Sabtu, 24 Disember 2011

KESIAN: Tapi salah tetap salah

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki dalam keputusannya di akhir kes pembelaan, turut mengarahkan dua lot tanah dan rumah Nombor 8 dan 10 di Jalan Suasa, Seksyen 7, di sini dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan peguam bela, M Athimulan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan pelucutan hak harta terhadap Dr Mohamad Khir sehingga rayuan diputuskan mahkamah.

Ketika menjatuhkan hukuman, Mohtarudin berkata, keterangan menunjukkan Dr Mohamad Khir merancang memiliki hartanah itu dari 2004 hingga 2007. Sehubungan itu, hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan bagi memberikan pesanan jelas kepada orang awam bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan itu.

"Denda tidak sesuai dijatuhkan. Penjara terhadap seseorang yang memegang jawatan eksekutif tertinggi perlu diberikan," katanya.

Mohtarudin berkata, mahkamah mengarahkan hartanah itu dilucut hak kerana Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 memperuntukkan perintah pelucutan apa-apa harta oleh mahkamah dalam kesalahan yang sudah dibuktikan terhadap tertuduh.

Dr Mohamad Khir, 45, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, menerima barangan berharga tanpa balasan iaitu mendapatkan bagi dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di Nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikat berkenaan, Shamsuddin Hayroni, 52, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah berkenaan dibeli syarikat terbabit dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007, di kediaman rasminya ketika itu, di Jalan permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, sedangkan dia mengetahui hartanah dibelinya tidak setimpal harga dibayar manakala Shamsuddin pula mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, selepas menimbangkan semua keterangan bukti dan hujah pendakwaan serta pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Mohtarudin berkata, ada tiga perkara dalam kes itu, iaitu tertuduh seorang penjawat awam pada tarikh pertuduhan; tertuduh membeli hartanah yang menjadi hal pertuduhan daripada saksi kedua pendakwaan iaitu Shamsuddin dengan balasan yang diketahui tertuduh tidak mencukupi; dan tertuduh juga mengetahui Shamsuddin mempunyai kepentingan perniagaan dengan tertuduh sebagai penjawat awam.

Beliau berkata, pemilik asal hartanah, Saiful Aznir Shabudin dalam keterangannya memberitahu mahkamah, Datuk Sumadi membawa Dr Mohamad Khir dan isteri selaku 'potential buyer' melawat hartanah itu pada 2004 dan Saiful Aznir juga memaklumkan beliau mahu menjual hartanah berkenaan dengan harga RM7 juta.

Katanya, keterangan menunjukkan dua bulan kemudian, Sumadi membawa Shamsuddin melawat hartanah sama dan selepas perbincangan, mereka bersetuju dengan harga RM6.5 juta.

Mohtarudin berkata, terdapat keterangan bahawa Dr Mohamad Khir menunjukkan minat dengan hartanah itu dan mengarahkan Sumadi membelinya tetapi Sumadi berkata, beliau ada komitmen lain, sehubungan itu tertuduh mengarahkan Shamsuddin membeli hartanah berkenaan.

Beliau berkata, pereka landskap, Nasir Ismail dalam keterangannya pula menyebut mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor yang menyuruhnya ke rumah tertuduh di Nombor 8, Jalan Suasa di Shah Alam dan diperkenalkan dengan tertuduh yang mahukannya mengubah suai hartanah berkenaan mengikut konsep Bali.

Katanya, dalam keterangan itu, pertemuan pada tahun 2006 turut dihadiri Zahrah dan tertuduh dan isterinya yang paling banyak bercakap mengenai rumah berkenaan.

“Saya tidak ada sebab untuk menolak keterangan Nasir walaupun dikatakan tertuduh ada perselisihan faham dengannya yang mana beliau (Nasir) membawa keluar barangan berharga (dari rumah itu) kerana tertuduh enggan membayarnya.

“Saksi itu ditanya dengan panjang lebar (tetapi) hanya satu soalan ditanya mengenai perselisihan faham berhubung bayaran itu," katanya.

Mohtarudin berkata, mahkamah juga mendapati Shamsudin bukan rakan sepenjenayah kerana daripada keterangannya, jelas beliau beranggapan akan mendapat semula wang (dari hasil penjualan hartanah) dan RM1.5 juta iaitu sebahagian kos ubah suai.

Beliau berkata, ada beberapa percanggahan keterangan yang diberikan Shamsudin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan keterangannya di mahkamah, bagaimanapun peguam bela tidak mengemukakan permohonan mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

Sementara itu, dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Athimulan memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk hanya mengenakan hukuman denda terhadap Dr Mohamad Khir.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Masri Mohd Daud dalam hujahnya berkata, jika tertuduh dikenakan denda dan dia senang hati untuk membayarnya, maka ia tidak mencapai tujuan hukuman berkenaan.

Tiada ulasan: