Manila: Polis Filipina menculik
dan membunuh seorang ahli perniagaan Korea Selatan sebelum memperdaya isteri
mangsa, kononnya suaminya masih hidup bagi memeras wang daripada wanita itu
selama beberapa bulan.
Mangsa, Jee Ick-joo, 50-an,
eksekutif sebuah syarikat industri berat Korea Selatan di Filipina hilang dari
rumahnya di Angeles, dekat sini, Oktober lalu dan isterinya membayar wang
tebusan lima juta peso (RM444,550).
Menurut jurucakap polis, Dionardo
Carlos, mangsa sebenarnya dicekik hingga mati dan mayatnya dibakar di sebuah
pusat pembakaran mayat sehari selepas diculik.
Pusat pembakaran mayat itu milik
seorang bekas anggota polis Filipina.
Media Filipina melaporkan, mangsa
bekerja dengan syarikat pembekal tenaga kerja di Filipina sejak 2008.
Menurut Carlos, seorang daripada
anggota polis itu, Ricky Santa Isabel, yang ke rumah mangsa dan menculiknya,
menyerah diri minggu ini.
Dua lagi polis yang pergi
bersamanya sedang disiasat dan ketiga-tiga mereka dari Jabatan Narkotik Polis
di ibu pejabat polis Filipina di Manila.
Beliau berkata, seorang bekas
polis juga terbabit dalam kejadian itu, namun sudah melarikan diri ke Kanada.
Mereka menuntut wang tebusan lapan
juta peso (RM714,208) daripada isteri Jee pada 30 Oktober lalu, iaitu 12 hari
selepas mangsa dibunuh.
Menurut laporan Philippine Daily
Inquirer, wanita itu membayar lima juta peso, namun penculik menuntut 4.5 juta
peso lagi (RM402,000).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan