Selasa, 11 Ogos 2015

Dikatakan dalam blog Ku Seman Ku Husin

Puad Zarkashi dan Salleh Keruak spin tulisan saya

Hari ini dalam Utusan Malaysia,  dua orang kuat Perdana Menteri Najib Razak,   Ketua Pengarah JASA,  Puad Zarkashi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Salleh Said Keruak  telah "menjawab" tulisan saya dalam Mingguan Malaysia semalam mengenai derma RM2.6 bilion.

Bagaimanapun kedua-dua panglima  ini sama sekali tidak menyentuh isu yang saya bangkitkan iaitu  derma RM2.6 bilion itu bukan milik UMNO,  hujah saya seluruh kepimpinan tertinggi termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak tahu tentang kewujudan derma itu.

Jadi,  secara logiknya apabila orang penting UMNO tidak tahu  mereka  tidak layak mengaku  derma yang  banyak itu milik mereka  melainkan mereka  bersedia memikul biawak hidup.  Sekarang UMNO memikul liabiliti  Najib yang akibatnya boleh meruntuhkan keyakinan rakyat  termasuk ahli UMNO kepada UMNO.

Yang ini tidak dijawab sebaliknya mereka spin  tulisan saya seolah-olah saya menuduh derma itu sebagai rasuah. Maka mereka  pun berkata, SPRM sudah mengesahkan derma itu bukan rasuah.  Kenapa mereka menjawab suatu yang saya tidak mempersoalkan?

Kedua-dua panglima  ini menjawab seolah-olah saya mempertikaikan status derma itu.  Mereka ini kaki spin, sebab itulah cybertrooper  yang diketuai Puad  hanya layak dibaca oleh pengampu-pengampu UMNO sahaja.  Cuba cari dalam tulisan saya  adakah  ayat yang membawa maksud saya mempertikaikan derma itu sebagai rasuah?  Saya hanya mengatakan derma itu sebagai hak peribadi.

Puad juga mahu mengajar saya menulis.  Dia berkata sepatutnya saya  tanya adakah dana politik salah di sisi undang-undang.  Apakah Najib mencuri duit 1MDB dan apakah salah akaun  peribadi digunakan untuk menerima derma.

Untuk pengetahuan Fuad,  saya sangat faham  bahawa dana politik tidak salah di sisi undang-undang.  Sebab itu saya tidak membangkitkan isu dana politik.  Saya juga tidak kata Najib mencuri duit 1MDB kerana belum terbukti  dan tidak mungkin dapat dibuktikan.  Saya juga tidak membangkitkan kesalahan menggunakan akaun peribadi untuk menerima derma kerana memang tidak salah.

Yang saya bangkitkan adalah derma  itu kepunyaan  Najib.  Kalau dana politik UMNO,  sudah tentu UMNO tahu sejak awal lagi.   Sebenarnya jawapan kedua-dua panglima Najib ini membuatkan rakyat melihat  pemimpin kanan UMNO  dilihat terlalu dungu hingga tidak tahu apa yang ada dalam akaun parti.  Derma disalurkan dalam akaun peribadi memang tidak salah,  sebab itulah saya tidak membangkitkannya.

Mereka berdua juga tidak menjawab pertanyaan saya,  kenapa sebaik sahaja selepas The Wall Street Journal mendedahkan ada transaksi RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib,  ada pemimpin UMNO berkata bahawa itu dana politik?  Kenapa masing-masing diam termasuk Puad dan Salleh yang sekarang beriya-iya spin rakyat bahawa itu dana politik?  Janganlah menyembunyikan suatu yang tidak cerdik dengan tindakan yang tidak cerdik.

Sepatutnya mereka menjawab soalan cepu emas anak Menteri Besar Johor dulu sebelum menjawab tulisan saya.  Sebenarnya apabila membaca kenyataan mereka di Utusan Malaysia hari ini yang cuba memperendahkan hujah saya, tiba-tiba saya hilang hormat kepada mereka.

Mereka cuba menonjolkan diri sebagai pembela Najib tetapi pada masa  yang sama tidak mempunyai kecerdikan yang tinggi. Maka akhirnya Fuad dan Salleh hanya boleh diamakan dengan juak-juak UMNO yang telah disihirkan  supaya menjadi tukang angguk.  Sama ada mereka mahu menjadi pembela buta dan tuli, itu soal mereka tetapi jangan menggunakan kuasa untuk menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang betul.

Saya mencabar sama ada Salleh (Menteri RTM)  atau Puad  supaya mengatur debat dengan saya mengenai isu fundamental derma RM2.6 bilion yang saya anggap bukan kepunyaan UMNO ini.  Kalau disiarkan secara langsung di RTM lagi bagus  supaya mereka lebih kelihatan sebagai pembela Najib.  Saya sanggup untuk berdebat satu lawan dua dengan Salleh dan Puad

Tiada ulasan: