Jumaat, 23 Ogos 2013

Kontroversi isu kalimah Allah perlu diselesai – Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam sebuah akhbar mingguan Katolik ‘The Herald’ perlu diselesaikan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’, didengar pada 10 September ini.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara.

"Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan," katanya.

Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.

Pada 16 Februari 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald adalah tidak sah.

Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan untuk ‘God’ bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ adalah salah, batal dan tidak sah.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Katolik.

Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.

"Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan,” katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah ‘Allah’.

Porres berkata, kesannya ialah kalimah ‘Allah’ kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak.

"Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan.

"Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak," katanya.

Beliau berkata, isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald, manakala penyelesaian 10 Perkara membincangkan isu kitab Bible.

Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Januari 2009.

Oleh itu, beliau berkata, penyelesaian 10 Perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja.

"Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perkara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah," kata Mubashir.

Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berkata, arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal, namun tidak menyentuh kandungannya.

Beliau berkata, Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian 10 Perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.

Hishammuddin juga berkata, Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah 'Allah'.

Hishammuddin berkata, keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.

Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.

Khamis, 22 Ogos 2013

Kalimah Allah: Mahkamah Tolak Permohonan Gereja

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis menolak permohonan Gereja Roman Katolik bagi membatalkan rayuan kerajaan dan majlis agama Islam berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan Katolik, Herald.

Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Hakim Datuk Rohana Yusuf.

Julai lalu, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah 'Herald'.

Pada 16 Februari 2009, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan gereja serta menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan berkenaan adalah tidak sah, dankalimah 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 berhimpun di perkarangan Kompleks Istana Kehakiman di sini untuk mendengar permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan Majlis Agama Islam dan pihak lain berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.

Mereka yang mewakili lebih 100 NGO Islam seperti Perkasa, Jati dan Pembela tiba seawal pukul 7.30 pagi dengan menaiki bas khas, bagaimanapun sebaik saja pintu mahkamah dibuka mereka dilarang masuk kerana ruang yang tidak mencukupi.

Sepanjang menunggu keputuasn rayuan orng ramai berlegar di perkarangan kompleks mahkamah dan antara mereka berkumpul sambil membaca al-Quran manakala beberapa wakil NGO menyampaikan ceramah mengenai sejarah Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Permohonan rayuan didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin.
Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali ketika ditemui berharap kumpulan tiga hakim yang bersidang hari ini mencapai keputusan yang bijak dan memihak kepada umat Islam.

"Umat Islam sedang menunggu keputusan yang amat penting ini. Kami akan menunggu di sini sehingga keputusan diumumkan," katanya kepada MalaysiaGazette.

Laungan Allahuakbar turut berkumandang selain bacaan Yaasin dari beberapa kumpulan yang menyertai perhimpunan tersebut. Turut kelihatan Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

Mahkamah dijanga membuat keputusan pada pukul 2 petang.

Rabu, 21 Ogos 2013

Nahas Genting Highland, lebih 30 maut








Info terkini sehingga jam 8.50 malam 
- 37 maut.
- 60 kakitangan perubatan dihantar ke lokasi kejadian
- Mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh
 
PETALING JAYA: Maklumat terbaru Jabatan Bomba dan Penyelamat sehingga pukul 7.30 petang mengesahkan seramai 26 mangsa terbunuh dalam nahas kejadian bas pelancong terhumban ke dalam gaung sedalam 30 meter di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.20 petang Rabu.

Sementara itu, 16 lagi mangsa ditemui masih hidup. Jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui kini adalah seramai 42 orang. Seramai 7 lagi mangsa masih terkandas.

Sebelum ini, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail dalam kenyataannya menjangkakan sekurang-kurangnya 32 orang dikhuatiri mati dalam insiden tersebut.

Setakat ini 32 mangsa lagi masih berada di bawah gaung sejauh 200 kaki dan pemerhatian awal bomba mengatakan mereka sudah meninggal dunia. Bomba menjangkakan semua 49 mangsa," katanya.

LAPORAN BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Lebih 30 penumpang dikhuatiri maut apabila sebuah bas ekspres dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur jatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter di KM3.5 dari Genting Highlands petang ini.

Penolong Pengarah Penguasa Bomba Wilayah Persekutuan Azizan Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.45 petang.

"Daripada 49 penumpang bas itu, seorang daripada 17 yang dapat dikeluarkan telah meninggal dunia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dikhuatiri lebih 30 mangsa yang masih berada di dalam bas itu maut, dan kini operasi mengeluarkan mayat sedang dijalankan.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa buah kenderaan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan ambulans berada di tempat kejadian dan pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa.

Mereka menggunakan kren untuk menurun dan membawa keluar mangsa yang cedera.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Seramai 12 orang disahkan maut, manakala 21 lagi dikhuatiri turut terkorban dalam nahas bas ekspres yang terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di KM3.5 dari Genting Highlands hari ini. 

Seramai 16 lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan.

Bas yang dipercayai membawa 49 penumpang itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke pusat bandar raya. 

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.22 petang.

"Seramai 150 anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas," katanya di tempat kejadian.

Dalam pada itu, aliran trafik kedua-dua arah di Jalan Genting Highlands sesak sepanjang kira-kira empat kilometer ekoran insiden itu.

Sementara itu Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Seri Dr Abu Hassan Ashaari berkata setakat pukul 6.28 petang, lima mayat mangsa nahas dihantar ke hospital berkenaan. 

Mangsa lain turut dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong, di Pahang untuk rawatan.

"Setakat ini Hospital Selayang menerima tujuh pesakit, HKL (5), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa," katanya.

Mangsa yang terlibat dalam lingkungan umur 19 hingga 50 tahun, katanya yang ditemui di hospital berkenaan.


Bas jatuh gaung di Genting, 33 dikhuatiri terbunuh


Sebuah bas awam terhumban ke dalam gaung ketika menuruni Genting Highlands petang ini dan menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, 33 penumpang dikhuatiri terkorban dan 16 lagi cedera.
NONE
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata setakat ini 32 mangsa masih berada di bawah gaung sedalam 200 kaki dan pemerhatian awal bomba mengatakan mereka sudah meninggal dunia.
Bomba menjangka terdapat 49 mangsa di dalam bas tersebut.
NONESehingga kini 16 mangsa sudah diselamatkan dan seorang yang terbunuh sudah dibawa ke hospital.
Menurut Azizan kemalangan berlaku di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur membabitkan sebuat bas awam Genting Highlands.
Menurut facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat pula, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.48 petang.

NONEKatanya, anggota balai bomba tersebut bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamat mangsa yang terlibat.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berangkat ke lokasi nahas bagi meninjau kerja-kerja menyelamat mangsa.
Manakala ADUN Ketari, Lee Chin Chen ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau dimaklumkan terdapat 49 penumpang dalam bas ketika kejadian itu berlaku petang ini.
Akhbar The Star pula melaporkan bahawa kemalangan itu berlaku kira-kira 2km dari Kuil Chin Swee dan lalulintas di kawasan itu sesak dan tidak bergerak.

Gambar-gambar yang diedarkan secara meluas di Facebook menunjukkan bas kuning terletak di dalam gaung.
Sehingga jam 7.15 malam, 12 orang disahkan maut manakala 21 lagi dikhuatiri turut terkorban
NONESeramai 16 lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan.
Sementara itu, Bernama melaporkan  Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Seri Dr Abu Hassan Ashaari berkata setakat pukul 6.28 petang, lima mayat mangsa nahas dihantar ke hospital berkenaan.     
Mangsa lain turut dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital
 Selayang dan Hospital Bentong, di Pahang untuk rawatan.
   
"Setakat ini Hospital Selayang menerima tujuh pesakit, HKL (5), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa," katanya.

Mangsa yang terlibat dalam lingkungan umur 19 hingga 50 tahun, katanya yang ditemui di hospital berkenaan. 

Selasa, 13 Ogos 2013

Cara Sultan Hassanal Bolkiah 'AJAR' CINA DI BRUNEI


Negara jiran kita Brunei tidak menerima sebahagian penduduknya yang berketurunan Cina sebagai warga. Orang Cina ini hanya diberikan taraf pemastautin tetap (PR) sahaja.
Sungguhpun golongan orang Cina ini sudah generasi kedua atau ketiga lahir di Brunei, mereka masih lagi pemegang PR. Maknanya tidak memegang paspot Brunei.
Brunei agak luar biasa. Ia mempunyai sistem pemerintahan beraja, di mana Sultan Brunei adalah Muslim dan Brunei ialah sebuah negara Islam yang agama rasminya Islam. Tetapi taburan penduduk Muslimnya sekadar 51.9 peratus sahaja. (Pew Research Center 2008).
Hampir separuh iaitu kira-kira 48 peratus daripada penduduk di Brunei bukan Muslim kerana mereka kaum minoriti yang berstatus ‘stateless people’.
Kebanyakan penduduk bukan warga di Brunei adalah etnik Cina yang tidak mempunyai hak-hak penuh dan faedah yang dinikmati seorang warga biasa. (Freedom House 2012) 

Penduduk bukan warga (stateless people) tidak dibenarkan untuk memiliki tanah di Brunei. Mereka tidak mendapat rawatan kesihatan yang dibiayai penuh oleh kesultanan kaya-raya itu. Mereka tidak layak mendapat pendidikan percuma tahap pengajian tinggi. (Jabatan Negeri Amerika Syarikat Mei 2012)

Brunei adalah sebuah negara kecil yang jumlah penduduknya pun kecil iaitu kira-kira 390,000 orang: Melayu (67%), Cina (15%), pribumi (6%) dan Lain-lain (12%).
Jumlah stateless people seramai 21,000 orang (5.4%) dan seperti yang disebut tadi, kebanyakan mereka Cina. Kewarganegaraan tidak diberikan secara automatik.
Sesiapa yang ingin memohon untuk menjadi warga Brunei dikehendaki lulus ujian yang mana calon tersebut wajib menunjukkan bahawa dia memahami BUDAYA dan BAHASA MELAYU.
Kewarganegaraan Brunei ditentukan melalui prinsip jus sanguinis iaitu mengikut kerakyatan ibu bapa. Istilah tersebut adalah bahasa Latin yang bermaksud “right of blood” atau hak keturunan.
Talian ‘darah’ amat mustahak bagi banyak negara bangsa.
Di
Brunei, seorang yang menjadi warga mengikut operasi undang-undang sekiranya dia Melayu - merangkumi Belait, Bisaya, Dusun, Kedayan, Murut dan Melayu Tutong.

Ambil contoh United Kingdom yang terdiri daripada Ireland Utara, Scotland, England dan Wales. Orang British menggelar diri mereka orang Irish, orang Scot, orang English dan orang Welsh, lebih kurang seperti orang Malaysia menggelar diri kita Melayu, Cina, India dan sebagainya. Kita di Malaysia berlainan agama dan berbeza warna kulit.
Orang asal Irish, Scot, English dan Welsh sama agama (Kristian) dan sama warna kulit (putih). Namun mereka masih lagi nekad untuk membeza-bezakan diri mereka.
Seorang Irish, misalnya kata, enggan dikenali sebagai orang English. Dua tahun kelak, Scotland akan mengadakan referendum untuk menentukan sama ada orang Scot mahu keluar daripada UK dan seterusnya negeri tersebut menjadi sebuah republik berdikari.
Perkembangan ini membayangkan betapa kuatnya jati diri orang Scot, yang lebih Scot daripada British. Untuk sekian lama, gerila IRA telah berperang saudara berhasrat akan pemisahan Ireland Utara daripada Great Britain – pulau besar terdiri England, Scotland dan Wales – supaya boleh bergabung semula dengan Ireland kerana jati diri mereka ialah sebagai orang Irish.
Di serata dunia, pengenalan diri mengikut etnik adalah begitu mendalam. Contohnya orang Kurd mahu menubuhkan sebuah negara Kurdistan khusus untuk etnik mereka. 
Jadi kepada Cina Malaysia ataupun DAP khususnya, jangan 'macekeyo' kononnya memfitnah MALAYSIA ini tidak adil dalam urusan kaum.

Isnin, 12 Ogos 2013

"Buku tersebut tidak ditulis oleh saya'' - Pak Lah


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan terlibat dalam penerbitan buku Awakening - The Abdullah Badawi Years in Malaysia. Penafian itu dibuat menerusi kenyataan medianya seperti berikut:

KENYATAAN MEDIA YABHG TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Sejak dua tiga hari yang lepas banyak berita diterbit mengenai `Buku Pak Lah’. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen. Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan mengenai buku tersebut.

Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal.

Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara yang dibuat pada 2011 ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang kepada saya untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri.

Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas daripada kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penulisan saya dapat dimuatkan dalam buku tersebut.

Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab di atas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang menyatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura – kalau pun benar-adalah keputusan penerbit buku bukan saya.

Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Biarlah jawapan-jawapan saya yang menjadi tumpuan pembaca.

Berlatar belakang fakta-fakta di atas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai `Buku Pak Lah’. Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal?. Saya setuju untuk diwawancara kerana perlu penjelasan saya sendiri di dalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan `unfalttering’ tentang kepimpinan saya. Saya masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil semua sudut pandangan.

Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumasan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia beri ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buk ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah berssubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang dibuat dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tidak pernah meninggalkan UMNO dan Insya`Allah bila masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negara ini.

TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
12 OGOS, 2013

Ahad, 11 Ogos 2013

Kenapa Senjata Api Secara Tiba-Tiba Mudah Didapati Di Malaysia? - DAP

PETALING JAYA: DAP mahu mengetahui mengapa dilihat adanya bekalan bersedia senjata api di Malaysia, berikutan peningkatan kejadian tembakan baru-baru ini.

Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng berkata, walaupun hukuman berat terhadap pemilikan senjata haram, ia tidak kelihatan menghentikan kongsi gelap daripada menggunakan senjata api.

"Menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat yang mengeluarkan banyak penjenayah yang lebih serius dalam masyarakat bukanlah menjelaskan sepenuhnya bagaimana bekalan senjata secara tiba-tiba meningkat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengenai pemansuhan Ordinan Darurat, Lim berkata, ia tidak menjelaskan apa yang beliau sifatkan sebagai "lonjakan" secara tiba-tiba terhadap bekalan senjata tempatan.

Lebih 20 orang terbunuh dalam beberapa kes tembakan di seluruh negara sejak 12 April tahun ini.
Pemimpin atasan DAP mengambil berat perkara ini secara serius, dan akan mengadakan mesyuarat tergempar malam Ahad bagi membincangkan, antara lain, peningkatan dalam jenayah kekerasan baru-baru ini yang telah menjejaskan perniagaan tempatan dan pelancongan, kata Lim.

Lim berkata, mesyuarat itu akan diadakan walaupun beberapa pemimpin bercuti.

Sebagai langkah jangka panjang, Lim menggesa lebih ramai anggota polis diletakkan di jalan-jalan, yang mendakwa bahawa hanya kira-kira 9% daripada 112,583 (10,150) pegawai beruniform di
Malaysia berada di Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya separuh daripada pasukan polis Malaysia yang diperlukan untuk memerangi jenayah.

"Perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota berpakaian seragam membuat rondaan di jalan-jalan dan bukan 10,150 anggota sekarang," katanya

Bungkusan mengandungi bom meletup, kerani sekolah maut

Kedua-dua tangan mangsa terputus, manakala perutnya terburai akibat terkena letupan bom yang dibungkus.
TUMPAT: Seorang lelaki maut apabila bungkusan hitam yang diletakkan di atas bumbung kereta milik abang iparnya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Cabang Empat, dekat sini, tiba-tiba meletup.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Manik Urai, Kuala Krai itu mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di tangan dan anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata, mangsa bersama isteri dan anak berusia empat bulan datang ke ibu mertuanya di kampung itu malam tadi untuk berhari raya.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai berada di dalam rumah dan keluar mengambil bungkusan berwarna hitam yang diletakkan di atas bumbung kereta Naza Kia itu setelah diberitahu isterinya.

“Sebaik sahaja mengambilnya, tiba-tiba bungkusan hitam itu meletup, menyebabkan kedua-dua tangan mangsa putus dan anggota badannya cedera parah. Mangsa mati di tempat kejadian.

“Letupan itu juga turut merosakkan kereta Perodua Alza yang terletak bersebelahan kereta Naza Kia itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini, semalam.

Lai berkata, polis setakat ini masih membuat siasatan di tempat kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut seorang jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, letupan kuat itu boleh kedengaran di beberapa buah kampung dan dia yang terkejut dengan bunyi kuat itu bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku.

“Pada mulanya saya sangkakan bunyi mercun, tetapi setelah menjenguk keluar dari pintu rumah, saya lihat isteri mangsa sedang menangis di sisi mayat suaminya,” katanya.

Umno pinda tarikh mesyuarat dan pemilihan parti

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju meminda tarikh bagi mesyuarat cawangan Umno, mesyuarat bahagian Umno dan penamaan calon untuk pemilihan parti kepada tarikh yang ditetapkan.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti tersebut, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kenyataan tersebut telah memaklumkan bahawa mesyuarat cawangan Umno telah dilanjutkan daripada 31 Ogos kepada 15 September 2013.

Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pula dilanjutkan daripada 7 September kepada 21 September 2013.

Untuk mesyuarat bagi ketiga-tiga sayap itu pula, ia telah ditetapkan pada 12 Oktober 2013.

Bagi penamaan calon untuk pemilihan majlis tertinggi umno, tarikhnya dilanjutkan daripada 7 September kepada 28 September 2013, manakala mesyuarat bahagian dan hari pemilihan Majlis Tertinggi Umno dipinda daripada 5 Oktober kepada 19 Oktober 2013.

Menurut Tengku Mansor, pindaan tersebut dibuat berikutan cadangan dan permintaan dari Umno bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan yang antaranya ialah tarikh mesyuarat cawangan sebelum ini berlangsung dalam bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dan tamat tempoh mesyuarat pada 31 Ogos 2013.

Selain itu, beliau juga memaklumkan dua pemimpin negara luar iaitu Presiden China dan Presiden Amerika Syarikat juga akan berkunjung ke negara ini pada awal Oktober 2013 dan persediaan untuk menerima kedatangan tetamu negara ini perlu dibuat.

Menurutnya lagi, Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti telah pun dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh pihak pengurusan Umno.

Pemilihan MT Umno sebelum ini telah diumumkan akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober, manakala persidangan dan pemilihan jawatan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pula pada 28 September.

Pelancaran Buku 'Awakening' Ditangguh Disebabkan Pempolitikan - Editor

 
PETALING JAYA: Pelancaran rasmi buku 'Awakening: The Abdullah Years In Malaysia' telah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak kerana pempolitikan dalam laporan media baru-baru ini, kata Prof James UH Chin.

James, yang menyunting buku itu bersama dengan rakan penganalisis politik, Prof Bridget Welsh berkata, kelewatan pelancaran itu yang pada mulanya ditetapkan pada 16 Ogos ini, bagi mengelakkan salah faham berterusan.

"Media telah tersilap dengan melabelkan buku tersebut sebagai "Buku Pak Lah". Ini tidak betul. Ia merupakan koleksi pelbagai pandangan yang kebanyakannya agak kritikal dalam tempoh perkhidmatan beliau," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

James dan Welsh berkata, sambutan media untuk buku itu tidak dijangka, dengan tumpuan diberikan pada "bahagian sensasi buku", terutamanya temubual yang mereka jalankan dengan Abdullah.

Mereka juga menegaskan bahawa mereka tidak pernah diminta untuk melambatkan penyiaran buku, sebelum atau selepas mana-mana pilihan raya.

"Tanggungjawab kelewatan ini terletak kepada editor, kerana kita berurusan dengan banyak penerbit, percetakan dan percanggahan permintaan profesional," kata kenyataan itu.

James dan Welsh menggesa media dan komuniti blog supaya bertindak secara bertanggungjawab dan membaca buku itu sebelum membuat penilaian.

Mereka berkata, buku itu terkandung perspektif daripada penyumbang daripada semua pihak dan jurang politik serta daripada pemerhati akademik.

"Kami berusaha untuk mempunyai koleksi seimbang dan sebahagian daripada keseimbangan adalah memberi ruang kepada Pak Lah sendiri untuk bercakap tentang dirinya dalam tempoh perkhidmatan beliau," kata mereka, sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdullah kerana membenarkan wawancara eksklusif walaupun mengetahui buku itu akan mengandungi pandangan kritikal mengenai dirinya.