, dia diserahkan kepada Che Aminah Mohamad untuk dipelihara. Ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Che Aminah Mohamad atau Mak Minah adalah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945: Che Aminah membawa Natrah pulang ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945: Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda. September 1949: Natrah ditemui oleh Penasihat British di Terengganu, Arthur Locke ketika pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949: Polis Semarang memberitahu Andrianus yang Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950: Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950: Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura.
24 April 1950: Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.
28 April: Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguam bela Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
19 Mei 1950: Peguam bela Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.
28 Julai 1950: Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan dari York Hill
1 Ogos 1950: Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun, tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad SAW, Siti Aisyah RA.
2 Disember 1950: Ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah mengenai kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya (Mahkamah tidak menyebut ibu bapa tetapi penjaga). Tiba-tiba daripada isu agama bertukar kepada isu jagaan. Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950: Hakim menjatuhkan hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, seterusnya dijadikan Katholik.
12 Disember 1950: Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
13 Disember 1950: Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura ke Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950: Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda. Mereka disambut oleh lebih 4,000 penganut Kristian Belanda berserta sorakan selamat datang dan sepanduk ‘Welcome Back Bertha’. Mereka dari ‘Bertha Hertogh Comittee’ yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh. Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya mengenai ‘Di mana masjid di Bergen Op Zoom?’. Natrah minta sejadah, bertanyakan kiblat dan tidak lupa solat lima kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952: Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen mengenai kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951: Surat pertama Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951: Surat kedua Mansor Adabi kepada Natrah. Antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951: Surat dari Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953: Surat pertama Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa
Melayu-Indonesia. Dia telah menganut Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya ‘Bertha Hertogh’.
25 Januari 1953: Surat Mansor Adabi kepada Natrah.
20 Julai 1953: Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954: Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya, Zaiton Jahuri. Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas pengarah MAS).
26 Januari 1956: Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha hendak kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956: Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt seorang askar, ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957: Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 anak. Nama anaknya, Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
20 Januari 1959: Surat Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
3 Februari 1959: Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail ‘Personal - Mansor Adabi’ di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975: Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 anak, sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976: Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya, JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tetapi tidak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya, Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya, Corie menyedari rancangan bunuh itu melaporkan kepada polis dan Bertha ditangkap.
26 Disember 1976: Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan anak-anak Natrah.
1976: Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an.
Disember 1979: Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya, JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 kilometer dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983: Bertha bercerai dengan Tom Ballermans.
1984: Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984: Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin. Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar malam di Belanda sebelum ini. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat. Bertha tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan terseksa jiwa dan raga, kehilangan orang yang disayangi.
1992: Kerajaan telah mengharamkan lagu berjudul 'Natrah' nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah.
9 Julai 2009: Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib menerusi e-mel kepada Bernama.
Antara petikan kata-kata lelaki Islam ketika Tragedi Natrah:-
Pada waktu itu, orang Melayu hendak masuk bagi membantah keputusan dalam mahkamah. Orang Melayu itu diketuai Karim Ghani yang kemudian cuba ditahan Inspektor Taha yang berkhidmat dengan kerajaan British.
Karim Ghani menyatakan kepada Inspektor Taha
“Ko orang Islam, aku orang Islam. Aku datang hari ini bagi menyelamatkan akidah seorang anak yang menyebut kalimah “LAILAHAILLAH” , adakah kamu yang menyebut kalimah “LAILAHAILLAH” juga mahu menghalang aku? Kamu halanglah, aku akan tetap pergi (masuk dalam mahkamah)….”
Mendengar kata-kata itu, Inspektor Taha terus mencabut uniform dia, buang senjata dia sambil (Inspektor Taha) berkata,
“Demi Allah, aku akan bersama kamu pada hari ini.”
Laungan Allahuakbar bergema di setiap sudut mahkamah. Inspektor Taha terus serbu masuk ke dalam mahkamah bersama orang-orang Melayu. Lalu datang askar British menembak orang-orang Melayu itu. Maka mengalirlah darah orang Melayu di tangga Mahkamah Tinggi Singapura. Seramai 18 orang telah gugur syahid.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan