Rabu, 30 November 2011

UCAPAN DASAR KETUA WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO, DATUK SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL PADA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN WANITA UMNO 2011
WANITA KUKUH UMNO TEGUH


Bismilahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Maal Hijrah, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar

Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO, Senator Datuk Sharifah Aminah Syed Ahmad

Yang Amat Berhormat dan Yang Berbahagia Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Yang Berbahagia Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Ahli-Ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO

Para Perwakilan

Dif-Dif jemputan, para pemerhati, hadirin hadirat yang dirahmati Allah S.W.T.

Alhamdulilah segala puji dan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T. Dengan limpah izinNYA dapat kita sekali lagi bersama-sama menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2011 dengan penuh suasana permuafakatan dan persaudaraan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda.

Saya bagi pihak barisan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan dan mengucapkan Selamat Datang kepada semua perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2011. Ucapan Selamat Datang juga kepada tetamu khas, veteran-veteran Wanita UMNO dan para pemerhati.

Tidak ketinggalan Selamat Datang kepada setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Bahagian-Bahagian yang pertama kalinya secara automatik menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO pada hari ini. Sesungguhnya ini adalah satu lakaran sejarah di mana parti telah mengiktiraf sumbangan setiausaha-setiausaha bahagian yang turut menjadi penggerak di peringkat bahagian. Ini adalah hasil titik tolak perjuangan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Tahniah!

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah Omar, Pengerusi Tetap, Yang Berhormat Senator Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed, Timbalan Pengerusi Tetap, Dato’ Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO, Dato’ Rosni Sohar, Penolong Setiausaha Wanita UMNO, barisan ahli-ahli EXCO, pegawai-pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang bekerja bertungkus lumus untuk menjayakan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2011.

Selamat Datang 3 jejaka
Mewakili MT ke perhimpunan ini
Dengar dan hayati suara wanita
Inilah ikrar dan wawasan kami

KEPIMPINAN

Masa berlalu begitu pantas sekali. Tanpa kita sedari hampir tiga tahun YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selaku Presiden parti merangkap Perdana Menteri Malaysia mentadbir negara. Dengan dibantu Timbalannya YAB Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, pelbagai perubahan dilakukan dalam usaha mentransformasikan negara untuk menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju didunia melalui program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik.

Kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib dan YAB Tan Sri Muhyiddin, kami Wanita UMNO merekodkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan barisan kepimpinan wanita akan sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bagi, untuk memastikan visi negara mencapai matlamatnya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam tadi. Ucapan beliau amat berkesan dalam memastikan agenda perjuangan parti dapat diteruskan demi masa depan agama, bangsa dan negara.

PENCAPAIAN WANITA

Puan-puan dan tuan-tuan yang dihormati sekalian

Di bawah kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO peranan wanita dalam pembentukan negara bukanlah sesuatu perkara yang asing. Dalam tinta sejarah negara, sumbangan wanita dalam mencorakkan perkembangan sosiobudaya dan politik tanah air sejak dari peringkat awal amat besar. Wanita UMNO sejak sekian lama telah menjadi tulang belakang kepada parti keramat ini.

Walaupun pada awalnya peranan wanita dalam politik lebih terbatas di peringkat akar umbi di mana peranan wanita lebih memberi sokongan kepada parti yang dianggotai sebagai pengundi, perayu undi sewaktu pilihan raya dan melakukan kerja-kerja untuk membantu aktiviti parti. Senario kini telah berubah apabila berlakunya kesedaran tentang keupayaan, kecekapan dan keberkesanan peranan yang mampu dimainkan oleh wanita dalam parti. Inti pati keberkesanan wanita sebagai tulang belakang parti ini, telah lama dianalisis dengan hormat dan cermat oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman hingga beliau menyimpulkan dengan kata-kata keramat bahawa “Wanita hendaklah dimerdekakan terlebih dahulu sebelum negara merdeka”.

Di atas kepercayaan dan penghormatan kepimpinan parti yang diberikan kepada wanita, maka sejak itu, wanita terus tanpa henti dan sunyi melontarkan tenaga masing-masing ke arah memperkasakan perjuangan parti yang murni dan mulia ini. Melalui rentetan perjuangan ini, maka lahirlah pemimpin-pemimpin perintis wanita seperti Cikgu Balkis Abdullah, Puteh Mariah Abdul Rashid (Puan Sri), Zainon Sulaiman (Tan Sri) atau Ibu Zain dan Puan Khatijah Sidek.

Sejak itu, lebih ramai pemimpin wanita muncul di peringkat negeri. Pada pilihan raya pertama di bawah pentadbiran British, tahun 1955 Halimahton Abdul Majid (Dato’) dipilih sebagai calon wanita pertama untuk bertanding. Berkat kemenangan tersebut, beliau telah menjadi Ahli Parlimen wanita yang pertama di negara ini. Kita juga telah menyaksikan pelantikan Tan Sri Aishah Ghani sebagai Senator wanita pertama pada tahun 1962 dan Tun Fatimah Hashim sebagai Menteri Wanita pertama pada tahun 1969.

Pada hari ini wanita lebih matang, bijak dan karismatik. Kepimpinan mereka hari ini telah menjadi semakin signifikan, relevan dan terserlah di semua peringkat dalam parti dan kerajaan. Dengan kekuatan keahlian seramai 1.3 juta dari 191 bahagian mewakili 20,797 (dua puluh ribu tujuh ratus sembilan puluh tujuh) cawangan dari seluruh negara, Wanita UMNO akan terus mengorak langkah dengan penuh yakin dan semangat, tanpa menoleh ke belakang untuk menggembleng potensi yang ada di kalangan wanita, bagi melonjakkan kemajuan dan pembangunan wanita serta keutuhan institusi keluarga.

Hasil perjuangan pemimpin-pemimpin wanita di segenap peringkat, tanpa mengenal erti penat, lelah dan jemu, wanita Malaysia berjaya memecah tradisi di mana 30% penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam telah tercapai dan akan menjadi realiti dalam sektor korporat. Di antara kejayaan wanita yang dapat saya sebut antaranya ialah pelantikan wanita sebagai Gabenor Bank Negara, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Komisioner Polis dalam Polis Diraja Malaysia, Brigadier Jeneral dalam Angkatan Tentera, Hakim di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.

Perjuangan mulia kepimpinan wanita ini turut memartabatkan rahmat cuti bersalin 90 hari yang kini wanita kita nikmati; Akta Pencen yang dipinda membolehkan pencen suami terus dirasai; hak milik tanah FELDA kini sama dikongsi suami isteri; Kanun Keseksaan telah dipinda dan hukuman jenayah seksual semakin tinggi; kesihatan wanita amat penting tidak terperi, subsidi mamogram terus diberi dan banyak lagi. Elok ditokok lagi, bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA) telah kita pelopori dan juarai. Itulah berkat pejuangan wanita dari dulu hingga kini.

Menjadi pemimpin ianya elok
Tahu di mana tempatnya duduk
Tahu amanah apa yang ianya peluk
Tahu menyemak baik dan buruk

Sesungguhnya kejayaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan bersama secara kolektif dalam satu pasukan yang progresif. Saya sebagai Ketua dan Menteri yang diberi mandat bertanggungjawab memegang amanah untuk mengetengahkan dan menghubungkan denyutan nadi, suara dan aspirasi puan-puan kepada pucuk pimpinan dan kerajaan. Justeru kita Wanita UMNO perlu menggandakan usaha bagi memastikan kebajikan, kemajuan dan kesejahteraan wanita di negara ini terjamin, terlindung dan terpelihara.

SKUAD SAYANG DAN JALINAN RAKYAT

Para hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Selaras dengan Gagasan Kerajaan untuk mendahulukan rakyat, Skuad Sayang yang dibarisi oleh Wanita UMNO dan wanita komponen Barisan Nasional telah berjaya menyelusuri denyutan nadi dan mendekati rakyat melalui pelbagai program kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan. Sumbangan dan kejayaan Skuad Sayang bukan sahaja dikagumi pemimpin parti, malah rakyat di peringkat akar umbi turut mensyukuri rahmat yang disediakan. Sebagai menyatakan penghargaan tertinggi oleh rakyat dan kepimpinan parti, maka Malam Skuad Sayang telah kita adakan pada 28 November 2011 dengan jayanya. Majlis ini adalah khas bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan dan penglibatan wirawati-wirawati Skuad Sayang. Sesungguhnya kejayaan dan keberkesanan Skuad Sayang turut mendapat restu dan sokongan YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia.

Atas rasa tanggungjawab, keutuhan dan kelangsungan parti, Wanita UMNO melalui program Jalinan Rakyat kini menjadi semakin agresif untuk menarik minat dan menyedarkan rakyat akan hak mereka sebagai pengundi. Alhamdulillah atas usaha gigih ini telah menampakkan hasil di mana bilangan pengundi berdaftar melalui usaha WANITA UMNO semakin bertambah. Syabas!

Basuh sudah jemur pun sudah
Kini tiba menjahit pundi
Kempen sudah, daftar pun sudah
Kini masa mencari undi

Menyedari landskap politik masa kini yang amat mencabar dalam usaha mencari undi, maka Pergerakan Wanita UMNO mesti menggunakan formula baru dalam mengambil pelbagai inisiatif untuk memantapkan ahli-ahlinya melalui pelaksanaan kursus dan latihan pembangunan kapasiti, termasuk kursus-kursus bersifat upaya-kendiri dan kepimpinan.

Dengan itu adalah diharapkan ahli-ahli Wanita UMNO akan lebih kompeten dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi sebagai seorang pemimpin dan ‘role model’ yang berkesan.

MISI DAN VISI WANITA

Masa bagaikan diputar. Kini kita semakin menghampiri ambang pilihan raya umum yang ke 13, detik yang akan menentukan jatuh bangun parti yang kita tunjangi dan sayangi. Justeru, sekarang ini bukan masanya untuk kita leka dibuai angan-angan Mat Jenin dan berpeluk tubuh serta berasa selesa dengan apa yang telah dilaksanakan dan dicapai. Sebaliknya, dengan kekuatan seramai lebih 1.3 juta ahli, kita Wanita UMNO mesti melipat gandakan usaha, memantapkan jentera parti, melebarkan sayap agar terus menjadi pemain utama dalam meraih kemenangan besar Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti.

Misi ini bukan satu yang mudah untuk kita laksanakan. Hati nurani rakyat perlu diselami, masalah rakyat perlu diatasi, kesengsaraan rakyat perlu ditangani, kesakitan rakyat perlu dirawati agar rakyat terus menikmati kemakmuran negara yang sejati. Untuk itu, kita mesti pastikan jentera kita siapsiaga dengan segala strategi, kemas dan lengkap di setiap peringkat. Tugas bancian sikap perlu dipergiatkan dan diberi fokus utama. Di samping itu, kerjasama strategik dengan rakan seperjuangan daripada parti-parti komponen dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti diperhebatkan lagi demi memastikan semua isu dapat diselesaikan dan tiada rakyat yang dipinggirkan.

Wanita UMNO mesti mempunyai ketahanan diri dan disiplin yang tinggi. Kita mesti bersatu hati, bersatu jiwa, bersatu perasaan, bersatu tenaga, bersatu visi, bersatu misi bagi mencapai kemenangan. Jangan ada rasa hasad dengki, iri hati dan cemburu diri sesama kita walaupun sekelumit, kerana ia akan menjadi barah dan nanah yang bukan sahaja menghancurkan diri tetapi lebih malang ia akan melumpuhkan kekuatan parti.

Jika semua ini dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan keikhlasan, kita mampu meraih persepsi rakyat dan memenangi hati mereka yang sentiasa mengharapkan pembelaan kita dan seterusnya mampu mencapai apa yang dihajatkan, InsyaAllah.

PERANAN WANITA DAN KEPIMPINAN

Puan-puan dan tuan-tuan yang kita muliakan,

Mari kita ambil iktibar dari beberapa kisah pada zaman Rasulullah S.A.W. di mana wanita sebagai benteng kepada perjuangan sepertimana yang disebut dalam kitab dan sirah contohnya wanita bernama Nusaibah binti Kaab yang mempertahan dan melindungi Rasulullah. S.A.W. dalam peperangan Uhud.

Peristiwa lebih 14 belas kurun ini, sudah pasti menjadi pengajaran penting kepada kita, wanita mampu dan sanggup berkorban hatta menggadai nyawa sekalipun.

‘Semangat Nusaibah’ mesti membara dalam diri wanita hari ini. Keperkasaan kita mesti disatukan, kekuatan kita mesti dipadukan, kepimpinan kita mesti didisiplinkan, agar ianya menjadi tenaga yang mampu menerjah dan mempertahankan kedudukan kita. Kerana itu kita wanita tidak pernah dan perlu rasa gentar walau halilintar membelah bumi, walau badai melanda lautan, walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa, namun perjuangan parti tetap kita teruskan. Wanita sedia berkorban apa saja demi agama, bangsa dan negara.

MENYELAMI NALURI WANITA

Secara umumnya rakyat sudah mengetahui sifat dan wajah Wanita UMNO, sebagaimana dibuktikan dalam sejarah. Wanita UMNO sentiasa setia dan berdiri teguh dengan kepimpinan. Kita tidak mudah terperangkap dalam polemik salah menyalahkan atau saling melemparkan tanggungjawab. Justeru, kitalah yang selalu sanggup berkorban jiwa dan raga, harta mahupun tenaga.

Kerana ini sudah menjadi adat dan tradisi Wanita UMNO di semua peringkat tidak kira di mana kedudukannya, setianya kepada parti dan kepimpinan adalah bersungguh-sungguh dan tidak pernah berganjak walau seinci pun. Bila berjuang, kita akan bermati-matian. Bila bekerja, kita akan bergerak sepenuh kudrat. Dan apabila dimusuhi, kita akan tentang habis-habisan agar parti keramat ini terus gagah dan kukuh “membujur lalu melintang patah, namun undur tidak sekali”.

Itulah yang telah kita tunjukkan semasa kita menghadapi beberapa krisis dalam kepimpinan dan perjuangan UMNO pada tahun 1987 dan tahun 1998, berdepan dengan tsunami politik tahun 2008, wanita UMNO tidak pernah goyang, malah lebih bersemangat untuk terus berjuang mempertahankan parti. Yang nyata wanita sebagai isteri, ibu, kakak dan disertai dengan semangat ‘Nusaibah’ inilah yang menjadi prinsip untuk terus berkhidmat dengan setia dan taat, walaupun bencana di hadapan mereka.

Begitulah peranan wanita. Jangan silap, dalam sifatnya yang lembut dan berhemah, dalam langkahnya yang gemalai dan santun, dalam lenggoknya yang mesra dan halus, namun wanita adalah sentiasa gagah menongkah cabaran dan tetap lasak mengharungi halangan.

Menjadi pemimpin ia berani
Mentaati sumpah memegang janji
Di atas yang benar ia berdiri
Kepada yang hak ia mengabdi
Dijadikan pemimpin ia terpuji
Dijadikan tua sempurna budi
Dijadikan induk tuah menjadi
Dijadikan tiang teguh berdiri

Kita Wanita UMNO, sentiasa teguh dengan prinsip, amat sinonim dengan tugas, tekad dan amanah. Kita bersikap tegas apabila perlu, tahu bila kita berlembut, tiada siapa yang boleh mempersoalkan dan mempertikaikannya. Inilah hakikat yang patut semua terima.

SETIAKAWAN

Dalam kita mahu memastikan kestabilan parti serta menjayakan transformasi supaya UMNO terus diterima rakyat, Wanita mahu mengajak kita semua untuk kembali kepada asas perpaduan kita iaitu sikap dan semangat setia kawan.

Setia kawan seperti yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO, menjadikan kita sentiasa mampu mengharungi apa jua cabaran terutamanya menangkis asakan dan serangan jahat musuh terutama pembangkang. Dan setia kawan inilah juga satu-satunya kekuatan pembangkang yang membentuk kesepakatan melampau sehingga yang betul dijadikan salah, yang asli dikata palsu dan yang benar dituduh bohong.

Dalam keadaan pembangkang yang semakin liar sekarang ini, tiada jalan mudah untuk melawan mereka kecuali kita bergerak bersama dan sederap dalam satu semangat setia kawan yang tinggi. Sebenarnya mereka cemburu, mereka tidak mampu melakukan seperti apa yang kita lakukan sekarang ini. Mereka berhasad atas keutuhan dan ukhwah yang kita bina, mereka berdengki atas kegemilangan pencapaian wanita Malaysia hari ini. Justeru lalu mereka dengan niat jahat menggempur kita dengan pelbagai kepalsuan dan fitnah untuk meracuni pemikiran rakyat.

Kita tidak boleh lagi biarkan kerja baik yang kita lakukan dirosakkan oleh mereka. Jangan biarkan khidmat bakti kita kepada rakyat diperlekehkan dan direndah-rendahkan begitu sahaja. Jelas dan sedarlah kita bahawa pembangkang kini sedang menggandakan serangan mereka kepada kita.

Dan ikrar serta janji Wanita, kita akan tentang mereka habis-habisan. Sebagai sayap yang mempunyai ahli yang besar, Pergerakan Wanita UMNO tidak akan mudah terpenjara dan terperangkap dalam persepsi oleh musuh-musuh parti. Pergerakan Wanita UMNO akan terus dengan peranannya, tetap bersatu hati membentengi parti, tetap berdiri gagah menongkah cabaran, tetap lasak menangkis serangan.

Sebagai pemimpin ianya gagah
Fikiran bulat hati pun tabah
Pendirian teguh, tuah bertambah
Kepada musuh pantang menyerah
Terhadap rakyat ia mengalah

WANITA DAN PILIHANRAYA

Selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO, saya pasti akan menyerahkan kepada YAB Presiden seberapa ramai nama-nama wanita untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya. Asas pertimbangan saya mudah, iaitu Wanita UMNO sememangnya mempunyai ramai calon winnable atau pun boleh menang. Mereka berada di merata tempat dari Perlis hingga ke Sabah.

Nasib diri saya, janganlah siapa khuatiri. Kedudukan saya biarlah Presiden parti yang tentukan apabila tiba masanya kelak. Ajal, maut dan rezeki adalah ketentuan Allah. Saya, sebagai hambaNYA pasrah dan percaya kepada qadaq dan qadar. Yang lebih penting bagi saya, adalah wanita mesti berjuang dalam satu pasukan yang bersepadu dan berdisiplin, di atas satu landasan dan wawasan yang jelas untuk mencapai matlamat KEMENANGAN PRU KE 13. Berbekalkan kesepaduan semangat, kejituan sokongan, kemantapan disiplin dan kerjasama dalam setia kawan yang tulen dari kalangan puan-puan semua, yakinlah matlamat ini pasti tercapai.

Ibarat pandai meniti buih, selamatlah badan ke seberang.
Ibarat berpegang pada kasih, selamatlah parti yang kita sayang.
InsyaAllah. SELAMAT BERSIDANG


UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO, KHAIRY JAMALUDDIN “MEMACU GENERASI, MELAKAR TRANSFORMASI”

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Agung lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Terpuji, Penghulu segala Nabi, penyampai risalah suci. Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan, kerana dengan iradat, rahmat dan izin-Nya kita semua dapat berkumpul di Dewan Tun Hussein Onn di pagi yang penuh barakah ini bagi melunaskan urusan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda.

Hari ini kita bersidang bagi menilai dan membahas bukan sahaja pencapaian kita dan parti kita, bahkan hala tuju dan garis panduan perjuangan seterusnya. Perkara ini selari dengan firman Allah SWT di dalam Surah As-Syura ayat 38: Yang bermaksud: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya”.

Perhimpunan kali ini sangat penting dan besar ertinya buat kita semua. Suka diingatkan bahawa perhimpunan ini, berkemungkinan besar, yang terakhir sebelum kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Inilah masa dan ruang untuk kita merapatkan ukhwah dan membina kekuatan sayap sebagai bekalan perang. Inilah masa dan ruang untuk kita mengukuhkan azam, menaman tekad serta menambah baik perancangan bagi memastikan orang muda akan terus bersama-sama kita.

Para perwakilan sekalian,
Dewasa ini, konsep perubahan atau “change” merupakan mantera yang acapkali disebut. Tetapi kita perlu sedar, perubahan berlaku dalam pelbagai bentuk dan tahap. Ada perubahan yang kecil dan lazim. Ada pula perubahan yang lebih besar dan menyeluruh – perubahan yang datang sekali dalam beberapa generasi.

Pada hemat saya, inilah bentuk perubahan yang sedang kita saksikan. Berdasarkan lipatan sejarah pembinaan tamadun manusia, terdapat beberapa detik yang merakam perubahan yang didasari oleh peralihan generasi.

Bagi saya, peralihan generasi berlaku apabila sesuatu perubahan atau transformasi itu tidak hanya terbatas kepada pengenalan dasar-dasar baru atau muka-muka baru.

Malah ia juga merupakan suatu kedatangan era yang menyaksikan munculnya pemimpin-pemimpin berwawasan yang memperjuangkan perubahan yang melangkaui zaman mereka – perubahan yang menguburkan norma-norma lapuk yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.

Contoh yang mungkin diketahui ramai ialah peristiwa di Amerika Syarikat. Rakyat negara tersebut pernah hidup dibelenggu Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin menentang kuasa Komunis Kesatuan Soviet.

Pemimpin-pemimpin mereka ketika itu terdiri daripada generasi lama yang gagal memberi kesegaran dan suntikan baru dalam corak pemerintahan negara. Kekontangan sedemikian berlarutan sehinggalah munculnya John F. Kennedy, yang bukan hanya muda dan kelihatan muda, tetapi telah berjaya membawa suatu mesej peralihan zaman dan program perubahan yang menghidupkan semula harapan rakyat.

Kemenangan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1961 merupakan satu detik penting yang menandakan peralihan generasi. Ucapan sulung beliau selaku Presiden dilakar dalam sejarah politik dunia sebagai satu sinar harapan kepada rakyat Amerika. Harapan bahawa ketakutan yang mereka rasakan selama hampir dua puluh tahun bakal berakhir. Harapan bahawa suatu bentuk pentadbiran yang mencerminkan peralihan generasi secara besar-besaran sudah tiba di Amerika.

Dalam konteks sejarah Islam, perkara yang sama turut berlaku. Kita singkap kisah Khalifah Harun al-Rashid, yang telah mengangkat Baghdad menjadi pusat keilmuan dan perdagangan dunia pada kurun ke-9.

Pembangunan institusi sarjana seperti Baitul Hikmah serta prasarana perubatan, ekonomi dan pendidikan yang maju telah memangkin pencapaian baru dalam segenap aspek ketamadunan – sesuai dengan label Zaman Kegemilangan Islam. Tetapi, jauh lebih penting daripada pembangunan institusi, Khalifah Harun adalah pemimpin muda yang membawa nilai-nilai dan pemikiran yang baru untuk melihat Baghdad menyumbang kepada perkembangan tamadun pada skala yang lebih besar.

Maka, meskipun mengambil alih tampuk pemerintahan pada usia 20-an, era kepimpinan Khalifah Harun telah menyaksikan perubahan yang signifikan dalam haluan tamadun Islam, sekaligus menyumbang kepada pencapaian peradaban manusia secara amnya. Kesemua ini bertitik tolak daripada kesanggupan melakukan suatu transformasi besar-besaran.

Para perwakilan sekalian,
Dua contoh ini menggambarkan betapa penting dan gentingnya peralihan generasi dalam memacu kebangkitan dan haluan kemajuan serta nasib sesuatu masyarakat, negara, mahupun umat manusia sejagat. Namun, yang bulat takkan datang bergolek. Yang pipih takkan datang melayang.

Haluan dan nasib takkan berubah dengan sendirinya. Dalam semua kisah yang saya kongsi sebentar tadi, wujud unsur-unsur anjakan pemikiran, kebangkitan idealisme muda dan keberanian pemimpin memacu pembaharuan positif – inilah yang saya istilahkan sebagai peralihan generasi.

Di tanahair kita, saya percaya kita juga dapat melihat peralihan generasi ini sedang berlaku. Kepimpinan Presiden parti kita, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, boleh dikatakan kepimpinan negara pertama yang dibesarkan dalam era pasca-Merdeka. Maka tidak hairanlah jika YAB Presiden amat memahami bahawa perubahan zaman sudah mula rancak berlaku.

Sekiranya kita ketinggalan dalam membuat transformasi, nescaya rakyat tidak akan memaafkan kita. Kita perlu sedar, faktor besar yang menentukan kalah menang dalam pilihanraya adalah pengundi muda yang dianggarkan hampir 40 peratus. Golongan pengundi generasi baru ini nyata mempunyai congakan dan pola pemikiran yang cukup berbeza daripada generasi sebelumnya.

Daripada saluran maklumat yang mereka pakai, nilai-nilai yang mereka hargai, hobi yang mereka gemari sehinggalah kepada persepsi dan sudut pandang mereka terhadap peranan pimpinan politik – kesemuanya mencerminkan satu peralihan generasi yang mendukung perubahan zaman.

Syukur Alhamdulillah, kepimpinan YAB Presiden jelas mempamerkan pemahaman jitu terhadap keperluan pengisian yang terancang dalam meraikan peralihan generasi tersebut. Gagasan transformasi ekonomi dan politik yang dilaksanakan membuktikan kesungguhan beliau dalam memimpin UMNO menakhodai peralihan generasi kini.

Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa sifat dan bentuk peralihan generasi yang kita perlukan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar dan menyeluruh. Ia bukanlah seperti menyalin tikar lama dengan mengkuang baru.

Ia bukanlah sekadar suatu peralihan kepimpinan lama dengan menggantikannya dengan wajah-wajah muda. Sebaliknya, jauh lebih penting, ia adalah suatu tuntutan perubahan yang meruntun penghijrahan tasawwur atau sudut pandang atau “worldview”.

Tasawwur yang berupaya menjadi titik tolak kepada segala transformasi ekonomi dan amalan politik dalam Kerajaan mahupun parti. Tasawwur yang selari dengan peredaran zaman. Tasawwur atau “worldview” yang bertunjangkan acuan pemikiran tersendiri yang segar dan bersedia untuk keluar daripada kepompong kebiasaan tanpa perlu menyisihkan jatidiri asal dan nilai-nilai Islam. Tuntasnya, lihatlah dunia hari ini daripada sudut pandangan burung, bukannya intaian sempit katak di bawah tempurung.

Tasawwur atau “worldview” yang saya maksudkan ini menuntut keseimbangan antara tradisi dan pemodenan, antara kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah, antara teladan sejarah dan potensi pembaharuan.

Dalam konteks ini, seseorang yang menghayati perspektif dan keseimbangan tersebut akan memahami pentingnya nilai hak asasi dan kebebasan sivil di samping mengiktiraf kepentingan kestabilan dan keamanan negara. Pada pengamatan saya, inilah asas yang harus mendukung program transformasi politik yang kita saksikan hari ini.

Sebagai contoh, YAB Presiden telah memutuskan untuk memansuhkan ISA – satu simbol kuasa berpaksikan tasawwur lapuk – dengan harapan ia bisa menyuburkan amalan demokrasi yang lebih matang di samping menggubal undang-undang baru yang menjamin keselamatan negara.

Banyak lagi contoh serupa yang menandakan berputiknya lembaran baru dalam falsafah kepimpinan negara. Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa segala Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Politik yang digariskan oleh YAB Presiden tidak mungkin berlaku tanpa wujudnya tasawwur atau sarwajagat baru ini. Ini adalah satu peralihan perspektif yang menuntut kita menjadi lebih berani, matang dan berkeyakinan dalam menyambut cabaran dunia baru.

Dalam soal politik, jika tasawwur atau “worldview” sebelum ini, prinsipnya mudah: kuasa adalah betul atau “might is right”. Maksud saya, kuasa adalah prinsip yang mendasari segala tindakan kita sebelum ini. Apabila wujudnya masalah, kita tangkap dan humban ke dalam lokap.

Bila berdepan cabaran, kita cantas, berkas dan haramkan. Mungkin kaedah mentaliti Perang Dingin ini sesuai pada masa dahulu, tetapi dunia sekarang meruntun pendekatan yang lebih berhikmah dan terbuka. Lantas sebagai contoh tasawwur ini, Kerajaan akan pinda seksyen 15 AUKU bagi membuka ruang kepada mahasiswa kita untuk turut serta dalam politik.

Pada saya, ini bukan bermain selamat, ini tamsilan kepimpinan berhemat. Ini bukan tunduk pada tekanan, ini kesungguhan melakar perubahan.

Sama seperti peralihan generasi dalam arena politik, penterjemahan tasawwur baru dalam lapangan ekonomi juga harus berasaskan prinsip yang lebih progresif. Mentaliti ekonomi Melayu sebelum ini banyak berpaksikan kepada bantuan dan perlindungan Kerajaan semata-mata.

Jatuh bangun perniagaan Melayu terlalu bergantung kepada ihsan Kerajaan. Jika Kerajaan bantu, Melayu maju. Jika Kerajaan enggan tolong, maka melopong. Itu perspektif lama.

Tetapi zaman sudah berubah. Di samping masih ramai orang Melayu yang memerlukan bantuan Kerajaan, ramai juga orang Melayu yang sudah bertapak dalam pelbagai industri dan sektor ekonomi negara.

Objektif kita sekarang bukan semata-mata mahu meningkatkan penglibatan orang Melayu dalam sektor ekonomi, tetapi untuk membina daya saing supaya Melayu mampu melonjak lebih tinggi berlandaskan kemampuan dan merit. Yang miskin kita bantu, yang mampu kita perkasa.

Sebagai generasi pemimpin muda parti dan negara, Pemuda mesti berada di hadapan setiap kelok perubahan demi mengisi gagasan peralihan generasi. Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan kita haruslah menjiwai makna dan falsafah gagasan peralihan generasi dan tasawwur ini dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Tiada gunanya jika kita sekadar bersorak dan bertepuk tangan secara membuta tuli menyambut setiap pengumuman YAB Perdana Menteri, tanpa memahami dengan jelas rasional dan sebab tindakan tersebut.

Sokongan kita terhadap langkah-langkah progresif seperti pemansuhan ISA mesti berlunaskan satu kesedaran mendalam tentang tuntutan tasawwur atau “worldview” baru, bukan kerana membodek ketua.

Perkara ini harus dipandang serius. Kerana kegagalan menjiwai kepentingan tasawwur baru ini akan menggagalkan transformasi atau peralihan generasi yang kita wawarkan. Menjadi harapan orang muda di luarsanauntuk kita dalam Pemuda menjadi pelopor dan pencetus kepada idea dan pemikiran baru dan progresif tanpa menunggu isyarat dari YAB Presiden.

Jika tidak, kita akan muda hanya pada usia, bukan pada idea atau pemikiran – “young in age, but ancient in mentality”. Percayalah, ini bukan masanya kita menjadi tukang sorak yang menyokong tanpa ilmu, yang menentang dengan nafsu.

Kita tidak perlu melangkau jauh bagi melihat contoh terbaik untuk kita teladani. YAB Presiden kita sendiri, walaupun sudah lama meninggalkan zaman Pemuda, tetapi dirinya adalah seorang pemimpin yang mesra generasi muda, yang faham generasi muda dan lebih penting yang menghargai dan mengiktiraf generasi muda.

Beliau mempunyai ratusan ribu pengikut di Twitter, sentiasa menggunakan ruang media sosial untuk berinteraksi dengan orang muda, singgah ke konsert, bersukan. Dan lebih penting daripada itu, pendekatan dan falsafah politik YAB Presiden sendiri berkisar kepada prinsip-prinsip keterbukaan, kebebasan, keadilan dan penghakupayaan generasi muda.

Pendek kata, Presiden kita adalah contoh terbaik seorang pemimpin yang menjiwai tasawwur dan peralihan generasi ini.

Dalam konteks perubahan dan tasawwur baru ini, Pemuda harus bersyukur kerana perjuangan kita, membuahkan hasil. Hampir semua dari langkah transformasi politik kerajaan – ISA, AUKU, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun – adalah sesuatu yang telah kita perjuangkan lebih awal lagi.

Pada waktu dan ketika itu, ada yang pandang sinis – kononnya Pemuda terlalu liberal dan progresif. Tetapi hari ini terbukti, keberanian Pemuda membawa tasawwur baru yang mencerminkan kehendak sebenar orang muda akhirnya mendapat pengiktirafan melalui transformasi YAB Presiden sendiri.

Inilah tandanya kita tidak bertindak membuta tuli. Perjuangan kita selari dengan jiwa orang muda. Itulah sebabnya Barisan Nasional Pilihan Orang Muda.

Para perwakilan sekalian,
Dalam konteks yang lebih luas, kesedaran terhadap kepentingan menghayati tasawwur baru ini akan memberi satu makna baru kepada konsep “winnable candidate” yang diperkenalkan YAB Presiden. Untuk memastikan kemenangan bagi Barisan Nasional pada pilihanraya yang bakal diadakan, kita perlu mengangkat calon-calon yang bukan hanya popular dalam parti, tapi diterima oleh para pengundi.

Dalam konteks peralihan generasi yang saya olah tadi, saya percaya bahawa salah satu faktor yang menjadikan seseorang calon itu sebagai “winnable candidate” adalah sejauh mana beliau memahami peralihan generasi yang sedang berlaku.

Kajian Makmal Pemuda mendedahkan sandaran undian anak muda adalah 35 peratus berdasarkan parti, 34 peratus calon dan 27 peratus pemimpin utama peringkat nasional. Kajian ini juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik. Maka sangkaan dan kepercayaan bahawa rakyat sentiasa menyokong BN walau siapapun calon kita, adalah mitos dan meleset sama sekali.

Bukan sekadar pertimbangan yang diambil kira dalam mengundi generasi muda amat berbeza, kita juga perlu menerima hakikat bahawa merekalah faktor penentu kalah menang bagi banyak kerusi di PRU-13. Maka, atas dasar ini, “winnable candidates” adalah mereka yang antara lain berupaya memahami dan berkongsi perspektif yang mesra generasi muda.

Selain itu, seseorang “winnable candidate” perlulah mempunyai kebolehan dan amanah. Dua perkara ini akan menentukan sama ada seorang calon itu diterima oleh pengundi atau sebaliknya. Amanah menuntut anjakan pemikiran dan kesedaran dalam memupuk budaya jujur, ikhlas dan mesra dalam perjuangan.

Sesungguhnya, selaku pemimpin, kepentingan diri tidak boleh sekali-kali menjadi keutamaan. Kita sentiasa dinilai oleh rakyat jelata, dan kepada rakyatlah keringat ini perlu tumpah.

Yang lebih penting, segala perlakuan kita selaku pemimpin yang memikul amanah besar ini akan diadili oleh Allah SWT nanti. Keinsafan dan kesedaran ini harus menjadi daya yang memberi makna kepada semua tindakan agar kita berani memperjuangkan perkara yang benar demi rakyat.

Firman Allah SWT sebagaimana petikan daripada ayat 26, Surah Al-Qasas :
Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah”.

Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah menulis, “Hendaklah dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah”. “Al-Quwwah” merujuk kepada kekuatan atau kemampuan seseorang melaksanakan tugas yang diberi.

Sudah pastilah dalam konteks politik dan pilihanraya, “al-Quwwah” yang dimaksudkan ialah seorang “winnable candidate” yang cergas, rajin, berwawasan, prihatin, adil kepada semua tak kira agama atau bangsa dan mempunyai ilmu untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Jika kita mengakui hakikat bahawa PRU-13 merupakan medan survival BN, kita perlu menerima konsep “winnable candidate” dan bersama-sama menyokong YAB Presiden melaksanakannya.

Pada zaman Rasulullah SAW sendiri, semasa Islam diserang dari pelbagai sudut dan survival agama berada di tahap paling genting, Baginda telah memilih panglima-panglimanya berdasarkan kemampuan dan bukannya hubungan mereka dengan Baginda.

‘Amr bin al-As dihantar untuk menjadi pemerintah wilayah Oman walaupun beliau baru menganut Islam jika dibandingkan dengan para sahabat yang lain. Rasulullah SAW telah memilih Khalid ibn al-Walid untuk menjadi panglima tentera Islam dan memberi gelaran Sayful Allah al-Maslul atau Pedang Allah Yang Terhunus.

Bukan kerana beliau dan Baginda mempunyai pertalian khusus. Namun dek keupayaan beliau dalam mengurus, kebijaksanaan mengatur turus serta keberanian menggempur musuh secara terus.

Saya akui, kita tidak mungkin setanding dengan ‘Amr al-As ataupun Khalid ibn Al-Walid. Namun saya yakin ada di kalangan Pemuda yang sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar. Kami dilatih, dididik dan diasuh dalam kilang UMNO. Kami berharap melalui konsep “winnable candidate”, tiada lagi calon yang dipilih atas dasar simpati mahu pun calon pakai kabel.

Sebaliknya, “winnable candidate” perlu dipilih atas dasar merit dan keupayaan sebenar. Kami menunggu dengan penuh kesabaran waktu dan giliran untuk tampil ke hadapan. Kami sama sekali tidak mendesak untuk mengganti yang lama, jauh sekali dari mengaku sebagai terbaik dari semua yang ada.

Cuma sekadar ingin menyatakan dengan satu suara dan harapan, intai dan jenguk-jenguk jualah Pemuda dalam memilih “winnable candidate” akan datang.

Anak tupai digonggong helang
Terbang tinggi menghala selatan
Jika Pemuda di beri peluang
Tak mungkin kami persia-siakan

Pemuda juga ingin menghantar amaran yang keras. Kami kesal dengan sikap sesetengah kelompok yang hari ini menyokong konsep “winnable candidate”, kononnya berikrar akan membantu “winnable candidate” untuk menang, sebaliknya beria-ia menunjukkan muka di ambang pilihanraya kerana menganggap diri mereka sebagai “winnable candidate”. Tetapi apabila harapan tidak kesampaian, sokongan serta sumbangan terhadap parti dibiar mati bersama angan-angan yang tak menjadi.

Ini bukan bentuk mentaliti yang kita mahu. Kalau masih ada golongan sedemikian yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga memboikot secara senyap – yang langsung tak buat kerja, yang membawa diri merajuk sepi, yang menghilangkan diri, yang tak keluar mengundi – kita minta tindakan tegas terhadap mereka ini sebagai pembelot kepada parti.

Namun akhirnya, kita percaya dan menaruh keyakinan tinggi kepada kebijaksanaan serta pertimbangan pucuk pimpinan parti di dalam menentukan pilihan calon yang difikirkan layak sebagai “winnable candidate” di kalangan ahli parti.

Ikrar kami kepada Presiden, sungguhpun Pemuda menaruh harapan untuk diberi peluang, kami tahu yang paling penting adalah untuk memenangi pilihanraya. Oleh itu, walau apa jua pun keputusannya, Pemuda berikrar kepada YAB Presiden, kami akan setia menyokong mana-mana calon yang dipilih demi maqasid yang lebih besar yakni kemenangan Barisan Nasional.

Para perwakilan sekalian,
Di bawah kepimpinan hari ini, Pemuda UMNO telah ditransformasi dan diberi wajah baru, penjenamaan baru, pengisian baru. Jika dulu Pemuda pernah dianggap kumpulan pendesak, jurubicara masyarakat atau sekadar pelengkap kepada pimpinan parti. Hari ini Pemuda telah membuka lembaran baru.

Kini, imej dan identiti Pemuda UMNO tidak lagi dilihat atau dikenali sebagai satu sayap politik yang hanya tahu bermain retorik. Maka, Pemuda kini berdiri sebagai sebuah pertubuhan yang kreatif dan proaktif dalam menyelesaikan masalah dan isu generasi muda. Inilah yang dimaksudkan “politik khidmat bakti” atau “solutions driven politics” oleh Pemuda UMNO.

Dalam Model Baru Politik, Pemuda tidak seharusnya menjadi entiti yang hanya pandai bercakap dan menolak segala selok belok pelaksanaan kepada Kerajaan. Sebaliknya, Pemuda sendiri perlu terlibat secara terus dan aktif dalam merangka dasar dan menyampaikan penyelesaian berkesan melalui program-program kita sendiri.

Ini kerana, apabila bercakap tentang politik, hanya ada dua perkara yang akan terngiang-ngiang di benak pemikiran orang muda hari ini. Pertama “What can you do for us?” dan keduanya kepercayaan bahawa “Talk is cheap” atau cakap senang la. Jadi tukang karut sahaja tak guna.

Atas kesedaran ini, bermula dengan lima rukun Pemuda iaitu Bersatu, Berprinsip, Relevan, Inklusif dan Proaktif sebagai panduan dalam misi memenangi sokongan generasi muda, kita telah memperkenalkan Makmal Pemuda atau BN Youth Lab yang menjadi platform untuk generasi muda hari ini meluahkan kegusaran dan menyuarakan pandangan mereka.

Antara isu yang dibangkitkan ialah perumahan, pendidikan, penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan harga barangan. Kita bersyukur kerana banyak daripada cadangan kita, iaitu Skim Rumah Pertamaku, Dana Belia 1Malaysia dan Majlis Konsultasi Gaji Negara, yang bakal melonjakkan kadar gaji pekerja, telah disisipkan dalam Belanjawan tahun lepas.

Tambahan lagi, Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bagi memenuhi keperluan perumahan generasi muda telah turut dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Julai lalu. Kesemua ini adalah contoh ampuh kepada ideologi politik khidmat bakti yang menjadi teras kepada era baru Pergerakan Pemuda hari ini.

Malah, atas prinsip politik khidmat bakti yang menjuarai suara orang muda hinggalah aspirasi menjadi realiti, Pemuda telah menerajui gerakan ke arah perkembangan kebebasan sivil yang kini menjadi dasar Kerajaan sepertimana saya sebut tadi – ISA, AUKU, tahanan terhad, kebebasan akhbar dan kini kebebasan berhimpun.

Melalui program Jelajah 1Malaysia atau JOM kita telah membawa nilai hakiki kepada tradisi pembelaan rakyat. Lebih 550 buah rumah telah kita baik pulih dan ribuan keluarga telah mendapat bantuan melalui gerakan Cakna Pemuda dan Pemuda Prihatin. Karnival Kerjaya Pemuda BN akan menjadi aktiviti berterusan untuk membantu para graduan dan anak muda mendapat pekerjaan.

Setakat ini karnival kerjaya tersebut telah diadakan tujuh kali diKuala Lumpur, Kedah, Melaka, Pahang,Sabahdan Perak. Karnival kerjaya kita telah menjadi satu jenama sebutan ramai – bila orang muda bercakap pasal pekerjaan, pasti tak lekang dari bercakap Karnival Kerjaya Pemuda yang telah menawar puluhan ribu peluang pekerjaan kepada ratusan ribu anak muda, tak kira parti, tak kira bangsa.

Tidak hanya sekadar itu:
• Bagi membuktikan bahawa khidmat bakti Pemuda tidak hanya tertumpu di kawasan luar bandar dan mengikis persepsi yang UMNO ini hanya jaguh kampung, Sekretariat Hal Ehwal Bandar gigih mendekati wargakotadengan pelbagai program kebajikan
• Bagi membantu anak muda yang menghadapi kekangan kewangan untuk belajar, kita lancarkan Biasiswa Pendidikan Pemuda;
• Bagi mencungkil bakat anak-anak muda, kita telah mengadakan Festival Musik Pemuda sebagai satu platfom mempamerkan kebolehan masing-masing;
• Bagi membantu mereka yang teraniaya, yang dibawa lari, yang tiada kad pengenalan, Biro Aduan Komuniti tanpa jemu memastikan kes-kes yang diadu dapat diselesaikan;
• Bagi menggilap dan menarik minat bakal pemimpin pelapis, kita juga telah menganjurkan Pertandingan Pidato Politik yang terbuka kepada semua anak muda pelbagai bangsa;
• Bagi menyemai semangat patriotisme dan membuang sikap mendewa-dewakan komunis, kita anjurkan Pentas Patriot;
• Bagi membina kelas peniaga dan budaya keusahawanan di kalangan anak muda, Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan telah tampil dengan pelbagai program seperti Jelajah Francais dan MyBiz;
• Bagi membantu orang muda memiliki rumah kita anjurkan juga BN Youth Home Ownership Expo (HOPE) yang menawarkan rumah-rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Pertamaku serta PR1MA; dan
• Bagi menangkis serangan pembangkang dan mengukuhkan suara kita di alam siber, aktiviti Unit Media Baru terus diperkasakan.

Alhamdulillah, impak dan hasil kesemua program ini telah menjana sokongan kepada BN, di mana kita melihat kembalinya undi muda pada pilihanraya-pilihanraya kecil, bermula dari Bagan Pinang lagi.

Program-program ini juga telah menyuntik semangat dan kesedaran politik generasi dan telah membantu kita mendaftarkan hampir 80 ribu pengundi baru pada tahun ini sahaja dan pada masa sama mengekalkan Pemuda selaku penyumbang terbesar keahlian baru UMNO.

Semua pencapaian ini jelas membuktikan bahawa program-program Pemuda adalah selari dengan Model Baru Politik. Malah, YAB Presiden telah mengiktiraf program kita seperti Karnival Kerjaya sebagai contoh Model Baru Politik. Terbukti, Pemuda tidak hanya bersorak, tidak melepaskan batuk di tangga, atau menyokong dengan suara.

Tetapi kita aktif, kita kreatif dalam membantu agenda YAB Presiden. Kita laksanakan program-program yang membawa nilai tambah, yang menjadi kebanggaan kepada parti dan YAB Presiden. Jadi ini bukan sekadar mendabik dada atau syok sendiri, kerana nakhoda kita sendiri dan golongan muda amnya telah mengiktiraf peranan Pemuda dalam memacu generasi, melakar transformasi.

Para perwakilan sekalian,
Lanjutan kepada seruan politik khidmat bakti yang kita pegang serta selaku ejen penyelesaian masalah orang muda, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk menarik perhatian Kerajaan dan pimpinan parti kepada beberapa perkara.

Pertama, jika kita lihat kepada senario sekarang, kebanyakan anak muda kita begitu terdedah kepada kecenderungan atau keperluan untuk berhutang sama ada untuk menampung pelajaran, kad kredit, kereta dan sebagainya, berbanding dengan pinjaman produktif bagi memulakan perniagaan atau mencipta peluang baru.

Ketidakseimbangan struktur ini terbukti apabila jumlah hutang yang dikeluarkan oleh sektor kewangan bagi kad kredit dan kereta dari tahun 2010 hingga Julai 2011 mencecah RM249 bilion.

Jumlah ini sebenarnya RM7 bilion lebih tinggi berbanding pinjaman yang diberikan kepada perniagaan kecil dan sederhana dalam tempoh yang sama. Tidak hairanlah jika angka hutang anak-anak muda kita meningkat saban hari sehinggakan 25 peratus daripada mereka yang muflis dari tahun 2005 hingga tahun ini adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Oleh itu, sekalipun kita mengakui sumbangan agensi-agensi seperti Tekun, MARA, PUNB, SME Bank dan lain-lain dalam membantu mengatasi masalah ini, saya ingin sekali lagi mengusulkan penubuhan bank khas untuk orang muda, iaitu Bank Belia. Sesungguhnya Pemuda percaya bahawa bank ini akan mampu menawarkan pinjaman serta program perintis kepada usahawan muda.

Bank ini bukan sahaja berkhidmat dan memenuhi keperluan orang muda, malah harus dibiar untuk diuruskan oleh orang muda. Bank ini tidak akan memberi pinjaman mudah atau kemudahan yang menambah beban seperti hutang kad kredit tetapi menyumbang hanya untuk keperluan produktif yang menjana pendapatan seperti pinjaman modal pusingan serta modal memulakan perniagaan bagi usahawan muda.

Kita juga anjurkan supaya skim pembangunan vendor muda diperkenalkan oleh semua GLC dengan kuota khusus bagi menyemarakkan penyertaan usahawan muda pelbagai bangsa yang berpotensi dan berkemampuan. Ini untuk membolehkan usahawan muda membina “track record” dan pengalaman mereka.

Yang kedua adalah penghakupayaan pasangan muda yang bekerja melalui penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara. Umum mengetahui, keperluan bagi pusat tersebut adalah ketara bagi golongan muda, terutamanya bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja.

Hari ini, ramai suami yang mengeluh apabila si isteri terpaksa berhenti kerja semata-mata perlu menjaga anak. Atau tidak mustahil makin ramai suami yang terpaksa berhenti kerja sebab gaji isteri mereka lebih tinggi. Apapun mereka hilang satu punca pendapatan disebabkan tangungjawab menjaga anak. Oleh sebab itu, Pemuda mencadangkan penubuhan Pusat Jagaan Kanak-kanak 1Malaysia yang bersih dan selamat serta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan dibina di seluruh negara.

Ketiga, Pemuda UMNO juga menyambut baik iltizam Kerajaan dalam memperluas Pendidikan Teknik dan Vokasional. Kami sedar bahawa sebahagian besar daripada pelajar lelaki muda mempunyai kemahiran amali lebih daripada kecemerlangan akademik. Kami juga sedar bahawa sistem sedia ada tidak menyediakan peluang yang cukup bagi mereka.

Setakat ini hanya 10 peratus daripada jumlah pelajar kita yang mengikuti pendidikan vokasional berbanding dengan negara lain sepertiThailand41 peratus dan Jerman 59 peratus. Sekiranya kita mahu memastikan aliran ini dapat mewujudkan pekerja mahir yang tidak ketinggalan apabila ekonomi negara mengorak langkah ke tahap berpendapatan tinggi, usaha untuk menambah lebih banyak lagi kolej teknik perlu disegerakan.

Kurikulum aliran teknik dan vokasional juga perlu dikemaskini mengikut keperluan pasaran. Jangan kita ulangi kelemahan dasar penambahan universiti yang lebih bercorak kuantiti bukan kualiti.

Sekadar menambah lebih banyak universiti tanpa menyediakan kursus yang relevan kepada pasaran, lantas melahirkan ramai siswazah yang berijazah tetapi tiada kemahiran yang diperlukan oleh dunia pekerjaan.

Pemuda UMNO harap aliran teknik dan vokasional ini akan menjadi tempat lahirnya pekerja berilmu pengetahuan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mengubah persepsi sedia ada terhadap aliran berkenaan.

Yang keempat, selari dengan tasawwur baru, agenda ekonomi Bumiputera juga perlu pendekatan baru. Di samping kita tekankan dasar-dasar yang lebih mesra pasaran, berteraskan merit dan terbuka, kita juga akui betapa pentingnya tindakan Kerajaan untuk memastikan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Oleh itu, Pemuda menyambut baik penubuhan TERAJU dan juga pengumuman Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera oleh YAB Perdana Menteri beberapa hari yang lepas.

Pemuda harap TERAJU akan dapat berpegang teguh kepada pendekatan baru ini. Kita tidak mahu sejarah berulang di mana segelintir usahawan Bumiputera yang hanya bersandarkan kabel, dibantu atas nama Dasar Ekonomi Baru, tetapi akhirnya saham dijual, kepentingan digadai – sekadar nama atas kertas supaya mendapat status Bumiputera tetapi tidak lebih dari seorang Ali kepada Baba.

Usahawan Bumiputera muda kini lebih berupaya dan jujur. Mereka tidak akan jual kepentingan bangsa, mereka sanggup bersaing dengan semua. Saya harap TERAJU akan melihat kepada kumpulan ini.

Jika dulu kita melihat matlamat DEB cuba dicapai melalui pemindahan kekayaan kepada mereka yang tiada kemampuan, Pemuda berharap TERAJU akan memastikan yang diberi peluang adalah anak bangsa yang tidak akan mengkhianati perjuangan dan mengaut keuntungan cepat untuk diri sendiri.

Kelima, pada awal tahun ini Pemuda telah bangkit mendesak Kerajaan agar tidak menaikkan harga minyak RON95 tatkala rakyat sedang dihimpit tekanan kenaikan harga barang. Alhamdulillah, Kerajaan telah mendengar pandangan kita dan harga RON95 terus kekal. Kita juga menyokong usaha Kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang bukan sahaja menawarkan produk yang lebih murah malah menghapuskan kerakusan orang tengah dalam mengaut untung.

Dalam hal ini, saya juga menggesa pihak Kerajaan bersikap lebih proaktif untuk menggunakan apa sahaja perundangan dengan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang ligat menekan rakyat di negara ini.

Sememangnya, kenaikan harga barang berlaku antara lain atas sebab faktor luaran. Tetapi kita juga tahu wujudnya pihak atau “traders” yang tamak. Inilah golongan rakus yang perlu kita perangi, golongan parasit yang mengaut keuntungan luar biasa atas kesusahan orang lain.

Sekali lagi cadangan-cadangan ini menjadi bukti pentas keramat Pemuda sentiasa menjaga kepentingan orang muda, lantas menjadikan BN Pilihan Orang Muda. Kita berkhidmat selesaikan masalah bukan seperti pembangkang yang hanya tahu menghasut anak muda memberontak. Politik kita politik khidmat bakti, politik pembangkang politik demonstrasi sana sini.

Para perwakilan sekalian,
Sekarang wujud kelompok tertentu yang menggarap nafsu, kedangkalan ilmu serta perjuangan individu menjadi runut dan lagu politik yang baru. Mereka tidak ubah seperti agas-agas sumbang yang gemar menangguk di air keruh. Terkinja-kinja ke hulu dan ke hilir dengan pendekatan semberono dan populis. Ia sebenarnya tidak lebih daripada gula-gula politik, ditabur demi mengumpan sokongan merebut kuasa yang sudah lama mereka dambakan.

Golongan sedemikian, adalah satu gerombolan pemancing terdesak – sanggup meletakkan cacing-cacing simpati agar kail muslihatnya disentap mereka yang termakan tipu helah betapa setiap janji-janji manis yang ditabur bukan sahaja memusnahkan diri, malah menggadai negara.

Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul 6 Jahanam telah mengisahkan tentang 6 orang penjenayah yang membuat onar dalam masyarakat dengan perbuatan merompak, mencuri, membunuh dan merogol. Hari ini masyarakat kita tidak terlepas daripada terpaksa berhadapan dengan 6 Jahanam versi moden – polemik politik pembangkang jijik!

Buktinya adalah melalui percubaan pembangkang yang berangan-angan melaksanakan 6 formula kehancuran negara yang saya sifatkan sebagai formula 6 Jahanam.

Pertama: Menjahanamkan sistem demokrasi
Pembangkang seringkali menggunakan kebangkitan di Timur Tengah untuk menghasut rakyat negara ke arah revolusi jalanan. “Arab Spring” di Malaysia, kata mereka. Di manakah letaknya akal fikiran mereka kalau kita ingin disamakan dengan negara Tunisia, Mesir dan Libya? Malaysia amat berbeza dengan negara yang huru-hara di Timur Tengah.

Namun, pembangkang menggunakan perkara ini untuk meniup api kebencian kepada Kerajaan. Inilah agenda tersembunyi yang ingin mereka capai, tatkala idea mengadakan Bersih mereka canai. Matlamat mereka bukannya pemerkasaan sistem pilihanraya yang adil.

Sebaliknya, ia adalah wahana menyebarkan debu-debu sangsi yang akan menimbulkan kekacauan yang maha kelam kabut dalam sebuah negara berdaulat.

Pada mereka sistem demokrasi itu tidak wujud di bawah pentadbiran BN. Pada mereka BN adalah pencuri pilihanraya, menidakkan suara rakyat, dan menggunakan serba macam taktik kotor untuk kekal berkuasa. Jika benarlah pakatan pembangkang mendukung demokrasi, mengapa sehingga hari ini mereka tidak pernah melahirkan rasa kesal mengenai insiden September 16?

Sedarkah kita, propaganda rampasan kuasa September 16 adalah satu bentuk penghinaan kepada amalan demokrasi yang wajar dirakam sebagai satu detik hitam dalam sejarah negara.

Tak cukup dengan itu, baru-baru ini Azmin Ali dengan gah mengumumkan hasrat PKR untuk memecah tembok penjara bagi membebaskan Anwar Ibrahim sekiranya didapati bersalah dalam kes liwatnya. Semestinya ini bukan kenyataan pendukung demokrasi yang sebenar.

Undang-undang negara, sistem kehakiman negara semuanya tidak diendahkan. Sudah terang lagi bersuluh, keluar dari mulut mereka sendiri, agenda mereka hanya satu, iaitu memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara – halal atau haram. Dan konsep demokrasi ini hanya menjadi alat bermusim ke arah sasaran sempit mereka.

Tidak syak lagi, demokrasi negara menjadi mangsa pertama di bawah kerakusan pakatan jahanam.

Burung bayan terbangnya tinggi
Hinggap seekor di pohon pisang
Mengaku konon pejuang demokrasi
Rupanya penghasut jalan songsang

Kedua: Menjahanamkan sistem pentadbiran
BN adalah satu parti yang telah terbukti keupayaannya dalam mentadbir negara. Semangat setiakawan antara parti komponen dapat dilihat dengan jelas dalam pemilihan Jemaah Kabinet oleh Perdana Menteri.

Bagaimana pula dengan pembangkang? Sehingga kini, mereka masih gagal memberikan kita Kabinet Bayangan. Yang mereka ada, 3 penyelia untuk satu portfolio – tiga kepala, satu badan. Bayangkan kalau mereka perlu menubuh kabinet di masa hadapan – siapa Perdana Menterinya? Anwar, Guan Eng atau Haji Hadi?

Mutakhir ini, mereka dengan angkuhnya mahu mengurangkan bilangan kakitangan kerajaan. Pembangkang tabur statistik bahawa nisbah penjawat awam dengan penduduk di Malaysia adalah tinggi dan membebankan.

Tetapi mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa negara-negara lain tidak mengambil kira golongan anggota keselamatan dan warga pendidik sebagai kakitangan awam. Sedangkan di Malaysia, dua golongan ini merangkumi lebih 50 peratus daripada semua penjawat awam. Maka, sudah pastilah nisbah kita lebih tinggi daripada negara-negara lain.

Bagi Pemuda, tiada langsung sebab untuk kurangkan saiz kakitangan awam. Negara tidak mungkin mengecapi kemakmuran sebegini tanpa sokongan dan usaha gigih sektor awam. Tapi jelas, ini bukan pertimbangan bagi pihak pembangkang. Sesungguhnya, bagi penjawat awam yang bakal mengundi kelak, undi untuk pembangkang adalah sama seperti menabur pasir ke periuk nasi sendiri.

Bayangkan pula apa akan jadi kepada pentadbiran undang-undang? PAS mahu laksanakan hudud, tetapi DAP pula minta langkah mayat mereka dulu. Jika Pakatan mengambil alih Kerajaan Persekutuan, apakah akan ada undang-undang berbeza di negeri berbeza?

Apakah definisi jenayah sendiri akan berubah mengikut geografi? Kalau mencuri di Kelantan, potong tangan. Kalau di KL, sumbat penjara. Kalau di Pulau Pinang, itu kita tengok dulu apa kata Khalifah Lim Guan Eng.

Inilah realiti yang akan berlaku sekiranya kita benarkan pakatan pembangkang yang tandus persefahaman mengambil alih kepimpinan negara. Sistem pentadbiran kucar-kacir tanpa arah, porak peranda – menjadi mangsa kedua kerakusan pakatan jahanam!

Ketiga: Mejahanamkan maruah negara
Semua menjadi saksi, UMNO dan BN tidak pernah tergamak memburuk-burukkan kepimpinan negara kita kepada orang luar. Namun, tidak sampai sepenggal menjadi Ketua Menteri, Lim Guan Eng terkocoh-kocoh ke Singapura menjaja fitnah terhadap negeri Johor semata-mata mahu menggambarkan satu situasi yang menyebelahi partinya.

Beliau tahu Johor adalah bakal penerima pelaburan terbesar dari Singapura. Disebabkan dengki, beliau menakut-nakutkan pelabur dari Singapura tanpa mempedulikan kesan pelaburan negara yang boleh merudum disebabkan tindakan biadapnya, seolah-olah Pulau Pinang itu bukan sebahagian dariMalaysia.

Persetankan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Apa yang penting hanyalah DAP dan Republiknya di Pulau Pinang! Pantang ada peluang. Maruah negara beliau telanjangkan.

Kerakusan pembangkang amat berbeza dengan sikap dan budaya kita yang bangga menjadi anak Malaysia. Kita bangga dengan asal usul negara kita, bangga dengan pencapaian kita, bangga dengan lambang negara kita. Maka kita marah apabila pembangkang dengan sesuka hati memperlekehkan Jalur Gemilang.

DAP dengan angkuhnya berkata mereka lebih sanggup edar bendera roket berbanding bendera kebangsaan. Ini biadap! Kita marah dengan janji pembangkang untuk mengubah terus Jalur Gemilang sekiranya mereka memerintah. Inilah polemik politik jijik dan budaya kebencian yang dibawa oleh pihak pembangkang.

Bukan setakat simbol negara, institusi-institusi penting seperti polis, tentera semuanya habis dihentam dan dipandang hina. Tak pernah langsung kita dengar mereka mengiktiraf jauh sekali memperjuangkan kepentingan anggota keselamatan negara. Bayangkan kalau mereka mengambil alih, apa nasib negara kita? Jadi bahan cemuhan di persada antarabangsa.

Maka, sekiranya kita biarkan mereka memerintah, satu sahaja hasilnya terhadap maruah dan imej negara. Mangsa ketiga pakatan jahanam!

Malangnya sungguh nasib Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Pembangkang sungguh berhati busuk
Burukkan negara berderai-derai

Keempat: Menjahanamkan sejarah negara
Sesungguhnya sejarah adalah pasak jatidiri sesuatu negara. Warisan dari generasi ke generasi. Melalui sejarah, kita kenal identiti kita sebagai seorang Melayu Islam dan seorang warganegara Malaysia. Melalui sejarah, kita mula memahami tanggungjawab, amanah dan peranan kita dalam memastikan kelangsungan agama, bangsa dan negara. Tanpa sejarah, semua laungan juang tidak bermakna. Tanpa sejarah kesemua percaturan politik tidak punya hala tuju.

Peliknya, hari ini ada yang memutar belitkan sejarah – menyanjung golongan yang mengetuai serangan Bukit Kepong – golongan yang membunuh isteri dan anak semuda dua tahun. Semua dipuja sebagai pejuang kemerdekaan. Pegawai polis yang terkorban pula dilabel sebagai tali barut British.

Apabila musuh durjana negara diangkat sebagai wira, apabila perjuangan pembela pertiwi dihina, maka inilah tamsilan ampuh talam dua muka; pakar pura-pura. Inilah yang dikatakan gunting dalam lipatan; api dalam sekam; musuh dalam selimut. Inilah realiti sekiranya penjunjung komunis dibiar mentadbir negara.

Lesap habis segala fakta sejarah. Kesemuanya bakal diganti mitos pro Komunis yang menyanjungi pengganas, para pembunuh anggota polis. Sejarah negara dan asal usul bangsa menjadi mangsa keempat pakatan jahanam.

Kelima: Menjahanamkan jati diri bangsa
UMNO adalah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Malangnya ini bukan fokus Pakatan Rakyat. Yang mereka tahu, gadaikan kepentingan bangsa, cabar kesucian agama, asalkan kepentingan politik mereka terjaga. Kita perhatikan PAS. Setiap kali cuba menyentuh isu agama, mereka akan dilibas pantas oleh DAP. PAS hanya mampu membisu. Takut berputus kasih dengan DAP yang memilih bulu! Bila DAP mengamuk, PAS menyorok. Bila DAP kata Himpunan Sejuta Umat agenda haram, PAS diam.

PAS tutup cerita pasal larangan berhibur di bulan puasa di Kedah. PAS tutup cerita pasal isu murtad yang berleluasa. Semua berpunca daripada ketiadaan satu ideologi yang sehaluan – yang digadaikan adalah nasib bangsa dan agama.

Lebih malang, demi kuasa, pembangkang ligat menanam benih prejudis yang menghalang orang Melayu untuk bercakap dan memperjuangkan kepentingan bangsa secara terbuka. Jatidiri Melayu mereka hakis. Kecintaan kepada bangsa mereka kikis. Sehingga mewujudkan persekitaran yang menyebabkan segelintir berasa janggal untuk menzahirkan semangat dan jatidiri mereka sebagai anak Melayu.

PAS dan PKR masih sanggup bersekongkol dan hanya mendiamkan diri melihat orang Melayu di Pulau Pinang diasak dan dipijak-pijak oleh DAP. Hari ini, menjadi orang Melayu di Pulau Pinang, tak ubah seperti merempat di bumi sendiri. Bukan sekadar jatidiri Melayu hancur, warna kulit kita pun dah dipersenda. Mana mungkin DAP bukan parti rasis setelah menghina warna kulit YAB Menteri Besar Perak. Mana mungkin saya tak terasa, warna kulit saya pun serupa.

Malah, selama ribuan tahun di seluruh dunia, warna kulit telah menjadi simbol penindasan, dan dengan sewenang-wenangnya mereka lontarkan kenyataan rasis sebegitu.

Barangkali PKR sudah mula sedar bahawa sokongan Melayu terhadap mereka semakin pudar. Orang Melayu sudah sedar bahawa PKR tidak mampu memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa kita. Lantas semasa Kongres PKR yang berlangsung baru-baru ini, mereka tampak begitu kemaruk kuasa dan terdesak sehingga menuntut kita meminda perlembagaan persekutuan agar menjamin hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.

Mereka merayu kepada UMNO meminda perlembagaan tidak lain tidak bukan kerana PKR khuatir sekiranya Pakatan pembangkang menang kelak, yang menjadi Perdana Menteri bukannya dari parti PKR mahupun PAS.

Mereka gusar dengan kuasa DAP yang tampil lebih mendominasi, lebih berkuasa dalam pakatan pembangkang dan terpaksa menggunakan UMNO sebagai jalan belakang, jalan penyelamat.

Tindakan ini menampakkan rasa saling curiga sesama pembangkang sehingga membuatkan PKR terpaksa meminta UMNO untuk membuat sesuatu yang boleh selamatkan mereka. Barisan Nasional tidak perlu kepada pindaan perlembagaan ini kerana kita menaruh penuh keyakinan pada sistem muhibbah sedia ada serta semangat muafakat di kalangan ahli komponen BN.

Kita percaya UMNO mampu menawarkan kepimpinan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita yakin tanpa peruntukan dalam perlembagaan pun, rakyat Malaysia keseluruhannya tetap menyokong kepimpinan Melayu yang adil kepada semua.

Ini jatidiri kita dalam UMNO yang bangga dengan kemampuan bangsa sendiri untuk terus memimpin negara. Tapi tanpa jatidiri utuh, PKR berpeluh. Terhegeh-hegeh minta UMNO pula pinda perlembagaan kerana tidak mampu mengatasi kuasa DAP merampas takhta Kerajaan sekiranya nauzubillah mereka menang.

Ketaatan PAS dan PKR terhadap kerakusan DAP ini nyata tidak bertepi. Inilah masalahnya, apabila jatidiri bangsa runtuh dan musnah. Maka, agama dan bangsa akan menjadi mangsa kelima pakatan jahanam.

Keenam: Menjahanamkan kemakmuran ekonomi negara
Dalam mengupas kesejahteraan ekonomi, pembangkang mengapung-apungkan kononnya mereka sebuah kerajaan yang bersedia memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat. Saya teringat akan satu pesan bidalan lama – yang manis jangan segera ditelan, yang pahit jangan segera dibuang. Inilah formula Pakatan pembangkang. Janji manis, pendekatan populis, negara muflis.

Kajian kita mendapati bahawa sekiranya janji-janji manis dalam Buku Jingga dilaksanakan, Malaysia akan bankrap seperti Greece dalam tempoh hanya 2 tahun. Mana tidaknya, untuk mengotakan sebahagian janji manis kebajikan mereka, hutang Kerajaan akan mencecah RM617 bilion pada tahun kedua sahaja.

Maka kita akan mempunyai tidak lebih daripada setahun untuk bersorak-sorai meraikan kenikmatan sementara kehidupan percuma, sebelum terpaksa meratib penuh sesal kemusnahan ekonomi negara untuk beberapa generasi selepas itu. Biarpun terdapat analisis yang menunjukkan kelemahan pendekatan sebegini, pembangkang tidak peduli. Yang penting, mereka mampu memancing undi.

Jika mengikut pembangkang, negara akhirnya terpaksa melukut di tepi gantang – menagih bantuan daripada agensi seperti IMF. Kita tahu sejarah Anwar yang rapat dengan IMF dan beliau rela menjadi pak sanggup mengheret negara kepada tuntutan luar demi kuasa. Inilah masalahnya orang yang suka melalak. Berteriak pandai, berfikir tidak. Kuman seberang laut mereka nampak. Gajah depan mata mereka sepak. Pendek kata, kemakmuran ekonomi negara akan menjadi mangsa keenam, pakatan jahanam.

Awan datang lindungi bulan
Malam pekat sunyi rasa
Politik pembangkang sarat kebencian
Hasut rakyat demi kuasa

Dentam-dentum atas permatang
Orang mengemping padi muda
Melayu terpinggir di Pulau Pinang
Air Kelantan tak bersih jua

Tunggul kecil di tengah huma
Buat tanda antara sempadan
Biar apapun pembangkang cuba
Putrajaya tetap Pemuda pertahankan

Para perwakilan sekalian,
Jangan sekali-kali kita lalai, leka dan alpa. Jangan kita dibuai kegemilangan silam. Cabaran yang bakal kita hadapi pada PRU-13 ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya. Inilah masa dan ketikanya Pemuda UMNO bangun untuk melakar kesinambungan perjuangan yang murni ini.

Pemuda yang ada pada hari ini, seperti mereka yang terdahulu, tidak mungkin lari dari medan perang. Kita tahu betapa pentingnya perjuangan ini demi masa hadapan anak bangsa.

Saya yakin dan percaya setiap ahli Pemuda yang ada pada hari ini takkan gentar untuk menghadapi armada perang musuh dan berjuang bersama-sama pucuk pimpinan. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Biar patah dahan berpaut, biar retak lantai berpijak, musuh datang pemuda tak takut, apa dugaan takkan berganjak.

Akhirul kalam, saya akhiri ucapan ini dengan satu sajak yang didedikasikan kepada kita semua semoga menjadi azimat untuk kita bersedia menghadapi cabaran yang paling getir dalam sejarah parti keramat kita.

Apabila engkau terasa hembusan angin fajar diiringi embunnya,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Rahsia silam bumi yang engkau pijak,
Lipatan sejarah langit yang engkau junjung?

Apabila engkau menegakkan panji-panji perang-mu,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Siapakah gerangan pejuang tidak bernama,
Yang dulu menggadai jiwa dan raga demi anak bangsa?

Apabila air mata berlinangan ketika engkau memohon restu bonda,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Apakah sebab mereka berjuang, tanpa mengira badai yang datang,
Apa cerita di sebalik cerita memungkinkan mereka mengorbankan semua?

Apabila anak-anak mu melambaikan tangan dan sayu engkau membalasnya,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Bagaimana aku insan biasa dapat menebus segala jasa
Bagaimana aku manusia kerdil dapat meneruskan perjuangan mereka?

Apabila semboyan sudah berbunyi diiringi paluan gendang perang ini,
Apabila musuh bertentang mata, denyutan nadi semakin kencang,
Engkau tidak lagi perlu bertanya,
Kerana hari ini, ketika bahtera perang mereka semakin menghampiri,
Sudah tentu hari ini, di bawah kibaran panji-panji parti keramat kita ini,
Kita akan sama-sama teguh berdiri!

Ayuh Pemuda, Mari kita sama-sama berdiri!
Berdiri bukan mencari nama, Berdiri bukan mencari harta,
Berdiri kerana aku tidak mungkin lupa sejarah ku,
Berdiri kerana aku pewaris perjuanganmu,
Berdiri kerana aku siap siaga, terus sahaja bertarung nyawa

Ayuh Pemuda, Mari kita sama-sama berdiri!
Berdiri kerana aku Pemuda yang tidak gentar semua,
Berdiri kerana aku Pemuda penerus perjuangan bangsa!
Berdiri kerana engkau berdiri bersama, teguh kita pasti bersama, kekal utuh ke akhir masa. HIDUP UMNO! HIDUP UMNO! HIDUP UMNO


UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO, DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN - “Wadah, Wasilah Dan Hikmah”

SAYA suka memulakan ucapan ini untuk kita bersama-sama menyelak keagungan beberapa kisah dalam sejarah. Mungkin ramai yang tidak menyedari, sudah banyak hikayat dan riwayat yang dikisahkan kepada kita tentang kehebatan insan bernama ‘Puteri’ dan kelembutan mereka dalam mengubah dunia.

Kisah pertama. Atas wadah perjuangan, Hang Li Po adalah puteri yang menyatukan kesantunan budaya Melayu dan keunikan tradisi Cina. Kehebatan wadah perjuangan Puteri Hang Li Po menukilkan sejarah kejayaan, menyatukan 2 bangsa, mengeratkan dua bahasa. Kisah kedua. Atas wasilah keikhlasan, Balqis, adalah satu-satunya Sang Puteri yang diundang menjadi saksi kemahsyuran istana kaca Nabi Sulaiman. Kerendahan hati dan pekerti Puteri Balqis menjadi asbab seluruh rakyat tunduk dan tawadhuk kepada Pencipta, dan Pemilik seluruh semesta.

Kisah ketiga, atas hikmah kebijaksanaan, Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah adalah Puteri Gunung Ledang yang bisa menundukkan keangkuhan seorang sultan yang bersemayam di singgahsana kebatilan. Sebalik santun beradab, Puteri Gunung Ledang menggunakan hikmah kebijaksanaan untuk membuktikan kepada sebuah pemerintahan, betapakuasa wanita bukan pada rupa, sebaliknya kuasa sebenar wanita pada tajamnya akal minda, padahalusnya kuasa fikir yang sukar dibaca dan ditafsir.

Sebagai Puteri, saya percaya kesemua peristiwa ini lebih daripada sekadar satu rakaman sejarah lampau atau mitos rakyat. Ini adalah satu bingkisan peristiwa yang akan mengajar kita tentang wadah, wasilah dan hikmah perjuangan seorang wanita muda. Mereka bukan Puteri pada nama, tetapi Puteri pada jiwa. Mereka bukan Puteri pada pangkat, tetapi Puteri pada semangat. Mereka bukan Puteri untuk ditatang, mereka adalah Puteri yang bisa turun ke medan juang. Inilah roh perjuangan dan semangat sebenar seorang Puteri.

Tamsilan dari kisah ini, dan mengambil roh semangat setiap watak-wataknya, saya dengan rasa rendah diri berdiri sebagai Ketua Puteri, mengambil setiap bait-bait harapan, semangat, impian, dan daya juang yang tertanam dalam setiap roh perjuangan ahli-ahli Puteri, untuk kita bersama-sama merungkai dan menilai, makna disebalik wadah, wasilah dan hikmah sebuah perjuangan.
Kita sudah melalui sebuah perjalanan yang panjang. Justeru, ucapan saya pada hari ini, ingin mendekatkan kita untuk menyusur semula wadah perjuangan kita, merasai setiap nafas perjuangan yang menghela wasilah keikhlasan dan bertulang sendikan hikmah kebijaksanaan.

10 TAHUN PERJUANGAN PERGERAKAN PUTERI UMNO
Tahun ini adalah ulangtahun Pergerakan Puteri yang ke 10. Apa ada pada angka sepuluh? 10 Zulhijjah, adalah saksi peristiwa Nabi Allah Ibrahim mengorbankan anaknya sebagai lambang kepatuhan kepada Yang Maha Esa. 10 Muharram,

Hari Asyura yang menyaksikan Nabi Nuh dan seluruh pengikutnya menghulurkan segala yang mereka ada demi menjamin kelangsungan dan survival kehidupan. Dan surah ke 10 dalam Al Quran adalah Surah Yunus, yang menceritakan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang menuntut pengorbanan dan ketakwaan hamba pada Khaliknya.

Angka sepuluh ini membawa siginifikan tentang pengorbanan dan segala sifat yang terkandung di dalamnya. Angka sepuluh ini hadir sebagai petanda dan aksara keramat, betapa setiap yang dikerjakan atas roh perjuangan perlu bertunjangkan pengorbanan. Dan uniknya, tahun ini adalah tahun ke sepuluh pengorbanan Pergerakan Puteri sebagai sayap UMNO, yang berjuang meladeni ketuanan Melayu.

Syukurlah, rahmat dan redha Allah tidak pernah putus mengiringi perjuangan kita. Diturunkan kepada kita ujian untuk kita belajar dan sedar, betapa besarnya harga dan nikmat sebuah perjuangan. Sedar atau pun tidak, sepanjang 10 tahun ini juga telah lahir pejuang, wirawati, srikandi dan perevolusi dalam Pergerakan Puteri.

Malah dalam mana-mana kepimpinan pun akan lahir yang khianat, yang dengki, yang iri hati, yang tamak haloba, namun dengan matang kita bangun dan berkata, inilah resam, adat dan lumrah berjuang, kerana apabila kita mendaki puncak kejayaan, jalannya pasti berliku, ranjau pasti akan kita ketemu. Kesemuanya hanya sekadar menyediakan kita kepada satu jawapan, “Kita kini dipuncak perjuangan.”

Namun, apa yang kita miliki hari ini, tidak menjadikan kita buta, bisu dan pekak dari terus memperhalusi garisan panjang perjuangan bangsa. Kerana setiap dari kita harus punya semangat Melayu tulen. Semangat yang pantang menyerah sebelum kalah, semangat membujur lalu melintang patah, berpantang maut sebelum ajal. Atas semangat inilah, maka sudah sampai masanya kita memperkukuhkan wadah, wasilah dan hikmah perjuangan kita.

Saya ingin mengambil seketika masa saudari-saudari untuk kita memahami memahami terlebih dahulu, 3 perkataan keramat yakni wadah, wasilah dan hikmah, yang akan menjadi azimat perjuangan kita.

Wadah, secara bahasanya membina maksud asas, tempat, platform, saluran dan medan yang paling berkesan dalam menggapai sesuatu sasaran. Justeru, kita hari ini sudah punya wadah. Malah belum ada dalam sejarah mana-mana bangsa, wadah ini bertahan merentas zaman ke zaman. UMNO dan Pergerakan Puteri adalah wadah kita, saluran kita, asas tempat kita, dan di sinilah medan kita berjuang, berperang dan menyediakan kehidupan kepada generasi masa hadapan.

Inilah satu-satunya wadah keramat orang Melayu dan wadah perjuangan ini yang akan kita pertahankan, walaupun terpaksa dipertaruhkan sehingga bercerai nyawa dari badan. Biar putih tulang jangan putih mata.

Wasilah secara hurufiahnya adalah kedudukan, perantara dan sesuatu yang menyambung dan mendekatkan sesuatu dengan yang lain, atas dasar keinginan yang kuat untuk mendekati. Di dalam Al Quran sendiri, perkataan wasilah ini disebut sebanyak dua kali iaitu di dalam Surah Al Maidah ayat 35 dan Al Isra’ ayat 57, yang mengunjurkan pengertian tentang seruan untuk umat manusia mencari wasilah atau kedudukan dan jalan, yang mampu mendekatkan diri dengan Allah Yang Maha Esa.

Pemahaman yang lebih tajam, wasilah dalam konteks kehidupan adalah suatu kedudukan, perantara dan jalan yang seharusnya kita redahi untuk mencapai redha Ilahi, serta sebagai usaha yang istiqamah dalam meneruskan kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Wasilah dalam konteks perjuangan kita, seharusnya lebih terarah pada kedudukan dan jalan yang tepat, agar kita benar-benar berjuang dari jiwa yang waja dan hati yang tidak berbelah bagi. Kita mencari wasilah keikhlasan kerana yang menjadi perantara di antara apa yang kita juangkan dengan sesuatu yang dicari dalam perjuangan, hanya satu perkataan iaitu keikhlasan. Keikhlasan tidak penah membanding bezakan pangkat dan jawatan, juga keikhlasan tidak pernah buta dan bebal dalam mengenal emosi dan rasional.

Hikmah pula, adalah mengetahui dan mencari sesuatu yang terbaik, melaksanakan dengan cara yang terbaik untuk memperoleh hasil yang terbaik. Hikmah adalah keadilan dalam menghakimi dan ia dipasakkan atas kekuatan pengetahuan dan ilmu. Secara khulasahnya, perkataan roh hikmah ini mengajak kita untuk mendasari sesuatu kebenaran melalui ketajaman akal fikir, kekuatan rasional, keluasan sudut pandang, ketinggian ilmu serta keberanian mengambil tindakan.

Maka dalam konteks perjuangan Pergerakan Puteri, hikmah ini tersimpul mati dalam satu erti iaitu, kebijaksanaan. Inilah hikmah yang akan mendasari perjuangan kita sampai bila-bila.

Bertitik tolak dari pemahaman wadah, wasilah dan hikmah inilah, maka setiap dari kita perlu untuk bermuhasabah semula, mengingati dan menginsafi setiap denai perjuangan selama 10 tahun yang telah kita lalui.Perubahan zaman, telah menjadikan Puteri semakin matang, terbuka dan optimis untuk kehadapan bersuara dan memberi pandangan.

Bangsa yang bertamadun lazimnya percaya, bahawa syarat asas membina sebuah ketamadunan ialah apabila tidak ada seorang pun dari rakyat yang dinafikan haknya untuk berjuang, dan haknya untuk bersuara. Atas kepercayaan itulah, maka usaha ke arah penubuhan Pergerakan Puteri Umno bermula, bagi menyediakan satu jawapan kepada 1001 persoalan, dimanakah wadah perjuangan wanita muda?

Syukurlah, Hari ini 10 tahun Puteri berdiri kerana pemimpin terdahulu tidak pernah berputus asa berjuang menyediakan wadah untuk kita. Pada tahun awal penubuhan Puteri, kita dikecam, kita dipandang rendah dan kita dicabar oleh banyak pihak. Tetapi semangat dan kemahuan kita untuk bangun berjuang telah membawa satu isyarat, bahawa wanita muda juga ada hak dan tidak mahu hak mereka dipinggirkan.

Tiada yang lebih berharga selain dari penghargaan terima kasih buat Datuk Azalina Othman, Ketua Pergerakan Puteri yang pertama yang lantang menentang semua suara-suara sumbang, dan tegar berdiri menyediakan kita wadah perjuangan ini.

Juga penghargaan terima kasih buat Datuk Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang kedua, dengan semangat dan kerja kuat beliau akhirnya telah merintis Pergerakan Puteri dalam memahami erti perjuangan melalui wasilah keikhlasan. Dan hari ini, tugas dan tanggungjawab ini terpikul di pundak kita. Kita punya wadah dan sudah bertemu wasilah, dan kini kita perlu belajar berjuang dengan asas hikmah kebijaksanaan.

Ibn Khaldun dalam karya agongnya Muqaddimah pernah menegaskan, “Kebijaksanaan itu adalah asas untuk membangunkan kesejahteraan rakyat.” Justeru itu, bijaksana dalam berjuang, menuntut kita untuk mengenal siapa diri kita yang sebenar. Cara kita mendidik dan membesar juga menjadi petanda kematangan kita mendepani zaman.

Contohnya, dalam kitab Tarbiyatul Aulad karangan Abdullah Nasih Ulwan, jelas menerangkan betapa kanak-kanak berusia 7 tahun perlu diajar bersolat dan kalau enggan mereka perlu dinasihati.

Dan pastinya ada sebab kenapa apabila 10 tahun baru Islam mewajibkan merotan anak yang enggan bersolat. Apakah signifikan dengan 10 tahun? Maka Tuhan mengajar kita bahawa pada usia ini kita sudah boleh menentukan halatuju hidup dan berhak menerima hukuman dan bertanggungjawab atas segala tindakan kita.

Andai kita ingin mengibaratkan perjuangan ini seperti kisah hidup seorang Muslim, maka Pergerakan Puteri UMNO sudah cukup dewasa dan benar-benar merdeka dalam memahami tanggungjawab dan halatujunya. Kita sudah mumaiyiz yang sudah bijak menentukan baik buruk dan tidak lagi mengharap sepenuhnya pada sayap-sayap yang lain dan kepimpinan tertinggi parti.

Kita sudah bijak bertindak dalam membuat keputusan demi menjaga kesarwajagatan bangsa Melayu. Kita sudah selayaknya berjuang dan bertindak untuk mengangkat martabat dan darjat bangsa kerana ia bukan hanya tanggungjawab parti tetapi ia juga tanggungjawab kita setiap ahli-ahli Puteri.

Mari kita fahami semula asas perjuangan Pergerakan Puteri.Tujuan asal penubuhan Puteri sebagai salah satu sayap utama parti ialah menjadi perintis kepada perubahan terhadap dua perkara, iaitu Teknologi Maklumat dan Generasi Muda. Kedua-dua elemen ini kita bangunkan sebaik mungkin sebagai asas dan matlamat perjuangan kita. Dan hari ini Pergerakan Puteri UMNO jelas dihadapan dalam menyediakan keperluan teknologi maklumat dalam arus media baru sehingga kita telah dikenali sebagai pemegang kunci azimat maklumat maya.

Pengenalan ‘Cyber Troopers’ adalah lambang betapa kita dihadapan dalam usaha merakyatkan penggunaan teknologi dan semua maklumat ini diurus tadbir dengan berhikmah. Puteri juga sentiasa terbuka dalam memahami dan mendekati secara berhikmah keperluan dan kehendak generasi muda. Khulasahnya, media baru dan generasi muda memang sudah sinonim dan Pergerakan Puteri sebagai wadah untuk kedua-dua bergerak atas wasilah dan berhikmah.

Perubahan akan lebih terkesan, andai ia bermula dari dalam dan persoalan bagaimana cara mengubah harus di fahami secara berhikmah. Kita harus berubah dan bersedia untuk diubah. Dengan ini transformasi yang lebih dinamik akan terus menggerakkan perjuangan. Dengan ini saya mencadangkan Gagasan Tranformasi Puteri ( GTP ) yang digerakkan melalui 5 asas utama.

Pertama, transformasi akhlak. Puteri akan kehadapan dalam menyediakan contoh akhlak terpuji yang harus diteladani.

Kedua, peradaban. Semua usaha dan pendekatan kita, akan lebih terarah kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa yang berjaya.

Ketiga tranformasi perenggu minda atau mind set. Sudah tiba masanya kita membuka kotak fikir kita, untuk melihat perjuangan dalam bermacam sudut pandang dan perspektif. Lebih terbuka dalam menerima kritikan dan lebih berani menegakkan kebenaran.

Keempat, tindakan. Tindakan kita harus lebih agresif, proaktif dan lebih mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan indidvidu.

Kelima pemikiran. Inilah tranformasi paling utama dan setiap dari kita harus percaya, semuanya harus bermula dengan asas pemikiran yang sihat dan terarah. GTP inlah yang menjadikan kita lebih berhikmah dalam berdepan cabaran perjuangan.

Akhlak, peradaban, perenggu minda, tindakan dan pemikiran, inilah tranformasi asas YAB Dato Seri Presiden, dan kesemua transformasi ini harus didahulukan sebelum transformasi lain kita laksanakan. Masa kita kini adalah untuk setia bersama Dato’ Seri Presiden untuk merealisasikan tranformasi beliau, dan ini jugalah masa untuk kita bersama Dato Seri Presiden agar beliau tidak bersendirian melakukan perubahan ini. Itu janji kita di Pergerakan Puteri.

RESMI PERJUANGAN
Masyarakat Jepun percaya, bahawa ubat paling mujarab untukseseorang pesakit adalah pesakit itu sendiri. Kerana itulah, sejak di awal usia, kanak-kanak Jepun diajar memakai kasut yang nipis, supaya mereka dapat menahan bahang dan rasa sejuk lantai tempat berpijak, sekalipun suhu badan panas mereka dihambat ke pintu sekolah kerana disitulah bermulanya sifat survival dalam jiwa kental setiap rakyatnya.

Mereka percaya, ubat yang terbaik adalah kekuatan minda, jatidiri dan antibodi untuk terus berdiri secara mandiri. Malah pakar psikologi begitu percaya, separuh daripada pesakit di hospital sebenarnya tidak sakit sebaliknya tewas kepada mentaliti sendiri.

Mengambil semangat itulah, kita harus kuat untuk terus mandiri berdepan dengan kesakitan dan keperitan perjuangan. Benar resmi berjuang itu sakit, pedih, perit dan adakalanya mengecewakan, namun itu bukan alasan untuk kita bacul dan lari dari perjuangan. Puteri harus punya ketahanan untuk berdepan perit sakit perjuangan. Semua ini adalah bekal dan kekuatan kita untuk menakhodai arus perubahan selari dengan hasrat YAB Dato’ Seri Presiden yang mahukan kita menakhodai zaman.

Zaman sudah berubah. Justeru pemikiran juga harus berubah. Hanya melalui tranformasi pemikiran yang sihat kita mampu mengubati penyakit yang melarat. Syukurlah hari ini, kita sudah meninggalkan budaya canggung dalam politik. Tiada lagi budaya separuh masak orang Melayu.

Kalau kita ada pisau kita tak tikam belakang orang, kalau ada gunting kita tak potong rambut orang. Kita berani berkata benar demi menegakkan hak dan manfaat perjuangan. Tiada lagi adu domba. Tiada lagi pura-pura didepan bikin kerja, tapi dibelakang bikin cerita.

Di depan ketua, dia serendah-rendah ahli, di depan ahli, dia setinggi-tinggi ketua. Tiada lagi budaya selak menyelak. Semua dia yang tahu, semua dia yang betul. Tiada lagi watak Bawang Merah dalam Puteri, jiwanya dengki, hatinya iri dan raganya berdendam benci. Tiada lagi watak Kassim Pantalon dalam Tiga Abdul, bila disuruh urus kerja, semuanya 25 percen.

Kalau masih ada yang mahu dikipas dan mengipas, yang dengki dan iri hati, yang dendam tak bertepi, yang cemburu membuta tuli, sama-sama kita bilang pada mereka, UMNO bukan parti mereka. Perjuangan UMNO suci, yang kotor hanya tangan-tangan mereka. Perjuangan UMNO bersih, yang tercemar hanya politik murahan mereka.

Tiada lagi gunting dalam lipatan, tiada lagi musuh dalam selimut, tiada lagi lidah bercabang dua dan tiada lagi kepalanya ular, ekornya belut kerana kita bukan seperti Pakatan Rakyat, satu bahtera tiga nakhoda.

Akibat kita terlalu memikirkan parasit-parasit parti, kita lupa ribuan ahli yang lain jauh lebih ikhlas dalam berjuang. Sepanjang saya menjadi Ketua Puteri, telah banyak cerita yang saya dengar dan saya temui sendiri, kegigihan pejuang-pejuang Puteri yang tidak punya apa-apa jawatan dan pangkat dalam parti, tetapi berjuang seikhlas hati.

Tahukah adik-adik, di dalam dan diluar sana ramai ahli-ahli kita yang sanggup lakukan apa sahaja untuk perjuangan ini. Pernah ada ahli Puteri yang sarat mengandung, pada malamnya masih lagi turun ke mesyuarat Puteri, dan esoknya dia bersalin.

Pernah ada ahli Puteri yang dengan penuh gigih mengambil ahli-ahlinya untuk hadir ke mesyuarat sampai 4, 5 trip, dan kemudian menghantar semula mereka pulang selepas mesyuarat tanpa meminta upah satu sen pun. Dan kerana terlalu penat, sewaktu pulang awal pagi, beliau ditimpa kemalangan. Ada yang sampai hilang kerja kerana terlalu bekerja untuk parti.

Saya percaya di luar dewan ini, lebih ribuan ahli Puteri lain yang tak dapat peluang menjadi perwakilan masih datang ke PWTC. Makan tak menentu, tidur tak bertempat, tinggalkan keluarga semata-mata sayangkan perjuangan parti. Sebenarnya, mereka ini kalau kita tewas mereka yang sedih dan menangis, kalau kita dihina dan dicaci mereka yang tampil ke hadapan bersuara.

Merekalah wirawati yang tak pernah didendang, wirawati yang sebenar dalam berjuang. Jiwa mereka besar, semangat mereka besar, keberanian mereka besar walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan besar.

Pada saya mereka umpama sebutir mutiara yang lebih berharga dari pasir sepantai. Biar mereka tidak cantik di mata penduduk bumi, tapi nama mereka menjadi bualan penduduk di langit. Mereka lah semangat dan kekuatan kita untuk terus berjuang.

Janji saya, selagi saya berdiri di dalam Puteri, selagi itu doa saya, semangat saya akan mengiringi tiap jerih perjuangan mereka. Biar mereka bukan jutawan dunia tapi mereka lah jutawan akhirat. Jasa mereka hanya Allah yang mampu menghitungnya.

Sidang perwakilan yang saya kasihi,

Umum maklumi, Jepun adalah sebuah bangsa yang hebat. Dari debu runtuhan Nagasaki dan Hiroshima, mereka membangun sebagai bangsa yang benar-benar merdeka. Dari runtuhan Kobe dan bencana radioaktif Fukushima, mereka berdiri membina semula peradaban dan keyakinan.

Pemikiran mereka merdeka. Tindakan serta keberanian mereka, menjadi perintis kepada semua perubahan. Kita mungkin lazim mendengar semangat kamikaze yang sudah sejiwa dengan darah pejuang mereka. Namun ramai yang mungkin tidak mengetahui, bahawa bangsa Jepun punya satu lagi prinsip yang besar yang diterapkan dalam setiap denyut nadi bangsanya iaitu ‘Gambaru.’

Gambar membawa makna berjuang bermati-matian sehingga titik darah penghabisan atau bertahan sampai kemana pun juga. Apa juga yang ditegakkan dari pangkal menjadi tanggungjawab untuk diperjuangkan sehingga ke hujungnya.

Persoalan yang hadir adalah sebuah kewajaran dalam hidup dan semuanya hanya bisa dihadapi dengan semangat Gambaru kerana perjuangan bukan soal menghitung menang dan berserah kalah, perjuangan adalah soal prinsip yang perlu ditegakkan dengan segala kudrat dan kekuatan yang ada. InsyaAllah rahmat dan berkat Tuhan acapkali rapat dengan mereka yang ikhlas dalam berjuang.

Maka benarlah kata-kata pujangga Arab, ‘Manjadda wajada,’ Sesiapa yang berusaha maka dia akan berjaya. ‘Man Zara’a Hasada’ Siapa yang menanam, maka dialah yang mendapat hasilnya.

Justeru, menggenggam aspirasi dari semangat inilah, setiap dari kita perlu memahami asas dan wadah perjuangan Pergerakan Puteri UMNO. Dimana kita bermula dan kemana harus kita teroka. Maka ‘jadda’ yakni berusaha bersungguh-sungguh menyeru untuk kita dengan hati dan seluruh kudrat memahami prinsip perjuangan, wadah yang digunakan, matlamat yang ingin dicapai serta manfaat yang mampu ditebarkan.

Cuma satu pesan saya, ingat, bukan resmi berjuang jika semuanya mudah dan indah. Bukan berjuang namanya, jika yang lalu adalah seperti apa yang kita mahu. Benar, berjuang adalah untuk mencari kemenangan, benar berjuang ialah soal menundukkan ego lawan, tetapi adalah lebih benar, berjuang adalah untuk mempertahankan hak, prinsip dan kebenaran.

Jangan sesekali kita lupa, berjuang tidak semestinya kita sentiasa menang, berjuang bukan bererti kita perlu berada di atas, berjuang juga bukan bererti bekerja hanya apabila menerima ganjaran, kerana itu, hari ini, ramai yang menang sorak kampong tergadai.

Berjuang kita akan tetap berjuang menentang kebatilan menegak kebenaran. Kita akan tunduk menghormati dan angguk membenarkan tiap sesuatu yang pasti. Tapi kita takkan sesekali kaku dan lemah mengiyakan semua perkara dengan pasrah dan berserah.

Sudah-sudahlah kita menjadi seperti Mahsuri, bila difitnah dia mengalah dan duduk mengharap simpati menyebelah. Cukup-cukuplah kita bersimpati dengan watak Si Bawang Putih. Apabila difitnah, dicaci, di hina hanya tunduk dan mengiyakan maruahnya dipijak-pijak.

Hari ini, semangat Puteri harus mengalir sepekat darah Tun Fatimah. Yang bangun berjuang kerana prinsip, tajam lidah bersuara kerana kebenaran dan keberanian menongkah arus kerana percaya kalau bukan dia yang pertahankan Melaka, habis itu siapa?

Maka benarlah seperti yang pernah dikhabarkan sejarah, betapa Portugis lebih takutkan Tun Fatimah dari suaminya Sultan Mahmud Syah. Iktibar dari kisah inilah, maka bangunlah berjuang dan menegakkan kebenaran. Kalau yang dijuangkan adalah kebenaran, maka yang tertegak juga adalah kebenaran. Kalau diperjuang adalah kebatilan, maka akhirnya yang akan menimpa adalah kebatilan.

SUDUT PANDANG SEJARAH
Sebagai sebuah sayap pergerakan politik, Puteri hari ini sudah semakin matang dalam menilai dan menghadam setiap isu yang berlaku saban hari. Kita punya asas rasional yang kukuh untuk melihat sesuatu isu serta berpasak pada prinsip dan pendirian kita sendiri. Kalau benar kita katakan benar dan kita sokong, tetapi kalau batil kita tidak pernah gentar untuk katakan batil dan kita tentang habis-habisan.

Dalam kehidupan manusia, banyak perkara yang boleh kita pilih, tetapi hanya satu yang tak boleh kita pilih. Iaitu asal usul kita. Sejarah kita. Hari ini semua orang bercakap tentang sejarah. Signalnya setiap dari kita sayangkan perjalanan sejarah kita. Sejarah adalah tentang hak milik, kepunyaan yang membesar sebagai lambang dan pusaka satu bangsa.

Tetapi, sejarah boleh sahaja jadi alat politik bagi mereka yg meletakkan kepentingan peribadi mengatasi dari harga diri dan nilai yang dilalui oleh sejarah itu sendiri. Soalnya rakyat bukan lagi buta sejarah. Mereka tersepit antara memahami pengajaran dari kulitnya dan menerokai kebenaran yang tersembunyi dalam intinya.

Kita takut untuk bercerita tentang kebenaran walhal sejarah adalah sejarah. Dalam perjalanan sejarah mana-mana bangsa di dunia, fakta sejarah pasti bergaul antara indah untuk dikenang dan yang perit untuk ditatang. Laluan sejarah juga boleh sahaja bercerita tentang kesilapan kita sebelumnya dan kita harus matang dan terbuka berhadapan dengannya untuk dipetik tiap bait pengajaran.

Jangan sekali-kali kita paranoid dan takut pada bayang-bayang sendiri. Natijahnya, maka akan hadir pihak tidak bertanggungjawab yang hanya menangguk di air keruh, melukut di tepian gantang, mengambil kesempatan atas situasi seperti ini, untuk mengasak cara berfikir masyarakat agar pendirian mereka terhadap persepsi sejarah boleh dibeli dan dijual sesuka hati.

Jika dahulu pembangkang memecah belahkan perpaduan kita melalui sentimen perkauman, melalui sentimen bahasa, sentimen kuota bumiputera, hingga kepada sentimen agama tetapi hari ini kerana niat kotor politik mereka, kita dipecahbelahkan menggunakan sentimen sejarah.

Ironinya, jika soal agama, kuota bumiputera, isu kaum adalah isu tentang perjuangan tunggal sesuatu kaum tetapi sentimen sejarah hari ini cubadigaris pisahkan antara ideologi pembangkang dan kerajaan. Mereka sanggup jual cerita, bina persepsi membabi buta, mengasak emosi rakyat dengan kaedah retorik dan logik tanpa asas untuk royalti politik murahan.

Akhirnya sedikit demi sedikit mereka mengajar rakyat membenci sejarah, dan sedikit demi sedikit kebencian terhadap kerajaan berakar.

Justeru itu, Pergerakan Puteri UMNO bertegas bahawa perlu adanya satu gerakan yang komprehensif untuk menyelak semula pendekatan dalam matapelajaran Sejarah yang sudah digunapakai sejak sekian lama. Bukan bermakna apa yang kita buat selama ini salah, tetapi kita seharusnya matang untuk menerima bahawa sesuatu yang betul tidak bermakna ia relevan untuk setiap zaman dan generasi.

Sudah tiba masanya, pendekatan dan daya sampai subjek Sejarah mampu untuk mengubah persepsi pelajar untuk tidak melihat Sejarah sebagai satu subjek apatah lagi mengasaki mereka melalui helaian kertas peperiksaan.

Selain dari pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih terbuka, merangsang pelajar untuk bereskpresi rasa tentang perjalanan sejarah bangsa mereka, disamping membuka ruang pelajar untuk berdebat sesama mereka tentang pandangan terhadap sejarah dengan dipimpin oleh kematangan guru dalam mengendalikan isu.

Sejarah hanya benar-benar akan rosak, apabila disebut tentang subjek sejarah, pelajar hanya terfikir tentang nama tokoh, tarikh ,tempat, peristiwa, punca dan kesan. Kita tutup pintu mereka untuk berekspresi, bereksplorasi, bertanyadan tampil dengan pandangan dan pendapat mereka sendiri. Akhirnya, kegagalan untuk mengekspresi nilai inilah menyebabkan kita jumud dengan kebenaran.

Fakta adalah hakikat.Manakala interpretasi terhadap fakta membentuk persepsi. Tetapi cara interpretasi itu yang menjadikan sudut pandang sejarah menjadi hitam atau putih. Soalnya yang benar-benar ingin kita fahami adalah pengajaran yang di bawa bersama sejarah.

Percayalah, dalam dunia yang semakin terbuka sekarang,ditambah dengan lonjakan cara fikir rakyat yang semakin matang, kita akan tewas jika kita sering takut dengan kesilapan silam.

Apa yang kita harus lakukan ialah memberi interpretasi baru tentang kesilapan silam untuk kita menjadi lebih berani dan bermaruah mendepani perjuangan. Inilah yang dikatakan belajar daripada sejarah, kerana sejarah bukan hanya sekadar mengangkat kemegahan dan kekuatan, disebaliknya matang mencedok pengajaran dari kesilapan masa silam.

Justeru, Puteri dengan lantang menentang sekeras-kerasnya tindakan Mat Sabu yang telah memberi interpretasi separuh masak fakta sejarah dalam isu Bukit Kepong. Mereka boleh sahaja meletakkan anggapan keganasan komunis sebagai lambang perjuangan, tetapi kita harus yakin dan percaya sampai bila-bila, bahawa pengganas tidak akan pernah menjadi pejuang.

Perompak harta rakyat, perogol anak dara tidak akan pernah menjadi pembela bangsa, dan keganasan bukan cara bangsa bermaruah untuk bertempur dimedan perang.

Pejuang yang sayangkan tanah air tidak akan memporak-perandakan tanah air sendiri, mengugut, membunuh hanya kerana kehendak mereka tidak dilunasi. Kerana itu bila ditanya antara perjuangan Perikatan yang menyatukan rakyat dan keganasan komunis mana yang lebih baik, seikhlasnya, saya tahu rakyat menyimpan jawapannya. Natijahnya, tindakan tidak bertanggungjawab Mat Sabu telah meracuni segelintir generasi muda untuk mula mempertikaikan kebenaran sejarah.

Justeru, sebagai muqaddimah dalam mensinergikan semula matapelajaran sejarah agar ia mampu menarik minat pelajar disekolah, Puteri berbesar hati untuk mencadang pendekatan yang lebih muda dan terbuka. Fakta adalah hakikat dan buku teks hadir melalui olahan dan interpretasi terhadap fakta yang membina sesuatu sudut persepsi bagi memimpin pelajar memahami susur galur sejarah melalui jalan yang seragam. Malangnya, hari ini persepsi itu sudah menjadi seakan sebuah fakta bagi pelajar.

Di sinilah momentum mereka terhadap penerokaan sejarah terbantut aklibat sudut pandang mereka yang mula dikotak-kotakkan.Untuk tujuan itu, Puteri mencadangkan,

Pertama, Buku Teks Sejarah dimurnikan cara dan daya penyampaiannya. Hakikatnya, kebenaran adalah hak yang perlu dipaparkan kepada rakyat. Jika kita masih mahu berkompromi dengan hakikat ini,kita hanya mampu melihat dan melatah apabila anasir luar hadir membawa kebenaran bersama persepsi yang membabi buta.

Kedua, menggalakkan budaya percambahan fikiran di bilik darjah melalui aktiviti perdebatan mengenai isu-isu sejarah yang dipelajari. Ini memberi ruang kepada pelajar untuk hadir bersama sudut pandang berbeza supaya mereka lebih dekat dengan sejarah mereka sendiri. Tidak salah jika akhirnya ada yang ingin menyatakan Jebat itu benar dan Tuah telah melakukan kesilapan, selagi mana proses berfikir ini dipimpin oleh guru dengan berhikmah.

Ketiga, silibus dan orientasi peperiksaan perlu dirombak secara holistik. Tiada lagi soalan yang mengasak pengahafalan pelajar pada persepsi sejarah yang dibina di dalam buku teks mereka. Contohnya, disebalik soalan seperti, ‘Apakah faktor-faktor kejatuhan Melaka ketangan Portugis?’ dan ia boleh diperbaharui dengan soalan yang lebih terbuka.

“Pada pandangan anda, seandainya Melaka tidak dijajah Portugis, bagaimana keadaan kita hari ini?” Maka pelajar akan mula berekspresi dengan memetik setiap jalan cerita sejarah mereka untuk membentuk pandangan mereka. Selagi mana ianya jawapan yang rasional, maka tidak ada betul dan tidak ada salah kerana akhirnya kita mahu mereka faham sejarah adalah perjalanan masa lalu mereka.

Natijahnya, apabila kebenaran tidak disembunyi, apabila asas itu difahami, maka jika pembangkang hadir dengan persepsi yang lain, mereka ada jawapan kerana mereka diajar memahami sejarah dari proses berfikir dan bukan proses menghafal cerita. Generasi yang terbentuk dari perubahan ini adalah generasi berprinsip dan bersebab, dan tidak bertindak kerana kebencian terhadap sesuatu pihak.

Atas dasar itulah, jangan biarkan generasi muda melihat sejarah dari garisan luar dan hanya memerhati perkara yang lalu, walhal mereka juga berada dalam garisan sejarah itu. Jangan kita tutup kehendak mereka untuk merasai sifat memiliki sejarah sendiri, melalui pendekatan subjek ini yang berisiko membunuh minda pelajar untuk mendalaminya.

Sejarah bukan ditulis oleh pasukan yang menang. Sebaliknya sejarah adalah perjalanan cerita yang dirakam oleh susur galur sejarah itu sendiri. Kita bukan bacul seperti Mat Sabu, yang sanggup menipu sejarah untuk senjata politik parti. Kita juga bukan anak-anak kecil, yang mudah ditakut-takutkan dengan cerita karut dan sejarah ciptaan mereka sendiri. Kita sedar, rakyat punya prinsip, rakyat punya pendirian, dan rakyat tahu siapa yang benar dan siapa yang membelit seperti ular.

Rakyat tahu siapa yang iklhas dan siapa yang culas, siapa yang jujur dan siapa yang mengumpul fitnah untuk ditabur. Pergerakan Puteri akan terus berdiri di barisan paling hadapan, untuk menentang siapa juga petualang yang cuba mengubah jalan cerita perjalanan kita.

Ingat, apa yang tertulis dalam sejarah, bukan hak milik UMNO atau hak milik MCA, MIC, PAS, PKR atau DAP, tetapi adalah hak milik rakyat, kerana sejarah itu adalah sejarah bersama. Selagi nyawa dikandung badan, kita yang akan pertahankannya.

PARTISIPASI GENERASI MUDA
Anak muda laksana tiang sebuah negara. Jika betul cara ia dipasak, maka tapaknya kuat, dasarnya erat dan mercunya adalah buah-buah rahmat. Jika salah cara tiang ini dipasak, maka tapaknya pincang, dasarnya berliang dan mercunya pasti kecundang dan terbuang.

Maka benar kata bijak pandai, kalau mahu untung sehari, tanamlah jagung, kalau mahu untung setahun, tanamlah padi, dan kalau mahu untung beratus tahun, maka didiklah generasi muda. Sejarah telah menyaksikan, Negara bisa terbina kerana keampuhan tangan anak-anak mudanya, dan negara bisa binasa juga kerana kealpaan mereka.

Walaupun hari ini kita adalah puteri, saya suka meminjam kisah seorang putera, bernama Putera Muhammad Al Fateh, Putera Raja Murad 2, yang keberanian dan kebijaksannanya telah acap kali diulang sebut dalam lipatan sejarah. Baginda Rasulullah pernah bersabda, bahawa pada satu, ketika akan lahir seorang pemimpin muda terbaik dunia, yang akan memimpin bersama gerombolan tentera terbaik dunia.

Sehinggakan Abu Ayob Al Ansari, dipenghujung hayatnya berpesan, agar jasadnya dimakamkan di antara dua bukit pintu masuk Selat Bosforus, semata-mata kerana beliau ingin menjadi sebahagian daripada mereka, yang berpeluang mendengar derapan tapak kaki kuda, yang membawa pemimpin terbaik yang memimpin bala tentera terbaik.

Pada usia 21 tahun, Muhamad Al Fateh telah berjaya menawan Constantinopel setelah 19 usaha dari 19 kerajaan besar yang lain menemui kegagalan. Hikmah perjuangan seorang anak muda berusia 21 tahun ini, meruntuhkan keangkuhan dan kezaliman empayar Byzantine.

Tahukah anda,nama putera ini hanya Sultan Muhamad. Manakala Al Fateh, adalah gelaran yang diberi dan membawa makna pembuka. Menyeru semangat inilah, maka kita mahu generasi muda hari ini menjadi pembuka kepada peradaban berteraskan hikmah kebijaksaan.

Bukan lagi soal umur, soal jawatan, soal pangkat, tetapi ia soal tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap generasi muda. Soal bagaimana harus kita bangun dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, Pergerakan Puteri harus menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan perubahan cara fikir dan bertindak generasi muda. Berfikir, bertindak dan beraksi selari dengan aspirasi yang dimahukan oleh generasi muda.

Generasi muda dahulu dan generasi muda hari ini sebenarnya berbeza. Generasi muda hari ini, menitik beratkan tentang cara kita memandang mereka, mendekati mereka, mendampingi mereka dan yang penting menjadi sebahagian dari mereka. Mungkin untuk satu ketika tindakan mereka sukar untuk kita fahami dan maknai, tetapi itulah generasi muda. Mereka kaya dengan pandangan dan persepsi serta sifat eksplorasi yang tinggi.

Saya suka mengambil ibarat pada satu situasi pemerhatian politik. Generasi pasca awal kemerdekaan, memang mempunyai semangat juang parti yang tebal. Malah ada dalam kalangan nenek moyang kita yang tidak mahu turun mengundi kalau yang bertanding itu bukan parti kapal layar.

Malah sifat menerima mereka terhadap semua usaha parti juga lebih bersantun dan terbuka. Umpamanya, jika ke kedai mamak, yang mereka pesan teh panas, tetapi yang dihantar kopi panas, mereka tetap tersenyum dan minum rezeki yang ada di depan mata.

Generasi pertengahan yang banyak didorong oleh sifat memberontak pembangkang, lain pulak lagaknya. Kalau yang dterima tidak sama seperti apa yang dipesan, maka dimaki-hamunnya si mamak itu. Silap haribulan terbalik meja-meja.

Tetapi generasi alaf baru hari ini sangat berbeza cara mereka beraksi dengan situasi. Jika yang dipesan teh panas dan yang dihidang adalah kopi panas, mereka tidak meminumnya, tidak juga memaki, tetapi dengan senyap dan perlahan mereka berpindah ke kedai mamak sebelah. Dan itulah yang kita alami pada tsunami pilihanraya yang lalu. Kegagalan kita untuk memahami mereka, boleh sahaja membawa makna kita sebenarnya meninggalkan mereka.

Daripada situasi ini, tidak bermakna mereka tidak ada pendirian, tidak berprinsip. Cuma kita harus lebih matang untuk duduk bersama mereka memahami situasi yang berlaku. Kita seringkali percaya, umur lazimnya membezakan kematangan berfikir manusia, tetapi kematangan di alaf baru diukur dari sudut siapa yang dapat mengejar perubahan zaman.

Boleh sahaja orang yang semakin berusia, yang kurang menguasai capaian media baru tidak seiring dengancara fikir dan kematangan generasi yang jauh lebih muda, yang ghairah meneroka maklumat dari segenap penjuru. Maka mereka mula percaya, yang mereka juga boleh mempunyai pandangan dan prinsip mereka sendiri. Maka disitulah mereka perlu dirai dan dihormati.

Saya sejujurnya percaya, permulaan dalam usaha mendampingi mereka adalah dengan meraikan idea dan pandangan mereka melalui santun yang betul. Sudah sampai satu tahap, mereka mahu pandangan mereka bukan hanya didengar, tetapi diambil pertimbangan untuk tindakan.

Mereka juga mahu berjasa dan berada dalam barisan pejuang kita, dari mula strategi perang itu dirangka, sehinggalah kebarisan depan di medantempur, mereka mahu bersama. Kata – kata bahawa pandangan mereka mentah, tidak boleh dipakai, ikut emosi, tidak berfikir panjang, radikal, hanyut dalam teknologi, dan tidak berasas, hanya menjadikan kita dan mereka belayar dalam kapal yang berbeza.

Menyedari akan keperluan inilah, Pergerakan Puteri sentiasa dihadapan, bersama program-program yang dekat dan mesra dengan generasi muda. Penubuhan Biro NGO dan Profesional Muda, adalah bukti betapa kita serius menjalin hubungan dan kerjasama dengan generasi Y. Biro Penggerak Belia dan Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi juga, selari dengan usaha Puteri untuk menjadi tulang belakang dan penggerak kepada aktiviti keusahawanan generasi muda.

Kita lancarkan skuad VOGUE untuk menarik generasi muda menjadi sukarelawan dan turun padang memberi khidmat kepada rakyat. Skuad ini turun menjayakan program Ziarah Kasih, Sinar Kasih, Jelajah Sinar Kasih Ramadhan, Konvoi Kebajikan Menyusur Akar, Projek Puteri Prihatin, dan banyak lagi program-program utama Puteri yang digerakkan oleh generasi muda.

Kita mahu generasi muda memahami dan mengerti, orang-orang politik tidak pernah kesampingkan mereka, tidak pernah membuang mereka dan tidak pernah pinggirkan hak dan usaha mereka. Kita mahu mereka sedalamnya memahami, perjuangan kita adalah perjuangan mereka, sakit kita adalah sakit mereka, kejayaan kita adalah kejayaan mereka, kerana generasi muda adalah sebahagian dari perjuangan kita.

Pandangan generasi muda, terhadap politik juga semakin matang. Mereka bukan lagi generasi yang angguk angguk geleng-geleng. Budaya Witch Trial tidak lagi wujud. Sebelum angguk mereka berfikir, dan sebelum geleng pun mereka akan berfikir.

Kita tidak mahu mereka penat dengan politik sebelum sampai masanya. Siapapun mereka, penyokong kita atau penentang kita, mereka aset politik negara. Jangan fikir apabila mereka diam, mereka tidak tahu apa-apa, jangan fikir apabila mereka memberi pandangan tidak sama dengan kita, mereka mahu menentang kita, jangan fikir apabila mereka punya prinsip sendiri, mereka tidak menyokong kita.

Orang muda kurang selesa dengan idea semua sudah tersedia untuk mereka, semuanya sudah diperjuangkan untuk mereka, dan mereka terhutang budi dengan generasi sebelumnya. Sudah sampai masanya, kita semarakkan suara mereka, kita raikan idea mereka, kita bangunkan roh dan jiwa pejuang mereka.

Buat pemimpin parti, pimpinlah mereka dengan tangan kasih sayang, dekati mereka dengan suara keprihatinan dan kepekaan, bela mereka dengan jiwa yang ikhlas dan jujur seperti yang dilakukan oleh YAB Dato’ Seri Presiden, kerana kita mahu mereka matang dalam berjuang.

Ketamadunan sebuah bangsa adalah bersendikan kepada ruang fikir dan gerak politiknya. Dengan memisahkan politik dan generasi muda, sama seperti kita memisahkan busur dan anak panahnya. Akibatnya, anak muda semakin jauh dengan politik dan minat mereka terhadapnyapun semakin mati.

Mengupayakan hak dan suara mereka tidak bermakna kita mengiyakan mereka turun ke jalan, berdemonstrasi macam orang hilang fikiran. Kita tahu generasi muda kita bukan seperti itu. Cuma ada petualang yang membutakan mata mereka, memekakkan telinga mereka dengan menjadikan mereka tukang sorak dan perusuh jalanan. Kerana itu kita mahu menghak upaya suara dan idea mereka, melalui garis panduan yang matang dan bertamadun.

Umum mengetahui, kelompok terbesar yang berpengaruh dalam kalangan generasi muda pastinya golongan mahasiswa. Kita mungkin boleh mengawal kebebasan mereka bertindak, kita mungkin boleh mengawal kebebasan mereka untuk bersuara, tetapi kita tidak akan boleh menyekat kebebasan mereka untuk berfikir, dan disitulah lazimnya prinsip dan kubu pendirian mereka terbina. Mendoktrinasikan pemikiran generasi muda, samalah seperti kita meracun akar.

Sebab itu, Puteri mahukan sebuah transformasi minda, untuk lebih terbuka terutama apabila kita menangani isu mahasiswa. Persepsi terhadap mereka perlu berubah dan diubah. Setegasnya, saya mahu katakan, AUKU bukan senjata kita, AUKU bukan perisai kita, bukan peluru kita.

Malah kalau kita kekal begini AUKU bisa menjadi liabiliti buat kita. Perlu diingat, kebebasan wujud secara relatif dan tidak bersifat mutlak. Sebab itu, mahasiswa pada hakikatnya adalah kelompok yang bebas bersuara dan bertindak di universiti.

Keputusan Y.A.B Perdana Menteri pada minggu yang lalu untuk meminda Seksyen 15 AUKU sepatutnya disambut dengan terbuka. Selepas ini mahasiswa berhak menjadi ahli mana-mana parti politik seperti yang dijamin di bawah perlembagaan.

Kesediaan kita meminda Seksyen 15 AUKU, adalah lambang kepercayaan kita kepada kuasa anak muda, untuk membangunkan negara dan memikul tanggungjawab atas segala tindakan mereka. Jangan sesekali kita khuatir dan masih berpegang kepada dogma, betapa universiti adalah sarang pembangkang.

Sedangkan secara hakikat, begitu ramai mahasiswa yang sebenarnya secara diam menjadi aset kita. Cuma, peluang tidak dibuka, ruang jarang disedia dan kerana kurangnya rasa percaya kita, permata-permata negara ini tidak digilap dan kemilaunya dibiar malap.

Percayalah, mereka cuma perlu didekati dan difahami. Jika kita cuba memahami mereka, mereka juga akan mudah memahami kesucian perjuangan kita. Waktu itu, gerombolan baru anak muda yang akan memimpin dan menyokong perjuangan parti, akan menjalar dan memenuhi segenap ruang bumi Malaysia ini.

Kerja-kerja membangunkan negara akan menjadi terlalu mudah dan pantas. Cuma soalnya, kita perlu percaya pada kematangan mereka dan kita sendiri perlu bertindak matang dan berani.

Kami menyokong sepenuhnya semua keputusan Presiden, dan sentiasa bersama semua winnable candidate, yang akan dipilih bagi mewakili Barisan Nasional pada Piliharaya Umum ke 13, kerana sedar ia menjunjung wasilah keikhlasan dan hikmah kebijaksanaan. Amanat Presiden akan terus dijunjung di atas jemala perjuangan Pergerakan Puteri. Amanah ini akan kami lunaskan selagi nyawa dan jasad kami bersatu untuk agama, bangsa dan negara.

Apabila berbicara soal kesediaan dan tanggungjawab pemimpin muda, saya teringat pada satu kisah yang berlaku 2 hari sebelum kewafatan baginda Rasulullah SAW. Pada ketika itu, baginda sedang mempersiapkan bala tentera Islam, untuk turun berperang menentang kerajaan Rom. Maka dikumpulkan semua bala tentera dan pahlawan Islam yang hebat, dan akhirnya Rasulullah melantik seorang pemuda yang hanya berusia 18 tahun sebagai Panglima Angkatan Perang yang akan mengetuai ribuan tentera Islam yang lain.

Pemuda itu ialah Usamah bin Zaid. Pada usia 18 tahun, Rasulullah telah memberi kepercayaan kepadanya untuk merancang strategi, membuat keputusan sehinggalah memimpin kebanyakan tentera yang jauh lebih berpengalaman dan berusia termasuklah Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, dan Abu Ubaidillah.

Pengamatan dari kisah ini, membawa kita pada satu makna, betapa Rasulullah SAW pun mempercayai generasi mudanya, dan sedar betapa generasi muda ini perlu diberikan tanggungjawab, dan peranan untuk mereka memberikan sumbangan yang berharga buat agama, bangsa dan negara.

Tidak timbul soal senioriti dan usia dalam kepemimpinan siasah kerana percayalah, perbezaan usia tampil bersama perbezaan perspektif dalam melihat dunia dan menghadam perubahan semasa. Kita memerlukan generasi berbeza untuk memimpin generasi yang berbeza. Kita juga perlukan generasi berbeza dalam sebuah wadah yang sama, kerana matlamat kita adalah meraih sokongan dan kepercayaan semua golongan masyarakat.

Benarlah wasiat Umar Al Khattab “Ajarlah anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi menjadi zaman kamu.” Uniknya pemimpin kita, Dato’ Seri Presiden telahpun mencontohi teladan yang ditunjukkan nabi dan para sahabat. Kepercayaan kepada golongan muda untuk menerajui parti, tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kini terserahlah kepada kita untuk membuktikan peluang yang ada takkan dipersia. Ibarat bola sudah di padang, sepak mula sudah dilakukan, yang ditunggu adalah gol dan kemenangan. Semua anak muda adalah harimau muda, semua anak muda adalah harimau negara!

HEGEMONI MEDIA BARU
World Is Flat karya Thomas L Friedman, menceritakan, betapa globalisasi 3.0 telah menatijahkan hubungan manusia dengan manusia di alam maya, semakin rapat dan datang dari pelbagai arah penjuru. Pengaruh media baru datang bersama perubahan yang besar dalam iklim politik dunia dan politik Negara. Dan hari ini, peperangan di dalam politik juga sudah menjadikan media baru sebagai senjata.

Hentikan fahaman konservatif kita terhadap fungsi media. Media bukan lagi medium sekadar beritahu apa kita dah buat, apa yang kita dah kecapi, dan menjual kerja sendiri, malah ia juga bukan lagi sekadar susunan dan himpunan fakta,kini ia tampil sebagai wadah kemukakan idea, prinsip dan perlumbaan pandangan dan persepsi. Debat di alam maya hari ini jelas membawa impak yang besar terhadap politik semasa. Kita harus bijak dan matang mengendalikan media baru.

Masyarakat juga bukan lagi bodoh yang akan hanya menerima setiap retorik dan hiperbola cerita membabi buta. Kematangan dan keberanian kita mendepani isu akan membangkitkan rasa hormat rakyat terhadap prinsip kita dalam berjuang.

Arus perubahan yang melanda ragam fikir politik di Barat banyak dipengaruhi oleh akses kepada media baru yang luas dan tanpa batas. Sewaktu perdebatan terakhir di antara Parti Konservatif, Demokrat dan Parti Buruh yang lalu, 154 352 tweet telah dicatatkan sebagai respon dari perdebatan tersebut, dengankadar kelajuan 26.77 tweet setiap saat, dari 33 095 pemegang akaun yang berbeza.

Itu baru isu yang dibicarakan dalam sebuah perdebatan dan adik-adik puteri sekalian boleh bayangkan, bagaimana pesatnya sesuatu isu diserakkan yang kini boleh diakses di tangan rakyat.

Politik dan media baru sudah menjadi begitu sebati. Malah jika betul strategi media, kita boleh menuai hasil yang lebih dari munasabah dalam sebuah perjuangan. Media baru mengubah landskap politik mana-mana negara melalui 4 faktor berikut ;

Pertama, melalui berita yang boleh dipilih. Akses maklumat yang semakin meluas membina ruang dan pilihan yang pelbagai kepada rakyat untuk menilai dan menganalisis maklumat. Kedua, melalui perkongsian rangkaian. Setiap maklumat dan isu akan terserak dengan mudah melalui proses rangkaian.

Ketiga melalui pandangan dan idea tanpa halangan. Siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dan pendirian tanpa sebarang halangan dan sekatan. Keempat, kapasiti media yang boleh membina rangkaian ke setiap pengguna. Dalam masa yang singkat, maklumat mampu sampai dan tersebar pada ruang lingkup yang tidak dijangkakan. Faktor-faktor inilah yang seharusnya dipelajari dan dikuasai oleh kita sebagai senjata dalam perjuangan.

Sebab itu apabila ditanya bila agaknya perang dunia ke tiga akan berlaku, maka ramai yang bersetuju bahawa perang dunia ketiga sudah pun berlaku di alam siber. Kalau kita menganggap media sebagai senjata yang membunuh kita, maka secara semangatnya kita memang akan dibunuh.

Jika kita anggap ia sebagai perisai mempertahankan perjuangan kita, maka ia mampu menjadi perisai paling kebal, kalau kita menjadikan media sebagai senjata menyerang, maka ia boleh saja membunuh setiap dari lawan kita.

Mesej moralnya disini, media adalah senjata baru politik. Kita tidak mahu media baru ini hanya menjadi senjata dan begitu sinonim dengan pembangkang. Kita juga harus sedar, media baru juga adalah kekuatan dan kita punya kepakaran dalam mengurus tadbirnya.

Pergerakan Puteri harus memulakan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah mempromosikan budaya percambahan idea dan budaya debat yang sihat. Tiada lagi budaya fitnah menfitnah, maki memaki, caci mencaci dan memburuk-burukkan orang lain. Cukuplah budaya itu hanya diimani oleh juak-juak sebelah sana yang kononnya berjuang untuk keadilan rakyat, berjuang untuk Negara kebajikan dan Negara Islam.

Kalau mereka fikir dengan fitnah mereka akan kelihatan hebat dan gah, dengan memburuk-burukkan kita, merekayasa cerita, dan dengan memaki hamun maka mereka akan dilihat lebih berani dan gagah, biarkan mereka. Kita percaya, ini bukan budaya kita dan takkan pernah sesekali menjadi pegangan kita dalam berjuang.

Semoga fitnah dan tohmah mereka akan menjadi sebatang anak sungai yang mengalir tenang untuk kita di syurga idaman.
Semoga cacian mereka akan menumbuhkan pohon-pohon redup yang mendamaikan.

Dan semoga maki hamun yang kita terima, akan menjadi jambatan emas yang akan menemukan semula kita di alam syurga penuh bahagia. Dunia adalah pentas perjuangan sementara. Akhirat jualah yang menjadi matlamat abadi yang kita ingini, yang kita cari.

Di kesempatan ini, Pergerakan Puteri merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua blogger yang telah sama berjuang menegakkan kebenaran dan hakikat. Saya sedar, ramai dalam kalangan mereka adalah penulis sukarela, namun itu tidak pernah menjadi halangan untuk mereka melunaskan tanggungjawab dalam berjuang.

Ini barulah namanya pejuang sejati. Untuk itu, Pergerakan Puteri mengalu-alukan semua blogger untuk duduk semeja dan bermusyawarah bersama untuk kita mencari pendekatan paling berhikmah, dalam memenuhi tuntutan politik ummah.

Puteri akan sentiasa di hadapan bersama blogger-bloggeruntuk menentang aplikasi peraturan rimba di alam siber, demi membina santun politik yang bermaruah di bumi Malaysia ini.

Jika barah ini dibiarkan, maka pada akhirnya yang rugi, yang malu, yang hancur, yang binasa siapa? Waktu itu barulah yang baling batu tangkas sembunyi tangan. Justeru, selari dengan akses maklumat yang semakin meluas, Puteri komited mendahului usaha mempromosikan budaya berfikir secara krtis dan analitis agar rakyat lebih matang dalam menilai isu.

Usaha Pergerakan Puteri memperkenalkan Cyber Troopers adalah sebagai isyarat betapa kita sedia menggempur dan berperang menggunakan senjata media baru. Kita punya pasukan yang akan mengumpul, menganalisis dan menjawab setiap isu yang timbul dan mediumnya adalah aplikasi media baru.

Malahan, Puteri akan terus memperkasakan setiap ahlinya dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang cukup, dalam mengendali dan mengurus tadbir media baru supaya kita tidak tersasar dari landasan perjuangan yang sebenarnya.

Demokrasi hanya betul-betul subur dan matang apabila masyarakat diterapkan dengan cara fikir yang kritis dan analitis, untuk melihat sesuatu isu secara lebih mendalam dan terperinci. Bukan terus melompat kepada kesimpulan. Hentikan taklid membabi buta dan mari kita bangunkan budaya rasional dalam berfikir dan mengutarakan pendapat dengan lunas kematangan sewajarnya. Itulah jawapan kepada sebuah ketamadunan bermaruah.

BAJET 2012
Kita takkan pernah hairan atau terkejut apabila setiap kali bajet dibentangkan, setiap kali itu jugalah pembangkang akan muncul bersama helah mencari keburukan dan mencanang kelemahannya kepada rakyat. Kita juga tidak pernah bimbang mahupun gentar, kerana kita sudah cukup bersedia dan sedar, prasangka buruk sememangnya telah menjadi makanan pembangkang dan sudah sebati menjadi darah daging membentuk jasad dan mencemari hati mereka.

Apabila kerajaan menyusun pelan dan mengimplementasi tindakan, semuanya akan kelihatan buruk pada mereka.Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat, apa juga yang kerajaan laksanakan untuk rakyat mereka harus sokong. Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia ( PR1MA ), Menu 1Malaysia dan banyak lagi usaha kerajaan untuk rakyat buat pembangkang tak senang duduk kerana mereka sedar kita buat apa yang kita janjikan.

Tetapi, rakyat punya mata, rakyat tidak buta, rakyat melihat betapa kerajaan sentiasa mendahulukan mereka dalam setiap bajet dan pelan tindakan yang dibentangkan. Sebab itulah setiap kali pembangkang memukul gendang irama sumbang, kerajaan hanya memerhati dengan hemah dan akan bertindak dengan berhikmah. Kita tahu, rakyat bukan lemah. Rakyat tidak mudah diperbodoh dan diperkotak-katikkan.

Pembangkang menyebar berita kononnya kita tidak tahu mengurus negara, kononnya kita sengaja membiarkan defisit dan hutang negara meningkat, kononnya negara akan muflis dan bankrap. Isu defisit dan hutang dimomok-momokkan ke seluruh pelusuk negara. Angka-angka dan figura-figura tertentu dicanang-canang bagai sesuatu yang dahsyat, bertujuan menakutkan rakyat supaya mereka terkesan dan percaya dengan sebuah pembohongan.

Pembangkang ibarat orang tua nyanyuk yang cuba menakutkan kanak-kanak dengan cerita hantu. Tetapi rakyat bukan budak-budak bahkan mereka sudah cukup matang. Mereka takkan telan dan mereka juga takkan hadam pembohongan golongan petualang.

Mari kita nilai beberapa fakta untuk menjernihkan pemahaman, dan mencari islah dalam kerangka yang mudah. Pertama, lazimnya negara-negara di dunia yang sedang bergerak ke arah negara maju, atau sudah bergelar negara maju sukar untuk mengelak defisit dalam bajet yang dibentangkan. Ini adalah kenyataan.

Kedua, defisit negara sebanyak 5.4 % tahun ini adalah catatan penurunan defisit berbanding tahun sebelumnya, 2010 iaitu sebanyak 5.6 %, yang juga menurun daripada tahun sebelumnya, 2009, iaitu sebanyak 7.4 %.

Faktanya, defisit negara semakin menurun semenjak Dato’ Seri Najib mengambil alih pentadbiran negara, daripada 7.4 % kepada 5.6 % kepada 5.4% dan pengurangan defisit ini kekal menjadi sasaran kerajaan untuk masa-masa yang mendatang. Tahun 2012, sasaran kita adalah pengurangan defisit sehingga 4.7 %.

Tahukah kita, sehingga September 2011, RM 12.44 billion telah dibelanjakan untuk kesihatan rakyat dari pembinaan hospital sehinggalah pembelian ubat-ubatan, namun hasil pemerolehan kerajaan atau pulangan semula hanyalah berjumlah RM 238.5 juta sahaja.Kerajaan telah menanggung dan mensubsidikan sebanyak RM 12.20 billion atau pada kadar 98% dari pada keseluruhan perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi tak mengapa, kerana harga kesihatan dan nyawa rakyat tidak ternilai buat kerajaan.

Tidakkah kita terkejut dengan tindakan Parti Islam Semalaysia (Pas) yang selama ini kononnya berjuang demi sebuah Negara Islam, tiba-tiba pula berjuang untuk sebuah Negara berkebajikan? Mana perginya rasa ikhlas dan zuhud dalam berjuang? Mana perginya pendirian? Mana letaknya prinsip perjuangan?

Adakah agama kini letaknya di bawah tapak kaki kita? Hanya kerana menagih undi rakan-rakan bukan seagama, kita tunduk dan akur. Sudahlah prinsip agama dibuang, mereka mendabik dada kononnya Negara Berkebajikan ini, merekalah perintis dan pemula.

Barisan Nasional umumnya dan UMNO khususnya, telah lama melaksanakan Negara berkebajikan. Kita tidak canang hanya pada nama, biar nampak gah, biar nampak indah. Tapi yang kita jaga adalah pada isi dan inti. Biar benar-benar dilaksana, biar setiap susuk tubuh rakyat dapat merasa. Jika implementasinya benar, maka dengan sendiri namanya akan mekar.

Bajet 2012 sememangnya bajet untuk rakyat dan semua bakal merasa tempiasnya. Daripada kanak-kanak darjah satu hinggalah balu seorang tentera. Daripada pemandu teksi, hinggalah gelandangan di ibu kota. Daripada golongan kanak-kanak, belia hinggalah golongan pesara. Daripada baikpulih rumah nelayan hinggalah meningkatkan sumber makanan melalui pertanian.

Inilah contoh terbaik negara kebajikan. Kita sudah mula sejak semalam, kita teruskan sekarang dan kita akan pastikan berterusan untuk hari-hari yang mendatang.

PENEROKAAN IDEA BARU
Dalam membincangkan penerokaan idea baru, saya tertarik untuk mengimbau kisah Albert Einstein yang menemui kuasa elektrik atau Isaac Newton yang menjumpai tenaga graviti, mereka bermula sebagai peneroka dan pencari idea-idea baru. Mereka menjadi perintis kepada proses mencari sesuatu di luar pemikiran dan kebiasaan insan. Kita juga harus mengenang sejarah dengan membuka kitab Sulalatus Salatin.

Mengambil iktibar keberanian dan kelantangan Hang Nadim yang tampil dengan idea baru dan bijak, akhirnya menyelamatkan Singapura daripada serangan todak. Puteri perlu mengambil iktibar daripada semua ini, bahawa Puteri perlu hadir dengan idea baru, segar dan di luar kebiasaan.

Untuk itu, Puteri sentiasa mahu merakyatkan budaya inovasi dan penerokaan idea baru dalam segenap bidang. Kerja yang dianggap sesetengah orang sebagai kerja gila-gila ini telah banyak mengubah dunia. Kita tidak akan pernah tahu, apa benar suatu idea itu gila atau bermanfaat pada bangsa.

20 tahun dahulu mungkin gila jika saya katakan, saya mahu mengambil sebiji botol kosong, mengisi air kosong di dalamnya dan menjualnya. Tetapi hari ini, anda sendiri ada jawapannya. Inovasi dan kelahiran idea baru juga tidak pernah kenal sempadan jawatan mahupun latar belakang insan.

Tahukah saudari-saudari, pencipta Vakum Hampagas adalah Hubert Booth yang merupakan seorang pengurus pengkebumian, manusia yang mencipta kapal terbang mini pertama iaitu Wright bersaudara hanyalah seorang pelukis potret, pencipta telegraf dan kod morse ialah Samuel Morse yang merupakan seorang veterinar dan pencipta telefon automatik iaitu Almind Strowger hanya seorang pembina jambatan.

Mereka ini bukan manusia yang hebat dalam bidang yang diinovasikan, tetapi merekalah pemula dan penggerak kepada perubahan kerana mereka percaya apa yang mereka buat dan apa yang mereka fikir.

Kata-kata dan pandangan orang hanya buat mereka lebih berani dan berdiri dengan mandiri. Mereka mencari wadah, mereka menerokai wasilah dan mereka bijak mengenal hikmah.

Saya percaya diluar sana, terdapat ribuan anak muda yang kaya dengan idea dan sarat dengan kemahuan untuk mencuba sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya menunggu ruang dan peluang untuk ‘eureka’ inovasi mereka diberi tempat yang sepatutnya. Selari dengan itu, kita tidak mahu lagi menjadi bangsa pengguna, yang sekadar menggunakan inovasi dan teknologi bangsa lain.

Sebaliknya, kita mahu bangun sebagai bangsa pencipta yang menjadi perintis dan peledak kepada penemuan-penemuan baru, untuk diinovasikan ke peringkat antarabangsa. Menjunjung hasrat inilah, Pergerakan Puteri mencadangkan;

Pertama, pembinaan Bank Idea, yang akan menghimpunkan semua inovasi dan penemuan baru yang hebat oleh pencipta Bumiputera yang selama ini kita pinggirkan.Mereka punya idea yang hebat, tetapi seringkali idea itu diciplak dan kertas cadangannya disalin kulit pihak lain kerana kita tidak cukup bersungguh-sungguh mempertahankan ketulenan inovasi mereka. Bank Idea ini akan menjadi pemudah cara untuk memastikan inovasi ini dipatenkan dengan segera.

Kedua, mewujudkan jaringan yang benar-benar kuat, efisien dan bermanfaat di antara universiti dan industri. Setiap penemuan, penyelidikan dan inovasi tidak hanya dimuziumkan di makmal sebaliknya dikomersialkan untuk manfaat bersama.

Ketiga, Pergerakan Puteri akan menubuhkan sebuah Biro Inovasi sebagai kerangka awal dalam usaha menggerakkan kelahiran inovasi yang berpotensi terutama yang dibangunkan oleh wanita muda.Kita tidak mahu apabila inovasi yang baik ini diiktiraf di luar negara, barulah kita sedar kekuatan dan kebolehupayaan yang kita ada. Kita tidak mahu pencipta-pencipta muda ini dibeli orang luar kerana kealpaan kita.

Keempat, sistem pendidikan yang berorientasikan kepada peperiksaan perlu dikendurkan sifatnya supaya potensi pelajar dalam lain-lain bidang dapat dibangunkan dengan lebih seimbang. Sifat persepsi negatif yang seringkali menghukum pelajar yang gagal cemerlang dalam peperiksaan perlu dibakul sampahkan, supaya mereka sedar tidak ada seorang pun dari rakyat yang tidak bernilai pada sebuah negara.

Idea baru juga harus hadir dalam perjuangan. Dalam konteks perjuangan kita, Puteri perlu tampil bersama idea tranformasi, dan pendapat berani yang mungkin menongkah arus, namun akan membawa pembaharuan yang berimpak besar kepada parti dan matlamat perjuangan. Puteri bukan lagi penerus tradisi, dan budaya politik konservatif, sebaliknya puteri mampu melahirkan dengan idea segar, berani dan kadangkala bersifat agresif.

REVOLUSI MINDA DAN RASA
Dalam politik hari ini, perubahan bukan lagi bersifat pilihan, tetapi kewajipan untuk memastikan Puteri terus relevan dan kekal diperlukan. Puteri akan bertindak menjadi wadah politik yang menggerakkan perubahan sendiri.

Malah, Puteri bukan sahaja akan menyokong agenda perubahan Parti, bahkan akan menjadi agen perubahan yang bertindak sebagai perintis dan pemula untuk sesebuah pembaharuan dilaksanakan. Puteri akan tampil sebagai satu sayap yang berani meneroka jalan revolusi, istiqamah merangsang inovasi dan agresif mencipta transformasi.

Saudari-saudari sidang perwakilan sekalian,
UMNO parti kita, parti ini telah membela nasib nenek moyang kita, kalau kita bacul dan pengecut, kita yang sebenarnya membunuh hak anak- anak dan cucu-cucu kita. Selepas ini, tidak akan ada lagi nada-nada sumbang yang menuduh Puteri ibarat “Belum bergigi tapi sudah hendak mengunyah”. Suara-suara ini adalah lambang ketidak yakinan manusia-manusia sekeliling akan kemampuan Puteri, kononnya kita masih muda, lemah dan tidak berupaya melakukan transformasi.

Kita akan buktikan, kita bukan sahaja sudah bergigi, bahkan kita sudah bertaring tajam untuk membaham lawan seperti Harimau Muda membaham sayap Garuda.Pastinya kita sudah mampu mengaum, menyusup rasa ngeri dan gerun pihak lawan, membangkit rasa kagum pada kawan.

Atas roh itulah, Puteri dengan tegas menentang budaya politik kotor pembangkang, atau siapa sahaja yang berjuang atas wadah memecahbelahkan bangsa dan agama. Kita tak akan jual agama kita untuk kedudukan politik kita, kita tak akan lacur maruah bangsa kita untuk cita-cita peribadi kita, kita tidak akan bunuh darah daging kita untuk lunaskan nafsu serakah pangkat dan darjat kita. Sampai matipun kita percaya “matlamat tidak menghalalkan cara.”

Kita akan gunakan politik untuk kukuhkan agama dan bukannya seperti mereka yang gunakan agama untuk kukuhkan politik. Menggunakan politik untuk mengukuhkan agama adalah nikmat, dan menggunakan agama untuk mengukuhkan politik adalah sesat.

Revolusi mental ini juga mahukan aras fikir politik yang lebih rasional. Kita tak akan berjuang dengan cara menghina orang lain, menggelar orang lain, mengutuk orang lain, memalukan orang lain, membuka pekung orang lain kerana itu semua politik manusia yang tiada agama dan tidak bertamadun. Puteri perlu sentiasa beringat dengan Firman Allah dalam ayat 11 Surah Al Hujurat iaitu ;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak yang lain, kerana mungkin puak lelaki yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Maka, amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Tafsiran dari ayat ini secara jelas dan terang membawa maksud Islam sentiasa menentang dan tidak menghalalkan budaya menghina dan mencaci sesama saudara. Kita diutus ke dunia untuk berbaik-baiksesama umat dan bukan bongkak berlagak hebat. Kita percaya, Allah meletakkan darjat paling atas manusia yang berjuang dengan hikmah kebijaksanaan dan wasilah keikhlasan.

Saya sedar, hari ini, kita belum cukup kuat untuk membina rasa.Rasa kebersamaan, rasa kekitaan, rasa ukhwah yang harus menyubur dalam jiwa rakyat terhadap setiap apa yangkita juangkan. Kerena itu asas kepada revolusi rasa adalah wasilah keihklasan.

Hanya melalui perjuangan yang ikhlas rakyat akan lebih dekat dengan apa yang kita juangkan seperti mana dekatnya awan dengan hujan, pasir dengan debu dan api dengan abu. Maka benarlah apa yang pernah di katakan dalam sebuah falsafah Inggeris, “People will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you make them feel.”

Selari dengan kehendak perubahan ini, asasnya adalah kita sedia untuk berubah dan terbuka untuk diubah. Sampai bila kita hendak menyalahkan pihak lain yang memerli sinis, sedangkan di dalam kita bersarang antagonis, sampai bila kita hendak menuduh orang lain menyebar fitnah, sedangkan dalam kalangan kita memang ada penyebar barah, sampai bila kita hendak melenting geram, sedangkan kita punya kawan yang menikam dalam diam.

Puteri pasti bertindak mewujudkan budaya politik berpengaruh secara berhemah dan berhikmah. Kerana itu, yang akan menjadi prioriti adalah persoalan jasa dan bakti dan bukanlah populariti. Semangat setiakawan akan ditafsir semula dan diterjemah ke dalam setiap amal tindakan dan takkan berakhir sebagai satu impian tanpa perlaksanaan.

Puteri akan muncul sebagai sebuah organisasi yang tidak hanya menukar kulitnya untuk kelihatan cantik, membikin teruja dan sedap dipandang mata. Apa yang lebih penting, Puteri akan mengubah ramuan intinya agar menjadi lebih sempurna dan merangsang rasa terkesima kerana kehebatan dalamannya.

PENTAS KELAHIRAN PEMIMPIN
Setiap daripada kita adalah khalifah yang diutuskan Allah ke muka bumi untuk menerokai kehidupan dan membina keamanan. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al Baqarah Ayat 30

إِنِّيْجَاعِلٌفِيالْأَرْضِخَلِيْفَةًقَالُوْاأَتَجْعَلُفِيْهَامَنيُفْسِدُفِيْهَاوَيَسْفِكُالدِّمَاءَوَنَحْنُنُسَبِّحُبِحَمْدِكَوَ

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.Mereka bertanya; “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”

Ayat ini secara jelas menyeru kita untuk lebih memahami peranan manusia sebagai khalifah yang Allah utuskan di atas muka bumi ini. Justeru, setiap daripada ahli Puteri perlu untuk sejujurnya memahami perjuangan mereka menyeru kepada jalan keamanan dan kemakmuran dalam membela agama dan bangsa, sudah pun bermula.

Kita mahu setiap daripada ahli Puteri sedar, bukan hanya apabila menyandang pangkat dan kedudukan, sebaliknya apabila kita telah menyertai Puteri, maka di tangan kita tergenggam amanah untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa perubahan kepada umat. Setiap ahli Puteri adalah pemimpin kepada masyarakat dan pemimpin yang punya wasilah keikhlasan dan memimpin dengan hikmah kebijaksanaan.

Berkiblatkan prinsip inilah, Pergerakan Puteri akan menjadi pentas untuk melahirkan pemimpin-pemimpin wanita muda yang penuh kaliber, energetik, terampil dan karisma. Itu adalah matlamat sebenar yang ingin digapai melebihi kecenderungan untuk melahirkan pengikut yang hanya akan mengikut dengan membuta tuli.

Kita mahu mencetuskan fenomena di mana Puteri akan menjadi wadah melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang bakal membawa perubahan kepada landskap politik negara. Kelahiran pemimpin hebat di dalam Puteri mampu membuka perenggu minda masyarakat dan mengasak perubahan demi perubahan sehinggakan sayap Wanita UMNO pun tidak sabar menunggu Puteri beranjak menyertai mereka. Dan pada akhirnya , orang akan berkata, disinilah tempat khalifah muda dilatih dan dilahirkan.

Pergerakan Puteri akan memastikan setiap ahli dilatih untuk memugar idea segar dan lebih agresif dan tidak kekal konservatif.Kita tidak mahu melahirkan pemimpin dan pengikut yang tidak mampu maju ke depan dan melakukan pembaharuan. Kerana perjuangan yang hebat bukan mencari pengikut tetapi mencari penentang untuk idea itu berdiri dengan lebih berprinsip.

Pemimpin-pemimpin puteri tidak seharusnya takut dengan penentang atau ahli yang berbeza pendapat, kerana perbezaan boleh menjadikan kita semakin hebat dan kuat, serta dapat mengenal siapa diri kita yang sebenar. Percayalah, meraikan perbezaan dengan mengiktirafnya adalah azimat dalam mencari yang terbaik untuk membentuk prinsip dan pegangan perjuangan. Cuma asasnya hanya satu, kematangan.

Justeru, menjunjung aspirasi melahirkan pemimpin yang matang dalam berfikir dan petah dalam berhujah, maka Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mohon mencadangkan pendekatan-pendekatan berikut ;

Pertama, satu usaha yang bersungguh-sungguh pada setiap peringkat kepimpinan parti perlu untuk diberi pendedahan tentang kemahiran berfikir, berhujah dan berucap dengan matang melalui siri bengkel latihan yang istiqamah.

Kedua, menyediakan lebih banyak pentas yang mampu mengasah kemahiran berpidato dan berdebat dalam kalangan ahl,i baik dalam bentuk pertandingan mahupun forum dan perbincangan umum dengan dikoordinasi oleh pakar dalam bidang oratori.

Ketiga, mengumpulkan seramai mungkin ahli yang berkebolehan untuk diketengahkan sebagai pemidato parti dan diberikan latihan yang komprehensif dan intensif. Mereka akan dibekalkan dengan kronologi jawapan bagi setiap isu dan cara menanganinya untuk di bawa ke akar umbi, dan disampaikan agar rakyat jelas terhadap sesuatu isu yang timbul.

Kita sudah buktikan pada rakyat, yang kita memang boleh bekerja dan berkhidmat. Justeru, kita juga perlu punya kebolehupayaan untuk berucap dan sampaikan secara berkesan setiap aspirasi kita. Puteri percaya, sudah sampai masanya kita betul-betul serius dalam melahirkan pemimpin yang mempunyai kemahiran pengucapan awam yang bagus.

Jika tidak, kita akan terus kebelakang dan dibelasah dengan pelbagai isu tanpa ada yang berani bangun mempertahankan prinsip dan pendirian. Akhirnya kita lesu dan dilihat lemah, kecundang dalam berjuang kerana kita punya mulut tapi tidak punya suara.

Saudari dan saudari,
Menjadi jurucakap kerajaan adalah tugas, namun menjadi jurucakap rakyat adalah amanah. Puteri perlu bertindak memperjuangkan isu rakyat secara keseluruhan dan tidak terbatas isu dalam kalangan wanita dan anak muda semata-mata.

Setiap ahli Puteri perlu pergi mencari dan bertindak sebagai penyiasat masalah, bukan menunggu masalah datang diadu dan dilapor oleh rakyat.Puteri perlu menyuburkan rasa kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat kerana rakyat perlu rasa memiliki Puteri, dan tidak memandang mereka sebagai kumpulan eksklusif dan elitis yang sukar didekati. Kita perlu menjadi pejuang setiap isu rakyat yang bermula dengan isu kampung, nasional hingggalah isu antarabangsa.

Menyedari akan kepentingan itulah, Puteri turun ke bawah, mengenal pasti masalah dan membantu sehabis daya tanpa mengira warna bendera. Bantuan Puteri tak pernah kenal siapapun mereka, kerana setiap rakyat adalah tanggungjawab kita. Program kita merentas pelbagai golongan dan kelompok sasaran.

Dalam aspek pendidikan, kita laksanakan English On Wheel, sebuah program yang memberi pendedahan penguasaan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak melalui pendekatan yang lebih praktikal. Kita anjurkan Barber On Wheel dan program Back To School, bagi mengurangkan beban pelajar kurang berkemampuan dalam menyiapkan persiapan persekolahan. Kita juga anjurkan Gerak Iqra’ sebagai usaha permulaan untuk membina asas agama yang kuat pada generasi masa hadapan.

Pelbagai lagi program yang telah Puteri laksanakan termasuklah kepada golongan warga emas dan generasi muda dan tak sempat untuk saya senaraikan semuanya disini. Semuanya membawa satu makna, kita gunakan wadah perjuangan ini dengan wasilah keikhlasan demi memberi keselesaan kepada rakyat.

Saudari-saudari sekalian,
Kita bukan seperti Pakatan Rakyat, yang seringkali gemar meraih royalti politik murahan. Mereka bilang pada rakyat, ambillah RM 100 yang kerajaan beri untuk bantuan persekolahan pada setiap pelajar, tetapi apabila pilihanraya, pangkah mereka. Biarkan mereka terus dengan kebodohan mereka dan saya percaya rakyat tidak sebodoh mereka. Rakyat sedar kerajaan buat semua ini kerana satu sebab, kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat.

Puteri akan menjadi contoh teladan, contoh pemimpin yang diidamkan. Puteri akan menginjak jalan,dari timur ke barat, utara ke selatan, Berpanas berembun mahupun berhujan, Biar kulit dibakar panasnya bahang mentari, biar jasad kesejukan dihurung `hujan tak berhenti. Demi rakyat, Puteri akan turun ke segenap penjuru, dari Johor hingga ke Kedah, Dari Selangor hingga ke Sabah. Semua negeri akan kita jelajah, menziarahi rakyat demi menabur khidmat.

Saudari-saudari perwakilan sekalian,
Pemahaman perjuangan hanya kerana warisan perlu dikikis dan dihapuskan.Kita harus mengubah persepsi, bahawa kita berjuang semata-mata kerana perjuangan ini diwariskan oleh nenek moyang. Kerana jika itu yang menjadi pegangan, kita sebenarnya menanam jauh di lubuk hati rasa terbeban dengan perjuangan tanpa keikhlasan.

Kita tidak berjuang hanya kerana Dato Onn dahulu berjuang, hanya kerana Tunku Abdul Rahman dulu berjuang, hanya kerana Tun Abdul Razak dulu berjuang. Atau kita tidak berjuang hanya kerana siapa sahaja sebelum kita pernah berjuang. Kita tidak berjuang semata-mata kerana cerita sejarah tentang siapa yang memulakan perjuangan merdeka, tetapi kita berjuang kerana tanggungjawab untuk mengisi dan mempertahankannya.

Benar, perjuangan parti ini adalah perjuangan nenek moyang. Benar, perjuangan parti ini adalah perjuangan yang diwariskan. Namun adalah jauh lebih benar, perjuangan ini perlu lahir kerana kesedaran, lahir kerana rasa kasih dan sayang dan lahir kerana kecintaan yang sangat dalam.

Biar kita berhujankan batu dan bukan emas permata, biar peluru selaksa mendendam liar ke rusuk jiwa, Bangunlah, selagi kita sedar dimana kita berada, biar siapapun kita. Sayap Puteri di Kuantan atau Sandakan, sayap Puteri di Jelutong atau Lenggong, sayap Puteri di Alor Setar atau Kuala Kangsar, sayap Puteri di Dungun atau Jerlun, sayap Puteri di Arau atau di Keningau. Di manapun letaknya sayap-sayap Puteri ini.

Di manapun letaknya saya, anda dan kita semua. Ingatlah, kita berpijak di atas bumi yang sama, kita berbumbung di bawah langit yang serupa. Kita berpayung di bawah Parti pusaka, yang kita cinta sampai bila-bila.

Adik-adik Puteri yang saya kasihi sekalian,
Kita tidak akan gerun walau diancam segenap penjuru. Semalam, kita pernah sakit dilontar batu. Hari ini kita yang ramai menjadi kuat, menjadi satu. Kerana itulah hari esok, kita tak pernah takut walau berdepan hujan peluru. Puteri tidak lut dengan sebarang ancaman. Puteri sudah kebal daripada sebarang serangan. Puteri sudah diasap dengan semangat dan diseru dengan azimat. Tuhan bersama kita, walau siapapun musuh di depan, walau apapun halangan yang datang, kita takkan bacul dan lari dari medan perjuangan!

PERANG PILIHANRAYA UMUM 13
Detik ini, kaki kita sudah berpijak di atas tanah sempadan, menunggu masa melangkah ke medan perang yang pastinya menggila. Saat ini, degup jantung sedang berdetap kencang, menunggu semboyan dibunyikan. Ingat, panji sudahpun berkibar, sudah sempurna bilangan panah, busur dan pedang, perisai juga sudah di badan. Bersiap siagalah kuda dan semua bala tentera kerana bila-bila masa sahaja, gendang perang akan dipalu, teriak jihad akan berseru, tentera berkuda dengan gagah meluncur laju. Pastikan tanah air ini kekal di tangan para pejuang. Pastikan tanah tumpah darah ini tidak jatuh ke tangan petualang!

Siapkan gerombolan tentera kita. Cukupkan pedang, busur anak panah dan kuda. Kubu dan panji juga jangan sesekali kita lupa. Pedang kita adalah lidah yang diasah hujah. Tajamkanlah, agar setiap fitnah dan tohmah akan kita patahkan sehabisnya. Busur dan anak panah adalah mata dan telinga kita. Panahan yang merentas medan penuh pancaroba. Pastikan kita melihat saujana dan mendengar teliti setiap denyut nadi dan kehendak marhaen yang kita sayangi.

Menjuarai hati rakyat bererti selangkah memenangi perang ini. Baju perisai kita adalah akhlak dan peribadi. Jadilah pahlawan yang menang bersahsiah atau sekurang-kurangnya syahid bermaruah. Jangan gadaikan akhlak semata-mata mengejar nikmat dunia sementara. Ingatlah, perteguh dan kukuhkan kubu kita iaitu minda. Jangan biar pemikiran dan prinsip diceroboh. Sekali ditembus fitnah dan ada yang haluannya berubah, maka kubu akan goyah, seluruh pasukan akan rebah.

Paling penting, pertahankan panji kita. Panji adalah jiwa kita. Jiwa kita adalah satu-satunya UMNO, tiada dua atau tiga. Jangan sesekali panji dibiar gugur ke bumi walau berpisah pedang dari tangan, walau bercerai nyawa dari badan. Kita tak rela panji ini dibakar atau dikoyak, dihina atau dipijak. Panji ini adalah semangat kita, panji ini adalah nyawa kita, panji ini adalah maruah kita. Kita akan julang panji ini sampai bila-bila!

Mari kita Imbas kembali lakaran sirah sewaktu Perang Uhud berlaku. Ketika pasukan Islam hampir menang peperangan, ahli pemanah meninggalkan bukit Uhud kerana rakus mengejar harta rampasan perang. Arahan Nabi dilanggar sewenang-wenangnya hanya kerana ketaksuban mengejar harta dunia. Pasukan pemanah yang mulanya bersatu, meninggalkan hanya 9 pemanah di atas bukit itu.

Akhirnya, musuh mengambil kesempatan atas kealpaan dan kelalaian tentera Islam. Hati sedih dan sayu, baginda Nabi sendiripun cedera parah bermandi darah dan 9 pemanah lagi syahid terkorban. Tentera Islam akhirnya kalah dalam perang yang sepatutnya kita menang. Ini kisah yang terlukis di atas lantai sirah yang sepatutnya menjadi cermin melihat dan menilai diri.

Sirah ini mengajar kita untuk sentiasa mematuhi arahan dan kehendak ketua dan dalam konteks kita, Y.A.B PM adalah jeneral perang yang mesti ditaati setiap bait arahannya. Malah janganlah rakus mengejar kemewahan dan kesenangan dunia hingga mengabaikan perjuangan sebenar untuk kemenangan satu pasukan. Ingat, kalaupun kita mewah di dunia ini, belum tentu kita akan merasa nikmat yang sama di negeri abadi.

Pejuang-pejuang ikhlas adalah mereka yang kita cari yang digemari rakyat dan disenangi rakan. Ingat, jangan pernah tinggalkan rakan sepasukan biar apapun yang terjadi. Kita mesti kekal bersatu, walau jalan yang bakal kita tempuh pastinya penuh liku. Hanya yang cekal dan setia, akan kekal berjuang demi agama, bangsa dan negara. Siapapun yang akan dipilih oleh jeneral perang sebagai ketua angkatan perang, dalam konteks kita sebagai calon pilihan raya. Sokong dan berkerjalah untuk kemenangan bersama.

Peperangan pilihanraya ke 13 boleh berlaku bila-bila masa sahaja daripada sekarang. Pilihanraya ini bakal menjadi pilihanraya paling sengit dan mencabar dalam sejarah Malaysia. Ini bukan lagi sekadar pilihanraya. Tetapi inilah peperangan yang akan menentukan jatuh bangun sebuah perjuangan. Inilah peperangan yang akan menentukan masa depan sebuah kerajaan, menentukan kelestarian tamadun yang selama ini kita bina dan agungkan.

Kalah pilihanraya ini bukan sekadar membawa makud kalahnya parti kita. Tetapi kekalahan iniakan menjadi asbab matinya seluruh perjuangan, dan kita pasti akan dikuburkan di pusara yang tidak akan lagi dikenang. Jangan sampai hari esok, anak cucu kita yang menjadi mangsa kerakusan musuh-musuh yang gilakan kuasa, datang ke kuburan kita, kencing dan menghamburkan maki hamun kerana kegagalan kita mempertahankan hak mereka.

Peperangan ini, adalah peperangan seluruh jentera parti. Peperangan untuk setiap sayap dan setiap ahli. Jadilah seperti Khalid Al-Walid, kerana sifat iri dan dengki rakan, beliau menjadi mangsa yang dilucutkan jawatan sebagai ketua angkatan perang. Tetapi kerana kecintaan kepada perjuangan dan taatnya kepada ketua, beliau tidak pernah lari dari medan perang dan tetap sama-sama berjuang.

Kalaupun kita tidak dilantik sebagai calon, jangan jadikan alasan untuk sabotaj atau jatuhkan rakan sepasukan, kerana kekalahan rakan sepasukan adalah kekalahan parti secara keseluruhan. Contohilah seperti Saidina Hamzah, yang mempertahankan Rasulullah hingga ketitisan darah yang terakhir.

Inilah contoh individu yang sanggup mempertahankan ketua dan wadah perjuangan kerana kecintaan yang mendalam. Beliau sanggup mati demi mempertahankan kepercayaan yang ada. Adakah masih wujud insan sebegini dalam kalangan kita?

Pesanan untuk semua terutamanya Puteri, menjelang pilihanraya, kita menantikan kelahiran lebih ramai pejuang tegar seperti Isteri Yasir, Sumayyah, individu yang berani menyatakan perkara hak dan sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan kesucian perjuangan.

Kita juga ingin melihat munculnya lebih ramai Rabiatul Adawiyah yang menolak tawaran harta dan kemewahan dunia kerana percaya habuan besar menanti di syurga.

Puteri juga perlu jadi seperti Mashitah, penyisir rambut anak Firaun, yang tidak takut dengan sebarang ancaman kerana kecintaan kepada Tuhan. Maka jangan kita takut kepada sebarang ancaman, cintailah perjuangan kita ini dan berniatlah ikhlas kerana Tuhan.

Biarkan saja darah suci ini menyiram bumi kerana kita tahu ini peperangan mulia pejuang-pejuang yang berani. Mari kita gempur kita perangi kita tempur kita serangi. Perang ini perang kita, perang ini kitalah pemenangnya!

Sidang perwakilan sekalian,

Kita adalah jaguh rakyat, pejuang rakyat. Sakit rakyat sakit kita. Demam rakyat demam kita, risau rakyat juga risau kita. Tidur Puteri dan rakyat sebantal, kita berkongsi mimpi indah dan ngeri bersama. Untuk setiap lena malam yang diragut dek titis-titis hujan, kerana tiris atap, atau kerana lubang-lubang kecil pada papan-papan dinding kayu. Untuk setiap telapak tangan yang semakin kasar atau sendi-sendi badan yang kian longgar, kerana rutin sukar mencari sesuap rezeki.

Semua perit, jerih rakyat marhaen ini, biar Puteri rasa, biar Puteri perjuangkan sehabis daya. Puteri hendaklah menjadi tulang belakang untuk transformasi politik yang dicadangkan Y.A.B Perdana Menteri, kerana, kita melihat politik bukan sahaja sebagai wadah untuk memperkasakan rakyat, tetapi juga untuk pemimpin memperbaiki diri.

Puteri datang daripada rakyat, dan kepada merekalah Puteri akan kembali menabur khidmat kerana kita percaya, perjuangan kita adalah tentang wadah, wasilah dan hikmah.

Cubalah tanya dan renunglah ke dalam diri. Saat Islam diperlakukan seperti kambing hitam, kuda tunggangan dan pertaruhan politik murahan. Akhirnya yang dihina, yang dicerca, yang ditertawa itu apa? Agama kita.

Ketika hakbangsa kita, ketuanan kita, dijual dan dijadikan modal politik celaka mereka.Akhirnya yang dipijak, yang disepak, yang diterajang itu siapa?Bangsa kita.

Saat Sultan dihina penderhaka, perlembagaan dicabut pasaknya, pengkhianat bermaharajalela menjaja cerita.Akhirnya dengan perlahan-lahan yang dibunuh, dikapan, dan ditalkinkan itu apa? Negara kita.

120. Maka bangunlah srikandi–srikandi pejuang bangsa, bangkitlah dengan semangat waja dan penuh setia. Kalau panji perjuangan kita dikoyak dan panji kita dibuang, siapa yang akan kutip, yang akan bangun dan kibarkan panji kita semula? Orang itu adalah PUTERI.

Kalau satu hari nanti UMNO dipijak, UMNO dihina dan UMNO dikutuk, siapa yang akan bangun mempertahankan UMNO? PUTERI.

Kalau bangsa kita dicabar, yang akan berada di barisan depan, berani bersuara, berani bertindak dan berani tegakkan kebenaran dan orang bertanya, itu siapa? PUTERI.

Jika ada yang berani menghina hak Melayu, mempertikai hak Melayu, mempermainkan Islam, mempersenda undang-undang dan mencabul perlembagaan, yang akhirnya bangun dan tegar menentang itu siapa? PUTERI.

Dan seandainya ditakdirkan yang tinggal hanya seorang saja untuk pertahankan Islam, pertahankan UMNO, dan pertahankan Malaysia daripada menjadi hamba musuh dan petualang, danitu siapa? PUTERI.

Maka benarlah apa yang terpantul pada cermin sejarah dari kisah 3 Puteri yang saya angkat menjadi mukaddimah.

Hang Li Po, sebagai lambang wadah penyatuan bangsa.
Balqis teladan wasilah keikhlasan.
Retno Dumilah petanda kebijaksanaan adalah satu hikmah.

Akhirnya, ingatlah! Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok adalah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada, suburkan wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan. Hanya Allah jua yang mengetahui segalanya.