Sabtu, 24 Disember 2011

AL-FATIHAH: Perginya seorang pemimpin yang aku kenali


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, 72, meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd meninggal dunia kira-kira jam 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.

Pegawai peribadinya, Nor Azhar Yusof, berkata sebelum serangan itu beliau kelihatan sihat namun tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya apabila melihat Allahyarham mengalami sesak nafas dan kami semua cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan namun lima minit kemudian Tan Sri telah tiada.

“Allahyarham mempunyai sejarah penyakit lain iaitu sakit jantung dan diabetis,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (KEWAJA) itu meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak, Wafi Nazrin serta lima orang cucu.

Allahyarham yang dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.

Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009. – BERNAMA

PM ziarah jenazah Hamid Othman

Datuk Seri Najib mengucapkan takziah kepada Wafi Nazrin (kiri) dan Jamilah (dua dari kiri), ketika menziarahi jenazah Abdul Hamid di rumahnya, malam tadi.






KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, 72, meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd meninggal dunia pada jam 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan negara kehilangan tokoh agama dan ulama yang banyak berjasa.

Perdana Menteri berkata, kematian mengejut Abdul Hamid juga satu kehilangan kepada negara kerana Allahyarham banyak membantu dalam memperkukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

Arwah yang pernah berkhidmat sebagai Penasihat Agama di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, meninggal dunia di pejabatnya di ibu negara, jam 4.30 petang semalam. Allahyarham meninggalkan balu, Puan Seri Jamilah Mohd Said, 69, dan seorang anak serta lima cucu.

Jenazahnya dibawa ke rumahnya di Taman Tenaga, Puchong , kira-kira jam 7 malam tadi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bohol, Jalan Klang Lama, selepas Zuhur, hari ini.

“Beliau banyak membantu dalam hal ehwal pentadbiran agama baik dalam kerajaan atau pun UMNO,” kata Perdana Menteri yang meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya, malam tadi.

Sementara itu, anak Allahyarham, Dr Wafi Nazrin, 43, berkata bapanya, tidak menunjukkan tanda sakit ketika berada di pejabat.

Tiada ulasan: