Selasa, 10 Februari 2015

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Hukuman Penjara Lima Tahun Terhadap Anwar

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menolak rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara dan rayuan Anwar bagi hukuman lebih ringan.

Panel itu, yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar.

Mereka membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili Anwar dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkaitan hukuman penjara itu.

Terdahulu, mahkamah mengekalkan sabitan hukuman terhadap Anwar kerana meliwat Mohd Saiful, 30, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 67, dibawa ke lokap mahkamah pada 2.33 petang. Seorang daripada peguamnya, Latheefa Koya, berkata beliau akan dihantar ke penjara Sungai Buloh.- BERNAMA

Tiada ulasan: