KUALA LUMPUR: Kenyataan Pendakwa Raya berhubung keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim:
1. Penghakiman ini membawa kepada suatu
pengakhiran bagi tujuh tahun masa mahkamah di mana sembilan Hakim, dan
pasukan Pembelaan (Anwar sendiri telah melantik 14 orang peguambela di
Mahkamah Persekutuan, namun secara keseluruhannya seramai lebih kurang
20 orang peguambela telah dilantik pada kesemua peringkat kes) mengambil
masa beribu-ribu jam, telah mempertimbangkan setiap keterangan didalam
kes ini dengan terperinci dari awal sehingga akhir. Kesemua sembilan
Hakim tersebut adalah tidak termasuk Hakim-Hakim yang mendengar rayuan
interlokutori.
2. Saya tahu bahawa keadilan akhirnya
ditegakkan, jadi saya secara profesional berpuas hati dengan keputusan
pada hari ini. Tetapi ianya tidak memberikan saya kegembiraan -
kehidupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya.
Lebih buruk lagi, tanpa berselindung, mangsa telah berhadapan dengan
sesi Pemeriksaan Balas selama tujuh hari dan kesemua pasukan peguambela
Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh menyoal balas beliau. Jadi, proses
keadilan juga telah memburukkan lagi penderitaan beliau.
3. Namun Anwar Ibrahim dengan sendirinya
telah memilih untuk tidak memberikan lebih daripada secebis kenyataan
dari kandang tertuduh. Tidak seperti mangsa, beliau enggan berhadapan
dengan pemeriksaan balas. Ianya adalah hak beliau dibawah undang-undang,
namun hak yang beliau telah gunakan untuk menyerang pihak Pendakwaan,
Yang Arif-Yang Arif Hakim, serta bekas rakan-rakannya dalam kerajaan.
Beliau telah menjejaskan reputasi negara beliau sendiri.
4. Saya telah dilantik pada peringkat
Mahkamah Rayuan sehingga peringkat akhir bagi rayuan kes ini di Mahkamah
Persekutuan, bagi mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap
rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini.
Ianya merupakan suatu tugas yang sangat sukar, kerana apa yang menjadi
kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap
pekerjanya telah digunakan sebagai medan untuk menyerang reputasi badan
kehakiman. Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di
Malaysia dan di luar negara untuk mempertimbangkan dengan teliti sebelum
membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar
didalam kes ini.
5. Yang paling penting, sila baca
penghakiman pada hari ini dan yang sebelumnya pada setiap patah
perkataan. Ianya memberikan fakta-fakta - sebagaimana buruk pun – bagi
kes ini.
6. Sebagai contoh, bagi keterangan DNA,
Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam aspek penyiasatan DNA. Pertama,
kita memerlukan 16 bacaan daripada 16 bacaan yang sepadan. Tiada negara
yang menuntut keperluan yang lebih tinggi – yang tertinggi, seperti
United Kingdom dan Amerika Syarikat, membenarkan keperluan bacaan yang
lebih rendah. Kesemua bacaan DNA yang menyokong kes ini adalah
berpadanan dengan bacaan 16 daripada 16 - dalam erti kata lain, padanan
sempurna ('full flush'). Dan kesemua DNA adalah didapati daripada semen,
yang mana lebih dipercayai berbanding DNA yang didapati daripada peluh.
Anda tidak boleh sesekali mencuri, memalsukan atau mencemarinya.
7. Kedua, di Malaysia tidak ada
undang-undang yang mewajibkan seseorang untuk memberikan sampel DNA.
Apabila Anwar Ibrahim mencabar sampel pihak Pendakwaan di mahkamah,
beliau mempunyai peluang untuk menawarkan sampel beliau sendiri, sebagai
suatu keterangan baru. Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh
berbuat demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau telah
memilih untuk tidak berbuat demikian.
8. Berkenaan dengan Notis Alibi Anwar
Ibrahim, beliau pada mulanya telah mengemukakan suatu Notis Alibi yang
menyeluruh. Namun beliau telah mengabaikan sepenuhnya apabila ianya
telah dibuktikan palsu melalui rakaman CCTV yang ditayangkan kepada
mahkamah. Kesemua ini telah dibuktikan lama dahulu.
9. Anwar Ibrahim juga enggan bersumpah
dengan nama Al-Quran mengenai kejadian tersebut. Sebaliknya mangsa telah
bersumpah dengan nama Al-Quran mengenai butir-butir kejadian tersebut,
di Malaysia dan juga di Mekah yang merupakan tanah suci Islam.
10. Kes seperti ini, di mahkamah
tertinggi di Malaysia, adalah terlalu teknikal: dalam semua proses
undang-undang yang sedia ada, dan dalam semua aspek keterangan,
terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak diikuti?
Terdapatkah sebarang teknikaliti? Pada hari ini, jawapan daripada Hakim-
hakim adalah tidak. Pada hari ini, mereka memutuskan pada keputusan
yang telah dibuat, serta keterangan yang telah lama diuji dan
dibentangkan.
11. Tuduhan besar yang sering diulangi
oleh Anwar Ibrahim bahawa kes ini mempunyai motif politik. Berdasarkan
keputusan hari ini, tuduhan tersebut adalah palsu.
12. Kebebasan badan kehakiman Malaysia
termaktub di dalam perlembagaan. Kes ini telah di bawa oleh seorang
individu, iaitu pekerja Anwar Ibrahim, yang telah membuat satu aduan
polis yang mana beliau telah menuduh Anwar Ibrahim memberi tekanan yang
tidak wajar sebagai majikannya untuk memaksa beliau melakukan hubungan
seks dengannya.
13. Tiada sesiapapun yang boleh
menetapkan, mengolah dan memutar belit suatu proses perundangan yang
mantap dan menyeluruh, termasuklah keputusan-keputusan yang memihak
kepada Anwar Ibrahim. Untuk mendakwa sedemikian, adalah keterlaluan
terhadap Yang Arif-Yang Arif Hakim, dan ianya adalah tidak mapan kepada
mereka yang membaca apa yang telah diputuskan oleh Yang Arif-Yang Arif
Hakim pada hari ini dan mengapa.
14. Tindakan bermotifkan politik di sini
hanyalah melihat kepada Anwar Ibrahim dan penyokongnya yang menuntut
agar kes ini digugurkan.
15. Harus dipertimbangkan bagaimana
perkara ini mulanya berbangkit. Sebagaimana kita imbas kembali Hansard
(tarikh 22 Oktober dan 18 Disember 1997) , buat pertama kali seorang MP
berdiri memegang akuan bersumpah yang menuduh Anwar Ibrahim terlibat
dalam kegiatan seksual – homoseksual – assault, Anwar Ibrahim pada
ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan pihak yang menuduh
beliau bukanlah daripada kalangan ahli kerajaan tetapi sebaliknya MP
pembangkang daripada parti DAP. Dan siapa pula penuduh beliau yang
sebenarnya? Arwah Karpal Singh, peguam yang hebat. Mana-mana pengakuan
penglibatan jenayah Anwar Ibrahim dan kejatuhan politik beliau perlu
dilihat kepada siapa yang memulakannya.
16. Tetapi bagi mangsa dan juga
Malaysia, perkara ini telah menjadi sesuatu yang mengerikan dan
berpanjangan. Di pengakhiran kes ini, saya minta pihak media yang ada
untuk melihat kepada fakta kes ini dengan adil, menganalisis penghakiman
dengan teliti serta menjalankan perkara-perkara ini dengan sebaik yang
mungkin demi masyarakat.
17. Saya risau dengan segelintir pihak
media yang menganggap mahkamah-mahkamah di Malaysia bertindak dengan
adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak kepada Anwar Ibrahim dan
mendakwa sistem kehakiman kita telah dikompromi apabila mahkamah
memberikan keputusan yang sebaliknya.
18. Kita semua mempunyai tanggungjawab
kepada mangsa, lelaki muda yang merupakan pembantu peribadi Anwar
Ibrahim, yang mendapat perhatian negara dan antarabangsa disebabkan
kesilapan yang bukan dilakukannya olehnya. Sepertimana kesemua
mangsa-mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak untuk melihat aduannya
disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan mahkamah.
19. Jadi, ini bukannya cerita tentang
politik, ini sebenarnya adalah cerita tentang manusia - dan dari
perspektif badan kehakiman, ia adalah peranan sistem keadilan negara
kita bagi membolehkan kedua-dua belah cerita untuk didengar di mahkamah.
20. Yang paling penting sekali, semua
ini adalah cerita tentang semua manusia, tanpa mengira kuasa, mereka
adalah sama rata di sisi undang-undang. - 10 Februari 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan