Ahad, 9 Ogos 2015

Najib dan isteri akan fail permohonan batal pernyataan pembelaan Nga

Najib Razak
Najib
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri akan memfailkan permohonan bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang disaman atas dakwaan memuat naik gambar berunsur fitnah mengenai perdana menteri dan isteri dalam akaun Facebooknya Mac lepas.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes itu disebut hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Anisah Normah Muhammad Nor.
Nga Kor Ming
Nga Kor Ming

Nor Hazira, yang mewakili perdana menteri dan isteri berkata, mahkamah turut menetapkan 11 Sept untuk pengurusan kes saman berkenaan.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Dennis Goh yang mewakili Nga.

Pada 11 Jun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman itu terhadap Nga selepas mendakwa defendan memuat naik gambar Najib dan Rosmah berserta status dalam akaun Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac lepas.

Pasangan itu mendakwa dalam status bergambar itu terpampang gambar mereka bersama dengan beberapa orang menteri kabinet Malaysia dan pegawai tertinggi Wisma Putra di dalam sebuah bilik hotel di China.

Mereka mendakwa Nga telah menerbitkan perkataan-perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya dengan memuat naik status menfitnah yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah menyalah guna kuasa dan mandat sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri atau kepentingan isterinya dengan membenarkan Rosmah mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan.

Rosmah pula mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana mempengaruhi suaminya selaku perdana menteri dan telah menyalah guna kuasa selain mempunyai kepentingan dalam sistem pentadbiran negara.

Pasangan itu berkata walaupun defendan telah mengambil tindakan untuk membuang status bergambar itu, namun status bergambar itu masih tersebar dengan meluas di dua buah blog yang masih boleh diakses di seluruh dunia dan mempunyai ‘page view’ masing-masing seramai 25,360,055 dan 6,626,986 sehingga tarikh writ saman tersebut difailkan.

Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Turut dituntut satu perintah injunksi untuk menahan defendan atau pembantunya atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan-perkataan berunsur fitnah itu dan memohon supaya defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah.
— BERNAMA

Tiada ulasan: