Ahad, 6 Disember 2015

Tunku Laksamana Johor Selamat Dimakamkan


 
Jenazah Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada pukul 3.20 petang.

Almarhum disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010 atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Istiadat pemakaman Almarhum diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja.

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah akibat kanser hati.

Almarhum merupakan putera keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. 
 
Suasana pilu menyelubungi keluarga diraja Johor dan kesemua hadirin setibanya jenazah Almarhum di makam itu pada 1.50 tengah hari, yang sebelum itu diarak menggunakan pedati dengan diiringi Sultan Johor serta kedua-edua anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris.

Terdahulu, jenazah Almarhum diarak sepanjang tiga kilometer oleh 30 Askar Timbalan Setia Negeri Johor menggunakan pedati bermula dari Istana Besar melalui pintu gerbang masuk ke Jalan Ayer Molek terus ke makam diraja itu.

Sesampainya jenazah, Tunku Ismail dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman mengusung keranda jenazah bersama beberapa anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor kira-kira 50 meter ke makam.

Hujan lebat yang bermula sebaik sahaja istiadat pemakaman Almarhum bermula namun tidak menghalang ratusan rakyat Johor yang berada di luar makam terus kekal dan tidak berganjak dari tempat masing-masing demi kasih dan sayang mereka untuk putera raja berjiwa rakyat itu.

Semasa talkin dibacakan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut, Tunku Ismail yang duduk di kanan Sultan Ibrahim, kelihatan memegang tangan ayahandanya sambil menahan sebak.

Sultan Johor dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah juga kelihatan sebak sepanjang istiadat pemakaman.

Turut berkenan berangkat ke istiadat pemakaman dan menyiram air bunga di makam Tunku Laksamana Johor ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut hadir di Istana Besar untuk memberi penghormatan terakhir kepada Tunku Abdul Jalil. -- BERNAMA
ORANG ramai mula menunggu ketibaan jenazah di perkarangan Makam Diraja untuk upacara pemakaman Almarhum Tunku Laksamana Tunku Jalil Sultan Ibrahim di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim JOHOR BAHARU: Suasana pilu menyelubungi Bilik Singgahsana, Istana Besar di sini, apabila orang ramai mula berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim. Rakyat Johor dan orang ramai mula berbaris di luar perkarangan Istana Besar sejak jam 9 pagi tadi bagi upacara berkenaan. Orang awam dibenarkan melawat jenazah dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi, sementara orang kenamaan dibenarkan melawat dari pukul 11.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Mereka yang hadir dilihat mematuhi kod etika berpakaian dengan wanita Islam mengenakan baju kurung putih dan kain batik serta bertudung putih sementara lelaki Islam, mereka mengenakan baju Melayu teluk belanga berdagang luar putih, kain samping hitam dan songkok lilitan jalur putih. Sementara lelaki bukan Islam mengenakan pakaian baju dan seluar hitam, tali leher dan toha hitam di lengan kiri manakala wanita bukan Islam memakai baju dan seluar sopan dan toha hitam di lengan kiri atau tudung hitam. Pegawai istana dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditugaskan di perkarangan istana bagi mengawasi tingkah laku, ketertiban dan etika pemakaian orang ramai. Orang ramai diberikan tempoh kira-kira seminit untuk memberikan penghormatan terakhir serta mensedekahkan Al-Fatihah. Keranda baginda yang dilitupi bendera Jalur Gemilang dengan topi polis dan pedang di atasnya diletakkan di tengah-tengah Bilik Singgahsana. Bersebelahan keranda itu, sekumpulan lelaki dari Jabatan Agama Islam Johor membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Sementara itu, seorang warga emas, Fatimahzahrah Abdul Ghani, 69, antara rakyat negeri ini yang turut tidak ketinggalan menziarahi jenazah Tunku Abdul Jalil. Fatimahzahrah yang menaiki bas seorang diri, berkata Almarhum adalah kerabat raja yang berjiwa rakyat dan kali terakhir dia bertemu Tunku Abdul Jalil ialah pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi dan sempat bersalam-salaman dengan Almarhum. "Saya berkunjung ke rumah terbuka di Istana Pasir Pelangi setiap tahun sejak 1997. Tetapi, kunjungan tahun ini paling bermakna dan memberi kenangan kerana itu adalah pertemuan terakhir dengan Almarhum," katanya. Sementara itu, bendera Johor dikibarkan separuh tiang di setiap bangunan kerajaan sebagai menghormati kemangkatan Tunku Laksamana Johor. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102639

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran