Sabtu, 5 Julai 2014

(TERKINI 5 A.M) Kak Pah Dan Hilangnya Permata Negara…


SEBAIK saja mendapat perkhabaran perginya Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, kami di Mynewshub.my terus bergegas ke Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Setibanya kami di sana kira-kira pukul 2.45 pagi, kelihatan ramai rakan artis terutama yang seangkatan dengan beliau tiba untuk memberi penghormatan terakhir.

Antaranya Uji Rashid, Hail Amir dan Noorkumalasari. Turut kelihatan angkatan artis 80′an seperti Nassier Wahab dan Datuk Shah Rezza selain pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.

Jenazah beliau yang sebelum itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kemudiannya dibawa turun ke bilik mayat pusat perubatan tersebut.

10526027_10152506075173050_2123999764830445910_n

Perasaan hiba menyelubungi bilik mayat apabila jenazah artis terkenal itu diletakkan di atas pengusung dan dibaluti kain batik berwarna merah hati.
 
Sementara itu, Presiden Koperasi Penggiat Seni Selangor Berhad, Zed Zaidi tak dapat menahan kesedihan sebaik saja tiba di bilik mayat. 
 
image-2

"Arwah terlalu istimewa… penyanyi yang boleh menguasai pelbagai genre lagu dari tradisional hinggalah moden. Kali terakhir saya bertemu Allahyarham sewaktu kami berkempen untuk Palestin tahun lalu.

"Masa itu beliau beritahu beliau nekad nak bantu rakyat Palestin dengan apa cara sekali pun," katanya dalam nada sebak pada Mynewshub.my di KPJ Damansara awal pagi ini.

Sementara itu, Mynewshub.my dimaklumkan yang jenazah akan disembahyangkan terus di sebuah masjid di Taman Tun Dr. Ismail sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pukul 10 pagi ini .

Kerjaya seni Sharifah Aini bermula apabila beliau memasuki pertandingan nyanyian Bintang RTS di Singapura pada tahun 1968 dengan membawa lagu berjudul "Tiga Malam" dan sekaligus dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTS" 1968.

Selepas kemenangannya, beliau dilamar oleh syarikat rakaman EMI pada tahun 1969. Album pertamanya yang berjudul Seri Dewi Malam telah diterima dengan hebatnya oleh peminat ketika itu.

Sharifah Aini bukan sahaja bekerjasama dengan syarikat rakaman EMI Malaysia, beliau juga telah bekerjasama dengan syarikat rakaman EMI Singapura.



20c_sharifa_c236139_111214_166

Setelah menjadi artis rakaman, Sharifah Aini telah banyak menyanyikan pelbagai lagu dan menghasilkan hampir 93 album, termasuk tujuh album lagu bahasa Inggeris.

Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia, nama beliau juga tersohor di beberapa negara serantau di Asia seperti Jepun, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Lagu Seri Dewi Malam telah menjulang nama beliau sebagai artis pujaan ketika itu. Bakat Sharifah Aini menyerlah apabila telah diasah oleh seorang penggubah lagu terkenal iaitu Datuk Ahmad Nawab.

Lagu ciptaan Ahmad Nawab untuknya begitu berkesan kepada industri muzik dan juga semua peminat Sharifah Aini.

Sharifah Aini juga banyak mengadakan persembahan dan beberapa konsert besar di beberapa negara di Asia dan Timur Tengah seperti Kuwait. Beliau juga mempunyai peminat dari pelbagai golongan bangsa dan umur.

Pada tahun 1976, beliau menyanyikan duet dengan artis nombor satu Indonesia, Broery Marantika.

Lagu duet mereka, iaitu Seiring dan Sejalan telah menjadi siulan peminat di Malaysia dan Indonesia sekaligus melonjakkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Setelah lebih 30 tahun dalam bidang hiburan, beliau telah melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.

Pada tahun 2003, beliau telah mengadakan konsert di Istana Budaya iaitu Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini.

Konsert besar yang diadakan di pentas bertaraf dunia itu juga didatangi oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah.

Konsert yang begitu mewah dan berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan. Kesemua penjualan tiket laris dijual.

Sebelum ini, Sharifah Aini juga pernah mengadakan konsert di Singapura iaitu di Victoria Concert Hall pada tahun 2000.

Paling membanggakan, beliau merupakan satu-satunya artis pertama Malaysia dan Asia yang telah diberikan penghormatan untuk mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall yang selama ini hanya dikuasai oleh artis Barat.

Sambutan yang diberikan begitu menggalakkan dan kesemua penjualan tiket laris terjual. Sharifah Aini telah menubuhkan syarikat beliau sendiri iaitu Pods And Pedal Giftlab.

Pada tahun 2003, beliau telah menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail kerana sumbangannya yang begitu besar dan tidak ternilai kepada bidang seni negara.

 AL FATIHAH BUAT DATUK SHARIFAH AINI SYED JAAFAR- SAK

Tiada ulasan: