Jumaat, 27 Januari 2023

Warga asing bebas minum arak di Pantai Teluk Kemang

By Manzaidi Mohd Amin - 26 January 2023 TAHUN Baru Cina baru-baru ini Bawah Kolong (BK) tak balik kampung. BK pilih untuk habiskan cuti sedut angin laut di Teluk Kemang, Negeri Sembilan. Orang kata pantai Teluk Kemang, best. Pesisirnya bersih, ombaknya tidak seganas Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kelantan. Selain itu, banyak kemudahan disediakan di situ. Awal pagi Sabtu lalu, BK bertolak dari rumah di Shah Alam ke Teluk Kemang. Niat nak bersantai di situ dalam dua hari dan sewa hotel bajet yang berdekatan. Perjalanan dari Shah Alam di Dataran Pantai Teluk Kemang agak lancar. Jalan raya dan lebuh raya tak sesak sebab dua hari sebelum tu dah berjuta warga perantau di ibu kota bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing. Jadi, kelibat kenderaan sepanjang lebuh raya agak lengang. Susah nak jumpa lebuh raya sunyi macam ni, kalau tidak musim perayaan. BK sampai di pantai Teluk Kemang dalam kira-kira satu setengah jam. Masa itu jam 7.30 pagi. Kebetulan air laut pasang, maka pengunjung tak dapat sentuh pasir pantai. Kena tunggu sehingga jam 9 pagi baru boleh mandi air laut. Sampai di situ, ada perkhidmatan sewa khemah disediakan. RM50 satu hari untuk khemah berukuran 8×8 dan RM30 untuk payung dengan masing-masing disediakan empat kerusi dan satu meja. BK pilih khemah sebab ia lebih selesa dan luas. Boleh tidur dan santai atas kerusi sandar sambil lihat anak-anak bermain pasir dan mandi. Cuma BK rasa rugi sewa hotel. Sebab khemah yang disewa ini boleh check-out jam 7 malam. Makin tengah hari dan petang, pengunjung makin ramai menjadikan suasana di pantai itu meriah dengan orang ramai bermain banana bot, parasailing dan jet ski. Acara bakar-bakar BBQ pun ada. Selain makanan berat dan ringan yang disediakan gerai di sepanjang kawasan dataran itu. Pendek kata seronok. Selepas balik ke hotel petang tu, BK rancang nak check-out pagi-pagi lagi kerana nak sambung bersantai di pantai. Orang kata, hari minggu lagi meriah dan kena sampai seawal jam 7 pagi kalau mahu parking kereta dekat dengan pantai. Memang betul, BK sampai jam 7.30 pagi pun kenderaan dah penuh. Tapi BK bernasib baik kerana ada satu parking kosong dan terus menyewa khemah. Memang betul, hari minggu pengunjung lagi ramai daripada hari Sabtu. Ada yang datang dari Johor dan tidak sedikit warga tempatan. Dalam jam 10 pagi ke atas, BK dah mula rasa tak selesa. Khemah makin banyak dipasang atas permintaan pengunjung. Pengunjung yang ramai datang bukan warganegara, tetapi warga asing. Mereka juga ambil peluang kilang tutup cuti Tahun Baru Cina datang berkelah dengan rakan-rakan sekerja dan senegara. Paling ramai adalah warga Nepal dan Bangladesh. Kedatangan mereka menenggelamkan warga tempatan. BK tak kisahlah seberapa ramai mereka nak datang berkelah. Mereka pun macam BK juga, nak habiskan cuti dengan bersantai. Tetapi, yang BK tak puas hati, mereka bawa minuman keras. Mereka letak atas meja bawah khemah yang disewa sewenang-wenangnya, tanpa rasa hormat kepada pengunjung beragama Islam. Mereka juga bawa makanan. BK tak tahulah makanan yang dibawa itu halal atau tidak, itu hak mereka. Tapi, bab minuman keras ni BK tak boleh terima. Mereka mula berseronok, ketawa hilai sambil bersorak lagakan tin arak dan terus teguk. Mereka ketawa lagi, mereka hilai lagi. Ada yang kunyah-kunyah buah pinang, ada yang kunyah sireh. Air ludahan mereka buang ke pasir pantai. Pasir pantai bertukar jadi merah. Datang ombak bersihkan pasir dan bawa air ludahan ke laut, tempat anak-anak warga tempatan mandi manda. Sungguh meloyakan. BK nak mundar mandir pun takut. Takut terpijak air ludahan mereka. Lagipun BK dan semua pengunjung di situ berkaki ayam. Peliknya, tidak ada pihak berkuasa memantau keadaan ini. Tidak ada notis ditampal di mana-mana tempat sebagai peringatan kepada warga asing atau bukan Islam agar minuman keras dilarang. Notis jaga kebersihan pun tidak ada. Hasrat BK nak bersantai sampai ke petang jadi terbantut. Sakit hati tengok warga pati ini minum minuman keras dan ludah air sireh. BK juga ada dengar keluhan warga tempatan dengan situasi itu. Mereka pendatang asing, yang datang bekerja di negara ini. Tetapi, mereka bebas bawa budaya mereka ke sini, tanpa larangan atau teguran. Selama ini, kalau baca maklumat mengenai Pantai Teluk Kemang ini dikatakan bersih, sekali bila datang sendiri, rupanya tidak bersih. Ada tin arak terapung terolang aling dibawa ombak. Maknanya, mereka tidak hormat budaya warga tempatan. Mereka tidak diberi motivasi mengenai adab budaya negara ini oleh majikan masing-masing. Mereka bersantai dengan biadab. Mana pihak berkuasa tempatan? Tidak dipantaukah aktiviti pengunjung sehingga warga asing berani jadikan kawasan ini macam negara mereka sendiri. Sekurang-kurangnya ada pemantauan. Larang mana-mana individu bukan beragama Islam bawa minuman keras. Tapi, tak ada. Mereka bebas berpesta arak. Jangan pula nanti ada yang cuba nak tegakkan benang basah menafikan coretan BK ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: