Isnin, 4 April 2022

Lebih 500 dilaporkan syahid, dibakar, disembelih! Tiada ketenangan di sisi Israel tanpa melihat kehancuran umat Islam di Palestin. Sudahlah tanah mereka di rampas oleh Zionis pada tahun 1948, pada April 2002 pula kem pelarian mereka dihancur leburkan dengan kejamnya di Jenin. Media antarabangsa pula bersekongkol menyembunyikan ketelusan laporan mereka serta mengatasnamakan peristiwa itu sekadar strategi Israel “mempertahankan” diri mereka. Justeru bagaimana pula nasib pelarian di Kem Pelarian Jenin seramai 14,000 orang yang diperintahkan berkurung dan dibunuh dengan sadisnya tanpa dapat membela diri? Serangan yang bermula dari 3 hingga 12 April 2002 merupakan malapetaka dahsyat yang telah berjaya meragut ratusan nyawa insan tidak berdosa. Bertambah malang apabila PBB seolah-oleh bersikap lepas tangan di atas kekejaman yang berlaku terhadap umat Islam di Jenin. Pembunuhan beramai-ramai yang disaksikan dunia tidak dapat dibela akibat sekatan bantuan serta pengepungan kawasan Jenin dijalankan selama lebih 13 hari selepas serangan. Membaca laporan 'The Battle of Jenin', oleh Jafree Centre of Strategic Studies,Tel Aviv, cukup menyakitkan hati bagi umat Islam yang sensitif dengan pencabulan hak dan maruah umat Islam di Jenin. Media Israel melaporkan bahawa mereka sekadar mempertahankan diri terhadap sekumpulan masyarakat di kawasan itu yang disyaki bergerak menentang mereka secara lantang. Lantas mereka menghalalkan penimbusan kanak-kanak, wanita dan warga tua di kawasan itu tanpa mengemukakan bukti atau siasatan sahih. Begitu dayusnya mereka dalam mempertahankan diri. Pemuda beratur dan ditembak mengikut turutan, rumah dirobohkan, serbuan, pembunuhan rambang dari rumah ke rumah serta penganiayaan ini dilaksanakan atas nama “Operation Defensive Shield” di Jenin. Media Barat melaporkan bahawa 56 orang lelaki bersenjata di Kem Jenin telah terbunuh, 2,000 buah rumah dimusnahkan, 130 kilang pembuatan bom berjaya di musnahkan. Ironinya, kebenaran laporan itu tidak pun disahihkan, bahkan dunia sedar ianya sekadar sandiwara untuk menghalalkan niat pembunuhan kejam ini dilakukan. - Sumber: Aman Palestin.

Tiada ulasan: