Rabu, 30 Disember 2015

Al Fatihah: Mayat Kapten Hasman telah ditemui...

Kehilangan anggota tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin yang sedang berkursus di Amerika Syarikat pada 26 Disember lalu terjawab selepas mayatnya ditemui kira-kira 11.00 pagi waktu tempatan (tengah malam semalam waktu Malaysia).
Pihak berkuasa Malaysia sudah memaklumkan kepada keluarga Allahyarham mengenai penemuaan mayat tersebut.

Isteri kepada Kapten Hasman, Siti Hazwani Ahmad menerima berita yang mayat suaminya telah ditemui melalui panggilan telefon oleh pihak tentera pada pagi ini.

"Pagi tadi tentera menghubungi saya dan memaklumkan suami sudah tiada. Saya diminta bersedia dan disiapkan pasport untuk dibawa ke Missouri, Amerika Syarikat.

"Saya terima keadaan ini dan amat berharap jenazah suami segera dibawa pulang. Mungkin saya tidak dapat bersama ke Amerika Syarikat sebab masih berpantang anak kembar.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan hal ini," katanya dalam sedih.

Tambahnya, bapa dan abang arwah suaminya dijangka ke Missouri untuk urusan pengecaman dan membawa pulang jenazah dalam waktu terdekat.

Kansascity.com melaporkan mayat terakhir dari lima orang yang dihanyutkan arus deras semasa banjir besar di Missouri 26 Disember lalu itu ditemui enam kilometer dari tempat dilaporkan hilang.

Lima tentera antara 13 yang maut dalam banjir besar tersebut.

Kapten Hasman yang sedang mengikuti kursus kejuruteraan di Fort Leonard Wood bermula 1 Oktober lalu dihanyutkan air deras di Missouri dalam tragedi banjir yang turut mengorbankan empat lagi rakan tentera antarabangsa.

Keluarga harap Kapten Hasman yang hilang di Amerika dapat ditemui

Keluarga Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaikinya dihanyutkan arus banjir di Missouri, Amerika Syarikat pada 26 Disember lalu, amat berharap agar pegawai Tentera Darat itu dapat ditemui selamat.

Adiknya, Mohd Hairi, 29, berkata, beliau dan anggota keluarganya sentiasa berdoa agar Hasman, 33, dapat ditemui dengan selamat.

Keluarganya turut mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan anak ketiga daripada enam beradik itu.

"Beliau ke sana (Amerika Syarikat) pada Oktober lepas kerana berkursus dan kali terakhir berhubung melalui grup WhatsApp keluarga kami pada 26 Disember lalu.

"Kami semuanya terkejut bila dapat tahu perkara ini... kami sekeluarga jadi tidak keruan," katanya kepada pemberita di Durian Daun Masjid Tanah, Selasa malam.

Mohd Hairi berkata, berita kehilangan Hasman amat mengejutkan bapa mereka Hussin Mat, 60, hinggakan beliau tidak dapat berniaga hari ini.

Markas Tentera Darat dalam kenyataannya Selasa berkata, pihaknya berusaha mengesan Hasman yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja.

Beliau bersama-sama empat lagi rakan kolejnya pergi bercuti pada 26 Disember dan kenderaan dinaiki mereka dilaporkan telah dihanyutkan dalam banjir ketika mengharungi laluan di Pulaski County, Missouri.

Hasman sedang mengikuti kursus 'Engineer Captains Career Course' di Fort Leonard Wood yang bermula dari 1 Oktober hingga 15 April 2016.

Mohd Hairi berkata, seorang pegawai kanan Tentera Darat mengunjungi rumah nenek mereka di Masjid Tanah kira-kira jam 1 tengah hari tadi bagi memaklumkan perkara itu.

"Pihak Tentera Darat beritahu abang tidak dijumpai, tiada dalam kenderaan itu... pegawai (tentera) akan beritahu kami perkembangan ini dari semasa ke semasa," katanya.

Isteri Hasman, Siti Hazwani Ahmad, 29, pula berkata, beliau berbual dengan suaminya menerusi telefon pada jam 10 malam 26 Disember lalu yang antara lain berpesan kepadanya supaya tidak meninggalkan solat.

"Beliau juga berbual dengan anak sulung... beliau kata tiada rancangan pergi jalan-jalan cuma nak belajar bagi melengkapkan kursus enam bulan itu. Saya amat berharap beliau ditemui selamat," katanya.

Hasman dan Siti Hazwani mempunyai tiga anak lelaki - yang sulung berusia tiga tahun dan sepasang kembar berusia tiga bulan.

Sementara itu nenek Hasman, Jamaah Ahmad, 79, pula berkata, beliau sentiasa berdoa agar cucunya itu dapat ditemui dengan selamat.

"Sebelum ke Amerika Syarikat, beliau beritahu nenek nak ke sana... memang sedih kerana beliau rapat dengan nenek. Nenek mohon pada Allah supaya beliau selamat," katanya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran