Ahad, 10 Januari 2016

Red Bull sokong Qu Puteh, Kelantan tukar jersi merah jambu

Pasukan bola sepak Kelantan dan penajanya tidak sendirian dalam isu "merah jambu".

Jenama minuman tenaga Red Bull menghulurkan sokongannya.

"Ambil merah jambu! Anda tidak keseorangan, Kelantan FC," kata jenama itu, yang menaja pasukan negeri bagi sesi 2014-2016, di akaun rasminya di Facebook semalam.

Coretan ringkas itu dipautkan kepada sebuah artikel mengenai jersi-jersi merah jambu yang dipakai oleh pasukan-pasukan Eropah.

 Dalam rancangan penajaannya, Datuk Seri Hasmiza Othman dilaporkan merangka pelan transformasi skuad negeri itu dikenali The Red Warriors (TRW) termasuk menukar warna jersinya kepada merah jambu.

"Tidak salah berbuat demikian. Ia warna fenomena di Eropah kerana kelab gergasi seperti Real Madrid turut mengenakan merah jambu sebagai warna jersi.

"Kita tengok Cristiano Ronaldo pakai jersi pink, menang lagi, macho pula tu, pink bermaruah dan memodenkan diri," pemilik Vida Beauty Sdn Bhd dipetik berkata kepada portal mStar Online minggu ini.

 Hasmiza, juga dikenali Dr Vida, mengejutkan peminat Kelantan apabila mengenakan syarat menukar stadium Kota Baru kepada merah jambu.

Pengumuman rasmi syarat dan jumlah penajaannya akan dibuat 15 Januari ini.

Menurut artikel di laman web Red Bull, jika menjadi kenyataan, Kelantan bukan satu-satunya pasukan yang memakai warna itu, malah kelab-kelab Juventus, Palermo dan Real Madrid serta negara Scotland juga mengenakan jersi merah jambu.

Berikut maklumat ringkas seperti dipaparkan di laman web Red Bull:
 
Juventus
Kelab bola sepak Itali itu memakai merah jambu pada musim 2015-2016. Warna itu tidak asing bagi Juventus kerana pernah mengenakan warna sama pada 1897 hingga 1903.
 
Evian
Kelab bola sepak dalam Liga 1 Perancis itu sebenarnya bernama "Les Roses", bermaksud "Si Merah Jambu". Ia selesa dengan warna itu sebagai jersi rasmi sepanjang musim 2015-2016.
 
Palermo
Kelab dalam Siri A bola sepak Itali ini menerima merah jambu sejak awal 1900-an.
Dikenali sebagai "Rosanero", atau merah jambu-hitam, kelab itu menggunakan gabungan warna berkenaan sebagai jersi tuan rumah.
 
Real Madrid
Pasukan paling besar dan terkaya dunia itu menggunakan tema jersi merah jambu-putih semasa musim Liga Primera 2014-15. Sama ada warna itu membawa tuah atau tidak, Real Madrid berjaya merebut kedudukan kedua selepas Barcelona pada musim itu.
 
Scotland
Mengejutkan, pasukan kebangsaan Scotland mengubah imej mereka menjadi "tentera merah jambu" untuk kempen Piala Dunia 2018. Warna itu berbeza dengan jersi asal merah kuning. Terdapat jalur hitam di bahu jersi, seluar hitam dan stokin hitam mereka juga terdapat hiasan merah jambu.

Tiada ulasan: