Rabu, 4 Jun 2008

Dr Mahathir cadang tubuh suruhanjaya siasat Pak lah

"Royal Commissions"
Itulah tajuk tulisan terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya chedet.com.

Tulisannya berkisar mengenai Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes rakaman video Datuk V.K. Linggam yang dikaitkan dengan pengaturan pelantikan hakim.

Hasil inkuiri yang dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan, nama Dr. Mahathir telah disebut dan membawa kepada kemungkinan beliau akan disiasat oleh pihak berkuasa.

Paling tidak itulah laporan yang memetik arahan kabinet supaya nama-nama mereka yang disebut dalam laporan suruhanjaya itu disiasat.

Berdasarkan tulisan beliau, jelas Dr. Mahathir menyifatkan penubuhan suruhanjaya itu memang bertujuan hendak ‘mengenakan’ atau mengheretnya ke mahkamah atau memalukan beliau.

Jika tidak pun katanya, anggota suruhanjaya telah diarahkan untuk ‘mengenakan beliau’.

Dalam tulisan terbarunya, beliau menggunakan hujah serta rujukan-rujukan tertentu dalam laporan suruhanjaya video Linggam sebagai sindiran dalam tulisannya.

Berdasarkan cara Dr. Mahathir, baik pertuturan mahupun tulisannya, ia penuh dengan sindiran. Beliau dalam tulisannya mencadangkan penubuhan suruhanjaya bagi menyiasat pihak-pihak lain yang paling tidak katanya, boleh menyebabkan wujudnya kecurigaan terhadap kewibawaan seseorang itu.

Sebagai permulaan, beliau mencadangkan suruhanjaya bagi menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, suruhanjaya yang pertama boleh melakukan siasatan ke atas laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan Abdullah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan program Dana Untuk Makanan Iraq.

"Beliau juga berdasarkan rekod menyalahgunakan kedudukannya apabila melobi pihak berkuasa Iraq untuk kepentingan ipar perempuannya," sambil menambah Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana
Menteri dilarang daripada berniaga.

Sedangkan menurut tulisannya, surat sokongan Abdullah untuk ipar perempuannya jelas satu perbuatan melobi. (Melobi adalah antara perkara yang berbangkit dalam inkuiri video Linggam – perbuatan melobi untuk melantik hakim).

Suruhanjaya berikutnya, kata Dr. Mahathir boleh menyiasat mengenai penggabungan ECM Libra dan sebuah syarikat milik kerajaan Avenue Assets yang melibatkan kepentingan menantu Perdana Menteri dan kroninya, Kalimullah.

Selain itu, Dr. Mahathir terus dengan sindirannya agar diwujudkan satu lagi suruhanjaya bagi menyiasat penggunaan lima peratus wang ihsan yang kemungkinan berlakunya amalan rasuah.

Dengan itu tulisnya, suruhanjaya boleh melakukan siasatan atas dasar kemungkinan berlakunya rasuah yang membabitkan Perdana Menteri, Menteri Besar Terengganu dan menantunya, Khairy Jamaluddin.

(Apa yang ditegaskan oleh Dr. Mahathir ialah kemungkinan kerana dalam laporan suruhanjaya Linggam disebut kemungkinan adalah ketara mengenai penglibatannya).

Di akhir tulisannya, Dr. Mahathir dengan sindiran tajamnya menulis, setelah suruhanjaya berkenaan menyelesaikan tugasnya, bolehlah ditubuhkan satu lagi suruhanjaya menyiasat kemungkinan wujudnya penyalahgunaan kuasa kerajaan sekarang dan kerajaan sebelum ini.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran