Selasa, 8 Mac 2016

Deklarasi Rakyat, ini jawaban Muhyiddin Yassin

Penyertaan saya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dalam sidang akhbar upacara menandatangani Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengundang kritikan daripada segelintir pemimpin UMNO.

Mereka nampaknya tidak senang dengan kejayaan Tun Dr Mahathir menghimpunkan tokoh-tokoh BN, Pakatan Harapan, PAS dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak Datuk Seri Najib supaya berundur.

 Agak malang apabila mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam upacara tersebut untuk menggambarkan seolah-olah Deklarasi Rakyat adalah agenda DAP untuk menghancurkan UMNO dan seterusnya melabel Tun Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan UMNO.

Tuduhan ini sama sekali tidak benar. Deklarasi Rakyat bukan agenda mana-mana parti politik. Ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik yang sedar bahawa kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tidak wajar lagi memandangkan beliau terpalit dengan pelbagai skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada beliau untuk memimpin Malaysia. Malah imej negara kita juga terjejas teruk di peringkat antarabangsa.

Hakikatnya, Deklarasi Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah tokoh-tokoh seperti Tun Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Aziz Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mustafa Ali, Dato' Dr Khairuddin Al-Takiri, Datuk Kadir Jasin, Hj Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan ramai lagi.

Jika Najib boleh duduk sepentas dengan Presiden PAS Datuk Seri Hj Hadi Awang atas nama kerjasama politik, mengapa pula Tun Mahathir, saya dan Mukhriz tidak boleh duduk semeja dengan tokoh-tokoh di atas untuk menyelamatkan Malaysia? Mengapa perlu digunakan standard yang berbeza untuk kami berbanding Najib?

Pada hemat saya orang-orang di sekeliling Najib sebenarnya bimbang akan kesan inisiatif Tun Mahathir terhadap kedudukan ketua mereka sebagai Perdana Menteri. Deklarasi Ini bukan sahaja mendapat sokongan tokoh daripada pelbagai latarbelakang politik, malah turut disokong oleh pelbagai lapisan rakyat yang mula menandatangani dokumen ini secara atas talian.

Saya percaya lebih ramai rakyat akan tampil menyatakan sokongan mereka terhadap Deklarasi Rakyat dalam masa terdekat. Sudah pasti perkembangan ini amat membimbangkan Najib dan orang-orang sekelilingnya.

Sebaliknya, yang tidak demokratik adalah mereka. Terbaharu, maklumat berkaitan 1MDB tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi. Kita tahu bahawa skandal 1MDB telah menjadi isu besar yang menarik perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga sepatutnya membentangkan hasil siasatan mereka ke atas 1MDB di Dewan Rakyat, iaitu institusi demokrasi tertinggi negara, untuk pengetahuan umum.

Adakah kerajaan pimpinan Najib ingin menyorok lebih banyak penyelewengan berhubung skandal 1MDB daripada pengetahuan rakyat? Adakah ini satu tindakan yang demokratik?

Mereka juga berkata seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi pilihanraya.
Di sinilah letaknya kesilapan besar mereka. Jika sebahagian besar rakyat menolak kepimpinan Najib, maka sewajarnyalah Najib berundur sekarang. Jangan tunggu sampai pilihanraya. Jika rakyat menolak Najib dalam pilihanraya bermakna mereka akan menolak BN secara total. Ini akan menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya.

Tujuan Deklarasi Rakyat ialah untuk mendesak Najib supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Peletakan jawatan Najib tidak akan menyebabkan kerajaan BN digulingkan. Sebaliknya, ia akan memberi laluan kepada proses tindakan undang-undang diambil terhadapnya dan beliau diadili dengan seadilnya di mahkamah.

Seterusnya, reformasi institusi secara total perlu dilaksanakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan amanah.

Justeru, mereka menggunakan pelbagai alasan yang pelik untuk mencemuh deklarasi ini. Ada yang mengatakan kononnya deklarasi ini tidak demokratik. Saya ingin beritahu mereka bahawa dalam sebuah negara yang demokratik, hak rakyat untuk menyuarakan pandangan adalah dijamin oleh Perlembagaan.

Ini termasuk untuk menyatakan sikap terhadap kerajaan dan kepimpinan negara. Meminta seorang Perdana Menteri berundur oleh kerana pembabitannya dalam skandal kewangan adalah sebahagian daripada hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

Desakan supaya Perdana Menteri berundur tanpa menunggu pilihanraya dengan tidak mengubah kerajaan sedia ada bukan perkara baharu sebagaimana yang pernah berlaku di zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan terakhir Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur untuk memberi laluan kepada Najib.

Dalam semua keadaan kerajaan BN pada waktu itu tidak terjejas. Cuma yang berbeza ialah latar belakang tuntutan berundur adalah atas sebab politik bukan atas isu skandal yang berkait dengan persoalan moral dan integriti sebagaimana yang berlaku terhadap pimpinan Najib sekarang.

Ia bukan lagi isu kepimpinan UMNO, tetapi sudah melimpah menjadi isu negara. Justeru pemimpin dari pelbagai latar belakang politik sanggup mengenepikan perbezaan dan bersatu azam semata-mata untuk menyelamatkan negara. Dengan langkah berani ini, amat tidak wajar kami dianggap menjual maruah dan harga diri, bangsa dan agama.

Jika pemimpin UMNO dan BN masih terperangkap dalam sindrom penafian dan terus menerus mempertahankan seorang individu yang tidak dapat dipertahankan dari segi neraca undang-undang, moral dan agama, maka rakyat akan menolak UMNO dan BN secara total.

Penolakan rakyat bukanlah disebabkan oleh Deklarasi Rakyat, tetapi kerana kegagalan pemimpin UMNO untuk mengemudi bahtera UMNO sehaluan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh rakyat, iaitu kejujuran, kebertanggungjawaban, ketelusan dan keadilan dalam memikul amanah kepimpinan.

Ada pihak yang sengaja menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menutup kelemahan mereka. Kononnya saya dan rakan-rakan yang lain telah menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara setelah menandatangani Deklarasi Rakyat.

Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas.

Selama 40 tahun saya di dalam politik, tidak pernah sedetikpun saya bertindak menggadai prinsip perjuangan saya. Tidak masuk akal tindakan saya menggesa Najib meletakkan jawatan kerana kemungkaran yang terpalit kepadanya, maka saya dikatakan menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Bukankah menentang kemungkaran itu satu kewajipan dalam Islam?

Saya sebagai seorang Muslim, hanya menjalankan kewajipan saya di sisi agama. Saya yakin rakyat, terutamanya orang Melayu, cukup bijak untuk menilai mana yang hak dan mana yang batil. Di sisi Islam, perjuangan menentang kemungkaran menentukan tahap keimanan seorang Muslim.

Saya tidak mahu disoal diakhirat kelak apa yang saya buat untuk menentang kemungkaran ketika saya masih berupaya untuk melakukannya. Saya tahu bahawa ia bukan sesuatu yang mudah dan amat menguji kesabaran. Tetapi saya yakin bahawa Allah s.w.t akan sentiasa bersama-sama orang yang sabar.

Tiada ulasan: