KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
26 OGOS 2015
Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy
Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia
atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu
yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6
bilion kepada Perdana Menteri.
Saya amat menghormati dan menghargai
pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan
prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas
sokongan Saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden
UMNO yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.
Ucapan
penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai,
ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus
memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya
meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan UMNO,
bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda UMNO dalam meletakkan
semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika
kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan
berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan
terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).
Iklim
ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum,
kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara
hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur
yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh
menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.
Mudah-mudahan
Allah s.w.t. menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi
min zalik.
Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan
saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan
dengan segera.
Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya menyampaikan
kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis
Tertinggi dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan UMNO
bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi.
Saya lakukan ini
kerana saya sayangkan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti
mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama,
bangsa dan negara.
Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam UMNO sendiri
yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi
berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia
yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.
Mereka ini ada
antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan.
Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan
ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan.
Seorang
Ketua Bahagian di negeri Selangor antara yang paling kuat mendesak saya
meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia
meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar
demi untuk menyelamatkan parti.
Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada
UMNO cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam UMNO lebih 40 tahun.
Malah, ketika UMNO diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk
membina semula UMNO di Johor sehingga UMNO kembali kuat dan negeri
Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan UMNO dan Barisan Nasional
dalam setiap pilihanraya umum.
Saya juga tetap setia bersama parti
ketika UMNO menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah
menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.
Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi
melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan
negara.
Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina
selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip
kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh
pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.
Kepada Allah saya berserah.
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan