MUKADIMAH : KES Liwat II melibatkan Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang bermula sejak 2008 telah menemui noktahnya pada 10 Februari
lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang itu bersalah
meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Namun, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang
mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh “orang jahat” masih
dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat. Bagi menjawab
tuduhan-tuduhan yang masih berlegar itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN
ANUAR, AMIRUDDIN HARUN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah
mewancara TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH yang dilantik mengetuai
pendakwaan kes itu pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan
di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat
untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tidak
seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes
tersebut.
"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat
rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya.
MINGGUAN: Selepas 10
Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan
Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan.
Bagaimana pula secara peribadi?
MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi
peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan
kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi
peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar
sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak
percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi
saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat
(rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan
jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut
dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah
berkenaan dengan beg plastik.
Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja
sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama.
Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai
dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan
benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu
tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah
apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA)
"Lelaki Y". Empat-empat itu dapat "Lelaki Y". Kalau kita
bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang
paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.
Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan
trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan
trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja.
Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya.
Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan
trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia
(Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita
kata 16 tadi.
Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak
wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar.
Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan
undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung
DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia
ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu
keputusan tetapi kita tidak tahu siapa "Lelaki Y". Apabila Anwar
ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat
gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai
tuala yang bersaiz medium.
Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan
berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis
dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan
tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia
yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini
namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA,
tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia
periksa, dia pun kata "Lelaki Y" tetapi tidak tahu profil DNA
"Lelaki Y" yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora
bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes
ini.
Dalam kenyataan Tan Sri tentang ”Anwar Ibrahim
Verdict”, kenapa Tan Sri mengharapkan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara
membaca fakta secara teliti dalam penghakiman sebelum membuat kesimpulan?
MUHAMMAD SHAFEE: Oleh sebab
kes kita ini amat kuat. Keterangan terhadap Anwar ini terlalu kuat. Kita tidak
boleh pertikai. Tak boleh hendak kata apa-apa pun berkenaan dengan fakta ini.
Kalau saya jadi peguam bela dia pun, saya pening kepala sebab keterangan memang
kuat. Jadi, oleh sebab keterangan itu kuat, kita berani kata sila masuk, kita
tengok keterangan itu. Jangan cerita benda-benda lain. Konspirasilah, itulah
dan inilah, semua itu cerita politik untuk propaganda. Kalau kita hendak tahu
orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes. Mereka tidak berani
masuk fakta kes. Saya tidak pernah dengar sekalipun dalam mahkamah dari
Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan yang Anwar kata itu bukan DNA dia.
Apa yang dia pertikaikan ialah cara DNA itu dikaji, cara analisis itu semua dia
kata teknik salah.
Apabila dia beri keterangan dari kandang tertuduh
(dock), bukan kandang saksi, jadi dia tidak boleh disoal balas. Jadi, dia
penakutlah dan ada yang dia nak sembunyi. Selalunya keterangan dari dock ini,
orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu
muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. Anwar bukan sebegitu. Anwar
cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk
dalam kandang saksi. Walhal subjek, Saiful ini tujuh hari disoal balas dan
Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas.
Anwar main sandiwara banyak sangat.
Anwar dan penyokong beliau masih anggap ini
merupakan konspirasi politik dan bukan kisah aduan “serangan seksual” majikan
ke atas pekerjanya. Apa komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Kalau
konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat
pertama. Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini
ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997,
setahun sebelum Anwar dibuang kerja. Kita hendak tanya Anwar, konspirasi itu
apa maksudnya? Apakah konspirasi untuk kenakan dia atas perkara memang dia
lakukan atau konspirasi kenakan dia atas perkara dia tak pernah lakukan. Kalau
dia lakukan, kalau orang kata kita perlu siasat dan kenakan dia, itu bukan
konspirasi yang salah di sisi undang-undang. Polis pun pakat kalau hendak
siasat kes tetapi itu konspirasi yang tidak ada maksud membuat kesalahan
undang-undang, sebab itu hak polis untuk siasat termasuk kes liwat kedua ini.
Orang tanya kenapa Saiful pergi jumpa Datuk Seri
Najib Tun Razak dua hari sebelum dia kena liwat pada 26 Jun 2008. Menurut
Saiful, dia sudah hilang akal berkenaan kepada siapa dia hendak laporkan kerana
ini Anwar, Ketua Pembangkang. Dahulu pun, Anwar menang kes itu. Apabila Saiful
datang jumpa, Najib terus katakan tidak boleh dan nasihatkan Saiful jumpa Ketua
Polis Negara (KPN) pada masa itu. Najib beritahu Saiful perkara ini amat
sensitif dan tidak mahu orang buat tuduhan.Apabila Saiful hubungi KPN, beliau
pula minta Saiful jangan telefon dia lagi kerana ingat Saiful main-main. Jadi,
Saiful serba salah. Apabila perkara 26 Jun 2008 berlaku, Saiful letak jawatan
kerana tidak sanggup diliwat lagi sebab sembilan kali dia kena. Saiful kata dia
tidak rela tetapi terpaksa menyerah kerana dominasi Anwar terlampau kuat. Hari
itu, Saiful kata tidak mahu tetapi Anwar marah dia dan minta dia masuk ke dalam
bilik.
Kita hendak tanya di mana kita boleh dapat air mani
Anwar? Bukan dia simpan dalam bank. Bukan hanya air mani tetapi air mani itu
ada sperma. Dalam kes ini, oleh sebab antara 48 hingga 56 jam, ekor sperma
sudah putus sebab proses pembusukan sudah berlaku tetapi tidak begitu ketara.
Sebab itu ekor sperma itu tidak ada. Ahli kimia kata proses pembusukan itu
tidak mencemarkan. Dia mendapat DNA daripada kepala sperma. Apabila dia
pecahkan tiap-tiap kepala, dia ekstrak DNA. Itu yang 16 bacaan menunjukkan
Anwar.
Walaupun dengan bukti-bukti kukuh ini, penyokong
Anwar masih tidak percaya insiden liwat ini benar-benar berlaku tetapi masih
menganggap satu konspirasi.
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam
mahkamah, peguam Anwar sendiri tidak kata itu bukan dia punya DNA. Jadi, apa
yang penyokong-penyokong bising. Peguam dia 14 orang, tidak pernah seorang pun
kata itu bukan dia. Hanya mereka mempertikaikan proses analisis. Itu sahaja. Kalau
proses analisis itu, macam mana dapat 16 daripada 16 bacaan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengatakan
hukuman penjara lima tahun itu ialah pengorbanan Anwar untuk rakyat Malaysia.
Tidakkah ini mengelirukan rakyat?
MUHAMMAD SHAFEE: Mana ada pengorbanan.
Kalau pengorbanan, dia mengaku salahlah. Yang itu baru kita kata korban. Ini
dipaksa masuk dalam penjara sebab didapati bersalah sebab dia bohong daripada
awal. Awal-awal lagi dia kata pembelaan dia ialah alibi. Sebanyak 13 nama dia
beri masuk tetapi seorang pun dia tak panggil sebab daripada awal lagi dia
hendak tipu. Dia hendak kata dia bukan di apartment itu tetapi di apartment
sebelah. Akhirnya apabila kita tunjuk kamera litar tertutup (CCTV), dia sudah
terpegun. Alibi dia semua habis terbang. Saya pun hendak tengok dia panggil Wan
Azizah untuk apa. Dalam keterangan dari kandang pun dia tidak kata alibi. Jadi,
alibi kira lesap terus.
Anak perempuan Nurul Izzah ada bertanya kepada
Anwar, “Atuk, kenapa mereka cakap pasal penjara?” Anwar cakap kepada cucunya,
“Orang jahat nak sumbat atuk dalam penjara.” Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya rasa
kalau dia kata orang jahat, bukan sahaja mahkamah, dia maksudkan ada konspirasi
dengan kerajaan, menteri-menteri, Perdana Menteri, Pendakwa Raya dan polis pun
termasuk. Kita tengok konspirasi ini. Ada satu kes di India melibatkan Sushil
Sharma yang dipanggil sebagai kes pembunuhan Tandoor. Dia orang politik di
Delhi, Ketua Pemuda Parti Kongres, seorang yang berpengaruh. Dia bergaduh dan
menembak mati isterinya. Dia bawa mayat perempuan itu ke restorannya dan
dimasukkan dalam tandoor untuk dibakar bagi hancur tetapi badan manusia bau
kuat.
Polis pun tengok dan nampak ada kaki dan jari
tetapi badan hampir hancur. Itu pun DNA ahli politik ini dipertikaikan. Dia
kata konspirasi daripada polis, ahli kimia, kerajaan dan macam-macam lagi untuk
jatuhkan karier politiknya, sama seperti Anwar tetapi semua bahan bukti ini
sudah diperolehi. Dia pun buat alibi tetapi tidak pakai alibi tetapi dia lari
dari tempat itu. Dia pun beri keterangan dari dock, macam Anwar 100 peratus.
Kalau konspirasi, mesti ada konspirasi daripada
Saiful, kerajaan dan mungkin Kabinet, polis dan empat doktor di Hospital Kuala
Lumpur (HKL). Tetapi yang doktor ini menarik. Pada 28 Jun 2008, Saiful pergi ke
Hospital Tawakal dahulu tetapi diberitahu hospital itu beroperasi sampai tengah
hari dan tidak ada doktor.
Baru dia pergi ke Hospital Pusrawi dan jumpa dengan
doktor dari Myanmar yang mahkamah kata tidak jujur. Memang dia mengaku dia buat
itu semua silap. Benda yang dia tidak pernah tulis dalam rekod, selepas tiga
minggu baru dia tulis untuk menyokong Anwar. Dia yang kata Saiful kena pergi
HKL sebab di situ tidak ada forensik.
Apabila sampai HKL 3.30 petang, akhirnya Saiful
diperiksa pukul 9.30 malam. Kamu fikirlah kalau ada konspirasi, takkan mereka
tidak aturkan untuk permudahkan. Selain itu, ahli kimia pun kena masuk
konspirasi. Dua ahli kimia; seorang Cina dan seorang Melayu. Doktor pun ada
satu Cina dan tiga Melayu. Selepas itu pegawai penyiasat, timbalan pendakwa
raya yang awal dan saya pun mesti ada dalam konspirasi dan hakim pun mesti
konspirasi, tetapi hakim pertama buang kes. Mana ada konspirasi.
Kes jenayah ini, semua dikatakan konspirasi,
sebaliknya apabila kes sivil yang banyak mereka menang tidak pula dikatakan
konspirasi?
MUHAMMAD SHAFEE: Hakim yang
dia maki hamun di Mahkamah Tinggi, hakim itu yang bebaskan dia. Apabila hakim
itu bebaskan dia, dia kata keadilan ditegakkan. Cuba tengok dalam kes liwat
satu, Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mereka ada baca penghakiman
tentang Anwar. Dalam itu, dia kata macam-macam pasal Anwar. Seorang peguam
Anwar masa itu, Christopher Fernando muncul di televisyen dan menyatakan ini
hari paling istimewa bagi badan kehakiman sebab buang kes ini. Selepas itu,
mereka baca keputusan dengan terperinci. Hakim kata, walaupun Anwar dilepaskan
atas dasar teknikal, ada bukti-bukti menunjukkan dia homoseksual. Ada aktiviti
itu berlaku di Tivoli Villa.
Pada 2014, mereka cuba buat satu permohonan di
Mahkamah Persekutuan untuk buangkan kenyataan-kenyataan berkenaan yang hakim
Mahkamah Persekutuan dahulu kata, tetapi hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu
kata tidak boleh kerana ini dapatan fakta daripada mahkamah. Dia kata, kita
kekalkan sebab ada dasar dan sebab kukuh kenapa dapatan fakta itu dibuat. Jadi,
ia jadi lebih konkrit.
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong
menyatakan Ketua Pembangkang sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen
377C iaitu bagi kesalahan lebih berat yang akan mendedahkan Anwar kepada
hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. Soalnya, kenapa
pasukan Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B yang
tidak menetapkan tempoh penjara minimum?
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam kes
377C, kita harus tunjukkan dengan begitu jelas yang tidak ada kerelaan dia dan
dibuat dengan paksaan. Jadi, Peguam Negara mungkin kata kenapa hendak pergi
melalui jalan itu kerana kesalahan itu memang kesalahan, sama ada dengan
kerelaan Saiful atau tidak. Hukuman maksimum penjara 20 tahun juga.
Kalau Anwar kena 377C, hukuman penjara minimum lima
tahun. Kalau minimum lima tahun, dia mesti terpaksa kena penjara tujuh atau
lapan tahun. Lagi satu, dia kena rotan. Orang lebih 50 tahun tidak boleh
dirotan kecuali kes 377C sebab kes itu serius. Mungkin sebab itu Peguam Negara
tidak mahu kontroversi sangat sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. Dia
patut berterima kasih kepada Peguam Negara.
Datuk S. Ambiga menyatakan dia kecewa kerana Tan
Sri "menyerang" Anwar apabila mengeluarkan kenyataan menghina Anwar
selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun bagi
pertuduhan liwat. Tan Sri juga didakwa melanggar hak asasi manusia apabila
"menyerang" Anwar yang tidak boleh mempertahankan diri. Komen Tan
Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya hanya
keluarkan kenyataan sebab mula-mula Christopher Leong kata ini bukan pendakwaan
tetapi penganiayaan. Sebagai Presiden Majlis Peguam, dia tidak boleh bercakap
macam itu. Ertinya apa? Mahkamah buat aniaya, saya buat aniaya dan polis semua
buat aniaya. Takkan saya tidak ada hak asasi saya sebagai Pendakwa Raya untuk
menegakkan apa yang saya buat itu betul. Saya hanya menjawab. Dia yang buka
pekung dulu.
Kemudian Ambiga masuk buat cerita Barisan Nasional
(BN) salah langkah untuk mempenjara Anwar. Adakah mahkamah itu sebahagian BN?
Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah
seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau
perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita
tidak jawab, rakyat masih percaya.
Bagaimana dengan status Anwar sebagai Ahli Parlimen
Permatang Pauh? Adakah ia akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh
sabitan dan hukuman? Tempoh itu mungkin lebih panjang sekiranya Anwar mengemukakan
petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
MUHAMMAD SHAFEE: Anwar ada 14
hari untuk kemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi
yang peliknya, kalau kita hendak minta ampun, kita mesti kata kita salah dan minta
ampun. Boleh kita kata kita tak salah tetapi kita hendak minta ampun. Kedua,
ini bermaksud dalam 14 hari itu dia masih lagi Ahli Parlimen. Selepas 14 hari
itu pun dia masih lagi ahli Parlimen. Sebab badan Parlimen kena bersidang dan
membuat keputusan berdasarkan kes ini, dia harus disingkirkan, barulah keahlian
hilang. Ini berdasarkan kes Ahli Parlimen daripada DAP, Fan Yew Teng pada 1975.
Sistem kehakiman dan mahkamah kita pada mata dunia
sudah teruk sebab diburuk-burukkan dan dihentam. Bagaimana hendak
memulihkannya?
MUHAMMAD SHAFEE: Apabila
mahkamah buat keputusan setiap kes, hakim mesti tulis alasan penghakiman.
Alasan penghakiman itu akan menunjukkan cara perjalanan otak hakim tersebut.
Kalau tersalah tulis atau tersalah penghakiman, ia akan tertera dalam tulisan
tersebut. Orang boleh baca. Jadi, standard alasan penghakiman mesti
dipertingkat. Jadi, bukan sahaja kita tahu bahawa kita buat penghakiman yang
baik tetapi orang juga harus tahu dengan membaca alasan yang kita buat
keputusan yang baik. Jadi, penghakiman berlaku dan penyaksi penghakiman
dilakukan juga mesti ada. Itu dalam bahasa Inggeris kata “not only justice must
be done but justice must be seen to be done”. Sebab baru ada keyakinan.
Cara kita kendali dalam mahkamah pun mesti baik
termasuk etika dan cara kita dengar. Saya percaya orang Melayu paling bagus
sebagai hakim. Kita sabar dan tidak mudah hilang sabar. Bukan kita hendak jadi
rasis tetapi peguam bangsa lain pun kata Melayu lebih bagus sebab kita sabar.
Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini,
di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi
kepada anak atau keluarga saya. Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah
bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah. - MINGGUAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan