DATUK SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
“UMNO: MEWAJAH MASA DEPAN”
MUQADDIMAH
Dengan menyebut kalimah Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
1. Mendahului segalanya, Saya ingin membaca sepotong ayat dan memetik
mafhum firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, daripada surah Al-Ikhlas, ayat
1 hingga 4:
“BismillahiRahmanirRahim …Qul Huwallah Hu Ahad… Katalah wahai
Muhammad, Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan tempat berlindung,
pada-Nya kita bermohon segala sesuatu, Allah Yang tidak beranak, tidak
pula diperanakkan, dan sesungguhnya Dia, tidak boleh disekutu mahupun
disetarakan”.
Selanjutnya, selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad
SAW, serta para sahabat pilihan yang menjadi ikutan juga suri tauladan
sepanjang zaman.
Saudara dan Saudari,
Para pujangga pula berperi-peri bahawa:
“Sekalipun kita tidak mampu memberi jaminan tentang masa depan
anak-anak muda, namun apa yang pasti boleh dilakukan ialah menyedia dan
membangun mereka untuk hari muka, kerana pemimpin yang baik lagi
bertanggungjawab adalah pemimpin yang mempersiagakan pelapis masa
depan.”
Saudara dan Saudari,
2. Berbekalkan pedoman-pedoman tersurat lagi tersirat yang demikian
itu, sambil mengangkat sebanyak-banyak tasbih ke hadrat Ilahi, marilah
sama-sama bersyukur dengan rahmatNya, yang memungkinkan Pertubuhan
Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO terus berkeramat sebagai organisasi
unggul menakhoda bahtera Melayu dan Bumiputera.
3. Hakikatnya, UMNO merupakan sebuah perjuangan yang sentiasa diduga
dengan pelbagai onar dan fitnah, sebuah perjuangan yang tidak mengenal
erti penat lelah, sebuah perjuangan yang tidak patah dipukul zaman.
Inilah mujahadah besar yang telah sekian lama menjunjung tradisi,
membela nasib bangsa, menzahir warna dan ceritera perubahan.
Saudara dan Saudari,
4. Jika dihitung dan dicongak, parti UMNO sudah berusia 67 tahun,
Perhimpunan Agung ini pula mencecah siri ke-64 seraya menandakan dewan
yang bertuah ini, telah menjadi saksi persidangan dilangsungkan sebanyak
28 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO bertatih dan sudah
berjalan jauh didewasakan oleh usia dan pengalaman.
Disebut orang :
“Nyiur gading puncak mahligai, ketupat pulut berisi inti, biar
dilambung gelora dan badai, biar dihentak bertubi-tubi, perjuangan mulia
ini tak boleh berhenti.”
Saudara dan Saudari,
5. Ingatlah pesan para ulama’, mereka yang tidak berterima kasih
sesama manusia ibaratnya tidak bersyukur kepada Allah. Tegasnya,
bapa-bapa kita terdahulu, telah mengasuh dan mengajar kita supaya
menjadi insan yang mengenang budi.
6. Ehwalnya, UMNO adalah parti yang sentiasa menghargai penyokong dan
pendokong, mengenang barisan pejuang yang lepas, selama puluhan tahun,
siang dan malam, berhujan, berpanas, menumpah keringat, berkorban jiwa
dan raga, menolak kepentingan diri, demi kelangsungan wadah Melayu dan
Bumiputera.
7. Berkait ini, tentunya, penghargaan khas kita berikan kepada
keenam-enam Presiden UMNO yang lalu, yakni Allahyarham Dato’ Onn Jaafar,
Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham
Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kata orang, kepada segala khidmat yang telah dicurahkan, hati mengenang mulut menyebut, hanya Allah jua yang mampu membalasnya.
8. Semestinya lagi, kepada wirawan-wirawan parti yang kini sedang
bersemadi dan telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya,
seyogialah kita sedekahkan Ummul Kitab, Al-Fatihah.
Saudara dan Saudari sekalian,
9. Jika kita imbas kembali, negara mencapai kemerdekaan, pada 31
haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu
padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963 pula, Sabah dan
Sarawak telah bergabung bagi membentuk Malaysia. Syukur Alhamdulillah,
penyatuan ini, membawa berjuta rahmat kepada kita.
10. Hasilnya, kita telah membentuk perikatan dan gabungan parti-parti
politik bagi membina gandingan kukuh yang kita namakan Barisan
Nasional.
11. Seperti semua maklum pula, pada bulan Mei yang lalu, kita telah
menghadapi Pilihanraya Umum ke-13. Sehubungan itu, bagi pihak Kerajaan,
saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah
menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk terus
memimpin negara.
12. Apa yang lebih bererti adalah, UMNO sebagai parti tonggak, telah
berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88. Ini
membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun halangan, Kepimpinan
Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional, terus
kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan
rakyat, untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.
Saudara dan saudari,
13. Kita turut bersyukur kerana Sabah dan Sarawak telah menyumbang
sebanyak 47 kerusi kepada Barisan Nasional. Saya sebut baru-baru ini,
dalam Bahasa Iban “Utai Besai Gaga’miet”, maksudnya jika kita bersatu
padu, hidup saling berganding-ganding, tiada masalah yang tidak dapat
diselesaikan.
14. Sebab itulah, kita tidak pernah lupa jasa, kita tidak sekali-kali
alpa, dengan sokongan dan pengorbanan orang Sabah dan Sarawak. Jadinya,
sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada saudara-saudari kita di
sana, saya telah melantik 13 Menteri dan 8 Timbalan Menteri.
Masing-masing
6 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sabah, manakala 7
Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sarawak.
Saudara dan Saudari sekalian,
15. Sememangnya pun, kita berasa amat bersyukur atas kemenangan dalam
Pilihanraya Umum tersebut, satu pilihanraya besar yang begitu sengit
dan penuh tentangan. Diperakui episod pilihanraya baru-baru ini agak
berlainan dan mencabar sekali.
16. Namun, kita boleh berbangga, kerana semuanya itu dilalui dengan
teratur menurut batas-batas dan lunas-lunas demokrasi, sebagaimana yang
diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh
kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.
Saudara dan Saudari,
17. Berbicara tentang Pilihanraya Umum Ke-13 lalu, bidalan Melayu
menyebut, bila rumah siap, pahat pun mula berbunyi. Nampaknya pihak
pembangkang tidak berlapang dada menerima kemenangan kita. Ada saja yang
dikatakan tidak kena, ada saja yang dikorek-korek sebagai silap di mata
mereka.
18. Misalnya, mereka semacam tidak faham dan tidak mahu memperakui
sistem first-past-the-post. Ingin saya terangkan bahawa sistem ini
telahpun kita amalkan sejak pilihanraya 1959 lagi, di mana, parti
pertama yang mencapai majoriti, diisytihar menang. Maknanya, semasa
pilihanraya tersebut, apabila Barisan Nasional mencecah 112 daripada 222
kerusi, menurut sistem ini, tuan-tuan dan puan-puan, kita berhak
membentuk Kerajaan seperti yang dilakukan.
19. Kalau saya nak bagi analogi untuk kefahaman ramai, cerita
mudahnya begini. Katalah dalam satu perlawanan badminton, Najib melawan
Anwar, ke Anwar melawan Najib, mana-mana pun tak kisahlah. Dalam set
pertama Najib menang 21-15, dalam set kedua Najib kalah 05-21, tetapi
set penentu Najib menang 21-16.
20. Tentulah dalam perlawanan ini, memenuhi peraturan, pengadil
mengisytiharkan Najib menang. Tetapi Anwar membantah tak setuju kerana
katanya, jumlah mata terkumpul beliau adalah 52 berbanding Najib 47.
Mana boleh kira macam tu, tak betul tu. Kita ada sistem, kita main ikut
set. Siapa menang majoriti, dialah juara!
21. Namun demikian, jika dikira undi popular sekalipun, kita tetap
menang di sembilan negeri daripada empat belas buah negeri, manakala
mereka hanya menang undi popular di empat negeri sahaja.
Saudara dan Saudari,
22. Sebenarnya, perbandingan ini adalah tidak adil, kerana
pembangkang bertanding di atas tiga parti yang berasingan dengan simbol
yang berlainan, serta ideologi yang berbeza, sedangkan UMNO dengan
berdiri di atas nama parti tersendiri memperoleh peratusan tertinggi
undi popularnya. Kalau nak di kira macam tu, UMNOlah yang paling
popular.
23. Berbalik kepada kemenangan kita, di atas segalanya, selaku
Presiden parti mewakili barisan kepimpinan, saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak,
terutamanya kepada jentera-jentera parti di setiap peringkat merangkumi
cawangan, pusat daerah mengundi, bahagian dan negeri, yang saya tahu,
telah berusaha mati-matian, menggempur dan membungkam kubu lawan,
mematahkan serangan, dan paling mustahak sekalipun kita diasak, dihelah,
akhirnya, dengan kehendak Allah SWT jua, kita dapat menumpas dan
meranapkan impian pembangkang ke Putrajaya.
Saudara dan Saudari,
24. Berkait perkara ini juga, ingin saya pertegaskan bahawa penyataan
Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di salah sebuah universiti di Indonesia
baru-baru ini, kononnya kemenangan UMNO dan Barisan Nasional disebabkan
faktor manipulasi dan korupsi adalah sungguh tidak berasas, tidak
bertanggungjawab dan sungguh memesongkan.
Saudara dan Saudari,
25. Pada bulan Oktober yang lalu, satu lagi tawarikh amat penting
telah ditempa oleh UMNO apabila pemilihan teraju parti, dari peringkat
akar umbi sehingga ke saf kepimpinan pusat, buat julung-julung kalinya,
dilaksana secara telus dan terbuka, selepas pindaan perlembagaan parti
dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO tahun 2009.
26. Terdapat 7 pindaan dibuat demi memastikan UMNO terus dinamik, demokratik dan relevan sampai bila-bila.
27. Pada pindaan pertama. Ia meluaskan jumlah perwakilan dan
sekaligus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk
Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, ke peringkat Mesyuarat
Perwakilan Bahagian. Terbukti, sistem pengundian baru ini membuatkan
ramai perwakilan UMNO gembira dan teruja kerana kini hak dan suara
mereka diiktiraf.
28. Pindaan kedua pula, berkaitan penghapusan kuota kelayakan untuk
bertanding dan digantikan dengan syarat paling minima. Pindaan ketiga,
berhubung pertambahan wakil Wanita selaku ahli lantikan di semua
peringkat. Pindaan keempat, merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa
Pemilihan UMNO atau JPU.
29. Seterusnya, pindaan kelima, adalah pemansuhan yuran tahunan.
Pindaan keenam pula, membabitkan pembukaan pendaftaran keahlian bagi
menggalakkan kemasukan ahli-ahli baru melalui ketua-ketua sayap.
Manakala, pindaan ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian secara
automatik sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan.
30. Jelasnya, buat kali pertama dalam sejarah, seramai 146,500
perwakilan UMNO dari 191 bahagian yang meliputi 21,208 cawangan, bermula
dari Arau di Perlis, membawa ke Semporna, Sabah, berpeluang memilih
bukan sahaja kepimpinan bahagian, malah jawatan Presiden, Timbalan
Presiden, Naib-Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi.
Saudara dan Saudari,
31. Jika selama bertahun-tahun, ramai memberi kritikan dan pernyataan
sinis, bahawa parti UMNO yang hayatnya melebihi enam dekad ini, katanya
sudah jumud, sudah tidak relevan dan dikuasai pula oleh
kelompok-kelompok tertentu. Hinggakan ramai pihak dari dalam mahupun
luar, begitu yakin mengandaikan bahawa UMNO tidak mungkin sanggup dan
tidak mungkin berani melakukan apa-apa perubahan.
Saudara dan Saudari,
32. Ternyata, UMNO tidak jumud, terbukti, UMNO tidak gentar menyahut cabaran malah terus iltizam melakukan perubahan.
33. Alhamdulillah, cadangan pindaan perlembagaan yang diusulkan pada
Perhimpunan Agung 2009, baru-baru ini, sudah pun selesai dilunaskan.
Ramai pihak yang terkejut dan terkesima dengan kesungguhan kita ini.
34. Sememangnya, pindaan perlembagaan yang dibuat ini, sebagai
menyahut cabaran, sebagai menjawab sindiran, serta menyangkal telahan
sekaligus menjadi langkah paling berani yang pernah diambil oleh
mana-mana parti politik di dunia.
35. Hasilnya, berlakulah transformasi politik yang didambakan dalam
UMNO, di mana, seramai 64 orang atau 33.5 peratus Ketua-Ketua Bahagian
terdiri daripada muka-muka baru di seluruh negara.
36. Manakala muka baru bagi Ketua Wanita Bahagian ialah 73 orang yang
mewakili 38.2 peratus, Ketua Pemuda Bahagian 161 orang yang mewakili 84
peratus. Ketua Puteri Bahagian pula seramai
143 orang yang mewakili 75
peratus.
37. Namun, saya tahu benar, barangkali ada segelintir yang masih
memberi komentar dan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kaedah yang
digunakan tersebut. Tapi kita harus beringat, ini merupakan rekod
pencapaian buat kali pertama sesudah pindaan perlembagaan diperkenalkan.
Mustahaknya, jika masih terdapat kekurangan, kita sanggup melakukan
penambahbaikan.
Saudara dan Saudari sekalian,
38. Bertolak daripada pemilihan parti yang disifatkan oleh ramai
pemerhati sebagai proses yang sangat demokratik ini, dengan penuh
kerendahan hati, saya, Mohd Najib bin Abdul Razak, berasa bersyukur yang
amat sangat ke hadrat Allah SWT, dan berterima kasih kepada semua ahli
UMNO, yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepada saya, dengan
memilih saya sebagai Presiden UMNO dengan menang tanpa bertanding.
39. Saya berjanji dan berikrar dengan segenap daya dan kemampuan, untuk
memberi yang sehabis baik kepada UMNO dan rakyat Malaysia.
40. Di sini juga, saya mengambil kesempatan mengucapkan sekalung
tahniah dan kita beri tepukan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri
Muhyiddin bin Mohd Yassin, yang telah menang tanpa bertanding bagi
jawatan Timbalan Presiden UMNO.
41. Syabas dan tepukan juga ditujukan kepada semua pimpinan, yang
memenangi jawatan Naib-Naib Presiden, terdiri daripada Dato’ Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Shafie Afdal dan Dato’ Seri Hishammuddin
Hussein, (yang sekarang berada di hospital, kita doakan semoga beliau
cepat sembuh). Tahniah juga kepada Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua
Bahagian, Ahli Jawatan Kuasa Bahagian dan Cawangan, Wanita, Pemuda, dan
Puteri.
42. Demikianlah juga tahniah, kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul
Jalil, yang dipilih sekali lagi sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO
Malaysia. Sebagai makluman semua, Dato’ Seri Shahrizat ini, sebagai
mewakili Wanita UMNO, beberapa kali menyuarakan kepada saya, hasrat
supaya Wanita digelar sebagai tulang belakang parti.
43. Malah pagi semalam kesungguhan ini ditunjukkan oleh Naib Ketua
Wanita UMNO Malaysia, semasa saya menjenguk mereka di persidangan,
beliau menepuk-nepuk tulang belakangnya sebagai isyarat kepada Ketua
Wanita Temerloh, yang sedang berucap pada ketika itu, supaya menyebut
bahawa Wanita UMNO sangat-sangat mahu digelar sebagai tulang belakang
parti.
44. Saya mendengar, dan saya timbang-timbangkan permintaan itu. Bila
saya fikir-fikir, sebenarnya peranan dan kegigihan Wanita UMNO sejak
dulu sudah sememangnya amat dihargai dan disanjung tinggi. Maka dengan
ini, dengan rasminya saya mengisytiharkan Pergerakan Wanita UMNO
Malaysia sebagai tulang belakang atau ibu kepada parti. Terima kasih
Wanita!
45. Seterusnya, syabas kepada Yang Berhormat Saudara Khairy
Jamaluddin, yang telah menang dan mempertahankan kedudukan sebagai Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tentunya, Pemuda harapan bangsa,
Pemuda adalah benteng dan pewaris kepimpinan parti dan negara. Terima
kasih Pemuda!
46. Tahniah juga kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang baru, Yang
Berhormat Puan Mas Ermieyati Samsudin. Saya menaruh keyakinan bahawa
setelah lebih 12 tahun ditubuhkan, Puteri semakin bijak dan matang
memainkan peranan mereka di dalam parti dan negara. Benarlah bahawa,
pemudi harapan pertiwi. Terima kasih Puteri!
47. Syabas juga kepada pimpinan parti di bahagian-bahagian dan
cawangan-cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah dipilih bagi
jawatan dalam pemilihan UMNO. Terima kasih semuanya.
Saudara dan Saudari,
48. Berhubung pemilihan ini, pada pandangan saya, yang kalah tak
bermakna tewas semuanya. Kepada yang menang pula, jangan meminggirkan
yang lain.
49. Kepada yang kalah, jangan pula bawa diri, teruskanlah perjuangan
bersama yang menang dan kepada yang menang pastikan anda terus mengajak
mereka yang kalah untuk bersama membangunkan parti tercinta ini.
50. Apa-apa pun, beringatlah semua, perkara yang paling penting, kita
dalam UMNO ini seperti sebuah keluarga yang besar, carik-carik bulu
ayam, akhirnya bercantum jua.
Saudara dan Saudari,
51. Menyongsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera
berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada keseluruhan penduduk. Orang
Melayu terdiri daripada 41 suku dengan sembilan induk utamanya. Orang
Asli pula terbahagi kepada 18 kategori. Masyarakat Bumiputera di Sabah
diwakili lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula jumlahnya lebih 40
suku.
52. Menurut unjuran terkini, warganegara Malaysia, adalah seramai
27.4 juta orang. Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus. Banci
Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera
Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula,
jumlahnya 7.6 peratus daripada bilangan rakyat keseluruhannya.
53. Lanjutan itu, unjuran penduduk Malaysia menjelang 2020 dijangka
meningkat kepada 29.9 juta orang, dengan jumlah Melayu dan Bumiputera,
samada Islam mahupun bukan Islam seramai 20.7 juta atau 69.2 peratus,
Cina 6.8 juta atau 22.8 peratus, India 2.1 juta atau 7 peratus dan
kaum-kaum lain sebanyak 306,000 atau 1 peratus.
Saudara dan Saudari,
54. Melihat kepada peratusan etnik dan pecahan kelompok rakyat
Malaysia yang saya nyatakan tadi, saya renung-renung, saya tidak ingat,
bila pulak kita ada suku kaum Bangladesh?
55. Saya timbulkan perkara ini kerana semasa kempen pilihanraya yang
lalu, tak henti-henti pihak pembangkang mencanang di sana sini kononnya
Kerajaan telah membawa masuk lebih 40,000 orang warga Bangladesh sebagai
pengundi UMNO dan Barisan Nasional. Perkara ini tampaknya kita tak
dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya.
56. Lantaran, semasa lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh,
baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh
panggil, ‘Dhonnobad’ yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada
Perdana Menterinya Sheikh Hasina, kerana telah membantu menyedia sekian
banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang.
Ternyata, bak kata orang Pekan, maaf cakap, sampai terkejut Sheikh
Hasina sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan tegas beliau menafikan
bahawa perkara itu tidak benar sama sekali.
57. Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, betapa kuatnya pemimpin pembangkang suka berkata bohong dan berkalam yang dusta-dusta.
Saudara dan Saudari,
SENARIO TRANSFORMASI DI DUNIA
58. Transfomasi adalah sesuatu yang hidup dan bukannya berkala, tidak
sahaja berlegar dalam dunia maya dan idea, namun hasilnya dapat dilihat
mata kasar dan dinikmati serta dirasai. Dalam kata lain, transformasi
adalah ikhtiar demi memastikan hari esok lebih baik daripada hari
semalam.
59. Lalu, kalau kita amati senario dunia, setiap negara, tanpa gagal,
akan melalui beberapa transformasi pada satu ketika dalam sejarah
mereka. Ini disebabkan oleh tiga faktor utama. Pertama, norma dan
nilai-nilai global telah melebihi apa yang masih diamalkan di negara
tersebut. Kedua, kemajuan inovasi, sains dan teknologi telah menjadikan
sebuah negara perlu bersaing dalam pasaran dan ekonomi berasaskan
pengetahuan. Ketiganya, jika tidak berlaku transformasi, kita akan kekal
terperangkap dalam belenggu negara sederhana, kurang kompetitif, dan
kemungkinan dipintas oleh negara-negara lain.
60. Justeru itulah kita menyaksikan proses transformasi dilalui oleh
pelbagai negara bangsa. Malahan kuasa dunia sebelum ini seperti Great
Britain sedang mengalami transformasi mereka sendiri dan belajar
meninggalkan kegemilangan sebagai empayar dengan menelan pahitnya ubat
realiti abad ke-21.
61. Korea Selatan pula menjalani proses tranformasi gelombang ketiga
yang bertunjangkan eksport, baik dari segi budaya mahupun teknologi dan
peralatan. Sebenarnya lagi, transformasi yang berlaku di Korea boleh
dijadikan contoh bagi kita dalam memenuhi kehendak ekonomi berasaskan
pengetahuan sebagai pra-syarat pembangunan dewasa ini.
62. Hatta negara besar China juga mengharung gelombangnya yang
tersendiri. Proses yang disebut Transformasi 383 di China itu, mengakui
kepentingan untuk keluar dari perangkap pendapatan pertengahan dan
menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.
Saudara dan Saudari,
TRANSFORMASI NEGARA DIPELOPORI UMNO
63. Menyingkap tabir sejarah negara kita, fasa kejatuhan Empayar
Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 telah melabuhkan tirai era
kegemilangan pemerintahan bangsa Melayu semenjak tahun 1400, malah ada
juga kajian yang menyatakan ia sebenarnya bermula dari sekitar tahun
1262 lagi. Selepas itu, hampir 8 kurun lamanya bangsa Melayu telah
menjadi lemah, seolah-olah melalui zaman gelapnya tersendiri dan hilang
punca untuk bangkit semula.
64. Kelahiran UMNO tanggal 11 Mei 1946 merupakan titik tolak, yakni
Transformasi Pertama yang besar lagi unggul kepada bangsa Melayu dan
pembikinan negara ini. Hakikatnya, sesudah muncul parti keramat UMNO,
barulah orang Melayu kembali belajar erti kepimpinan dan hidup
berpersatuan.
65. Malah, semenjak itu, tidak boleh dinafikan bahawa, parti UMNO
inilah yang sekian lama menjadi teras dan menunjang orang-orang Melayu
melalui gabungan persatuan yang sebelum itu bergerak nafsi-nafsi. Jangan
sesekali kita lupa, bahawa UMNOlah yang membawa kepada kebangkitan
untuk menentang penubuhan Malayan Union, seterusnya menuntut hak bagi
mencapai kemerdekaan.
66. Bahkan, saudara dan saudari, tidak keterlaluan untuk kita
nyatakan di sini bahawa melalui UMNOlah orang Melayu berjaya membebaskan
pemikiran berjiwa hamba kepada jiwa merdeka. Melalui parti berdaulat
inilah orang-orang Melayu berpadu membentuk saf yang tersusun kemas dan
rapi, umpama suatu binaan yang tidak mampu dirongkaikan.
67. Hakikatnya, bernaung di bawah panji-panji UMNOlah, orang-orang
Melayu telah membina perpaduan dan mengukuhkan kesatuan demi membela
untung nasib bangsa dan tanahair dari dulu, kini dan InsyaAllah
selama-lamanya.
Saudara dan Saudari,
TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA
68. Menyongsong transformasi negara, jika diimbau kembali, Dasar
Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990.
Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan
Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
69. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun
1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi
tahun 2001 sehingga 2010.
70. Manakala, selepas mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri
dan Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, saya telah
melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, sebagai paksi
pengukuhan transformasi ekonomi menuju negara maju.
71. Bertitik tolak dari situ, sejak tahun 2009, rekod prestasi
menunjukkan, kita bukan kerajaan yang hanya pandai menabur janji.
Sepanjang kita mentadbir, puluhan pencapaian telah dan sedang diraih.
72. Kita bukan sahaja menerima pengiktirafan dari dalam negara, malah
badan-badan penilai antarabangsa turut mengakui prestasi cemerlang
kita. Realitinya, kita secara berterusan mempersembahkan kepada rakyat
hasil transformasi sebenar.
Contohnya, hasil transformasi negara boleh disaksikan daripada
peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada 257
dolar Amerika pada tahun 1957 kepada 9970 dolar Amerika pada tahun 2012.
Ini merupakan peningkatan hampir 4000 peratus dalam tempoh lebih lima
dekad.
Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 pula,
dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada
tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh
6 tahun.
Sehubungan hal itu, Saudara dan Saudari, jika dicongak, besar
kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi
sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu dolar Amerika. Ertinya di sini,
Insya-Allah, kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun
2020.
Kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih enam puluh peratus
pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012. Jurang
pendapatan di kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik. Terkini,
purata kadar inflasi negara juga kekal berada di paras yang rendah iaitu
2.2 peratus pada suku ketiga 2013.
Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan
usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI
negara. Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan keberkesanan
apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency
International menyatakan kita berada pada kepada kedudukan 53 daripada
177 buah negara pada tahun 2013. Meskipun begitu, dari masa ke semasa
kita harus memperbaiki dan berikhtiar memerangi rasuah, dan di samping
itu menurunkan kadar jenayah, supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan
selamat dan sentosa.
Selain itu, World Bank Ease of Doing Business Report 2014,
menunjukkan berlakunya peningkatan dari kedudukan 23 pada tahun 2009
kepada kedudukan keenam pada tahun 2014 dengan menyenaraikan Malaysia
sebagai negara paling mesra perniagaan di dunia. Menurut laporan yang
sama juga, Malaysia mengekalkan kedudukan pertama di dunia dari segi
akses kepada kemudahan kredit selama enam tahun berturut-turut.
Seterusnya, Saudara dan Saudari,
Kepada yang gemar melancong dan berbelanja pula, tak payah pergi
jauh-jauh. Kini, Malaysia sudah terkenal antara destinasi utama atau
shopping paradise pilihan pelancong. Menurut laporan CNN Travel 2013,
Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandaraya paling popular
untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London. Kepada sesiapa
yang hendak beli kasut ke, jam tangan ke, beg tangan ke, Kuala Lumpur
pun dah ternyata hebat!
Saudara dan Saudari,
73. Rentetan pelbagai pengiktirafan tersebut, Oktober baru-baru ini,
semasa Sidang Kemuncak Keempat Global Entrepreneur Summit di Kuala
Lumpur, mesej ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah
memperakui Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi
dinamik, menjadi penggerak kemakmuran serantau dan sebagai sebuah negara
yang mendakap ekonomi global.
74. Tidak terhenti setakat itu, sebuah lagi kuasa besar dunia, yakni
China melalui pernyataan Presidennya, Xi Jinping, turut memuji Malaysia
sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bagi beliau, Malaysialah
sahabat sejati negara China, ketika susah dan ketika senang.
Saudara dan Saudari,
75. Pada sisi lain, dalam Bajet 2014 yang lalu pula, saya telah
bentangkan di Dewan Rakyat tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan atau
Goods and Services Tax yakni GST. Sayangnya, hakikat kepentingan GST
terhadap ketahanan dan keteguhan ekonomi negara, telah dipusing dan
dipesong faktanya oleh pihak pembangkang. Sehinggakan ramai yang menjadi
keliru kononnya, cukai GST ini akan menindas rakyat.
76. Saya berharap, semua pihak dapat memahami hal GST ini dengan
sewajarnya. Kita tidak boleh terpengaruh dengan dakyah-dakyah
pembangkang yang ternyata tidak berasas.
77. Sesungguhnya kita perlu fahami dengan baik-baik, bahawa GST yang
bakal dilaksanakan pada 1 April 2015, kira-kira 16 bulan lagi, bukanlah
cukai tambahan baru. Sebaliknya, ia menggantikan cukai jualan dan cukai
perkhidmatan atau Sales Tax dan Services Tax yang akan dimansuhkan.
78. Untuk makluman saudara dan saudari, GST adalah satu sistem
percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan dan perlu
dilaksanakan untuk kita kekal kompetitif. Tambahan pula, lebih 160 buah
negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Sekiranya GST ini
memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah
mengguna pakai sistem percukaian ini. Tambahan pula, GST pada kadar 6
peratus ini merupakan yang terendah di kalangan negara ASEAN.
79. Oleh yang demikian, usahlah kita risau-risau, beberapa barangan
dan perkhidmatan asas sebenarnya dikecualikan dari cukai GST. Antaranya
beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus,
ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan.
Saudara dan Saudari,
80. Pada sudut lain, sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi
subsidi, dan demi kesihatan rakyat, Kerajaan telah membuat keputusan
melalui Bajet yang lalu untuk memansuhkan sepenuhnya subsidi gula.
Statistik menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30
tahun ke atas menghidap penyakit diabetes.
81. Jika tidak dikawal, kita akan mendapat pelbagai komplikasi
seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, buta mata dan kaki
terpaksa dipotong. Dalam perkara ini, rakyat harus faham bahawa langkah
Kerajaan ini adalah demi kebaikan semua. Ini kerana kerajaan sayangkan
rakyat dan bertanggungjawab untuk menghindarkan rakyat daripada
menghidap penyakit diabetes.
82. Cuba kita lihat di sekeliling kita, berapa ramai rakan-rakan dan
saudara mara kita menjadi mangsa diabetes. Bayangkan tuan-tuan, kalau
kita sudah menghidap diabetes, macam-macam penyakit lain pula pasti akan
datang. Kesannya sangat dahsyat, hingga menjejaskan kesihatan zahir dan
batin, dan akhirnya boleh membawa maut. Seperti kata Profesor Diraja
Ungku Aziz, gula itu adalah racun.
Saudara dan Saudari,
83. Kita turut mendengar ramai berkata, kenapa Barisan Nasional bila
menang pilihanraya terus naikkan harga minyak. Ini adalah pernyataan
yang tidak benar sama sekali. Kita kena faham bahawa minyak adalah
komoditi dunia. Harganya bergantung kepada pasaran antarabangsa dan di
luar kawalan ekonomi dalaman sesebuah negara.
84. Sebenarnya harga minyak tak naik, cuma kita kurangkan subsidinya
sahaja sebagai langkah rasionalisasi. Ini kerana kita tidak boleh lagi
terus kekal menampung subsidi petrol yang mencecah RM24.8 bilion
setahun. Tambahan lagi subsidi sebelum rasionalisasi ini diberikan
secara pukal hinggakan mereka yang tidak selayaknya untuk dapat, juga
turut menerima. Jadi, kita tidak mampu terus mengekalkan subsidi
sebegini kerana khuatir ia akan menjejaskan daya saing ekonomi negara.
85. Kerana itulah, Kerajaan kini memberikan subsidi bersasar kepada kelompok
yang benar-benar memerlukan seperti siri-siri Bantuan Rakyat 1Malaysia
atau BR1M yang secara berperingkat akan mencapai RM1,200 kelak,
termasuklah caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau
i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua ketua isi rumah penerima BR1M
yang dapat memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000, jika berlaku
kematian atau hilang upaya kekal.
86. Pelbagai usaha transformasi ini, kita dapat melihat kesan
positifnya di mana agensi penarafan kredit utama antarabangsa Moody’s,
baru-baru ini telah meningkatkan prospek penarafan kredit Malaysia
daripada “Stabil” kepada “Positif”. Ini bermakna terdapat potensi untuk
penarafan kredit negara dinaikkan daripada ‘A3′ kepada ‘A2′, jika dasar
rasionalisasi subsidi ini diteruskan, di mana hutang akan dapat
dikuncupkan. Seandainya penarafan dapat dinaikkan, pastinya kos pinjaman
dapat dikurangkan, dan keyakinan dunia terhadap kita dapat
ditingkatkan, dengan ini mampu memajukan ekonomi negara.
87. Ringkasnya, kesemua usaha-usaha rasionalisasi subsidi ini adalah
merupakan inisiatif konsolidasi fiskal yang perlu Kerajaan lakukan demi
untuk memperteguh ketahanan ekonomi negara. Sebagai analogi, jika kita
makan ubat antibiotik, kita perlu mengambilnya mengikut jadual yang
ditetapkan dan perlu makan sehingga habis. Barulah kita akan sembuh
sepenuhnya.
Saudara dan saudari,
UMNO SEBAGAI PARTI HARAPAN UNTUK MASA DEPAN :
TRANSFORMASI UMNO
88. Kepimpinan UMNO bukan sahaja komited malah percaya hanya dengan
melakukan transformasi kita akan terus relevan dan menjadi peneraju
kepada halatuju negara. Dalam hal ini, Perdana Menteri Britain, David
Cameron semasa sidang akhbar bersama pada April 2012, telah memuji
kesungguhan dan keazaman kita dalam melakukan transformasi politik dan
negara.
89. Lantaran, diingatkan bahawa transformasi UMNO tidak akan berjaya
sekiranya idea dan perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja.
Transformasi ini mestilah didakap erat oleh setiap ahli UMNO.
90. Saya yakin, dengan usaha bersungguh dan pembuktian-pembuktian ini
UMNO sedang menjalankan sebuah transformasi yang sebenar secara
inklusif. Pastinya dengan nawaitu yang betul kita akan menerima sokongan
dan dokongan daripada rakyat. Sebab itulah antara lain kita melantik
ahli-ahli tambahan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang
mewakili generasi muda, ahli-ahli cerdik pandai, golongan agamawan dan
para teknokrat.
91. Pucuk pangkalnya, setiap ahli UMNO adalah agen transformasi yang
mencerminkan hala tuju baru siasah politik negara. Makanya, UMNO harus
memperkukuh kuda-kuda dan memperkemas kisi-kisi, untuk menonggak Barisan
Nasional dan negara supaya kita bukan sahaja boleh terus mentadbir lima
tahun akan datang, malah mudah-mudahan kita akan terus menjadi juara
bagi tempoh 50, malahan 100 tahun akan datang.
Saudara dan Saudari,
92. Justeru, kita tidak boleh lalai dan leka. Kita perlu mempersiap dan
mengukuhkan parti kita. Walaupun kita telah menawan semula negeri Kedah,
waima kita telah mengukuhkan kembali kedudukan kita di Perak, ternyata
masih banyak lagi usaha, masih banyak lagi kerja yang belum selesai.
Kita tidak akan sekali-kali duduk berpeluk tubuh dan lemah bersimpuh,
sebaliknya di perhimpunan ini kita akan memperbaharui tekad dan
menggagas semula formula kejayaan berteraskan lima pengisian
transformasi.
LIMA PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO
Saudara dan saudari,
93. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG PERTAMA: MEMPERTEGUH EKONOMI
MELAYU DAN BUMIPUTERA. Seperti semua maklum, populasi Melayu dan
Bumiputera, Islam dan bukan Islam di Malaysia adalah sebanyak 67.9
peratus melebihi dua pertiga jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Sebagai
kaum majoriti, agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera,
sewajibnya menjadi agenda teras nasional. Apa guna jika negara kita
maju, tetapi rakyat majoritinya terpinggir dan tidak terbela.
94. Kendati itulah, sejak merdeka, Kerajaan Barisan Nasional yang
diungguli UMNO telah mewujudkan pelbagai instrumen bagi memastikan
kedudukan ekonomi orang-orang Melayu terus berkembang dan dipelihara.
95. Lantas, menjelang negara maju kelak, kita hendak melihat orang
Melayu dan Bumiputera mencapai tahap kemajuan yang setanding dengan
orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan.
96. Atas semangat itulah, saya telah mengumumkan penubuhan Majlis
Ekonomi Bumiputera atau MEB. Ia akan bersidang sebulan sekali, atau jika
ada keperluan, lebih daripada itu, dengan menjemput secara ad hoc
badan-badan atau agensi Melayu dan Bumiputera yang berkaitan.
97. Saya juga telah mengumumkan penambahbaikan TERAJU, mewujudkan
Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB, menubuhkan Dana
Pendidikan MARA dan Kerajaan pada nisbah 1 kepada 1 yang berjumlah RM1
bilion, serta skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 sebanyak 10
bilion unit.
98. Pokoknya, selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung
badan, bak kata orang Sabah, agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera
tatap akan kita perjuangkan.
Saudara dan Saudari,
99. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KEDUA: MEMPERTEGAK MAQASID
SYARIAH. Dari dulu, UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan
ketertinggian Islam dan syiarnya. Kita berpegang kepada prinsip Maqasid
Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni; agama,
nyawa, akal, harta dan keturunan.
100. Di Malaysia, Islam bukan sahaja termaktub sebagai Agama
Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi
negara, tetapi juga pengamalannya bersifat meluas merangkumi bukan
sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahah, muammalah dan jinayah.
101. Dalam konteks yang sama juga, umat Islam di Malaysia hendaklah
hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah
Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. Dengan demikian,
penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah
Wal-Jama’ah adalah dilarang.
102. Bercakap tentang Islam lagi, selama puluhan tahun, di bawah pimpinan
UMNO, Malaysia telah menjadi ‘enabler’ atau pemboleh kepada syiar
amalannya.
103. Dari sudut iktisas, industri kewangan Islam di Malaysia telah
mencapai pembangunan yang mantap dan progresif. Purata kadar pertumbuhan
adalah 17 peratus untuk tempoh 2002 sehingga 2012, dengan pasaran aset
perbankan Islam kini mencapai 24 peratus. Dari segi aset pula, 24
institusi kewangan Islam berada dalam kelompok 100 yang terbesar di
dunia. Sektor ini yang akan menyumbang kepada tambahan pendapatan negara
kasar sebanyak RM7.2 bilion dan hampir 12,000 peluang pekerjaan
menjelang tahun 2020.
104. Malaysia juga menerajui sukuk global dengan jumlah terkumpul mewakili 60 peratus, yakni RM492 bilion.
105. Berkaitan itu, sekarang ini kita dapati gelombang di mana
orang-orang muda dekat kepada agama. Ia juga berlaku kepada orang yang
dah pencen, yang mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Justeru,
ahli-ahli UMNO rajin-rajinlah mendekati golongan ini. Eloklah juga
ramai-ramai memakmurkan masjid dan surau.
106. Jadi di sini, kita ingin bertanya, selama ini, siapa yang
memperjuangkan kemuliaan agama Islam di negara ini? UMNO atau PAS? Pihak
mana yang berjasa menubuhkan universiti dan institusi pendidikan Islam?
UMNO atau PAS?
107. Tidak lain dan tidak bukan, selagi hayat dikandung jasad, bercerai nyawa dari badan! Islam akan terus UMNO junjung.
Saudara dan Saudari,
108. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KETIGA: MEMPERKUKUH PENGKADERAN
PARTI. Dalam memperkatakan hal ini, UMNO perlu sentiasa beringat-ingat.
Kita bina negara ini untuk siapa? Tentunya untuk generasi muka. Kita
bina dan jaga parti ini untuk siapa? Tentunya untuk ditinggalkan kepada
pewaris dan para pelapis. Menyedari hakikat bahawa untuk melahirkan
pemimpin masa depan mengambil tempoh yang lama, maka parti UMNO perlu
mengkader ahli-ahli baru dan orang-orang muda supaya parti UMNO ini
menjadi sebuah parti yang lestari sampai bila-bila.
109. Parti juga perlu diperkukuh dengan mendoktrinkan jati diri UMNO
kepada para ahli agar budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan
tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan.
110. Dalam konteks UMNO, program pengkaderan hendaklah merangkumi
aspek seperti kreativiti, kemahiran-kemahiran insaniah, budaya berfikir
tinggi serta memahirkan mereka dengan teknologi terkini, untuk
memudahkan penyampaian dasar-dasar parti dan kerajaan supaya diterima
oleh rakyat serta responsif di dalam menyelami dan menyelesaikan masalah
akar umbi.
111. Memenuhi prinsip usul feqah, yang menyebut disiplin sebagai
jalan tarbiyah dalam kepimpinan, program pengkaderan terutama kepada
generasi muda bagi menghadapi pilihanraya akan datang tidak boleh
ditangguh-tangguh lagi. Ini supaya UMNO dapat melahirkan pemimpin yang
komited, gigih serta istiqamah dalam perjuangan.
Saudara dan Saudari,
112. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KEEMPAT: MEMPERSIAGA JENTERA
TRANSFORMATIF. Adalah menjadi lumrah dalam setiap organisasi yang
berjaya, di belakangnya wujud jentera yang dikemudi oleh ahli yang penuh
dedikasi, komited dan kental dalam membawa aspirasi dan obor
perjuangan. Jika kuat jenteranya, maka gagahlah organisasi tersebut,
jika lemah maka tidak bermayalah parti.
113. Misalnya, dalam peperangan, jentera umpama bala tentera yang
akan mempertahankan kubu dan bertanggungjawab menyerang pihak lawan
serta merintis jalan ke hadapan.
114. Dalam hal ini, UMNO harus sedar bahawa dunia maya atau internet
adalah neutral. Barang siapa yang berupaya mengisi dan menguasai
ruang-ruang baru itu maka merekalah yang akan berjaya.
115. Kita perlu berwaspada bahawa, penggunaan teknologi terkini
menjadi saluran utama dalam penyebaran maklumat dan pengetahuan.
Mutakhir ini, smart phone atau telefon pintar menjadi instrumen yang
mempengaruhi minda dan nilai terutamanya generasi muda. Malah saya
percaya, telefon pintar inilah akan menjadi instrumen paling besar dalam
penentuan kalah menang pilihanraya yang akan datang. Oleh yang
demikian, kita tidak boleh ketinggalan dan membiarkan pembangkang
berwenang-wenang. UMNO mesti menjuarai teknologi maklumat.
116. Saya dimaklumkan, pengguna facebook di Malaysia sahaja mencecah
14 juta akaun. Manakala pengguna telefon bimbit pula mencecah 146
peratus daripada bilangan penduduk Malaysia pada tahun 2013.
117. Justeru, jentera transformatif UMNO hendaklah menguasai medium
baru ini bagi menyampaikan risalah-risalah UMNO, mempertahankan
dasar-dasar parti dan kerajaan, serta melawan segala tuduhan, nista yang
pembangkang lemparkan. Suka atau tidak, kita tidak boleh, tidak menjadi
pelaku utama kepada teknologi ini. Ingatlah, hakikatnya dalam dunia
politik, selalunya persepsi lebih penting daripada realiti. Mahu tidak
mahu, kita harus menanganinya.
Saudara dan Saudari,
118. PENGISIAN TRANSFORMASI UMNO YANG KELIMA: MENETAP PETUNJUK
PRESTASI UTAMA ATAU KPI UMNO. Bagi memastikan perjalanan jentera UMNO
dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihanraya Umum ke-14
kelak, saya juga akan perkenalkan sistem Petunjuk Prestasi Utama atau
KPI untuk setiap bahagian dan negeri.
119. Melalui penetapan KPI ini nanti, barulah kita akan lebih
bersedia untuk memenangi kerusi-kerusi parlimen dan DUN yang kita tewas
baru-baru ini, di samping mengekal dan mengukuhkan pengaruh serta
kedudukan di kawasan-kawasan yang dimenangi sebelum ini, selanjutnya,
mula merangka pelan gerak kerja untuk menawan kubu-kubu lawan.
120. Melalui pelaksanaan KPI ini, sebagai Presiden parti, saya
mahukan setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara
berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian
atau cawangan. Melalui kaedah ini, sebarang isu, masalah atau
ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat
diambil dengan segera.
121. Jelasnya KPI ini menjadi pengukur yang objektif sebagai kad
laporan kepada kepimpinan parti. Turunlah ke kawasan, berjumpalah dengan
pengundi, buktikan pada masyarakat, UMNO adalah parti yang serius
membela dan mengkhidmati rakyat.
PENUTUP
Saudara dan Saudari,
122. Ahli falsafah Yunani berpesan bahawa, perubahan itu adalah
penumpuan segala kudrat dan tenaga yang ada, bukan untuk bertempur
dengan hal-hal dan kisah-kisah lama, tetapi perubahan itu ialah mencipta
dan membina kejayaan-kejayaan baru.
123. Bersandarkan ungkapan itu, hari demi hari, detik demi detik,
saat-saat yang berlalu telah menjadi saksi bahawa UMNO mengungguli
kepimpinan transformatif negara sebagai sebuah parti yang bermaruah,
parti yang berdaulat dan parti yang terus menepati janji.
124. Sesungguhnya, hitungan masa telah menjadi saksi dan hakim, yang
adil dalam merakamkan bahawa, parti UMNO ini telah puluhan kali meninta
detik-detik bersejarah dalam pembikinan negara bangsa Malaysia.
125. Malah, bermula sejak tahun 1946 sehingga tahun 2013, UMNO telah
melalui dengan jayanya 11 kronologi game-changer yang merubah landskap
politik dan negara keseluruhannya.
126. Antara detik penting yang ditongkah oleh UMNO, bermula daripada
penubuhan parti, meraih kemerdekaan, tragedi hitam perkauman, Dasar
Ekonomi Baru, bangkit dan pulih daripada runtuhan UMNO lama serta
menggagas Wawasan 2020, mula mendakap dunia teknologi maklumat.
127. Terbaru pula, UMNO telah selesai proses permulaan transformasi
sebagai langkah hebat dan penuh berwibawa untuk menjadi parti paling
demokratik dan inklusif.
Saudara dan Saudari,
128. Jika dihitung jumlahnya, kita ada sekurang-kurang 2,217 hari
atau 72 bulan sebelum fajar negara maju menampakkan sinarnya. Manakala
Pilihanraya Umum ke-14 pula, tempohnya lebih dekat dari itu.
129. Sehubungan itu, tiada siapa yang dapat menafikan, selama
berdekad-dekad UMNO yang mengetuai Barisan Nasional telah mencapai satu
persatu rekod prestasi yang sungguh membanggakan dalam meniti
Transformasi Negara.
130. Hakikatnya, sejak dari dulu, kita berjuang dengan penuh
objektif, dengan penuh gigih, mendengar bicara hati masyarakat, bisikan
nurani semua dan pastinya luahan rasa rakyat terbanyak.
131. Malah, manifesto pilihanraya kita tempoh hari juga bukan sekadar
manifesto biasa tetapi adalah sebuah akujanji yang berani.
Sesungguhnya, kita bukanlah parti yang suka berbohong dan berdusta, kita
bukanlah parti yang jenis cakap tak serupa bikin, kita bukanlah seperti
pimpinan pembangkang yang sanggup berbuat apa saja sehingga memalsukan
kata-kata dan memperdayakan rakyat, bahkan lebih terkutuk daripada itu
sampai sanggup berjanji setia untuk menyokong segala usaha demi
melindungi keselamatan rejim zionis dan Israel.
Saudara dan Saudari,
132. Mereka telah berbohong tentang 16 September 2008 untuk menubuhkan
Kerajaan. Anwar Ibrahim juga telah menipu rakyat di Kg. Buah Pala.
Katanya, dalam tempoh 2 minggu, jika menang, mereka akan selesaikan
masalah penduduk di situ. Itu palsu semuanya. Itu dakyah semata-mata.
133. Akhirnya, kerajaan pusat Barisan Nasional yang ditunjang oleh
UMNO jugalah yang selesaikan. Malah saya sendiri turun padang
menyerahkan 18 kunci rumah kepada para penduduk di situ.
134. Selanjutnya, di kala rakyat Selangor sedang menderita akibat
masalah air, sampah sarap dan pelbagai isu yg tidak selesai-selesai,
pimpinan Kerajaan Selangor sibuk pula nak menaikkan gaji masing-masing
sehingga 373 peratus.
135. Jelasnya di sini, rakyat harus membuka mata kerana, pimpinan
pembangkang lebih mementingkan diri masing-masing. Saban waktu mereka
tuduh UMNO macam-macam, tetapi selama ini kitalah yang membela
kepentingan rakyat dan negara.
Saudara dan Saudari,
136. Laginya, seperti kita tahu dan terpampang di dada-dada akhbar
sejak bertahun-tahun, ramai pimpinan utama PKR yang telah keluar dari
parti itu.
137. Terkini, lebih parah, 11 ketua cabang PKR Sabah telah
mengumumkan keluar parti dan menzahirkan sokongan terbuka kepada kita.
Mudah-mudahan, harap-harapnya, sesudah ini, makin ramailah yang mendapat
petunjuk dan kembali kepada UMNO.
Saudara dan Saudari,
138. Baru-baru ini pula, Presiden Petronas telah memberitahu saya
bahawa, kita telah kehilangan hampir RM40 bilion pelaburan asing dari
Taiwan untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan
Petrokimia di Pengerang, Johor. Ini kerana, sekumpulan pihak pembangkang
telah pergi ke Negara tersebut dan menakut-nakutkan para pelabur.
Saudara dan saudari,
139. Saya ingin bertanya, tidakkah perbuatan pembangkang ini satu
pengkhianatan kepada rakyat? Tidakkah perbuatan mereka ini satu
petualangan kepada kepentingan negara?
140. Tidak cukup dengan itu, tidak cukup dengan itu, jangan sesekali
kita lupa, parti DAP telah menghina penjawat awam sebagai kucing kurap.
Pemimpin DAP jugalah yang mahu memberhentikan lebih separuh penjawat
awam jika mereka memerintah negara ini.
Saudara dan Saudari,
141. Kepada pihak pembangkang inikah orang-orang Melayu, Bumiputera
dan rakyat keseluruhan hendak menyerah nasib dan masa depan anak cucu?
Kepada mereka yang sanggup menggadai kepentingan rakyat dan negara
inikah kita nak pertaruhkan hari muka?
142. Lebih dahsyat lagi, merekalah yang tidak menghargai para
perajurit serta anggota-anggota keselamatan yang bermati-matian
mempertahankan tanahair, malah mahu mengiktiraf pula komunis sebagai
wira bangsa.
143. Maka yang demikian, peristiwa Lahad Datu, tidak mungkin terpadam
dari memori dan ingatan kita betapa UMNOlah sebagai parti yang
senantiasa mengangkat dan menjulang para perajurit dan anggota-anggota
keselamatan di persada yang sewajarnya.
144. Ternyata, tragedi Lahad Datu telah mengukuhkan lagi ikatan
sesama kita, rakyat Malaysia. Pendek kata, walau sejengkal tanah Sabah,
Negeri di Bawah Bayu, tak mungkin kita serahkan kepada sesiapa.
145. Kesimpulannya, kebersatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak umpama:
Anak-anak bermain raga, bersama kawan di tepi perigi, ikatan kasih bersulam jiwa, ibarat rambut bersimpul mati.
Saudara dan Saudari,
146. Atas segalanya, sebagai Presiden UMNO saya sentiasa berdoa demi
masa depan umat. Walau kita dicemuh, walau kita disindir, walau UMNO
dibentak-bentak namun parti ini tidak akan pernah jemu untuk
menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik. Demi,
melihat umat Islam kembali bersatu.
Saudara dan Saudari,
147. Oleh kerana itu, kita tak boleh bersegan silu lagi dalam terus
memperjuangkan nasib bangsa. Percayalah, yakinlah, kita berada di
landasan yang benar dan betul.
148. Di perhimpunan bertuah inilah, saban tahun kita keramatkan
segala usul yang akhirnya menjadi dasar-dasar negara. Kita tidak
berhimpun untuk suka-suka. Jangan sesekali kita lupa, di
perhimpunan-perhimpunan agung UMNO inilah agenda-agenda umat Melayu dan
Bumiputera dijulang.
149. Di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di
sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah
institusi-institusi Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.
150. Selain itu, di sinilah kementerian-kementerian strategik yang
membela untung nasib orang Melayu dan Bumiputera digagaskan, di sinilah
syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang
Melayu menghitung masa depan keturunan mereka.
Saudara dan Saudari,
151. Seperti besi kersani yang tidah tersepuh dengan saja-saja malah
telah dibakar, dilebur dan diasah menjadi waja yang gagah berani.
Begitulah parti UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan bangsanya.
152. Di manakah suka duka bangsa Melayu nak diperbicarakan? Di manalah orang
Melayu nak mencurah rasa. Di manalah lagi orang-orang Melayu ingin
merungkai kesumat dan menyulam dendam tentang nasib bangsa. Di manalah
lagi keluh kesah orang Melayu hendak dizahirkan, jika tidak di
perhimpunan ini. Jika tidak kepada parti ini.
153. Ke manalah orang-orang Melayu hendak membawa diri, jika UMNO
sudah tiada lagi. Ke manalah perginya hati, ke mana hilangnya rasa,
kalau perjuangan umat Melayu sudah tidak berkumandang lagi. Relakah kita
perjuangan Melayu terhapus di bumi ini? Sanggupkah Melayu akhirnya
merempat dan terbangsat di tanah sendiri?
Saudara dan saudari,
154. Tanpa UMNO di manakah kita? Tanpa UMNO di mana sudahnya Melayu?
155. Kepada Allah kita mohon dipersimpangkan, kepada Allah kita pinta
diperjauhkan, JANGANLAH MELAYU HILANG DI DUNIA! Kepada Allah kita mohon
pertolongan.
HIDUP UMNO!
HIDUP BARISAN!
HIDUP MALAYSIA!
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan