Ahad, 8 Mei 2011

Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum Chek (panggilan kepada ibuku).

Selamat Hari Ibu kepada Chek. Walaupun ini pertama kali aku ucapkan, tetapi untuk pengetahuan Chek, aku sentiasa mengingati dan mendoakan kesejahteraan Chek dan ayah. Cuma hari ini, kerana kerajaan mahu anak-anak mengenang jasa dan pengorbanan mu, lalu diperkenalkan Sambutan Hari Ibu.

Aku tumpang gembira dengan keprihatinan kerajaan menetapkan satu hari daripada 365 hari dalam setahun untuk meraikan jasa dan pengorbanan mu. Hari itu telah ditetapkan pada 8hb Mei setiap tahun.

Baguslah, sekurang-kurangnya bagi anak-anak yang sibuk dengan kerjaya sehingga lupa kepada mu, tiba-tiba turut bersama-sama dengan anak-anak yang lain untuk mengucapkan selamat Hari Ibu kepada mu.

Dan aku, antara anak yang sudah meningkat dewasa dalam keluarga mu turut bersama mereka hendak mengucapkan selamat Hari Ibu kepada mu.

Chek!
Jasa mu dan pengorbanan mu tidak sama sekali aku lupakan. Bagaimana kita hidup dalam golongan keluarga miskin dan kebetulan aku serta adik beradik yang lain dilahirkan ketika kau dan ayah dalam kesukaran hidup, aku tidak pernah memberontak, malah tetap redha dan berasa amat bahagia sekali.

Lebih-lebih lagi, aku masih ingat bagaimana kau menanak nasi, merebus kepala ikan masin dan menjual botol untuk membeli sebotol kicap, demi memastikan anak-anak mu tidak kelaparan ketika berada di sekolah.

Walaupun kau sedar anak-anak mu mengalami kesukaran menelan biji nasi yang dikepal-kepal halus supaya dapat dikunyah dan ditelan, kau dengan sifat keibuan tetap memberi semangat kepada kami.

Kami langsung tidak memberontak Chek. Kami tahu kami dilahirkan dalam keluarga yang susah (miskin), kenapa kami perlu merintih dan mengeluh? Kami sedar, ketika itu kami berada di era 60-an.

Allah Maha Adil Chek. Atas usaha keras ayah membanting tulang mencari rezeki halal, dan semangat kental Chek mengambil upah membasuh pakaian jiran, akhirnya kehidupan kita mengalami sedikit perubahan, walaupun tidak semewah jiran-jiran.

Kami berasa gembira ketika itu kerana dapat menelan nasi berlaukkan hati dan pedal ayam atau jarang-jarang sekali merasa daging cincang goreng berperisa kunyit dan garam buku. (Daging cincang ialah daging yang melekat pada belulang).

Terima kasih Chek kerana era tahun 70-an aku dan adik beradik yang lain mula mengenal erti kesusahan. Aku mula memasuki alam persekolahan dengan berbekalkan wang saku berjumlah 5 sen.

Ketika itu dengan 5 sen, aku dapat beli sepinggan nasi lemak dan sirap. Aku tidak pernah merungut dengan wang saku sebanyak itu, kerana aku sedar setiap pagi Chek terpaksa mengorek tabung buluh untuk mendapatkan 15 sen untuk diberikan kepada kakak, abang dan aku sebagai perbelanjaan di sekolah.

Aku sedar isi dalam tabung buluh yang disimpan kemas oleh Chek di bawah katil bilik tidurnya tidaklah sebanyak yang disangka. Kalau setiap pagi dikorek 15 sen sehari selama lima hari seminggu, sudah tentu lama kelamaan tabung itu akan berkurangan.

Justeru Chek, aku dan adik beradik lain memahami masalah yang Chek dan ayah hadapi. Kami sedar, dengan gaji ayah sebagai buruh di Jabatan Parit dan Taliair - JPT (sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran - JPS) sebanyak RM70 sebulan, sudah tentu kami perlu berjimat cermat.

Dengan wang itulah digunakan untuk membeli barang keperluan dapur, pakaian harian, pakaian sekolah, beli buku teks, buku tulis, alat tulis, beg sekolah dan yang penting sekali sebagai persediaan membeli alat ganti basikal, iaitu kenderaan utama kegunaan ayah berulang alik dari rumah di Pasir Mas ke tempat kerja di sekitar Tumpat, yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer.

Maknanya, ayah mengayuh basikal sejauh 60 kilometer sehari, pergi dan balik. Itu tidak termasuk mengayuh basikal ke tempat kerja membersih batas tali air. Kau turun rumah ketika kami masih tidur dan kau pulang ke rumah dalam keadaan penat dan berpeluh busuk ketika kami baru hendak melelapkan mata.

Itulah pengorbanan Chek dan ayah yang aku masih ingat dan tetap tidak akan lupakan.

Di era 80-an, aku, kakak dan abang sudah mula celik dan tidak berdiam diri dengan kedaifan hidup. Aku sudah mendapat pekerjaan, selepas abang berada di perbatasan sebagai anggota tentera.

Kehidupan kami mula mengalami sedikit lagi perubahan. Sungguh pun ayah masih berbasikal ke tempat kerja, tetapi kami berpeluang membeli basikal baru kepadanya dengan harapan kayuhannya lebih selesa dan punggungnya yang sudah haus itu dapat menikmati kelembutan pelana berlapik span.

Begitulah aku dan adik beradik mengalami reformasi kehidupan hasil penjagaan rapi Chek dan ayah.

Hari ini, selepas semua anak-anak mu sudah dewasa, kami tidak mahu lagi melihat Chek dan ayah bersusah payah mencari rezeki untuk sesuap nasi. Biar giliran kami pula menabur jasa mu berdua.

Chek dan ayah duduklah di rumah, tak perlu melakukan kerja lagi. Habiskanlah sisa hidup mu dengan beramal ibadat. Segala makan minum kamu berdua, biar kami yang tanggung.

SELAMAT HARI IBU CHEK. Maafkan anak mu ni. Ampunkan dosa-dosa lampau ku. Halalkan makan minum ku. Maafkan aku jika terkasar bahasa.

Tiada ulasan: