Rabu, 30 Disember 2015

Sejarah Tok Janggut Perlu Dikaji Semula

 
Kecelaruan fakta berhubung nasib yang menimpa Tok Janggut bukan satu perkara yang baru, kata Pakar sejarah Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.

Beliau mengambil contoh pejuang Melayu lain seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor di Perak yang mengikut rekod mereka mati digantung namun maklumat daripada keluarga mereka menceritakan yang sebaliknya.

"Orang yang membuat dakwaan itu biasanya mengaku daripada keturunan tokoh itu tetapi tiada catatan sistematik. Itu yang menyukarkan pengkaji sejarah.

"Sumber lisan turun temurun boleh diterima, tak salah tetapi kita mesti teliti orang yang menyampaikan keterangan itu dan bandingkan dengan sumber-sumber lain," katanya.

Beliau memberi contoh, menurut rekod Tok Janggut mati di Kampung Pupoh, Jeram, Pasir Puteh dan mayatnya diusung di Kota Bharu sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat. Itulah kebenarannya hingga kini.
"Tetapi kesahihan rekod itu akan diuji jika ada kajian baru dibuat. Jadi, kajian yang dibuat oleh Abdullah Al-Qari berkenaan kubur Tok Janggut di Machang boleh dipertimbangkan dan boleh mempengaruhi sumber asal itu," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah Zakaria berkata antara penulisan terawal mengenai sejarah Tok Janggut adalah daripada Yahya Abdullah, Peperangan Tok Janggut Atau Balasan Derhaka (1955), Ibrahim Nik Mahmud, The Tok Janggut Rebellion of 1915 (1974) dan Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Jeram Dan Kebangkitan Tok Janggut (1972).

Nik Anuar meneruskan penyelidikan dan menerbitkan buku Tok Janggut, Pejuang Atau Penderhaka (1999) dan kali terakhir ditulis oleh Dr Cheah Boon Kheng, To' Janggut: Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan (2006), katanya.

MAJORITI PENGKAJI KATA TOK JANGGUT GUGUR

Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar pula berkata pengkaji sejarah masih dengan keputusan majoriti bahawa Tok Janggut terbunuh dalam peperangan di Pasir Puteh.

"Dokumen British jelas menyatakan beliau mati ditembak dan mayatnya digantung. Gambar yang dipaparkan itu dengan cerita tahun 50an oleh penulis-penulis Tok Janggut adalah sama.

"Begitu juga dengan cucu Tok Janggut di Pasir Puteh yang mengakui Tok Janggut mati. Namun, saya ada dengar kata beliau tidak mati tapi tiada apa-apa bukti," katanya.

Abdul Latiff berkata pengkaji sejarah bersepakat mengangkat Tok Janggut sebagai seorang pejuang agama dan bangsa dan bukan penderhaka kepada sultan.

"Tok Janggut tidak menentang sultan tapi menentang tindakan British yang campur tangan dalam urusan pentadbiran sultan menyebabkan kemungkinan sultan tertipu dan terhutang budi kepada British.

"Padahal, beliau masih taat kepada sultan dan membela nasib orang Melayu," katanya.

PENGKAJI SEJARAH TIDAK HARUS DIIKAT SUMBER PENJAJAH

Sementara itu, Jawatankuasa Induk Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan Noyeens M. Noor berpendapat seseorang pengkaji sejarah tidak seharusnya terikat dengan buku dan catatan bertulis penjajah British walaupun diakui tulisan mereka lengkap daripada sudut kronologi.

Tambah Noyeens, pengkajian sejarah Tok Janggut wajib diteruskan dan tidak harus dihentikan dengan hanya bergantung kepada sumber sedia ada kerana masih banyak persoalan yang masih tidak terjawab sehingga kini.

"Semua orang tahu kubur Tok Janggut di Pasir Pekan, Tumpat itu adalah kubur palsu hatta pengetahuan ini diketahui oleh sebahagian pengkaji. Namun perkara itu hanya cakap mulut, tiada satu kenyataan khas dan lebih dipercayai dibuat.

"Malah di kalangan waris Tok Janggut sendiri berbelah bahagi. Ada kata mati dan sebaliknya. Itu menunjukkan mereka tak bersependapat.

"Tidak cukup buat seminar dan pameran sahaja. Pihak berkaitan harus keluar modal dan buat kajian, ketengahkan sumber-sumber tempatan dan cari titik persamaan.

"Sedangkan kajian sejarah Melayu yang sudah beribu-ribu tahun lamanya boleh dikaji, inikan pula sejarah Tok Janggut yang hanya berusia 100 tahun," tegasnya.

SEJARAH DITULIS MEREKA YANG MENANG

Dalam pada itu, penganalisis politik dan sejarah, Drs Nik Azman Nik Mustafa apabila ditanya kesahihan Tok Janggut masih hidup selepas serangan British di Pasir Puteh menegaskan, itu boleh berlaku kerana tidak mungkin British dengan mudah boleh membunuh tokoh seperti Tok Janggut.

"Tok Janggut berkemungkinan disembunyikan oleh pengikutnya bagi menjaga maruah beliau sebagai seorang pemimpin supaya tidak dipandang hina kerana ditangkap dan diseksa.

"Boleh jadi juga Tok Janggut selepas itu berperwatakan tidak seperti sebelumnya dan menggunakan nama lain serta hidup sebagai orang biasa.

"Ini sama juga dengan kisah pejuang Pahang, Mat Kilau di mana pada peringkat awal British melaporkan beliau terbunuh tetapi sebenarnya masih hidup dengan menggunakan banyak nama dan hidup seperti orang biasa," katanya.

Nik Azman juga bersendapat bahawa Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan jabatan berkaitan perlu menjalankan kajian secara serius ke atas sumber-sumber baharu yang diketengahkan ini.

"Jika tidak percaya dakwaan kubur Tok Janggut itu di Machang dan bukannya di Pasir Pekan, gali semula dan buat kajian saintifik seperti ujian DNA.

BERSEDIA KAJI DAN TELITI SUMBER BAHARU

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi berkata pihaknya bersedia melakukan kajian terperinci dan tidak menolak bukti baharu yang dikemukakan itu.

"Dakwaan itu tentunya tidak keluar semudah itu, mesti ada sebabnya. Nak menolak bukti yang sedia ada tidak boleh juga kerana akan menimbulkan polemik.

"Bagaimanapun, proses kajian terhadap sumber baharu akan dilakukan secara teliti supaya tidak berlaku kecelaruan dan percanggahan daripada segi penerimaan maklumat," katanya.

Buat masa ini, jelas Nik Mohd Azlan, pihaknya perlu menggunakan bukti yang sedia ada sekarang iaitu kubur Tok Janggut terletak di Pasir Pekan dan beliau terbunuh di Pasir Puteh.

Jelasnya, bukti itu berdasarkan rekod daripada Arkib Negaran serta kajian yang dilakukan pengkaji sejarah termasuk tokoh negarawan Allahyarham Datuk Prof Nik Anuar Nik Mahmud dan mereka yang ada pertalian dengan Tok Janggut.

Ditanya sama ada pihaknya bersedia melakukan ujian DNA bagi menentukan kesahihan kubur Tok Janggut, beliau tidak menolak kemungkinan itu walaupun prosesnya dianggap sukar dan menelan belanja yang besar.

"Bagi peringkat permulaan, kita akan memanggil mereka yang membawa sumber baharu ini dan perkembangan selepas itu akan diberitahu kelak.

"Cadangan ujian DNA termasuklah menggali kubur ini satu proses yang rumit termasuk perlu meminta keizinan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan terlebih dahulu," katanya.

DIPENTASKAN DALAM TEATER

Pada tahun 2014 penceritaan sejarah Tok Janggut tidak terbunuh telah diangkat ke pementasan teater dan berjaya dinobatkan sebagai johan Festival Teater Peringkat Negeri Kelantan.

Teater yang bertajuk "Iyakah Tok Janggut" dipersembahkan oleh ahli Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK).

Pengarah teater, Muhammad Zaidin Hussin berkata beliau tertarik dengan penceritaan Tok Janggut tidak mati kerana menyakini bahawa cerita itu lebih kepada kebenaran daripada versi British.

Beliau berkata, teater itu berkisarkan persoalan yang merungkai kembali apakah benar yang didakwa pejuang yang gugur semasa perang di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh itu adalah Tok Janggut atau sebaliknya.

"Saya mengajak penonton supaya berfikir dan merenung kembali mengenai fakta sejarah yang ditulis oleh penjajah sehingga Tok Janggut dilabel sebagai penderhaka.

"Lazimnya teater yang berunsurkan sejarah tiada daya tarikan sehingga menyebabkan penonton berasa bosan kerana mereka sudah tahu pengakhiran ceritanya.

"Namun berbeza dengan teater ini yang menerima sambutan yang luar biasa sehingga penonton yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk mereka," katanya. - Oleh Mohd Afiq Zulkifli - BERNAMA

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran