30 April - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim
Mohd. Noor hari ini diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan
setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan hukuman
kerana kesalahan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah itu juga memerintahkan Abdul Rahim membayar denda RM2,000
atau penjara dua bulan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah
Sesyen di sini pada 15 Mac tahun lalu.
Abdul Rahim, 57, kemudian dibawa menaiki sebuah Pajero cermin gelap
menuju ke Penjara Kajang dengan diiringi anggota-anggota polis dalam dua
buah Pajero lain dan dua buah kereta kira-kira pukul 2.52 petang ini.
Hukuman penjara terhadap Abdul Rahim berkuat kuasa mulai hari ini.
Hakim Datuk Shaik Daud Ismail yang mengetuai panel tiga hakim
Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya pagi ini, selepas mendengar hujah
rayuan yang dikemukakan oleh peguam-peguam mewakili perayu (Abdul
Rahim), K. Kumaraendran dan V. Sithambaram.
Beliau mencapai keputusan itu bersama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Saari Yusoff dan Datuk K.C. Vohrah.
Pihak pendakwa yang menentang rayuan tersebut diwakili oleh
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin dan Dzulkifli Ahmad.
Karpal Singh dan S.N. Nair pula hadir selaku peguam-peguam pemerhati
mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengadu kes
tersebut.
Abdul Rahim membuat rayuan itu kerana tidak berpuas hati dengan
keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dua bulan
yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin
dalam keputusannya pada 15 Disember tahun lalu mengetepikan hukuman
denda RM2,000 terhadap Abdul Rahim.
Ketika mengumumkan penghakimannya menolak rayuan itu pada sidang
pukul 11.30 pagi ini, Hakim Shaik Daud menegaskan bahawa Abdul Rahim
melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam
pasukan polis.
Katanya, Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis
tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah
akibat perbuatan yang telah dilakukannya.
Hakim Shaik Daud berkata, tindakan perayu yang dilakukan terhadap
orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan.
Tambahan pula dalam kes ini, kata beliau, orang tahanan itu diarahkan
oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain
dan yang paling teruk tangan digari dari belakang.
Hakim Shaik Daud menegaskan, ia suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.
Menurut beliau, mahkamah telah meneliti dengan terperinci rekod
rayuan Abdul Rahim demi keadilan kedua-dua pihak iaitu perayu dan juga
mangsa.
Dalam menilai hukuman, jelas Hakim Shaik Daud, ia mengambil kira kepentingan mangsa selain tidak mengetepikan kepentingan awam.
"Kami juga menimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguam-peguam perayu pagi ini," jelas beliau.
Bagaimanapun, kata Hakim Shaik Daud, dalam keadaan kes ini, mahkamah
tidak dapat menemui sebarang perkara untuk campur tangan berhubung
hukuman yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen.
"Kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak seharusnya campur
tangan dengan bidang kuasanya hanya kerana Hakim Mahkamah Sesyen tidak
menyatakan secara spesifik kenapa dikenakan denda.
"Kami tidak ada alasan untuk membatalkannya (denda)," jelas Hakim Shaik Daud.
Menurut Hakim Shaik Daud, alasan yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah
Sesyen meliputi keseluruhan hukuman berdasarkan fakta dan keadaan kes
itu.
Namun, ujar beliau, hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen itu adalah
ringan dan alasannya hanya diketahui oleh hakim mahkamah berkenaan.
Pendakwa raya juga, kata beliau, tidak mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman itu.
Selain itu, kata Hakim Shaik Daud, beliau ingin mengambil kesempatan
untuk mengingatkan kepada mahkamah-mahkamah yang lebih rendah bahawa ia
seharusnya menangani kes-kes melibatkan pegawai polis memukul sesiapa
pun dengan serius.
"Tanpa mengira pangkat pegawai polis yang didapati bersalah memukul
mana-mana orang awam ataupun seseorang tahanan seperti kes ini," tegas
beliau.
Hakim Shaik Daud menjelaskan lagi, sebagaimana yang dinyatakan pada
awalnya, mahkamah itu tidak mendapati sebarang kesilapan dalam
undang-undang atas hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen
tersebut.
Pada 15 Mac tahun lalu, Abdul Rahim telah dihukum penjara dua bulan
dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas
tuduhan pindaan mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di lokap
No. 6, Bukit Aman, kira-kira pukul 10.45 malam, pada 20 September 1998.
Ketika berhujah dalam rayuan itu hari ini, Kumaraendran memohon agar
Abdul Rahim tidak dikenakan penjara kerana dia akan kehilangan wang
pencen.
Kumaraendran berkata, dengan mengaku bersalah terhadap kesalahan itu,
Abdul Rahim akan hilang faedah persaraannya seperti pencen yang secara
tidak langsung merupakan denda berjumlah RM5,000 sebulan.
Beliau menambah Abdul Rahim bertanggungjawab sepenuhnya dengan
mengaku terhadap kesalahan itu di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja
yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu.
Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.
Menurut peguam itu lagi, Hakim Mahkamah Sesyen juga tidak menimbangkan khidmat dan jasa cemerlang Abdul Rahim kepada negara ini.
Sebelum itu, Kumaraendran menerangkan sebab-sebab mengapa Abdul Rahim
mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Seksyen 323 Kanun
Keseksaan.
Di antara sebabnya, kata peguam itu, Abdul Rahim sungguh menyesal
atas perbuatannya dan jika perbicaraan dijalankan ia akan melibatkan
anggota polis lain.
Katanya, Abdul Rahim juga tidak mahu isu itu berlarutan dan tidak mahu memalukan kerajaan.
Hakim Shaik Daud lalu mencelah dengan mengatakan bahawa bukankah tindakan Abdul Rahim itu telah memalukan negara.
Peguam tersebut menjawab walaupun perkara itu tidak dinafikan namun
ia menjimatkan masa perbicaraan kerana terdapat 24 orang saksi.
Ketika berhujah balas, Salehuddin yang mewakili pendakwa memberitahu
bahawa pihaknya tidak mengemukakan rayuan balas kerana berpendapat
keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dengan
mengekalkan hukuman penjara terhadap perayu tersebut.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan