Rabu, 21 Disember 2011
Semua pinjaman ketika Anwar Menteri Kewangan
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, semua permohonan pinjaman yang diluluskan Bank Dunia kepada Malaysia pada tahun 1999 bukan dibuat oleh beliau, sebaliknya permohonan itu dibuat lebih awal iaitu pada 1997 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Menteri Kewangan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, rundingan terakhir mengenai permohonan tersebut membabitkan tiga projek iaitu pinjaman untuk sektor pendidikan (AS$244 juta), sektor sosial (AS$60 juta) dan sektor teknikal (AS$100 juta) juga dibuat pada tahun 1997 (Anwar dipecat pada 1999).
Malah, beliau berkata, pinjaman AS$300 juta untuk program makanan, pendidikan tinggi serta mikro kredit yang ditandatangani pada Jun 1998 antara Bank Dunia dan Malaysia, beberapa bulan sebelum ringgit ditambat juga ketika Ketua Pembangkang itu masih lagi bergelar Menteri Kewangan.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi kesediaan untuk bersumpah dan mencabar Anwar mengambil tindakan sama jika ketua pembangkang itu gagal mengemukakan bukti yang beliau pernah memohon pinjaman daripada Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Krisis mata wang berlaku pada 1997. Secara semula jadi setiap pinjaman tidak akan diluluskan sehingga 1999 bila krisis sudah berakhir. Setiap permohonan pinjaman yang dibuat harus diikuti dengan rundingan dan kelulusan hanya akan diberi selepas segala urutan itu dilalui.
“Semua pinjaman yang dibuat pada 1997 oleh Kementerian Kewangan pada masa itu akhirnya diluluskan pada Mac 1999 tetapi kerajaan telah membuat keputusan untuk menghentikan segala pinjaman tersebut,” kata beliau dalam blognya, http://chedet.cc, hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, pada 31 Mac 1999, pinjaman yang dibuat semasa era Anwar menjadi Menteri Kewangan bagi menangani masalah Y2K, projek pendidikan dan sektor sosial telah dihentikan selepas sebahagian daripada dana pinjaman tersebut diserahkan kepada kerajaan Malaysia.
Tambahnya, walaupun Malaysia tidak meminjam daripada IMF, tetapi Anwar semasa menjadi Menteri Kewangan melaksanakan dasar IMF apabila menaikkan kadar faedah dan mengurangkan tempoh pengisytiharan pinjaman tidak berbayar daripada enam bulan kepada tiga bulan.
“Seluruh dunia tahu mengenai perkara ini dan walaupun Anwar tidak menentang langkah kawalan mata wang, tetapi Gabenor Bank Negara dan timbalannya (orang kanan Anwar) enggan melaksanakan dasar tersebut dan meletak jawatan,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan