Rabu, 4 Januari 2023

DAP sudah jadi budak baik?

By Manzaidi Mohd Amin - 30 December 2022
DAP sudah jadi budak baik? Itulah yang Bawah Kolong (BK) dengar dan perhatikan dalam tempoh 40 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini. Mereka tidak nampak gelojoh dan tak nampak tamak seperti mana mula-mula menjadi kerajaan pada PRU14 tahun 2018 dahulu. DAP sekarang nampak lebih matang dari sebelumnya. Adakah ini kerana watak atau karakter seseorang pemimpin yang menjadikan corak kepimpinan parti itu berubah? Atau ketika dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu mereka tidak ditarbiahkan oleh Perdana Menterinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad? Kali ini dalam Kerajaan Perpaduan mereka sudah ditarbiahkan oleh Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tidak dinafikan pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, ada suara-suara dari NGO pro DAP menuntut Perdana Menteri ke-10 meneliti dan mengiktiraf Sijil UAE tetapi, isu itu tidak panjang. Mungkin selepas kenyataan mahu UAE diiktiraf, mereka dipanggil dan diminta supaya tidak membangkitkan isu itu secara terbuka kerana boleh merisau dan meresahkan rakyat atau orang Melayu khususnya. Mujurlah mereka dengar nasihat atau teguran itu. Nampak mereka boleh dijinakkan. Tidak seperti tahun 2018, walau ditegur, dilarang sekalipun mereka tidak hirau malah makin besar kepala. Itulah perbezaan DAP zaman Dr. Mahathir dengan DAP zaman Anwar. Portfolio yang diberikan kepada pemimpin DAP zaman Kerajaan Perpaduan pun tidak sekanan zaman kerajaan PH dahulu. Zaman Kerajaan Perpaduan, masing-masing tumpu pada kerja, mereka tidak berpolitik. Tambahan pula, di era Anwar, jumlah menteri dari DAP dikurangkan. Kabinet 2018 seramai enam menteri, di zaman 2022 hanya empat menteri. Namun jumlah timbalan menteri dari DAP dikekalkan kepada enam. Enam dalam kerajaan PH dan enam dalam Kerajaan Perpaduan dengan menukarkan muka lama kepada muka baharu. Muka baharu nampak lebih matang daripada muka lama yang digugurkan. Mungkin sebab itu negara sekarang dilihat lebih aman daripada sebelumnya. Itu pandangan BK lah. Pandangan orang lain, tak tahu. Mana ada kita dengar menteri dan timbalan menteri dari DAP buat perangai di awal-awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan? Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan; Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan Sivakumar (Menteri Sumber Manusia) mengambil sikap untuk tumpu pada kerja. Begitu juga Steven Sim selaku Timbalan Menteri Kewangan; Ram Karpal Singh (Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Chang Foong Hin (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan); Liew Chin Tong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi Digital) dan Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pendidikan). Mereka juga lebih menumpukan pada amanah yang dipertanggungjawabkan masing-masing. Nampak sekarang DAP sudah jadi budak baik, kan? Ini jauh berbeza kalau dibandingkan dengan zaman Kerajaan PH dahulu. BR1M dihapuskan, beberapa aset negara dijual digadai. Pendek kata dari hari pertama hingga 22 bulan mentadbir, negara tidak pernah lekang dari isu panas dan rakyat sepanjang hari dalam kemarahan. Namun dalam tempoh lima tahun ini, BK nasihatkan DAP lebih baik kekalkan momentum sekarang. Rakyat pun mula seronok dan suka kepada kerajaan baharu ini kerana nampak mereka buat kerja. Sikap baik yang ditunjukkan DAP hari ini sekurang-kurangnya dapat memadamkan ‘dosa’ yang dilakukan oleh Guan Eng ketika memegang jawatan Menteri Kewangan selama 22 bulan dan pentadbiran yang agak kucar-kacir. Banyak aset kerajaan telah dijual dengan alasan untuk menampung kewangan kerajaan untuk membayar hutang 1MDB, tetapi apabila Muhyiddin ambil alih, tiba-tiba duit yang dikatakan tidak ada oleh kerajaan PH, molek-molek digunakan dalam jumlah yang besar dan banyak oleh Muhyiddin. RM600 bilion bukan jumlah yang kecil, tapi digunakan Muhyiddin dalam tempoh 17 bulan sahaja. Sedangkan, jumlah ini disembunyikan dari pengetahuan rakyat oleh menteri DAP sebelumnya dengan menguar-uarkan kerajaan tiada duit. Pada mereka, duit kerajaan kononnya dihabiskan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan cara ‘dicuri’, ‘disanggak’ dan ‘disamun’. Inilah cara menteri DAP dulu buat kerja. Nak tanam dalam minda rakyat, kononnya pemimpin UMNO ini ‘jahat’. Alhamdulillah, bawah Anwar, rakyat tidak dihidangkan kisah-kisah silam kerajaan terdahulu. Malah, ada menteri dari PKR, Amanah, BN, DAP buat kenyataan ada nak teruskan kesinambungan kerajaan terdahulu. Ini suatu yang baik dan wajar diteruskan sepanjang penggal PRU15 ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: