Rabu, 20 Januari 2016

Jangan bimbang jika lihat tentera dan polis berkawal di lokasi strategik….


Berikutan insiden serangan pengganas dan terbaru di Jakarta… jika melihat adanya anggota polis dan tentera berkawal di mana-mana lokasi strategik jangan pula rasa resah dan bimbang.

Ia adalah salah satu langkah tingkatkan tahap keselamatan yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa.

MKN memutuskan untuk laksana kawalan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan-kawasan tumpuan pelancong dan orang ramai.

Di bawah langkah sama MKN juga membuat ketetapan tahap sensitiviti keselamatan perlu dipertingkatkan lagi melibatkan agensi-agensi selain pasukan keselamatan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen serta Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Kemajuan Kampung.

Hal ini dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya.

Mesyuarat MKN turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Najib berkata, mesyuarat itu telah membincangkan langkah memperkemaskan lagi usaha tangani ancaman pengganas.

Sekalipun adanya peningkatan tahap keselamatan termasuk polis dan tentera berkawal, Perdana Menteri minta orangramai tidak merasa gusar kerana ia untuk memastikan semua merasa selamat.

Katanya, keadaan adalah terkawal.

Beliau menjelaskan langkah meningkatkan tahap sensitiviti keselamatan perlu kerana ia akan melibatkan penyertaan agensi lain selain dari tentera dan polis yang bertanggongjawab atas soal keselamatan.

Katanya, MKN juga mahu orang ramai sensitif terhadap soal keselamatan.

"Contohnya mereka di Sabah lihat adanya aktiviti mencurigakan bot mendarat waktu malam… mereka perlu segera beritahu pihak berkuasa," katanya.

Najib juga memberitahu, seramai 55 rakyat Malaysia dikenal pasti menyertai kumpulan IS di Iraq dan Syria.

Setakat ini 17 maut dan enam antaranya pengebom berani mati.

Tiada ulasan: