TARIKH 11 November lalu bukan sekadar pilihan ramai pengantin dan kelahiran bayi sebaliknya turut mencatat sejarah apabila undian tujuh keajaiban dunia yang baru, ditutup sebaik detik 11 pagi, 11 minit dan 11 saat.
Dan Isnin lalu, senarai awal undian bagi kategori 7 Keajaiban Semula Jadi Dunia diumumkan iaitu Hutan Hujan Amazon (Amerika Selatan); Teluk Halong (Vietnam); Air Terjun Iguazu (Argentina/Brazil), Pulau Jeju (Korea Selatan); Taman Negara Komodo (Indonesia); Sungai Bawah Tanah Gunung Puerto Princesa (Filipina) dan Table Mountain (Afrika Selatan).
Penganjur senarai itu, Yayasan New 7 Wonders of Nature yang berpusat di Switzerland dilaporkan sudah menjalankan undian sejak 2007, dengan 440 keajaiban dari 220 negara disenaraikan.
Namun, selepas beberapa pusingan, peringkat akhir menyaksikan 28 keajaiban disenarai pendek sebelum tujuh pemenang diumumkan. Namun, senarai penuh hanya akan diumumkan awal tahun depan selepas penganjur membuat pengiraan semula undian. Undian dibuat penduduk dunia melalui panggilan telefon, talian tetap dan perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Malangnya, tidak sampai seminggu senarai itu diumumkan, tercetuslah kontroversi yang menyelubungi tujuh keajaiban baru itu.
Penganjur dikatakan meminta negara yang mengambil bahagian membayar yuran RM625.46 (AS$199), tetapi selepas proses pemilihan diperketat dan bilangan calon dikecilkan, negara tersenarai diminta membayar sejumlah wang yang besar untuk membantu kempen pemasaran yayasan itu.
Antara dakwaan termasuk penganjur dikatakan meminta Kerajaan Indonesia membayar RM31.4 juta (AS$10 juta) bagi yuran pelesenan dan tambahan RM147.7 juta (A$47 juta) bagi bayaran menjadi tuan rumah majlis penutup rasmi pengumuman senarai tujuh keajaiban itu.
Sebelum itu, Maldives dilaporkan menarik diri kerana tidak mampu menampung kos penyertaan yang meningkat kepada RM1.57 juta.
Pihak penganjur bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka dan menyatakan bayaran bagi kempen penjenamaan itu bukannya wajib sebaliknya negara yang mengambil bahagian diberikan pilihan. Mereka juga menafikan dakwaan mengenakan harga yang terlalu tinggi dan menganggapnya tuduhan tidak berasas.
Penganjur juga enggan menyatakan dengan tepat jumlah bayaran yang dikenakan kepada negara yang mengambil bahagian dalam kempen penjenamaan itu, tetapi mengakui yuran yang dikenakan berbeza-beza mengikut negara.
Satu lagi isu yang dibangkitkan adalah keraguan mengenai senarai tujuh yang diumumkan itu apabila jumlah sebenar undi yang dikira tidak didedahkan penganjur.
Ini bermakna sesiapa saja yang sanggup ‘membayar tinggi’ kepada penganjur, maka mereka mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan dalam senarai tujuh itu.
Negara yang mengambil bahagian dan tersenarai pendek pula tidak mempertikaikan senarai itu kerana penyenaraian itu boleh dijadikan modal untuk mereka memasarkan kawasan berkenaan sebagai tarikan pelancongan yang sudah tentu memberikan pulangan besar kepada negara masing-masing.
Hakikatnya, sebelum penganjuran penyenaraian itu, penganjur sudah pun mendapat dana daripada pihak tertentu, maka secara logiknya sepatutnya tiada bayaran perlu dikenakan kepada mana-mana negara yang mengambil bahagian walaupun bayaran untuk pemasaran atau penjenamaan kawasan.
Kita tolak tepi kontroversi berkenaan dan fokus kepada senarai yang ada. Adakah kita bersetuju dengan senarai tujuh keajaiban itu atau merasakan lebih banyak lagi kawasan yang lebih layak tersenarai berdasarkan keunikan masing-masing.
Mungkin penyenaraian tujuh keajaiban dunia baru itu perlu dijalankan organisasi dunia lebih dipercayai termasuk di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan bukan saja keputusannya lebih telus, tetapi mengelak cubaan eksploitasi pihak tertentu.
Tujuh Keajaiban Baru Dunia
Hutan Hujan Amazon, Brazil
• Meliputi kawasan seluas 5,500,000 kilometer persegi dengan 7 juta kilometer persegi kawasan hutan mazon. Kawasan itu adalah separuh daripada hutan tropika yang masih kekal di dunia, dengan koleksi terbesar tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Kawasan berkenaan juga meliputi Lembangan Amazon dan suhu yang tinggi di kawasan berkenaan sesuai untuk pertumbuhan biodiversiti. Lembangan itu juga adalah yang terbesar di dunia dan paling bernilai di muka bumi.
Teluk Hualong, Vietnam
• Juga dikenali sebagai Ha Long Bay turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menajdi destinasi pelancongan terkenal di Vietnam. Teluk ini dikeliling gunung batu kapur berusia beribu-ribu tahun yang boleh ditemui dalam pelbagai saiz dan bentuk. Ha Long Bay adalah pusat zon yang meliputi Teluk Bai long ke timur laut, dan Pulau Cat Ba di barat dayanya.
Teluk ini meliputi kawasan seluas 1.553 kilometer persegi termasuk 1,960 hingga 2,000 pulau kecil, yang kebanyakannya adalah batu kapur. Daratan teluk adalah 334 kilometer persegi dengan kepadatan 775 pulau kecil. Di percayai usia batu kapur di teluk ini menjangkaui 500 juta tahun. Evolusi batu kapur di teluk ini mengambil masa 20 juta tahun kesan perubahan iklim tropika. Terdapat 14 spesies bunga dan 60 spesies fauna.
Air Terjun Iguaz, sempadan Argentina-Brazil
• Terletak di kawasan seluas 2.7 kilometer di sempadan dua negara ini. Pelancong boleh melihat 257 air terjun di sepanjang kawasan berkenaan yang mana dua pertiga daripadanya berada di Argentina. Air terjun ini menjadi destinasi wajib pengunjung ke negara Amerika Selatan itu. Air terjun utama yang menjadi tumpuan ramai dikenali sebagai ‘Devils Throat’ berbentuk U terletak di Brazil setinggi 82 meter, 150 meter lebar dan panjangnya 700 meter. Iguazu (Sungai Bing di Guarani) pula paling banyak dikunjungi dengan sejumlah kira-kira 2,000 spesies tumbuhan, 400 burung dan 70 mamalia didaftarkan di kawasan berkenaan.
Pulau Jeju, Korea Selatan
• Pulau terbesar dan terletak di timur laut negara itu, kaya dengan tarikan pelancongan kawasan gunung berapi dan tinggalan lava membeku. Pulau ini juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Pulau Jeju turut dikenali Jejudo. Menurut sejarah, Pulau Jeju terletak di Selat Korea di daerah Jeollanamdo sebelum berpisah menjadi daerah lain pada 1946. Ia pernah juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Doi, Dongyeongju, Juho, Tammora, Takra, Tamra.
Antara tarikan utama pulau pelancongan ini adalah gua bawah tanah dan Taman Hallim serta Taman Bonsai yang berusia lebih 150 tahun. Pulau Jeju berkeluasan 73 kilometer x 41 km ini turut memiliki kawasan unik dikenali Mysterious Road yang mana barangan termasuk kereta boleh bergerak sendiri tanpa sebarang ‘kuasa,’ menaiki kawasan berbukit.
Taman Negara Komodo, Indonesia
• Taman ini terletak di Pulau Komodo iaitu salah satu daripada 17,508 pulau di Indonesia. Pulau ini terkenal bukan hanya warisan budaya tetapi spesies biawak dikenali komodo. Haiwan itu hanya boleh ditemui di Pulau Komodo dan binatang seperti cicak gergasi ini hidup berkeliaran di pulau itu selama lebih daripada empat juta tahun. Pulau ini ditemui kira-kira 100 tahun lalu. Terkini, dilaporkan kira-kira 4,000 biawak komodo hidup di tiga pulau selain Pulau Komodo iaitu Pulau Rinca dan Padar.
Selain itu, Taman Negara Komodo kaya dengan terumbu karang dan kira-kira 50 tapak menyelam yang hebat dan menarik. Pada 1986, ia menjadi tapak Warisan Dunia UNESCO dan Rizab Manusia dan Biosfera. Selain komodo, di taman negara ini pelancong boleh melihat haiwan unik dan eksotik seperti ayam hutan berkaki jingga, tikus endemik dan rusa Timor. Lebih daripada 1000 spesies ikan, kira-kira 260 spesies batu karang, 70 spesies span laut dan dugong, ikan jerung, dan sekurang-kurangnya 14 spesies ikan paus, ikan lumba-lumba dan penyu laut ditemui di perairan taman negara ini.
Sungai Bawah Tanah, Puerto Princesa
• Sungai ini terletak di Taman Negara Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa terletak kira-kira 50 kilometer (30 batu) di utara pusat bandar Puerto Princesa, Palawan, Filipina. Taman negara terletak di Banjaran Gunung Saint Paul di pantai utara pulau itu. Ia bersempadan dengan St. Paul Bay ke utara dan di Timur Sungai Babuyan. Ia juga dikenali sebagai Taman bawah tanah Kebangsaan St. Paul River, atau Sungai Bawah Tanah St Paul dan tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1999.
Taman Negara ini dikelilingi gunung batu kapur dengan sungai sejauh 8.2 dilayari kilometer bawah tanah. Satu yang menarik sungai bawah tanah ini ia mengalir di dalam gua sebelum terus ke Laut China Selatan. Sebelum Sungai Yucatan di Semenanjung Mexico, ditemui pada 2007, Sungai Bawah tanah Puerto Princesa dikatakan menjadi sungai bawah tanah terpanjang di dunia.
Table Mountain, Afrika Selatan
• Gunung berbentuk meja besar yang rata boleh dilihat di mana saja di Cape Town. Terletak di dalam Taman Negara Table Mountain, kawasan gunung itu saja dikelilingi lebih 1,500 spesies tumbuhan, manakala 2,285 spesies tumbuhan boleh ditemui di taman negara itu.
INFO: Yayasan New 7 Wonders of Natur
• Diasaskan pada 2001 oleh penerbit filem Bernard Weber di Zurich, Switzerland.
• Mengamalkan prinsip yang sama dalam penetapan tujuh keajaiban dunia pernah diumumkan sebelum ini termasuk Taj Mahal di India serta Piramid dan Giza di Mesir.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan