Rabu, 4 Januari 2023

Anwar lepasi tempoh 40 hari tanpa kekecohan

By Manzaidi Mohd Amin - 3 January 2023
KERAJAAN Perpaduan ditubuhkan pada 24 November 2022 iaitu selepas empat hari selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang jatuh pada 19 November 2022. Kerajaan yang dibentuk ini melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti-parti gabungan dari Sabah dan Sarawak. Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 74 kerusi Parlimen telah menolak rezeki untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan PH atas sebab-sebab tertentu. Dengan penolakan PN itu, maka BN yang mendapat 30 kerusi terpaksa menerima cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya bergabung dengan PH yang memperoleh 82 kerusi. Dengan persetujuan BN dan rakan gabungan dari Sabah dan Sarawak, tertubuhlah sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perpaduan, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri. Hari ini, adalah hari ke-40 Kerajaan Perpaduan mentadbir Malaysia dan sepanjang tempoh itu, tidak kedengaran daripada rakyat akan ketidakpuasan hati mereka dengan pentadbiran ini. Walaupun, berlaku beberapa peristiwa atau kejadian dalam tempoh 40 hari ini, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet dapat tanganinya dengan baik. Antara peristiwa atau kejadian yang berlaku ialah banjir di negeri Pantai Timur, runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang mengorbankan seramai 31 orang. Semua tempat kejadian itu telah didahului dengan kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet sehingga peruntukan segera diluluskan bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa. Tidak seperti sebelumnya, jika berlaku banjir, akan berlaku tuding menuding jari antara satu sama lain sehingga rakyat yang sudah menjadi mangsa banjir menjadi mangsa kegagalan kerajaan. Hal ini tidak berlaku dalam era Kerajaan Perpaduan. Tindakan segera barisan menteri bawah pimpinan Anwar telah berjaya mengatasi atau sekurang-kurangnya meredakan kemaslahatan yang dihadapi oleh rakyat dan masyarakat. Inilah antara kejayaan di awal pemerintahan Kerajaan Perpaduan. Kurang berpolitik, tidak ada tuding menuding jari. Semua turun ke lapangan dan menyelesaikan mengikut kuasa serta portfolio masing-masing. Kalau ada pun, suara-suara dari pembangkang. Itu adalah biasa. Suara mereka menceriakan lagi suasana politik tanah air, walaupun keseluruhan mangsa banjir mahu pun mangsa tanah runtuh telah mendapat perhatian sewajarnya. Ini boleh dikatakan sebagai salah satu kejayaan Anwar dalam mengendalikan pentadbiran kerajaannya, yang disokong pula oleh BN yang mempunyai banyak pengalaman dalam mentadbir kerajaan sebelum ini. Rakyat kelihatan gembira dengan pentadbiran baharu ini. Tidak banyak kerenah, tidak banyak auta, tidak banyak cakap melainkan banyak aksi dan banyak tindakan ke arah menyelesaikan masalah. Walaupun terlalu awal untuk memberi kejayaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana belum sampai 100 hari memerintah lagi tetapi jika usaha mendaki tangga pertama, kedua, ketiga dan keempat dapat melepasi rintangan, tidak mustahil pendakian seterusnya berjalan dengan mudah dan lancar. Jika Kerajaan Perpaduan mahu terus berjaya dengan matlamat pentadbirannya, mereka tidak perlu melayan suara-suara tidak berpuas hati daripada pembangkang. Memang adat pembangkang, kerjanya adalah mengkritik dan menegur. Sedangkan, mereka tidak ada idea pun untuk sama-sama dikongsi bagi memacu kepada usaha membawa dan meletakkan negara di landasan yang betul. Ada lagi sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan rakyat dengan mendakwa, Anwar akan berdepan dengan beberapa halangan lagi walaupun berjaya melepasi halangan pertama, iaitu usul undi percaya kepadanya. Walhal, undi belah bahagi di Parlimen 19 Disember lalu menunjukkan Anwar mendapat sokongan lebih dua pertiga iaitu 147 undi. Sepatutnya Anwar mendapat 148 undi tetapi seorang ahli Parlimen telah memohon maaf kerana sampai lewat di Dewan Rakyat. Maaf itu bagaimanapun diterima kerana tidak disengajakan. Tetapi jumlah 147 atau 148 itu sudah membuktikan Kerajaan Perpaduan mempunyai dua pertiga majoriti. Celah mana pula ada yang kata Anwar akan berdepan dengan halangan pada masa akan datang? Selepas ini, tidak kira undian untuk bajet atau untuk mendapatkan kelulusan akta, kalau 148 sudah menyokong, maka jumlah itulah yang akan memberi undian. Berbanding pembangkang hanya 74 undi dan jumlah inilah yang akan diperolehinya jika ada usul yang memerlukan undian. Ini adalah normal walau parti mana jadi kerajaan atau pembangkang sekali pun. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran