Isnin, 31 Ogos 2015

PAN - Parti baru Mat Sabu dilancar hari ini

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu mengumumkan pelancaran parti baru yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN) di Hotel Vistana, Kuala Lumpur hari ini.

Pelancaran PAN itu memang dinanti-nantikan oleh segenap rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama dan hala tuju parti baru yang bakal ditubuhkan.

Parti baru yang ditubuhkan itu bukan parti yang baru didaftarkan, sebaliknya ia adalah parti lama yang ditukar nama dan perlembagaannya.

Parti yang diambilalih itu ialah Parti Pekerja yang diberi nama Parti Amanah Negara (PAN).

Langkah ini diambil disebabkan ROS tidak membenarkan penubuhan Parti Progresif Islam (PPI) seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

Protem Parti Pekerja ini akan mengumumkan perlembagaan dan nama parti pada 16 September 2015. Pihak protem Parti Pekerja ini sedang giat menggubal perlembagaan parti baru ini.

Ternyata parti baru ini memang signifikan lebih-lebih lagi ianya mendapat sokongan padu dari DAP dan PKR serta NGO-NGO di Malaysia.

Ia terbukti apabila program GHB mendapat sokongan dari DAP, PKR, NGO dan rakyat Malaysia pada program road show yang dianjurkan oleh GHB.

Begitu juga dalam himpunan BERSIH 4.0 semalam GHB dilihat mendapat sokongan padu dari demonstran yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.


Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN)

Penasihat Umum - Ustaz Ahmad Awang
Pengerusi: Mohammad Sabu
Timbalan Pengerusi: Salahuddin Ayub

Naib Pengerusi: Dato Dr Mujahid Yusof dan Hassanudin Mohd Yunos

Ketua Wanita: Dr. Mariah Mahmud
Ketua Pemuda: Mohd Sany Hamzan
Setiausaha: Mohd Anuar Tahir
Timbalan Setiausaha: Abang Ahmad Kardee Abang Masagus
Bendahari:  Asmuni Awi
Setiausaha Orgniasasi: Suhaizan Kaiat

AJK

Dr. Mohd Hatta Ramli
Ir. Khalid Samad
Ir. Izham Jashim
Adly Zahari
Raj Munni Sabu@Aiman Athirah Al Jundi
Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
Mazlan Aliman
Aminolhuda Hassan
Mohd Hanipa Maidin
Datuk Fakhrulrazi Zawawi
Saari Sungip
Zulkifli Mohd Omar
Hu Pang Chaw
Datuk Wan Abd Rahim Abdullah
Hasnul Baharuddin

Jumaat, 28 Ogos 2015

Terima kasih Pemuda - Muhyiddin

KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
26 OGOS 2015

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri.

Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan Saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda UMNO dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).

Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.
Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera.

Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi.

Saya lakukan ini kerana saya sayangkan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam UMNO sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.

Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan.

Seorang Ketua Bahagian di negeri Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.

Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada UMNO cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam UMNO lebih 40 tahun.

Malah, ketika UMNO diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula UMNO di Johor sehingga UMNO kembali kuat dan negeri Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya umum.

Saya juga tetap setia bersama parti ketika UMNO menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.

Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara.

Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Khamis, 27 Ogos 2015

Najib tubuh Jawatankuasa Khas Ekonomi tangani impak global ekonomi negara

Kenyataan akhbar Perdana Menteri;

Pada Khamis 20 Ogos 2015 yang lepas, saya telah membuat kenyataan bahawa asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh, sistem kewangan yang berdaya tahan dan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan langkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal.

Saya juga menekankan bahawa walaupun kerajaan Malaysia berpandangan bahawa tahap semasa Ringgit Malaysia tidak mencerminkan asas ekonomi semasa yang kukuh, kerajaan sentiasa peka terhadap integrasi ekonomi Malaysia dengan ekonomi global.

Kerajaan tetap komited kepada dasar mesra pasaran dan dalam mengekalkan integriti dan keterbukaan pasaran. Oleh itu, kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tidak akan melaksanakan tambatan Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.

Ketidaktentuan kedudukan global masa ini memerlukan tindakan lebih responsif dan tegas. Dengan mengambil kira keadaan semasa, kerajaan berazam untuk menangani dan mengurangkan sebarang impak global kepada ekonomi sebenar negara.

Oleh yang demikian, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang akan melapor terus kepada YAB Perdana Menteri.

JKE akan mempertimbangkan perancangan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi Malaysia. Ini termasuk isu-isu semasa seperti nilai Ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

Keputusan untuk mewujudkan JKE adalah berdasarkan keperluan kerajaan utuk membangunkan dan melaksanakan strategi serta merta dan pelan tindakan untuk memastikan Malaysia terus dalam pertumbuhannya.

JKE akan terdiri daripada ahli ekonomi dan tokoh korporat untuk melengkapkan lagi kapasiti dan keupayaan yang sedia ada.

JKE akan bermesyuarat pada setiap minggu atau lebih kerap jika perlu untuk menimbang dan mencadangkan langkah-langkah segera.

Majlis Ekonomi yang sedia ada, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri akan terus berfungsi.

Majlis Ekonomi memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang menyeluruh. Majlis Ekonomi ini akan terus, antara lain; merumuskan strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik; mengenal pasti cara untuk mengawal inflasi dan merangka strategi bagi memastikan bekalan yang mencukupi; dan merangka jaringan keselamatan sosial yang komprehensif untuk melindungi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

JKE ini dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi dan akan terdiri daripada individu seperti berikut;

1. Bekas Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,
2. Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar,
3. Ketua Penasihat kepada Suruhanjaya Peraturan Perbankan China, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao,
4. Pengerusi Eksekutif Symphony Life Berhad, Tan Sri Mohamed Azman Yahya,
5. Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak,
6. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAM Holdings Berhad, Datuk Seri Dr. K. Govindan,
7. Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali,
8. Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias,
9. Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Datuk Seri Saw Choo Boon

JKE ini akan disertai bersama beberapa ahli ex-officio yang terdiri daripada pegawai tertinggi; Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Suruhanjaya Sekuriti, Pejabat Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (Ketua Sekretariat, Jawatankuasa Khas Ekonomi).

JKE akan diurusetiakan oleh Sekretariat di Unit Perancang Ekonomi yang mana Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk K. Yogeesvaran dilantik sebagai Ketua Sekretariat.

Pihak-pihak berkenaan akan dijemput dalam perbincangan untuk menangani isu-isu dasar, menyelesaikan urusan operasi atau membantu menyelesaikan masalah yang menghalang pertumbuhan ekonomi.

Khamis, 20 Ogos 2015

Ekonomi dan Ringgit Malaysia - Najib Razak

PTJ11_200815_PM_EKONOMIKerajaan telah memantau dengan teliti perkembangan terkini pasaran kewangan, termasuk pergerakan mata wang.

Jemaah Menteri dan Majlis Ekonomi membincangkan secara terperinci mengenai kedudukan ekonomi terkini di negara ini, terutamanya perkara berkaitan dengan Ringgit Malaysia.

Ini termasuk beberapa taklimat khas oleh Gabenor Bank Negara Malaysia kepada Majlis Ekonomi pada 17 Ogos 2015 dan Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2015.

Semalam, saya telah mengadakan suatu sesi perbincangan dengan ahli ekonomi dan penganalisis dari beberapa institusi kewangan dari dalam dan luar negara.

Pada sesi ini, ahli-ahli ekonomi dan penganalisis turut mengemukakan penilaian mereka mengenai situasi ekonomi dan pasaran kewangan serta memberi maklum balas secara langsung kepada kerajaan.

Susulan daripada perbincangan Jemaah Menteri dan sesi-sesi tersebut, Kerajaan Malaysia mengambil ketetapan seperti berikut: -

1. Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, sepertimana dicerminkan dalam pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015 yang diumumkan minggu lepas. Struktur ekonomi terus kukuh, didokong oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang menyumbang 76.6 peratus daripada KDNK, sungguhpun sektor-sektor perlombongan (termasuk minyak dan gas) dan pertanian berkurangan kepada 17.9 peratus daripada KDNK.

Struktur ekonomi yang kini dipelbagaikan telah mengurangkan pergantungan hasil Kerajaan ke atas minyak dan gas. Langkah kepelbagaian ekonomi ini, membolehkan hasil berkaitan minyak dikurangkan daripada 41 peratus pada tahun 2009 kepada bawah paras 30 peratus pada 2014. Dalam hal ini, kerajaan Malaysia akan meneruskan program transformasi ekonomi bagi mengukuhkan struktur dan kepelbagaian ekonomi.

Ekonomi Malaysia juga terus mencatat lebihan dagangan dan akaun semasa. Bagi separuh pertama 2015, Malaysia mencapai lebihan dagangan sebanyak RM41.7 bilion, manakala akaun semasa mencatat lebihan sebanyak RM17.6 bilion. Keadaan pasaran buruh di negara ini kekal stabil, dengan kadar pengangguran rendah 3.1 peratus pada Mei 2015. Kadar inflasi kekal pada paras yang rendah.

Daya tahan sistem kewangan kekal utuh. Pasaran kewangan domestik terus berfungsi dengan teratur, dan aktiviti pengantaraan kewangan terus berfungsi dengan cekap, memenuhi keperluan kewangan dan pembiayaan ekonomi dalam negara.

2. Memandangkan asas ekonomi yang kukuh dan persekitaran yang berbeza secara ketara berbanding semasa krisis kewangan Asia pada 1997-1998, Kerajaan Malaysia tidak akan memperkenalkan kawalan modal, atau tambatan Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.

Adalah tanggungjawab Bank Negara Malaysia menguruskan dasar monetari negara. Sehubungan itu, Kerajaan tetap menyokong kebebasan Bank Negara Malaysia tersebut, di samping lain-lain tanggungjawab yang dimandatkan.

3. Kerajaan Malaysia juga komited dalam meneruskan langkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal, termasuk meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST), dan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat ke arah mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Integrasi Malaysia dengan pasaran kewangan antarabangsa semakin kukuh, disebabkan oleh perdagangan dan pasaran kewangan negara yang terbuka. Integrasi ini memberikan impak terhadap pasaran kewangan negara dan kadar pertukaran mata wang.

Maka, kadar pertukaran mata wang yang fleksibel adalah amat penting untuk menyerap impak penyelarasan global tersebut dan juga volatiliti pasaran.

Walaupun Kerajaan berpandangan bahawa tahap semasa Ringgit tidak mencerminkan asas ekonomi semasa yang kukuh, Kerajaan sentiasa peka terhadap integrasi ekonomi negara dengan ekonomi global.

Oleh itu, Kerajaan tetap komited terhadap dasar mesra pasaran (market friendly policy). Seterusnya, Kerajaan tetap komited dalam mengekalkan integriti dan keterbukaan pasaran, dan tidak akan mengenakan kawalan modal, dan tidak akan melaksanakan tambatan Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.

Tiada 'pembersihan' dalam organisasi SB Bukit Aman

e
Sejak pagi Khamis memang macam-macam whatsapp diterima kononnya berlaku 'pembersihan' dalam pucuk pimpinan Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman.
Ini gara-gara laporan tidak bertanggungjawab sebuah portal berita terkenal mengenai perpindahan tugas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) I, Datuk Abdul Hamid Bador ke Jabatan Perdana Menteri.

Petang Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan media menafikan dakwaan kononnya proses penggantian pucuk pimpinan SB dibuat sebagai sebahagian daripada proses 'pembersihan'.

Menyifatkan ia fitnah, Khalid berkata sebaliknya menjelaskan penggantian membabitkan jawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di bahagian terbabit sebelum ini adalah satu perkara biasa.

"Dakwaan bahawa Cawangan Khas sedang melalui proses 'pembersihan' bagi menggantikan pucuk pimpinan tertingginya dengan Pengarah dan Timbalan Pengarah yang baharu adalah fitnah semata-mata.

"Datuk Seri Mohammad Fuzi Harun (sebelum ini Pengarah Pengurusan Bukit Aman) sendiri adalah bekas pegawai Cawangan Khas, amat berpengalaman dan dilantik menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat (bekas Pengarah Cawangan Khas) yang bersara selepas beberapa kali dilanjutkan tempoh kontrak perkhidmatannya," katanya.

Khalid mengulas beberapa laporan media sebelum ini berhubung pertukaran beberapa individu dalam Cawangan Khas dengan mengaitkan kononnya ia mempunyai campur tangan pihak tertentu.

Beliau menjelaskan, dakwaan beberapa media kononnya majlis serah tugas yang dibuat secara tertutup dengan kiasan ia atas sebab tertentu juga, dilihat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Majlis sebegini bukanlah satu perkara yang luar daripada kebiasaan dan amalan dalam PDRM, lebih-lebih lagi bagi Cawangan Khas yang tidak pernah mencari publisiti," katanya.

Khalid turut menjelaskan bahawa Abdul Hamid tidak pernah diarah untuk bercuti, sebaliknya percutian beliau adalah atas permohonannya sendiri dengan tujuan untuk berehat.

Katanya, Abdul Hamid juga sedia maklum mengenai pertukarannya ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditawarkan selepas beliau menarik balik hasrat untuk bersara awal.

"Pertukaran Abdul Hamid sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional (SIS) (di JPM) adalah sebagai satu pengiktirafan atas kemampuan dan pengalaman beliau dalam menangani isu-isu keselamatan.

"Pertukarannya keluar dari PDRM bukanlah sesuatu 'out of the ordinary'.

Sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar; Tan Sri Zaman Khan; Datuk Seri Zulkifli Md Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaan bagi tujuan memenuhi tuntutan dan keperluan semasa," katanya.

Justeru, Khalid mahu media lebih berhati-hati dalam menyiarkan berita kerana laporan yang tidak tepat akan mengundang pelbagai bentuk implikasi dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Ahad, 16 Ogos 2015

Kenapa marah rakyat kata menteri, timbalan menteri hari ini bodoh?

Apabila saya meletakkan posting MB Selangor, Azmin Ali mendakwa tak tidur dua bulan memikirkan masalah negara dalam akaun facebook saya, maka ada seorang cikgu - orang kuat Umno peringkat cawangan yang bercita-cita nak naik ke peringkat bahagian - meninggalkan komen.

Komennya: "Tak ada pun org kata ko Azmin Ali ni bodoh dia tak tidur sampai dua bulan. Kalau ada menteri Umno tak tidur dua bulan beribu-ribu dah komen keluar dlm fb".

Saya nak jawab kepada pengomen ini begini saja: Rakyat dah tahu pembangkang ni dah lama bodoh, sebab itu apabila pembangkang keluarkan kenyataan yang pelik atau tidak logik dek akal, kita tidak lagi mengatakan mereka bodoh, sebab kita tahu mereka bodoh.

Sedangkan menteri-menteri Umno ni kita tahu cerdik-cerdik belaka. Kalau tak cerdik masakan mereka ini dilantik oleh Perdana Menteri untuk memegang jawatan menteri atau timbalan menteri.

Sebagai rakyat, segala gerak geri atau tingkah laku mereka, baik dari segi pertuturan atau perbuatan sentiasa diperhatikan rakyat.

Jadi, apabila menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri keluarkan kenyataan yang tidak masuk akal, serta merta rakyat akan kata mereka bodoh. Tak bodohkah seorang menteri kata, "hanya orang gila saja yang mempersoalkan penurunan nilai ringgit?

Tak bodohkah kalau seorang menteri kata, "Malaysia antara paling bersih dari rasuah? Sedangkan negara kita baru saja berperang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan isu kehilangan wang syarikat 1Malaysia Developmentt Berhad (1MDB) dan kemasukan RM2.6 bilion duit kononnya dari penderma negara timur tengah ke dalam akaun peribadi PM?

Tak bodohkan kalau seorang menteri memberi jawapan, "duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun PM itu adalah duit dari penderma penyokong BN?

Tak bodohkan kalau seorang menteri kata, "isu RM2.6 bilion sebagai kecil dan rakyat tak patut ambil tahu?

Tak bodohkah kalau seorang timbalan menteri kata, "tak ada duit sebanyak itu masuk
ke akaun PM?

Atau apakah perkataan yang sesuai untuk kita berikan kepada menteri dan timbalan menteri ini selain daripada perkataan bodoh?

Sebagai menteri dan timbalan menteri dan juga pemimpin Umno, mereka harus bijak berkata-kata, lebih lagi dalam keadaan sekarang yang menuntut mereka memberi jawapan yang betul kerana PM sudah mengambil sikap berdiam diri.

Jika mereka tidak tahu jawapan sebenar, adalah lebih baik mereka tidak menjawab, atau memberi jawapan ringkas "no komen", atau jawab "tunggu hasil siasatan".. atau sekurang-kurangnya berdiam diri dengan melemparkan senyuman kepada wartawan atau rakyat. tidak bolehkah?

Nasihat saya kepada menteri dan timbalan-timbalan menteri dalam kabinet DS Najib, cubalah berfikiran waras. Rakyat hari ini, termasuk budak umur lima tahun pun sudah pandai mengambil tahu hal politik negara.

Oleh itu, berperangai cerdiklah. Jangan anggap rakyat hari ini sama seperti rakyat zaman jakpar tonggek. Rakyat dulu pun tidak bodoh, cuma tidak ada sebab untuk mereka mengutuk pemimpin mereka masa itu kerana semuanya cerdik.

Ibarat kata, tahap pemikiran dan kecerdikan pemimpin Umno terdahulu dengan pemimpin Umno sekarang bagaikan langit dengan bumi.

Selasa, 11 Ogos 2015

Kenyataan Pemuda UMNO Pasir Gudang

1. Pemuda amat kesal dan kecewa dengan eksplotasi memorandum yang dihantar kepada YAB Presiden UMNO semasa lawatan beliau ke Pasir Gudang semalam (9 Ogos 2015) bagi merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2015.

2. Walaupun pada dasarnya penghantaran memorandum adalah sebahagian daripada prinsip dan asas kebebasan bersuara, namun Pemuda Pasir Gudang ingin tegaskan bahawa isi kandungan memorandum tersebut langsung tidak menggambarkan pendirian sebenar UMNO Bahagian Pasir Gudang secara keseluruhan.

3. Pendirian Pemuda Pasir Gudang adalah selari dengan pendirian YAB Ketua UMNO Bahagian yang UMNO hanya perlukan satu nakhoda untuk mengepalai bahtera perjuangan UMNO. Apa yang telah dibangkitkan oleh YAB Ketua Bahagian di hadapan YAB Presiden benar-benar mewakili suara akar umbi serta kegelisahan umum. Oleh itu, YAB Presiden diberi masa dan ruang untuk setiap permasalahan diselesaikan dalam tempoh terdekat. Pemuda juga berpandangan bahawa ada usaha untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin yang selama ini kita tahu mempunyai hubungan yang sangat baik dan akrab.

4. Harus diingatkan bahawa UMNO merupakan parti yang mempunyai asas perjuangan yang jelas, ianya tidak bersandar kepada sebarang figura politik. Namun, menjadi adat bangsa Johor untuk menghormati kepimpinan sepertimana yang telah digariskan oleh YAB Ketua Bahagian dalam ucapan aluan beliau.

5. Kita sebenarnya mahu mencari kebenaran dan penyelesaian kepada polemik yang sedang melanda kepimpinan UMNO dan negara ketika ini. Ini demi untuk memastikan bahawa UMNO mampu mempertahankan kewibawaannya sebagai sebuah pemerintahan dan Kerajaan. Jadi, kita tidak sesekali akan memperjudikan UMNO sebagai sebuah institusi siasah dan mensia-siakan perjuangan murninya. Bukanlah ibarat membakar kelambu hanya kerna marahkan seekor nyamuk.

Sekian.

AZMAN JA'AFAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO PASIR GUDANG
10hb Ogos 2015