Oleh: LUKMAN ABDULLAH
Salah soalan atau Datuk Seri Anwar Ibrahim takut hendak menjawab soalan yang dirasakan 'boleh bikin rosak program??’...
Itulah persoalan yang tidak dapat dijawab setelah dua kali wartawan Agendadaily menghadiri sidang akhbar 'Prime Minister in waiting' ini di ibu pejabat Parti Keadilan dekat Petaling Jaya.
Kali pertama pada 3 Julai lalu, ketika sidang akhbar mengenai surat akuan sumpah penyiasat persendirian P.Balasubramanian. Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu nyata tidak senang dengan soalan yang dikemukakan wartawan Agendadaily berhubung kenapa beliau pergi ke kondominium, tempat di mana bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhri Azlan mendakwa diliwat.
Sedangkan bagi mana-mana wartawan, soalan itu dikira natural dan amat wajar, kerana sehari sebelum itu, ketika bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Anwar ada menyatakan bahawa beliau tidak menafikan ada pergi ke kondo berkenaan.
Anwar sepintas menjawab yang perkara itu akan dijawabnya dalam mahkamah nanti dan tidak mahu ia mengganggu proses siasatan. Bagaimanapun, ia tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya beliau secara sinis bertanya kepada wartawan Agendadaily,”… you wakil mana?”
Wartawan Agendadaily menjawab, "... wakil Agendadaily Datuk Seri…”
Anwar yang sememangnya mengenali wartawan Agendadaily itu kerana pernah membuat liputan berita pelbagai program dan aktivitinya sejak awal tahun 80an lagi (semasa itu akhbar Watan), tetap dengan sengaja menjawab, "…saya tahu siapa finance you dan siapa tauke you…”
Aneh bin ajaib, Anwar yang sebelum ini dikenali dalam kalangan wartawan sedia menjawab apa jua soalan dan sering kali bercakap berapi-api mengenai kebebasan akhbar, tetapi kali ini seolah-olah mengamalkan 'double standard'.
Malah reaksi Anwar yang buat macam wartawan 'tarak akai' dibayar untuk tanya sesuatu soalan, adalah satu hal yang amat lucu. Sidang media pada jam 11.45 pagi itu bertujuan untuk Anwar menceritakan bahawa laporan perubatan dari Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan (PUSRAWI) telah memihak kepadanya.
"Dengan bukti terbaru ini telah memberi kelegaan yang besar pada kita," kata Anwar merujuk kepada laporan seorang doktor di PUSRAWI yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Anwar.
Bagaimanapun, tidak banyak soalan dari puluhan wartawan dari dalam dan luar negara yang hadir ketika itu. Soalan hanya berkisar soal kertas catatan laporan Pegawai Perubatan Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid, hal berkaitan dengan hasratnya bertanding kawasan Parlimen di Kulim Bandar Baru, memberi ulasan mengenai perbincangan Pas - UMNO dan menyentuh sedikit pasal perkembangan siasatan Jabatan Syariah Wilayah Persekutuan.
Namun, apabila seorang wartawan bertanya dengan merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai hasrat bekas Ketua Pemuda Keadilan, Mohd Ezam Md Noor menentang beliau dalam pilihan raya kecil, Anwar terus jawab, "… let him speak to Utusan Malaysia and Straits Times ..”
“… let Utusan and Strait Times respond …”
Ketika wartawan Agendadaily turut meminta Anwar mengulas mengenai kenyataan Ezam yang hendak mendedahkan pelbagai perkara yang ada hubung kait dengan beliau, Anwar menjawab, ”…Agendadaily boleh cari cerita lain… saya tak perlu respon”.
Pada soalan Agendadaily seterusnya berhubung kesediaannya berdepan dengan Ezam dalam pilihan raya kecil, Anwar berkata, ”…you wakil UMNO…”
Wartawan Agendadaily menjawab, ”…saya dari Agendadaily…”
Anwar terus sambung, ”…saya tahu (soalan) itu berbayar… cari soalan lain.”
Sejurus sidang akhbar selesai kedengaran beberapa rakan wartawan lain berbisik sesama sendiri mengenai cara Anwar mengelak untuk menjawab kenyataan Ezam.
Seorang lagi rakan wartawan ketika ditanya pandangannya mengenai hal itu berkata, "dia (Anwar) kata dia orang hebat, takkan soalan macam itu pun tak mahu jawab.
“Tak patut sangatlah tuduh orang macam itu… apakah dia nak soalan-soalan yang boleh dia balun kerajaan je… kalau begitu jangan memekak sana sini kononnya dia begitu prihatin mengenai kebebasan akhbar.
Malah seorang wartawan lain secara sinis menyindir mungkin juga Anwar 'ada bayar' kepada sesetengah wartawan untuk tanya soalan-soalan yang memihak kepadanya hingga beliau jadi syak wasangka dan amat prejudis pada soalan yang dianggap kritikal.
Untuk rekod, wartawan Agendadaily pernah tanya soalan 'yang orang hendak tahu jawapannya', lebih lazer lagi dalam sidang media pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Ini termasuk bertanya Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu duduk di sebelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, apakah pendiriannya jika beliau mendapat pencalonan yang mencukupi kuota untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.
Soalan itu dan jawapan Najib kemudiannya telah menjadi ulasan hangat dalam media, laman web dan blog. Sayangnya Timbalan Perdana Menteri tak kata pun, “ini soalan yang dibayar oleh PKR ke?”
Juga kita hendak membawa pada satu insiden lain, iaitu sidang akhbar Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di lobi bangunan Parlimen selepas beliau dan Nurul Izzah menemui Perdana Menteri sejurus isu dakwaan liwat Anwar berbangkit.
Ini berhubung dengan dakwaan adanya ancaman bunuh ke atasnya (Anwar). Soalan Agendadaily pada Wan Azizah ialah apakah buktinya wujud ancaman bunuh yang didakwa itu.
Presiden PKR itu nampak tidak begitu senang pada soalan berkenaan dan memberi alasan insiden mata lebam Anwar yang berlaku ketika kes 1998 menunjukkan bagaimana keselamatan suaminya tidak terjamin.
Setakat tidak senang satu hal… tetapi entah apa yang dirungutkan oleh Wan Azizah pada Anwar kemudiannya... Wallahualam.
Ini apabila pada malam itu, ketika berucap pada perhimpunan di Stadium Malawati, Shah Alam, Anwar secara terbuka menyatakan satu dua orang wartawan 'biadab' pada isterinya pada hari itu dan mengajak mereka berdepan dengannya.
"Saudara jangan terperangkap, memang ada pencacai-pencacai mereka dalam media, tidak ramai... satu dua... bahkan hari ini cukup biadap pada Azizah... saya nak beritahu pada mereka, kalau kamu benar dan berani... kamu berhadapan dengan saya, jangan ganggu isteri dan anak saya ," kata Anwar dalam ucapan itu.
Pada andaian kita kalau 'hari ini', mana ada lain selain ketika sidang akhbar itu.
Kita tertanya-tanya pada waktu dan ketika mana yang kita bersikap 'biadap‘ pada Wan Azizah dan Nurul Izzah.
Ramai wartawan yang hadir pada sidang akhbar itu boleh menjadi saksi.
Soalnya kalau kita ini jenis penakut, kita tidak akan hadir mana-mana sidang akhbarnya selepas itu, apalagi menganjurkan debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Julai lalu yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Apakah beliau sengaja menggembar-gemburkan cakap begitu semata-mata untuk membakar semangat dan kemarahan para hadirin di himpunan itu? Apakah ini cara beliau 'mewarnai' sesuatu hal agar orang ramai bersimpati padanya?
'Biadab' itu istilah apa Pak Sheikh?… sedangkan soalan wartawan Agendadaily ketika di ruang lobi parlimen cuma nak tanya apakah bukti ancaman bunuh itu. Ini kerana semua orang tahu Anwar bebas berceramah ke sana ke mari di seluruh negara dan tidak pernah dengar pun ada cerita mengenai ancaman bunuh sebelum ini.
Juga untuk rekod, wartawan Agendadaily tidak pernah bersikap biadab atau kurang ajar kepada sesiapapun, tidak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang dalam mana-mana sidang akhbar sebelum ini.
Kalau benar seorang wartawan bertanya sesuatu soalan yang dikira kurang disenangi... selari dengan istilah dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka satu perbuatan biadab‘... maka kita semua surrender... angkat tangan dan mengakui hakikat bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah satu-satunya parti 'yang paling adil' dalam dunia ini.
Mungkinkah kerana 'keadilan' itu juga sebelum ini satu per satu bekas pemimpin dan orang kuat Pak Sheikh yang cabut keluar dari PKR? Ezam, Nallakaruppan, Dr Chandra Muzaffar, Abdul Rahman Osman, Anuar Shaari atau lain-lain? Tolong jawab.
Juga Pak Sheikh mungkin lupa kami-kami ini adalah antara saksi hidup yang melihat sendiri siapa dan siapa yang 'diatur' jadi bos-bos di media arus perdana ketika Pak Sheikh Timbalan Perdana Menteri dulu.
Tak payahlah kita pergi jauh hingga bawa cerita berita siapa dan siapa yang dipinggirkan dalam media arus perdana waktu Pak Sheikh amat berkuasa tu. Jadi kalau Pak Sheikh nak cakap mengenai kebebasan media... ada kawan-kawan wartawan seangkatan yang kata... 'Oh my God'.
Atau mungkin juga kita kena memetik kata-kata keramat Tun Dr Mahathir Mohamad.... 'Melayu mudah lupa'
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan