Isnin, 7 Disember 2015

Ucapan di Kelab Sultan Sulaiman...tindakan diambil jika Muhyiddin 'cross the line' - Tengku Adnan


Terpulang kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat sebarang ucapan di luar perhimpunan, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Namun tegas Setiausaha Agung UMNO itu, tindakan disiplin akan diambil jika Muhyiddin bertindak di luar batasan. 

"Saya tak tahu tentang ini cerita, nak bagi ‘speech’, terpulang pada dia.

"Cuma ‘don’t cross the line, you cross the line, we will take action," katanya ringkas selepas menyempurnakan program Back To School di Putrajaya, Isnin.

Muhyiddin dilaporkan akan membuat ucapan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur Isnin malam.

Ini dikatakan berikutan perubahan format perasmian perhimpunan Pemuda,Wanita dan Puteri UMNO di mana ketua sayap masing-masing akan rasmi, bukan beliau seperti kebiasaan.

Sementara itu format ucapan dalam sesi penggulungan pula, ia akan diputuskan dalam satu Mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO pada malam 9 Disember ini.

Ahad, 6 Disember 2015

Tunku Laksamana Johor Selamat Dimakamkan


 
Jenazah Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada pukul 3.20 petang.

Almarhum disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010 atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Istiadat pemakaman Almarhum diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja.

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah akibat kanser hati.

Almarhum merupakan putera keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. 
 
Suasana pilu menyelubungi keluarga diraja Johor dan kesemua hadirin setibanya jenazah Almarhum di makam itu pada 1.50 tengah hari, yang sebelum itu diarak menggunakan pedati dengan diiringi Sultan Johor serta kedua-edua anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris.

Terdahulu, jenazah Almarhum diarak sepanjang tiga kilometer oleh 30 Askar Timbalan Setia Negeri Johor menggunakan pedati bermula dari Istana Besar melalui pintu gerbang masuk ke Jalan Ayer Molek terus ke makam diraja itu.

Sesampainya jenazah, Tunku Ismail dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman mengusung keranda jenazah bersama beberapa anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor kira-kira 50 meter ke makam.

Hujan lebat yang bermula sebaik sahaja istiadat pemakaman Almarhum bermula namun tidak menghalang ratusan rakyat Johor yang berada di luar makam terus kekal dan tidak berganjak dari tempat masing-masing demi kasih dan sayang mereka untuk putera raja berjiwa rakyat itu.

Semasa talkin dibacakan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut, Tunku Ismail yang duduk di kanan Sultan Ibrahim, kelihatan memegang tangan ayahandanya sambil menahan sebak.

Sultan Johor dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah juga kelihatan sebak sepanjang istiadat pemakaman.

Turut berkenan berangkat ke istiadat pemakaman dan menyiram air bunga di makam Tunku Laksamana Johor ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut hadir di Istana Besar untuk memberi penghormatan terakhir kepada Tunku Abdul Jalil. -- BERNAMA
ORANG ramai mula menunggu ketibaan jenazah di perkarangan Makam Diraja untuk upacara pemakaman Almarhum Tunku Laksamana Tunku Jalil Sultan Ibrahim di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim JOHOR BAHARU: Suasana pilu menyelubungi Bilik Singgahsana, Istana Besar di sini, apabila orang ramai mula berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim. Rakyat Johor dan orang ramai mula berbaris di luar perkarangan Istana Besar sejak jam 9 pagi tadi bagi upacara berkenaan. Orang awam dibenarkan melawat jenazah dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi, sementara orang kenamaan dibenarkan melawat dari pukul 11.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Mereka yang hadir dilihat mematuhi kod etika berpakaian dengan wanita Islam mengenakan baju kurung putih dan kain batik serta bertudung putih sementara lelaki Islam, mereka mengenakan baju Melayu teluk belanga berdagang luar putih, kain samping hitam dan songkok lilitan jalur putih. Sementara lelaki bukan Islam mengenakan pakaian baju dan seluar hitam, tali leher dan toha hitam di lengan kiri manakala wanita bukan Islam memakai baju dan seluar sopan dan toha hitam di lengan kiri atau tudung hitam. Pegawai istana dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditugaskan di perkarangan istana bagi mengawasi tingkah laku, ketertiban dan etika pemakaian orang ramai. Orang ramai diberikan tempoh kira-kira seminit untuk memberikan penghormatan terakhir serta mensedekahkan Al-Fatihah. Keranda baginda yang dilitupi bendera Jalur Gemilang dengan topi polis dan pedang di atasnya diletakkan di tengah-tengah Bilik Singgahsana. Bersebelahan keranda itu, sekumpulan lelaki dari Jabatan Agama Islam Johor membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Sementara itu, seorang warga emas, Fatimahzahrah Abdul Ghani, 69, antara rakyat negeri ini yang turut tidak ketinggalan menziarahi jenazah Tunku Abdul Jalil. Fatimahzahrah yang menaiki bas seorang diri, berkata Almarhum adalah kerabat raja yang berjiwa rakyat dan kali terakhir dia bertemu Tunku Abdul Jalil ialah pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi dan sempat bersalam-salaman dengan Almarhum. "Saya berkunjung ke rumah terbuka di Istana Pasir Pelangi setiap tahun sejak 1997. Tetapi, kunjungan tahun ini paling bermakna dan memberi kenangan kerana itu adalah pertemuan terakhir dengan Almarhum," katanya. Sementara itu, bendera Johor dikibarkan separuh tiang di setiap bangunan kerajaan sebagai menghormati kemangkatan Tunku Laksamana Johor. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102639

Al-Fatihah: Jenazah Tunku Jalil selamat dimakamkan

Post Pic
 
JOHOR BAHRU: Jenazah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini, kira-kira jam 2.40 petang tadi selepas diarak menggunakan pedati dari Istana Besar Johor Bahru.
 
Hujan renyai yang mengiringi istiadat pemakaman itu diteruskan dengan bacaan talkin yang disempurnakan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.
 
 
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut mengiringi istiadat perarakan Pedati Diraja yang diarak dari Istana Besar Johor Bahru ke Makam Mahmoodiah sejauh tiga kilometer.
 
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim turut mengiringi jenazah Almarhum di atas pedati yang ditarik 10 askar Timbalan Setia Negeri (TSN).  
 
Jenazah Almarhum ditempatkan di sebelah kanan makam nendanya, Almarhum Sultan Iskandar Ismail.

Penganalisis sokong jika Parlimen gantung Nurul Izzah

Post Pic
 
Penganalisis politik Syed Agil Syed Alsagoff menyokong sekiranya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen membuat keputusan untuk menggantung Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
 
Tegasnya kerana tindakan Nurul Izzah menimbulkan konflik keselamatan dalam negara dan melanggar sumpah taat setia kepada negara, memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaannya.
 
"Benda ini pernah berlaku kepada ahli pembangkang yang lain, dimana mereka mengadakan hubungan yang kita klasifikasikan sebagai menentang negara atau musuh negara." 
 
"Saya berpendapat bahawa keputusan (Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) nanti akan menggantung Nurul Izzah daripada sidang Parlimen sebab dia telah menyalahi peraturan (sumpah setia wakil rakyat) yang telah ditetapkan," katanya kepada Antarapos. 

Sabtu, 5 Disember 2015

Tun Dr Mahathir, isteri sahkan kehadiran ke Perhimpunan Agung UMNO - Tengku Adnan

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengesahkan kehadiran ke Perhimpunan Agung UMNO yang bermula Selasa depan, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Tun Mahathir telah memberi jawapan dia bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan datang," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu ketika ditemui media pada program bantuan persekolahan "Ceria Ke Sekolah' dan penyerahan bantuan peringkat Putrajaya, Jumaat.

Tengku Adnan berkata, UMNO kini sedang menunggu jawapan daripada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah berhubung jemputan untuk menghadiri perhimpunan itu.

Jururawat dibuang kerja kerana pakaian seragam lengan panjang

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM, Datuk Nadzim Johan bersama Naziah Sauni Samat, menunjukkan laporan polis berhubung isu diskriminasi ke atas pekerja Islam di Villa Puteri, Kuala Lumpur, foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 4 Disember 2015.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM, Datuk Nadzim Johan bersama Naziah Sauni Samat, menunjukkan laporan polis berhubung isu diskriminasi ke atas pekerja Islam di Villa Puteri, Kuala Lumpur, foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 4 Disember 2015.
Hanya kerana enggan memakai pakaian seragam berlengan panjang, seorang jururawat berdepan pelbagai tekanan sehingga pernah dimaki dan dicerca kata-kata kesat.
Lebih memburukkan keadaan, Naziah Sauni Samat, 24, kini ditamatkan perkhidmatan dengan alasan atas kehendak dirinya.
Wanita kelahiran Bintulu, Sarawak itu bekerja di sebuah hospital swasta di ibu kota sejak September lalu.

Muat naik kenyataan jelik di blog, Zaid Ibrahim didakwa

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim didakwa di Mahkamah Sesyen hari Jumaat atas pertuduhan membuat kenyataan bersifat jelik dalam ucapannya yang menggesa agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Zaid, 64, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Dia yang juga bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan yang bersifat jelik di laman http://www.zaid.my bertajuk, 'Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini pada 3.20 petang 3 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.