Ahad, 6 Disember 2015

Penganalisis sokong jika Parlimen gantung Nurul Izzah

Post Pic
 
Penganalisis politik Syed Agil Syed Alsagoff menyokong sekiranya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen membuat keputusan untuk menggantung Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
 
Tegasnya kerana tindakan Nurul Izzah menimbulkan konflik keselamatan dalam negara dan melanggar sumpah taat setia kepada negara, memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaannya.
 
"Benda ini pernah berlaku kepada ahli pembangkang yang lain, dimana mereka mengadakan hubungan yang kita klasifikasikan sebagai menentang negara atau musuh negara." 
 
"Saya berpendapat bahawa keputusan (Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) nanti akan menggantung Nurul Izzah daripada sidang Parlimen sebab dia telah menyalahi peraturan (sumpah setia wakil rakyat) yang telah ditetapkan," katanya kepada Antarapos. 
Sidang Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu memutuskan untuk mengemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen setelah usul itu yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dipersetujui untuk dibahaskan.
 
Daripada 222 ahli Parlimen, 105 mengundi bersetuju dan 77 ahli pembangkang mengundi tidak bersetuju.
 
Untuk rekod, ini merupakan penggal kedua Nurul Izzah menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai.
 
Malah Syed Agil kesal dengan tindakan Nurul Izzah yang mencari publisiti murahan bagi membebaskan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Saya nak tahu apa rasionalnya Nurul Izzah bertemu (anak Jamalul Kiram III) dengan kumpulan militan tersebut sedangkan kita menghadapi masalah di Lahad Datu yang mana rakyat kita kena culik. 
 
"Sebagai ahli Parlimen dia harus prihatin terhadap isu ini. Bukan mengambil kesempatan untuk mencari publisiti murahan dengan mengadakan pertemuan dengan pihak militan," katanya.
 
Beliau yang merupakan Pensyarah Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut berkata, mana-mana Ahli Parlimen tidak sepatutnya menyalahgunakan jawatan mereka untuk kepentingan peribadi. 
 
"Dia (Nurul Izzah) tidak mewakili suara kerajaan dan suara rakyat yang sepatutnya tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan peranan dia sebagai ahli Parlimen untuk mengadakan rundingan kepada orang kita anggap musuh kepada negara. 
 
Kedudukan Naib Presiden PKR itu bakal ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dalam sidang akan datang.
 
Nurul Izzah dirujuk ke jawatankuasa berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat (27 (3) dan 80.
 
Dalam pada itu, Nurul Izzah digesa membawa Jacel dan bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada sebagai saksi bagi menyokong tindakan berhubung lawatan beliau.
 
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran