Isnin, 7 Disember 2015

Serangan ke atas 1MDB hanya auta bukan fakta - PM


Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada 8 hingga 12 Disember ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula melancarkan serang balas terbuka terhadap pengkritiknya terutama berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi JKKK seluruh negara minggu lepas, Najib malam Ahad mengadakan pertemuan dengan mahasiswa pro kerajaan.

Tanpa berselindung, Najib menjelaskan serangan terhadap 1MDB tidak lain hanyalah perang persepsi.

"Realitinya adalah syarikat (1MDB) yang masih belum rugi dan ia mempunyai aset untuk menyokong pinjaman.

"Dan sebuah syarikat dari China telah membeli beberapa aset 1MDB bernilai kira-kira RM17 bilion," katanya dalam ucapan pada majlis penutup persidangan kepimpinan mahasiswa Negara (PEMANAS 3.0) di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Najib juga mengecam orang tertentu yang katanya, hanya mahu menyerang kerajaan melalui perang persepsi.

"Mereka serang melalui perang persepsi, kalau bentang fakta, logik dan rasional, dia (pembangkang) kalah, mereka lawan menggunakan auta (pembohongan)," katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing tinggi untuk diwarisi generasi akan datang.

Perdana Menteri berkata, penyertaan Malaysia dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) misalnya, adalah bagi menjadikan negara lebih berdaya saing dengan negara ASEAN dan negara-negara maju.

"Sebab itu kita tidak boleh takut dan tak harus takut kalau kita dalam AFTA, tak kanlah kita tidak boleh bersaing dalam konteks ASEAN.

"Kalau kita dalam TPPA, kalau Vietnam berani masuk, tak kan kita tidak berani, tak kan Malaysia takut... kita berani bersaing dengan mana-mana negara pun," katanya.

Najib menegaskan penyertaan Malaysia dalam mana-mana perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan terma yang memihak kepada negara dan rakyat.

"Saya beritahu Presiden (Amerika Syarikat) Barrack Obama, ya kami mahu TPPA tetapi dengan terma kita sendiri dan akhirnya kita dapat perjanjian yang amat baik... saya akan beri penerangan lebih lanjut mengenai perkara ini pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung beberapa hari lagi," katanya.

Perdana Menteri berkata, proses pembangunan Malaysia sehingga kini sememangnya merupakan sebuah kisah kejayaan yang boleh dibanggakan, malah dihormati oleh negara kuasa besar.

Justeru, katanya, rakyat terutama golongan mahasiswa perlu terus yakin dengan kepimpinan Malaysia dan memastikan UMNO terus mengekalkan kuasa kerana parti pembangkang sebagai alternatif kepada kerajaan, tidak sesuai memimpin negara ini.

Sementara itu, Najib memberi jaminan kerajaan akan terus berbelanja dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan juga tidak pernah menaikkan yuran pendidikan sejak sekian lama bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada pendidikan yang merupakan kunci kejayaan pembangunan negara.

Seramai 225 mahasiswa universiti awam dan swasta menyertai Persidangan Pemanas siri ketiga anjuran Biro Pendidikan UMNO dan Yayasan Minda.

Ia bertujuan mengenal pasti tahap amalan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa dan juga melahirkan pemimpin yang berkarisma dan berfikiran strategik, cekap dalam pengurusan, perancangan dan kaedah membuat keputusan.

Tiada ulasan: