MANZAIDI
UMNO dan Pas adalah dua parti yang dilahirkan dari perut dua ibu. UMNO dilahirkan oleh ibu bernama United Malays National Organisation dan Pas pula dilahirkan oleh ibu bernama Parti Islam seMalaysia.
Walaupun nama ibu berbeza, tetapi anutan dan pegangan agama ibu mereka adalah Islam.
Dalam UMNO ada yang berserban, berkopiah dan berjanggut. Dalam Pas juga ada berbaju kot, bertali leher dan bercakap orang puteh (bahasa Inggeris).
Dalam UMNO ada yang khatam al-Quran sampai beratus kali. Dan dalam Pas tidak sedikit yang lulusan pengajian tinggi di negara mat salleh.
Oleh itu, kalau dikaji secara mendalam latar belakang kedua-duanya, tidak ada bezanya. UMNO dan Pas adalah sama. Rukun mereka Rukun Islam. Mengucap dua kalimah syahadah, mempercayai Tuhan yang satu. Sembahyang lima waktu sehari, Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Masuk Ramadan, mereka berpuasa. Sampai masa, mereka keluarkan zakat dan yang mampu, sama-sama mengerjakan haji.
UMNO berpegang kepada ini. Pas pun berpegang kepada ini. Di mana bezanya mereka? Kalau pemimpin Pas bernama Haji Abdul Hadi bin Haji Awang dan Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat. Pemimpin UMNO pula Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan Haji Mohd Najib bin Haji Abdul Razak. Kedua-duanya ada tanda bin dan ada status haji.
Maknanya mereka adalah Melayu/Islam dan mereka juga sudah pergi ke Mekah menunaikan haji. Kalau sama, kenapa mereka bermusuh dan sukar untuk bersatu sehingga kini?
Jawabnya, kerana masing-masing mempunyai sikap ego yang tinggi. Masing-masing mahu menunjukkan merekalah pandai dan merekalah betul. Kalau pun ada seorang beralah, mahu berbaik. Seorang lagi bersikap hidung tinggi. Tidak mahu berbaik.
Itu yang menyebabkan UMNO dan Pas tidak dapat disatukan. Dan tidak mungkin disatukan.
Padahal mereka lupa, anak-anak yang mereka lahirkan semuanya beragama Islam.
Malah kedua-dua parti itu beranak menantu dan bercucu cicit dari kalangan UMNO dan Pas. Tidak sedikit anak Pas berkahwin dan bersekedudukan dengan anak UMNO. Dan tidak sedikit anak UMNO beristeri dan bersuamikan anak Pas. "baaaanyak-banyak" kata Allahyarham P. Ramlee dalam filemnya, Nujum Pak Belalang.
Yang berkahwin campur ini bersatu sehingga ada dianugerahkan 12 anak. Generasi hasil kacukan UMNO-Pas inilah yang berlambak di muka bumi Malaysia dan di seluruh dunia hari ini.
Mereka hidup bahagia. Aman, damai dan harmoni. Semuanya hasil daripada muzakarah dan muqabalah antara suami dan isteri yang bijak merancang masa depan demi memastikan rumah tangga, keluarga dan anak cucu mereka berkekalan sampai akhirat.
Ini yang dilupakan UMNO dan Pas. Mereka lupa akan asal usul. Mereka lupa bagaimana mereka melahirkan zuriat sehingga majoriti daripada 26 juta penghuni yang ada di Malaysia ini beragama Islam. Dari mana Islam itu datang dan dipelihara kekal sehingga kini kalau tidak daripada UMNO dan Pas?
Mungkin kerana dalam gabungan UMNO itu ada rakan bukan Islam seperti MIC dan MCA, makanya Pas menganggap UMNO tidak Islamik. Pas menuduh UMNO mementingkan dunia daripada akhirat. Bagaimana pula dengan DAP yang menjadi sahabat Pas dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR)? Sedangkan, dalam DAP yang majoriti ahlinya Cina, turut ada India, Singh dan Melayu.
Walaupun yang bukan Islam dalam PR bukan kaum majoriti, tetapi yang bukan Islam dalam BN juga adalah kaum minoriti. Kenapa UMNO dan Pas selaku induk kepada orang Melayu/Islam tidak memikirkan kewujudan perbezaan itu. Kenapa mereka cuba menafikan, menutup atau sengaja melalaikan anak-anak mereka daripada kisah sebenar asal usul mereka.
Sebabnya, kerana politik. Masing-masing ada kepentingan diri.
Sesiapa sahaja yang terlibat dalam politik, mereka sengaja melupakan asal usul. Mereka memesongkan sejarah sebenar kelahiran mereka supaya anak-anak tidak tahu asal usul mereka.
Mereka menanam sikap benci dan marah dalam diri anak-anak supaya anak-anak membenci dan bersengketa antara satu sama lain. Dari dulu sampai sekarang. Dan selama-lamanya.
UMNO mahu bermuzakarah. Pas menolak. Alasannya, hendak menjaga hati dan perasaan rakan gabungan dalam PR. Oleh itu, Pas memberi syarat supaya muzakarah digantikan kepada muqabalah.
Apa bezanya muzakarah dan muqabalah, kalau kedua-duanya menjanjikan pertemuan. Adakah dengan muzakarah mereka perlu membincangkan soal perpaduan dan masa depan Melayu/Islam, manakala muqabalah pula sekadar bertemu sambil minum kopi.
Kalau matlamat dan destinasinya sama, naik bas Mutiara atau Transnasional di stesen Kota Bharu sekali pun, kita akan berhenti di Hentian Putra, Kuala Lumpur juga. Selepas itu masing-masing membawa haluan mengikut ketetapan hidup. -SIARAN 26 JULAI
MS N15.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan