Ahad, 11 Ogos 2013

Bungkusan mengandungi bom meletup, kerani sekolah maut

Kedua-dua tangan mangsa terputus, manakala perutnya terburai akibat terkena letupan bom yang dibungkus.
TUMPAT: Seorang lelaki maut apabila bungkusan hitam yang diletakkan di atas bumbung kereta milik abang iparnya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Cabang Empat, dekat sini, tiba-tiba meletup.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Manik Urai, Kuala Krai itu mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di tangan dan anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata, mangsa bersama isteri dan anak berusia empat bulan datang ke ibu mertuanya di kampung itu malam tadi untuk berhari raya.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai berada di dalam rumah dan keluar mengambil bungkusan berwarna hitam yang diletakkan di atas bumbung kereta Naza Kia itu setelah diberitahu isterinya.

“Sebaik sahaja mengambilnya, tiba-tiba bungkusan hitam itu meletup, menyebabkan kedua-dua tangan mangsa putus dan anggota badannya cedera parah. Mangsa mati di tempat kejadian.

“Letupan itu juga turut merosakkan kereta Perodua Alza yang terletak bersebelahan kereta Naza Kia itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini, semalam.

Lai berkata, polis setakat ini masih membuat siasatan di tempat kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut seorang jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, letupan kuat itu boleh kedengaran di beberapa buah kampung dan dia yang terkejut dengan bunyi kuat itu bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku.

“Pada mulanya saya sangkakan bunyi mercun, tetapi setelah menjenguk keluar dari pintu rumah, saya lihat isteri mangsa sedang menangis di sisi mayat suaminya,” katanya.

Tiada ulasan: