Isnin, 12 Ogos 2013

"Buku tersebut tidak ditulis oleh saya'' - Pak Lah


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan terlibat dalam penerbitan buku Awakening - The Abdullah Badawi Years in Malaysia. Penafian itu dibuat menerusi kenyataan medianya seperti berikut:

KENYATAAN MEDIA YABHG TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Sejak dua tiga hari yang lepas banyak berita diterbit mengenai `Buku Pak Lah’. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen. Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan mengenai buku tersebut.

Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal.

Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara yang dibuat pada 2011 ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang kepada saya untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri.

Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas daripada kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penulisan saya dapat dimuatkan dalam buku tersebut.

Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab di atas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang menyatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura – kalau pun benar-adalah keputusan penerbit buku bukan saya.

Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Biarlah jawapan-jawapan saya yang menjadi tumpuan pembaca.

Berlatar belakang fakta-fakta di atas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai `Buku Pak Lah’. Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal?. Saya setuju untuk diwawancara kerana perlu penjelasan saya sendiri di dalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan `unfalttering’ tentang kepimpinan saya. Saya masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil semua sudut pandangan.

Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumasan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia beri ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buk ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah berssubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang dibuat dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tidak pernah meninggalkan UMNO dan Insya`Allah bila masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negara ini.

TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
12 OGOS, 2013

Tiada ulasan: