DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
WANITA UMNO : TERAS DAN TULANG BELAKANG UMNO
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah S.W.T. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed
Yang Berhormat Wakil Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Yang Berhormat Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Pegawai-Pegawai dan Ahli-Ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Para perwakilan yang saya kasihi,
Dif-Dif jemputan, veteran-veteran UMNO, para pemerhati, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah S.W.T.
Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin-Nya, sekali lagi kita
dipertemukan dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Tahun 2013.
Saya bagi pihak barisan kepimpinan Wanita UMNO Malaysia yang baru
dipilih dan dilantik, mengalu-alu dan mengucapkan Selamat Datang dan
Syabas kepada 955 orang perwakilan dari 191 Bahagian serta 3 wakil Ahli
Majlis Tertinggi UMNO ke perhimpunan bersejarah ini.
Kita menyaksikan srikandi parti dari seluruh Negara berkampung di
Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menjulang obor perjuangan parti barakah
ini. Srikandi yang datang dari Perlis hingga ke Sabah bukan sekadar
hadir untuk meramaikan peserta, bukan sekadar untuk menjadi bunga-bunga,
dan mewarnai Perhimpunan Agung UMNO ini.
Wanita UMNO berhimpun di sini untuk memperbaharui ikrar dan lafaz
perjuangan, untuk mengangkat martabat dan harakat Agama, Bangsa dan
Negara. Wanita UMNO hadir di Perhimpunan Agung 2013, sebagai teras dan
tulang belakang UMNO. Kita bukan sekadar menyokong, tetapi kitalah yang
memimpin transformasi, melakar perubahan dalam sebuah perjuangan yang
bermakna ini.
Sebelum saya meneruskan ucapan, bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO,
saya merakamkan ucapan tahniah dan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan YAB Tan Sri Muhyiddin
Mohd Yassin, yang dipilih semula sebagai Presiden dan Timbalan Presiden
parti tanpa bertanding. Kita berikrar untuk bersama-sama mereka,
Naib-naib Presiden dan seluruh ahli Majlis Tertinggi untuk mendokong
perjuangan UMNO selaras dengan apa yang disebutkan dalam surah
al-Baqarah, ayat 143 sebagai “ummatan wasatan” iaitu ummat yang adil,
sederhana dan seimbang dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Saya juga mengucapkan tahniah atas pemilihan semula YBhg Tan Sri
Napsiah Omar dan YBhg. Dato’ Saripah Aminah Syed Mohamed sebagai
Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap. Tahniah juga kepada YB
Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun kerana dipilih sebagai
Naib Ketua Wanita UMNO yang baru dan yang pertama dari Sabah. Doa saya
agar Yang Berhormat Datuk Azizah akan menjadi pasangan saya yang setia.
Bersama-sama pegawai-pegawai yang baru dilantik, ahli-ahli Exco, barisan
kepimpinan di semua peringkat, marilah kita bersama-sama mengharungi
onak dan duri politik demi membawa Wanita UMNO ke satu lagi tahap
kecemerlangan. Azam saya ialah untuk terus menentukan Wanita UMNO
diarusperdanakan di dalam parti, berkhidmat untuk rakyat Malaysia dan
mencatat nama di persada dunia. Insya-Allah.
PEMILIHAN PARTI
Tahun ini tahun bersejarah. Pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun
2009, telah memberi hak dan kuasa kepada ahli-ahli di peringkat akar
umbi untuk menentukan siapa yang akan memimpin UMNO di semua peringkat.
Untuk pemilihan Ahli Majlis Tertinggi, buat pertama kalinya, seramai
23,108 (dua puluh tiga ribu seratus lapan) perwakilan Wanita telah pun
memilih pucuk kepimpinan tertinggi parti. Dan buat pertama kalinya juga,
seramai 110,765 (seratus sepuluh ribu tujuh ratus enam puluh lima)
perwakilan Wanita, telah memilih pucuk kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO
Malaysia. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang
sekali lagi memberi mandat kepada saya, sebagai Ketua Pergerakan Wanita
UMNO Malaysia untuk penggal 2013 hingga 2016.
Insya-Allah saya akan
memikul tanggungjawab ini dengan penuh keberanian, amanah dan komitmen.
Di dalam pemilihan Wanita Bahagian pada tahun ini, berlaku beberapa
perubahan dan transformasi. Ada Ketua Wanita yang memberi laluan kepada
pemimpin yang lebih muda dan ada yang menang dalam pertembungan yang
sengit. Hasil daripada ini, 72 daripada 191 Ketua Wanita Bahagian adalah
yang baru dengan purata umur 54 tahun, yang paling muda 36 tahun dan
yang paling berpengalaman berumur 74 tahun. Pada hari ini kepimpinan
Wanita UMNO terdiri daripada satu gandingan yang amat mantap, daripada
mereka yang berpengalaman, profesional, korporat, suri rumah dan yang
muda termasuklah Penolong Bendahari Wanita UMNO Malaysia yang baru, Puan
Nor Azita Abdul Rahman, mantan Penolong Setiausaha Puteri UMNO
Malaysia, dan Yang Berhormat Dato’ Rosnah Shirlin dan Yang Berhormat
Dato’ Noraini Ahmad kedua-duanya mantan Ketua Puteri UMNO Malaysia.
Dijadikan contoh tiada tercemar, dijadikan tiang tiada tersasar. Saya
berdoa agar perpaduan yang sedia terjalin akan dapat dikekalkan. Janji
diisi, amanah dijalankan, terhadap rakyat, penuh ihsan.
Kepada semua pemimpin Wanita UMNO Bahagian yang tidak berpeluang
menyambung perkhidmatan mereka, saya mengucapkan jutaan terima kasih di
atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMNO dan Negara. Di dalam
UMNO, terutamanya di dalam Wanita, ada tempat untuk semua, sama ada
berjawatan ataupun tidak. Insya-Allah kita akan menentukan sumbangan
pemimpin-pemimpin yang lama dan yang baru dapat digabungkan supaya tidak
ada ketirisan di dalam perjuangan Wanita UMNO.
PILIHANRAYA UMUM
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu, UMNO sebagai nadi Barisan
Nasional telah menunjukkan prestasi yang baik. Sekiranya pada PRU 12
tahun 2008, UMNO menang 79 kerusi Parlimen, dalam pilihanraya PRU 13,
kerusi UMNO bertambah kepada 88 kerusi Parlimen; iaitu pertambahan
sebanyak 11%. Dengan kemenangan ini, UMNO mewakili 66% kerusi Parlimen
Barisan Nasional.
Selain itu, prestasi calon-calon UMNO dan Barisan Nasional yang
bertanding juga adalah baik, sehingga kita berjaya mengambil semula
Kerajaan Negeri Kedah dan mempertahankan Perak. Saya yakin sekiranya
kita bekerja keras mulai dari sekarang, Barisan Nasional boleh mentadbir
semula negeri-negeri yang kini di bawah pembangkang. Ini bukanlah
mustahil. Pembangkang tidaklah terlalu kebal sehingga tidak dapat
digoncang. Mereka hanya mampu berpakat sewaktu pilihanraya, walhal
sesama sendiri mereka bercakaran.
Prestasi baik dalam pilihanraya lalu membuktikan bahawa orang Melayu
dan Bumiputera secara amnya, dan juga kaum lain, mahukan UMNO terus
menakhodai negara ini. Ia juga adalah satu petunjuk bahawa rakyat
mahukan Presiden UMNO YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak untuk terus
memacu kepimpinan negara ke satu tahap yang lebih tinggi lagi. YAB
Dato’ Sri Najib adalah merupakan pilihan yang tepat untuk memimpin
Negara dan keputusan yang bijak ini telah dibuat oleh rakyat dalam
Pilihanraya ke-13. Saya setuju dengan pendapat Awang Selamat seorang
kolumnis Mingguan Malaysia pada 1 Disember 2013 dimana beliau
menyifatkan YAB Dato’ Sri Najib: “…membawa kebangkitan kepada parti
hasil gaya kepimpinannya yang bermuafakat.
Meskipun mewarisi
permasalahan yang kompleks ekoran PRU 12 dan berdepan dengan siri
gelombang tekanan pakatan pembangkang, beliau mengolahnya dengan baik.
Pembawaannya yang tenang dan tidak melatah biarpun dikritik hebat;
kesabarannya, kerja keras, kebolehan mengurus pentadbiran kerajaan,
ekonomi dan parti dengan cemerlang, adalah antara kunci kejayaan.
Percaturan politiknya sukar dibaca termasuk oleh para pemimpin
pembangkang. Dalam senyum beliau membina kekuatan yang menyaksikan
pengaruh seteru politik lemah dan terhakis dengan sendirinya. Beliau
tidak perlu menunjukkan taring tetapi strateginya berkesan dalam
menangani senario hari ini yang jauh lebih mencabar berbanding dahulu.
Najib tidak pernah mahu dianggap sebagai seorang strategis tetapi
berfikirlah banyak kali kalau mahu mengambil mudah beliau.”
Saya amat bersetuju dengan tulisan Awang Selamat tentang YAB Dato’
Sri Najib. Walaupun berat mata kita memandang, alhamdulilah bahu YAB
Dato Sri Najib mampu memikulnya. Saya berpendapat YAB Dato’ Sri Najib
boleh diumpamakan sebagai seorang Chess Grandmaster. Beliau faham mana
tindakan yang mustahak dan mana yang sampingan. Beliau sabar menunggu
masa yang tepat untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang
bijak untuk checkmate. Tidak terburu-buru mahupun kalut dan karut.
Walaupun beliau amat berhati-hati dan teliti dalam segala tindak tanduk,
namun YAB Dato’ Sri Najib berani membawa perubahan “out of the box”
dengan caranya tersendiri, tanpa meletakkan Malaysia di satu paras
bahaya. Beliau konfiden dan mempunyai keyakinan diri sebab itu beliau
tidak teragak-agak, dengan izin, “to concede a Pawn in order to gain a
Bishop. In a game of chess the Grandmaster does not say much because his
actions are louder than his words”. Alhamdulillah, Malaysia bertuah
mendapat seorang pimimpin yang stabil dan realistik. Beliau bukan
seperti tin kosong yang tergolek-golek bising berdering.
Oleh itu, saya ingin menasihatkan parti-parti pembangkang, usahlah
terlalu ghairah sangat dalam politik mereka yang membawa kearah
kehancuran negara. Keputusan Pilihanraya Umum yang lalu jelas
membuktikan bahawa orang Melayu, Bumiputera dan kaum lain mahu untuk
terus bernaung di bawah UMNO dan Barisan Nasional yang dipimpin YAB
Dato’ Sri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia.
Pada setiap kali pilihanraya, sama ada Pilihanraya Umum atau
Pilihanraya Kecil, Wanita UMNO sentiasa berada di saf hadapan
perjuangan. Kalau kita di hadapan pun, ia tidaklah sampai membayangi
orang lain. Namun, kehadiran jentera Wanita UMNO yang membawa kepada
kemenangan, dirasai oleh kawan dan digeruni oleh lawan.
Maka, sekali lagi pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah
dan terima kasih kepada seluruh jentera parti khususnya Jentera Jalinan
Rakyat, yang telah bekerja keras untuk memenangkan UMNO dan Barisan
Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu dan pilihanraya kecil. Sama
ada kita menjadi hero yang didendangkan atau tidak, kita pasti setiap
pengorbanan dan penat lelah kita, akan mendapat ganjaran yang sewajarnya
dari Allah S.W.T.
Percayalah, apa saja kebaikan yang dibuat oleh kerajaan dan
memberikan manfaat kepada rakyat, sebagai srikandi parti akan mendapat
pahala Allah S.W.T. Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W. menyuruh kita
menanam benih kerana buah dari benih itulah nanti akan dimakan dan
memberikan manfaat kepada orang lain, walaupun tatkala kita menanam itu
sudah hampir dengan masa kiamat. Begitulah, betapa Islam mendidik kita
untuk menanam benih-benih perjuangan. Dalam konteks ini, hasil yang
diperolehi akan menjadi amal jariah kita sepanjang hayat.
Insya-Allah.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dihormati,
Suatu ketika dulu, parti lawan mengeluarkan fatwa, wanita tak boleh
bertanding dalam pilihanraya sama ada sebagai Ahli Parlimen ataupun Ahli
Dewan Undangan Negeri. Mereka mendakwa calon-calon Wanita UMNO yang
bertanding dikatakan bercanggah dengan syariat Islam.
Hari ini, jelas dilihat parti lawan itu telah mengikuti jejak langkah
Wanita UMNO dan mula meletakkan calon-calonnya dalam pilihanraya. Ada
daripada calon-calon wanita parti lawan menang dalam pilihanraya.
Sebenarnya kemenangan mereka adalah hasil perjuangan Wanita UMNO dan
kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional.
Dalam PRU 13, di peringkat Parlimen, Wanita UMNO bertanding di 10
kerusi dan menang 8 kerusi. Sementara di Dewan Undangan Negeri, Wanita
UMNO bertanding di 32 kerusi dan menang 25 kerusi. Secara keseluruhannya
Wanita UMNO menang 33 kerusi atau 79% kerusi yang di tandingi.
Kemenangan ini membuktikan calon-calon Wanita UMNO diterima oleh rakyat.
Siapa kata Wanita tak mampu menjadi calon yang baik? Siapa kata
Wanita tak boleh memimpin? Kami memberi jaminan kepada YAB Presiden
parti, insya-Allah Wanita UMNO akan pastikan kemenangan yang lebih besar
di semua kerusi yang kami tandingi. Saya berharap kepimpinan parti akan
mengambil maklum supaya dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang,
kalau kita nak menang besar, tambahlah lagi calon daripada Wanita UMNO!
WANITA SEBAGAI TERAS DAN TULANG BELAKANG UMNO
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Pada awal ucapan saya tadi, saya sebutkan bahawa Wanita UMNO adalah
teras dan tulang belakang kepimpinan parti. Sebagai teras dan tulang
belakang, kita menunaikan peranan penting dalam parti. Untuk membolehkan
kita menjalankan tugas ini, tasawwur atau “worldview” kita harus
bersama zaman. Transformasi tidak harus menjadi satu retorik. Ia perlu
diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.
Transformasi pertama ialah Wanita UMNO tidak harus dilihat sebagai
hanya layak dan mampu bercakap soal-soal wanita sahaja. Kita akur bahawa
isu-isu seperti kedudukan wanita dalam membuat keputusan, soal cuti ibu
bersalin, isu wanita di tempat kerja, penyediaan taska, sensitiviti
gender dan seumpamanya adalah isu-isu penting yang mesti terus
diperjuangkan oleh Wanita. Kita tidak akan berhenti memperjuangkan
isu-isu ini. Namun, kita tidak boleh membataskan perbahasan perjuangan
kita kepada isu-isu tersebut. Wanita UMNO mesti membuktikan bahawa kita
mampu memimpin isu di luar kerangka tersebut. Usah jadikan perjuangan
Wanita UMNO sebagai “women-centric”. Wanita UMNO mesti bercakap dan
memperjuangkan soal perumahan, soal ekonomi dan keusahawanan, soal
pendidikan, soal keselamatan, soal keadilan sosial, soal antarabangsa,
dan soal masa depan negara. Buktikan kita mampu memimpin isu yang akan
membawa kepada pembangunan rakyat Malaysia.
Transformasi kedua, Wanita UMNO mestilah berjiwa besar dan mampu
“differentiate between the trees and the forests” iaitu membezakan di
antara pokok dan hutan. Jangan kita terperangkap dalam melihat
perjuangan Wanita UMNO sebagai sesuatu yang terbatas. Anna Eleanor
Roosevelt, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat yang paling lama, telah
menyebut, “Great minds discuss ideas, average minds discuss events,
small minds discuss people”. Maksudnya, “Manusia berjiwa besar berbicara
soal idea, manusia berjiwa sederhana berbincang soal peristiwa, manusia
berjiwa kecil bercakap tentang orang lain”. Ini sebagai satu peringatan
kepada kita semua supaya sentiasa berjiwa besar dalam membawa
transformasi.
Transformasi yang ketiga ialah gerak kerja Wanita UMNO juga harus
berubah. Wanita UMNO mesti lebih berusaha untuk “reach out” menggunakan
pelbagai media termasuklah melalui media sosial, dan mendekati kelompok
di luar selain daripada dalam parti. Wanita UMNO mesti terus mendekati
masyarakat bandar dan luar Bandar, Wanita UMNO mesti selesa bersama suri
rumah dan profesional, Wanita UMNO mesti seiringan dengan yang tua dan
yang muda. Wanita UMNO mesti “engage” dengan semua kelompok merentasi
zon selesa kita. Kita mesti mengambil pendekatan memandang ke luar, atau
“outward-looking” dan bukan memandang ke dalam parti saja. Sama ada
mereka penyokong atau bersimpati dengan parti pembangkang, kita harus
mendekati dan berjuang bersama-sama. Jika mereka tak kenal kita, mungkin
mereka tak cinta kita.
Wanita UMNO akan terus mengukuhkan program induk kita seperti Jalinan
Rakyat dan Skuad Sayang. Ia sudah cukup sinonim dengan Wanita UMNO.
Bagaimanapun, dalam bergerak ke hadapan, kita harus melebarkan jangkauan
dan medan perjuangan kita. Program terbaru yang saya akan lebarkan ke
setiap bahagian ialah program JUWITA (Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal
Malaysia) perjuangan kita untuk ibu tunggal di Malaysia. Selain daripada
itu, Wanita UMNO bukan saja harus meneroka, tetapi menguasai media
sosial. Media sosial bukan sekadar untuk bersantai-santaian, tetapi di
situlah tempat untuk kita mendengar suara rakyat Malaysia di zaman ini.
Bagi menghadapi cabaran politik semasa, Wanita UMNO tidak boleh lagi
menghadkan diri sebagai jentera pilihanraya sahaja, tetapi perlu
memperkuatkan pergerakan kita sebagai jentera politik juga. Sekian lama
UMNO lazim menerima tohmahan dan fitnah dari pembangkang, tanpa membuat
serangan balas. Kita jarang membuat pendedahan kemungkaran pembangkang
yang bertimbun dan berleluasa, sehinggakan ada rakyat yang menganggapkan
pembangkang seperti malaikat, nauzubillah. Misalnya ada rakyat yang
percaya pembohongan Pakatan Rakyat bahawa 40,000 (empat puluh ribu)
pekerja Bangladesh mengundi semasa PRU 13, masyaallah. Kita dalam UMNO
sering biarkan pembangkang tipu dan cucuk hidung rakyat, malah kita
biarkan diri kita diganaskan dengan rogol politik atau “political rape”
pembangkang, tanpa kita membuat serangan balas. Oleh kerana kita beradab
mungkin ada yang menganggap kita lemah walhal kita berhemah. Maka
dengan itu, kita sebagai ibu tidak boleh membiarkan musuh menyerang
bulat-bulat begitu sahaja. Kebangkitan suara srikandi Wanita UMNO akan
menjadi benteng mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara. Membujur lalu
melintang patah, biar putih tulang, jangan putih mata dalam perjuangan.
Sekian lama, kita Wanita memberi tumpuan kepada kerja-kerja amal,
kemasyarakatan, kebajikan dan amal jariah yang lain. Kita kuat
memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan wanita, keluarga dan masyarakat,
terutamanya pemerkasaan wanita di semua peringkat. Masanya sudah tiba
untuk Wanita mempertingkatkan perjuangan kita untuk menjadi jentera
politik dalam UMNO, selain daripada menjadi jentera pilihanraya sahaja.
Kombinasi Wanita UMNO selaku jentera pilihanraya dan jentera politik
akan membawa kekuatan luar biasa kepada UMNO. Puan-puan semua mempunyai
bakat, potensi, pengalaman dan semangat yang jitu untuk menjadikan ini
sebagai satu realiti. Jika ini dapat dijayakan oleh Wanita UMNO, maka
percayalah, kita wanita yang akan memimpin transformasi, dan melakar
perubahan dalam parti dan negara tercinta.
MEMPERJUANGKAN RAKYAT
Tan Sri Pengerusi dan para perwakilan,
UMNO ditubuhkan sebagai sesuatu parti massa. UMNO bukanlah sebuah
parti elit. UMNO ditubuhkan oleh orang Melayu melalui satu resolusi
Kongres Melayu Se-Malaya yang diadakan pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan
Sulaiman. Dato’ Onn Jaafar dari Persatuan Melayu Johor dipilih sebagai
pengerusi kongres yang pertama. Semua wakil persatuan Melayu berucap,
termasuklah dua orang kanak-kanak. Tiga resolusi dibuat dalam kongres
itu, iaitu pertama menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
UMNO; kedua, menentang Malayan Union, dan ketiga, mengadakan derma
pelajaran kebangsaan Melayu.
Dari tarikh penubuhannya sehingga kini, UMNO tidak berhenti-henti
memperjuangkan isu rakyat. Alhamdulillah, hasil perjuangan UMNO, kadar
kemiskinan Bumiputera di negara ini turun dari 64.8% pada tahun 1970
kepada 2.2% sekarang. Purata pendapatan kasar isi rumah Bumiputera pula
meningkat dari RM172 pada tahun 1970 kepada RM4,457 (empat ribu empat
ratus lima puluh tujuh) sekarang. Hasil perjuangan UMNO dalam bidang
pendidikan, bilangan profesional Bumiputera berdaftar meningkat dari 5%
pada tahun 1970 kepada 45% pada masa ini.
Kadar pengangguran di Negara kita pada masa ini ialah 3.1% atau kadar
guna tenaga penuh. Jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat, kadar
penganggurannya ialah 7.3% dan Australia 5.8%, kita seharusnya bersyukur
kepada Allah S.W.T kerana rakyat Malaysia secara rata-rata mempunyai
pekerjaan, ada kediaman dan ada makanan terhidang.
Suatu masa dulu, kita mungkin hidup dalam kemiskinan. Saya percaya
sebahagian besar kita yang ada dalam dewan ini dulunya keluarga susah.
Alhamdulillah, hari ini kita keluar dari kemiskinan itu. Anak-anak kita
ramai yang menjadi profesional. Atau paling kurang, mereka keluar
universiti dan kini sudah bekerja bagi membantu keluarga.
Mustahil orang yang ditindas dan dizalimi menjalani kehidupan seperti
kita pada hari ini. Hanya di Malaysia, golongan yang mengaku marhaen
ada beberapa buah kereta, malah ada dua tiga handphone, setahun sekali
pergi melancong ke luar negara dan mengerjakan umrah. Hanya di negara
kita, golongan yang mengatakan mereka dizalimi pergi berdemonstrasi naik
BMW, Mercedes dan Camry, dan kemaskini Facebook dan Twitter gunakan
Apple, Blackberry dan Samsung smartphone!
Begitulah transformasi yang berlaku dalam kehidupan rakyat dan ia
dapat dilihat dengan mata kepala kita sendiri. Saya ingin mengatakan
bahawa kesemua ini adalah kejayaan perjuangan kita melalui Wanita UMNO.
Sekiranya tidak dengan kebijaksanaan rakyat yang mengundi Perikatan dan
kini Barisan Nasional, sekiranya tidak dengan kegigihan Wanita UMNO, dan
sekiranya tidak dengan kebijaksanaan pemimpin parti, apa yang
disebutkan itu mungkin tidak menjadi realiti.
Saya ingin mengingatkan parti-parti pembangkang, usahlah menganggap
semua orang boleh membangunkan negara. Usahlah kufur dengan nikmat
Tuhan. Usahlah menjadi manusia yang tidak tahu berterima kasih. Ada
negara yang semakin miskin dek sikap pemimpin yang rakus dan tamak. Ada
negara yang bagaikan penjara disebabkan pemimpin yang diktator dan
menganggap diri sendiri saja yang betul. Alhamdulillah, di Malaysia kita
tidak berhadapan dengan perkara-perkara sedemikian, walaupun
pembangkang ingin kita mempercayai begitu.
Kenaikan kos sara hidup masih merupakan isu utama bagi sebahagian
besar rakyat. Dalam hal ini, saya ingin menegaskan pendirian Wanita UMNO
bahawa sementara kita menyokong perlaksanaan GST, saya ingin
mengingatkan kerajaan agar ia dilaksanakan secara yang tidak membebankan
golongan berpendapatan rendah. Dengar pandangan rakyat berpendapatan
rendah dan laksanakanlah GST tanpa membebankan mereka.
Wanita UMNO juga inginkan kerajaan melihat soal perumahan rakyat.
Soal ini berkait rapat dengan kesejahteraan dan keharmonian keluarga.
Walaupun kita menyambut baik usaha-usaha PR1MA dan SPNB serta pemberian
insentif kepada sektor swasta melalui Dana Mudahcara untuk pembinaan
perumahan rakyat, kita berharap ia tidak dilakukan dengan cara
mengurangkan keselesaan kepada pengguna. Rumah lebih dari sekadar tempat
tinggal. Rumah adalah merupakan satu persekitaran untuk membesar dan
mendidik anak-anak, serta membangun masa depan. Maka, perumahan rakyat
harus mengambilkira semua keperluan-keperluan tersebut.
Satu lagi isu rakyat yang penting ialah jenayah. Wanita UMNO ingin
melahirkan hasrat rakyat dalam hal ini dan mahukan kerajaan untuk terus
memberikan tumpuan bagi membendung jenayah di negara ini. Pembunuhan,
samun dan jenayah berat yang lain dan dilakukan secara terbuka bukan
saja memberikan imej buruk kepada Negara, tetapi juga menimbulkan
perasaan kurang senang rakyat. Wanita UMNO mendesak kerajaan untuk bukan
saja mengambil langkah-langkah preventif, tetapi juga harus mengkaji
semula peruntukan undang-undang sedia ada agar ia boleh menjadi
penghalang atau “deterrence” kepada jenayah sedemikian. Wanita UMNO
menyokong usaha-usaha semua pasukan keselamatan Negara dan ingin
mengucapkan jutaan terima diatas pengorbanan mereka.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dihormati sekalian,
Wanita UMNO faham bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai
inisiatif bagi menguruskan hal-hal yang saya sebutkan tadi. Namun, akhir
sekali ia berbalik kepada soal pelaksanaan. Banyak idea yang hebat
akhirnya memberikan impak negatif kepada rakyat disebabkan kegagalan
pelaksanaan atau sistem penyampaian. Saya menyeru kepimpinan Wanita UMNO
menjadikan isu-isu rakyat sebagai sebagai tonggak perjuangan kita. Kita
harus menjadi “mata kerajaan” untuk memastikan agar kesemua
inisiatif-inisiatif ini dilaksanakan secara yang menguntungkan rakyat.
Dalam politik masa kini, adalah tidak cukup untuk kita sekadar
melakukan bakti dan aktiviti. Apakah bakti dan aktiviti yang kita tidak
terlibat? Apabila ada kenduri-kendara dan kematian, Wanita UMNO berada
di hadapan. Apabila ada majlis dan keramaian di kampung dan taman
perumahan, Wanita UMNO meramaikannya. Apabila ada gotong royong, Wanita
UMNO berkeringat bersama. Walaupun itu bagus, namun ia tidak cukup dalam
politik hari ini.
Rakyat ingin melihat Wanita UMNO juga melakukan advokasi khusus dalam
isu-isu yang dekat dengan hati rakyat. Maka, Wanita UMNO mesti berani
untuk bercakap dan dilihat memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan hati
rakyat.
Dalam perbahasan Ucapan Dasar dan Usul pada hari ini, saya meminta
para pembentang usul dan pembahas untuk membangkitkan permasalahan
rakyat secara berani agar kepimpinan negara memahami isu sebenar dan
rakyat melihat peranan kita dalam memperjuangkan isu-isu mereka.
Wanita UMNO harus menjadi pendesak yang mampu memberikan cadangan
secara konstruktif kepada apa yang kita perjuangkan. Sekiranya kita
tidak bersetuju dengan kerajaan, maka cadangkan apa yang perlu
dilakukan. Usah menjadi seperti tikus memperbaiki labu.
MEMBINA KAPASITI WANITA
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Selama ini Wanita UMNO telah memperjuangkan dasar 30 peratus wanita
pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta.
Alhamdulillah, kerajaan menyambut baik dan kita telah melihat perubahan
demi perubahan dalam aspek ini. Alhamdulillah, Dasar Wanita Negara telah
membantu meningkatkan penyertaan wanita dalam kumpulan pengurusan di
sektor awam daripada 6.9% pada tahun 1995 kepada 18.8% pada tahun 2004
dan seterusnya kepada 30.5% pada tahun 2010. Manakala bagi sektor
swasta, ia meningkat daripada 13.5% pada tahun 2004 kepada 26.2% pada
tahun 2010.
Untuk mempersiapkan Wanita Malaysia menghadapi cabaran masa depan,
YAB Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Akademi Inovasi Wanita
atau Women Innovation Academy (WIN). Salah satu fungsi WIN yang akan
diletakkan di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) ialah untuk
membangunkan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor strategik negara.
Akademi ini akan merangka program-program kepimpinan, keusahawanan,
inovasi untuk golongan wanita. Bagi pihak Wanita UMNO, saya mengucapkan
terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memahami aspirasi kami
dan bersetuju menubuhkan WIN.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
Kerajaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang telah menyahut
saranan YAB Perdana Menteri supaya Perkhidmatan Awam ditransformasikan
bagi menjamin penyampaian perkhidmatan awam lebih efisien, efektif dan
berjiwa rakyat.
Saya mengucapkan syabas kepada JPA yang telah berjaya membangunkan
Kerangka Kerja Transformasi JPA (KTJPA) dengan menggunakan kepakaran
dalaman (in-house expertise). Saya dimaklumkan bahawa KTJPA kini sedang
rancak dilaksanakan di JPA dan disemarakkan ke seluruh kementerian dan
agensi Kerajaan.
Saya percaya KTJPA yang bermatlamat mewujudkan Perkhidmatan Awam yang
berprestasi tinggi, dinamik dan berjiwa rakyat akan menjadi kenyataan.
Teras-teras strategik yang telah dibentuk bagi mendaya upaya bakat,
mengukuhkan organisasi, merakyatkan Perkhidmatan Awam (citizen-centric
public service), memperhebatkan keterangkuman dan membudayakan integriti
telah mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam wanita.
Peranan wanita dalam Perkhidmatan Awam telah lama diberikan
pengiktirafan. Walaubagaimanapun, potensi mereka perlu terus digilap dan
bakat mereka didaya upayakan agar mereka dapat memberi sumbangan yang
lebih bermakna dalam mencapai agenda transformasi negara.
Setiap seorang dari kita ada sanak-saudara dan adik-beradik yang
bekerja dalam sektor awam. Mungkin suami kita, mungkin anak-anak kita,
mungkin saudara kita. Paling tidak, jiran kita. Sebab itulah kita berasa
sedih dan terhina apabila ada pemimpin politik pembangkang di Pulau
Pinang yang menggelarkan penjawat awam sebagai “kucing kurap” dan tidak
mahu berurusan dengan pegawai berpangkat rendah.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh tentang
aspek pengumpulan data berasaskan pecahan jantina atau sex disaggregated
data. Walaupun pada masa ini kerajaan telah mengarahkan semua agensi
kerajaan untuk mengumpul data dan sebagainya menerusi Surat Pekeliling
yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara. Saya ingin mencadangkan
supaya satu kajian komprehensif dijalankan untuk meneliti bagaimana
usaha pengumpulan data ini dapat dipertingkatkan serta dibuat secara
lebih berkesan.
Selain itu, saya ingin menyeru supaya pengumpulan data berasaskan
pecahan jantina turut diperluaskan ke sektor swasta, misalnya sektor
perbankan. Sesungguhnya pengumpulan data ini penting bagi membantu
kerajaan menganalisis kedudukan semasa Wanita di Malaysia supaya
inisiatif dan intervensi yang affirmative dapat dilakukan dengan
sewajarnya.
MEMBANGUNKAN WANITA DALAM EKONOMI
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Walaupun wanita sudah lama menceburkan diri dalam bidang
keusahawanan, sehingga kini wanita masih belum dilihat menguasai bidang
ini. Malah, perbahasan mengenai isu keusahawanan sehingga kini tidak
mendalam sehingga meninggalkan impak kepada wanita.
Dalam hal ini, saya menyarankan agar Wanita UMNO di semua peringkat
menjadikan agenda pembangunan keusahawanan sebagai satu lagi teras
perjuangan parti. Walaupun kita akan terus memantapkan program-program
politik dan sosial melalui jentera Wanita UMNO, kita sewajarnya
memperjuangkan isu keusahawanan khusus untuk memastikan penglibatan
wanita secara signifikan dalam ekonomi negara.
Wanita seringkali dikaitkan dengan perusahaan mikro atau dalam bahasa
yang mudah, perniagaan kecil-kecilan. Daripada keseluruhan syarikat
yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, hanya satu perempat
adalah syarikat Bumiputera dan 88% syarikat tersebut adalah perusahaan
mikro; iaitu syarikat yang mempunyai pendapatan tahunan kurang dari
RM250,000 (dua ratus lima puluh ribu) atau lima orang kakitangan.
Walaupun perniagaan kecil, usahawan wanita inilah yang telah
mengeluarkan keluarga dari kemiskinan dan mendidik anak-anak sehingga
mereka masuk universiti dan menjadi professional. Usahawan wanita juga
adalah peminjam yang baik. Daripada 380,000 (tiga ratus lapan puluh
ribu) sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, hampir kesemuanya wanita dan
mereka membayar pinjaman yang dibuat dengan baik. Begitulah hebatnya
usahawan wanita.
Sementara kita menerima pencapaian ini, kita harus mengangkat lagi
kedudukan dan prestasi wanita dalam ekonomi negara. Kita tidak mahu
selamanya wanita dikaitkan dengan perusahaan mikro. Kita mahu melihat
wanita bukan saja memiliki, tetapi menguasai perniagaan sederhana dan
besar. Kita juga mahu melihat wanita juga memiliki dan menguasai
syarikat-syarikat dalam sektor-sektor perniagaan strategik.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Pada 14 September lalu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Abd
Razak telah melancarkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti
Teknologi MARA, Shah Alam. Agenda ini adalah pengukuhan dan lanjutan
kepada Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh
beliau pada 26 November 2011. YAB Perdana Menteri telah menggariskan
lima teras dan 34 titik sentuhan (touch points) untuk memperkasakan
ekonomi Bumiputera. Lima bidang tumpuan yang disebutkan oleh YAB Perdana
Menteri merangkumi mendaya modal insan, memantapkan pemilikan ekuiti
korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan, memperhebat
keusahawanan dan perniagaan, dan memantapkan ekosistem penyampaian
perkhidmatan.
Pengumuman mengenai penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera, KPI
Bumiputera dalam GLC, dan penubuhan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera,
di kementerian-kementerian yang akan diselia oleh Unit Peneraju Agenda
Bumiputera (TERAJU), adalah antara intervensi strategik untuk
membolehkan usahawan Bumiputera bersaing sesama sendiri. Inilah yang
disebutkan oleh YAB Perdana Menteri, sebagai meritokrasi dalam
pembangunan ekonomi Bumiputera.
Antara inisiatif membangunkan keusahawanan Bumiputera, termasuklah
menyediakan peluang perniagaan melalui strategi “carve-out and compete”,
penyumberan luar (outsourcing), dan pembangunan vendor.
Sementara kita ingin tentukan peningkatan Bumiputera dalam pemilikan
aset kewangan dan bukan kewangan, kita mahu juga melihat wanita diwakili
secara signifikan dalam agihan tersebut. Kita mahu ekonomi Bumiputera
berkembang, dan pada masa yang sama pemilikan dan penguasaan wanita juga
berkembang, sekaligus mencerminkan perwakilan wanita yang sewajarnya.
Saya mencadangkan agar Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan
oleh YAB Perdana Menteri dan sekretariatnya TERAJU bukan sekadar
memantau pencapaian Bumiputera, tetapi juga ada kesaksamaan gender sama
ada dalam latihan keusahawanan, pembiayaan dan peluang-peluang
perniagaan, termasuklah dalam projek-projek besar. Saya ingin melihat
wanita bukan sekadar menjadi tulang belakang dalam politik, tetapi juga
rakan kongsi keusahawanan. Tan Sri Pengerusi Tetap, saya rasa kita
Wanita UMNO ada potensi besar dalam perniagaan. Takkanlah selama-lamanya
kita sekadar menjadi “sleeping partner” saja!
Walaupun kerajaan mempunyai banyak agensi pembangunan keusahawanan,
namun kita masih mendengar rungutan usahawan wanita sukar mendapat
maklumat pembiayaan, infrastruktur dan insentif. Dalam konteks wanita
terutama yang sukar untuk bergerak jauh (limited mobility), keadaan ini
menjadikan mereka sukar mendapatkan maklumat.
Saya ingin mencadangkan juga, agar kerajaan membangunkan pusat
sehenti maklumat keusahawanan, atau One Stop Referral Center (OSRC) di
seluruh Negara, bagi memudahkan usahawan Wanita mendapat maklumat
keusahawanan, yang disediakan oleh kerajaan. Dengan adanya pusat ini,
usahawan hanya perlu pergi ke satu tempat saja, untuk mendapatkan
maklumat, dan ini memudahkan saluran maklumat kepada mereka.
POLITIK PERJUANGAN
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Walaupun kita baru saja selesai pemilihan parti dan pilihanraya umum,
persediaan untuk menuju pilihanraya umum ke-14 mesti bermula dari
sekarang. Lima tahun bukanlah satu jangka masa yang lama. Jentera parti
harus digerakkan ke arah itu mulai sekarang. Usah tunggu esok, usah
tunggu lusa.
Wanita UMNO pada semua peringkat, mestilah menyedari, bahawa
persiapan menuju pilihanraya umum ke-14 lebih mencabar, berbanding
sebelumnya. Kalau PRU 13 digelar “Mother of all battles” maka untuk PRU
14 mungkin “Father of all battles”. Kehadiran media social, menjadikan
pengurusan isu-isu politik lebih mencabar, kita Wanita UMNO mesti
menukar cara kita bertugas. Kita melihat bagaimana pemimpin-pemimpin
UMNO, telah menjadi mangsa fitnah dan berita separuh benar di media
sosial.
Walaupun parti dan pemimpin kita diserang sedemikian rupa, namun UMNO
tidak harus kehilangan arah, atau rasa lemah. Kita harus sentiasa
ingat, bahawa perjuangan kita adalah kerana Allah, untuk Agama, Bangsa
dan Negara. Perjuangan UMNO lebih besar dari sebuah parti politik,
apatah lagi individu, dalam dan luar parti.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan,
Walaupun sudah saban tahun kita berhimpun di Pusat Dagangan Dunia
Putra, sesungguhnya perjuangan kita baru saja bermula. Di antara lain,
kita Wanita UMNO mesti berikrar, untuk terus bekerja dengan penuh
disiplin, komitmen dan strategic, bagi menentukan Barisan Nasional
menang dalam PRU 14 nanti.
WANITA UMNO: TERAS DAN TULANG BELAKANG UMNO
Setelah 66 tahun perjuangan wanita didalam UMNO, saya bertekad supaya
sumbangan dan pengorbanan Wanita UMNO mendapat pengiktirafan yang
sewajarnya. Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diiktirafkan sebagai
teras, dan tulang belakang UMNO, dan bukan lagi satu di antara 3 sayap
dalam UMNO.
Wanita UMNO adalah ibu di dalam parti. Pemuda dan Puteri adalah
anak-anak kepada Wanita. Bukan naluri seorang ibu untuk bersaing dengan
anak-anak. Seorang ibu bersama bapa, membimbing dan memimpin anak-anak
dalam sebuah keluarga, begitu juga dalam keluarga politik.
Kita Wanita menghormati semua pemimpin, termasuklah kaum bapa, tetapi
masa sudah tiba, untuk kita Wanita UMNO mendapat pengiktirafan, bukan
kerana kita wanita, tetapi kerana jasa bakti, keahlian, komitmen,
pengorbanan, semangat dan sumbangan kitalah yang membawa kepada
kestabilan parti.
Saya berdoa, semasa YAB Dato’ Sri Najib menjadi Presiden UMNO, akan
berlaku transformasi politik dalam UMNO untuk Wanita, dimana Pergerakan
Wanita UMNO Malaysia, diiktiraf sebagai teras dan tulang belakang UMNO,
dan bukan lagi sayap dalam UMNO.
Selain itu, saya juga berdoa, pemimpin Wanita yang berkelayakan, akan
diberi tempat membuat keputusan yang lebih bermakna, bermula dari
cawangan, bahagian, negeri, hinggalah ke peringkat kebangsaan. Maka
dengan itu, wahai Wanitaku sayang, mari kita berikrar, kita akan
memimpin transformasi yang akan melakar perubahan.
Jadi pemimpin kita amanah
Taat pegang janji dan sumpah
Kepada sahabat kita peramah
Kepada ketua kita berhemah
Pemimpin amanah bawa barakah
Bersama tegak tuah dan maruah
Kita berani sebagai srikandi
Taat sumpah pegang janji
Hadapi musuh berani mati
Di atas yang benar kita berdiri
Kitalah payong, kitalah panji
Semoga perjuangan kita, Allah berkati
Hidup Wanita UMNO!
Hidup Melayu!
Hidup UMNO!
Wabillhitaufik wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan