Selasa, 11 Ogos 2015

Kenyataan Pemuda UMNO Pasir Gudang

1. Pemuda amat kesal dan kecewa dengan eksplotasi memorandum yang dihantar kepada YAB Presiden UMNO semasa lawatan beliau ke Pasir Gudang semalam (9 Ogos 2015) bagi merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2015.

2. Walaupun pada dasarnya penghantaran memorandum adalah sebahagian daripada prinsip dan asas kebebasan bersuara, namun Pemuda Pasir Gudang ingin tegaskan bahawa isi kandungan memorandum tersebut langsung tidak menggambarkan pendirian sebenar UMNO Bahagian Pasir Gudang secara keseluruhan.

3. Pendirian Pemuda Pasir Gudang adalah selari dengan pendirian YAB Ketua UMNO Bahagian yang UMNO hanya perlukan satu nakhoda untuk mengepalai bahtera perjuangan UMNO. Apa yang telah dibangkitkan oleh YAB Ketua Bahagian di hadapan YAB Presiden benar-benar mewakili suara akar umbi serta kegelisahan umum. Oleh itu, YAB Presiden diberi masa dan ruang untuk setiap permasalahan diselesaikan dalam tempoh terdekat. Pemuda juga berpandangan bahawa ada usaha untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin yang selama ini kita tahu mempunyai hubungan yang sangat baik dan akrab.

4. Harus diingatkan bahawa UMNO merupakan parti yang mempunyai asas perjuangan yang jelas, ianya tidak bersandar kepada sebarang figura politik. Namun, menjadi adat bangsa Johor untuk menghormati kepimpinan sepertimana yang telah digariskan oleh YAB Ketua Bahagian dalam ucapan aluan beliau.

5. Kita sebenarnya mahu mencari kebenaran dan penyelesaian kepada polemik yang sedang melanda kepimpinan UMNO dan negara ketika ini. Ini demi untuk memastikan bahawa UMNO mampu mempertahankan kewibawaannya sebagai sebuah pemerintahan dan Kerajaan. Jadi, kita tidak sesekali akan memperjudikan UMNO sebagai sebuah institusi siasah dan mensia-siakan perjuangan murninya. Bukanlah ibarat membakar kelambu hanya kerna marahkan seekor nyamuk.

Sekian.

AZMAN JA'AFAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO PASIR GUDANG
10hb Ogos 2015

Tiada ulasan: